Anda tengah was-was ke samada dalam badan ada sihir atau tak? Tidak lagi bila anda dapatkan 2 video percuma ni. Klik di sini.

Bagaimana Nak Mengenali Bomoh?

Dikemaskini pada 10/10/2019 oleh Ustaz Abdullah

Dalam artikel saya yang lalu, saya dah pun kongsikan mengapa masih ramai orang suka berjumpa dengan bomoh. Percaya dengan bomoh. Jika anda baru menjumpai blog ini, boleh baca artikel tersebut di sini. Dalam artikel kali ini, saya nak kongsikan pula bagaimana kita nak kenal bomoh. Pentingkah nak kenal bomoh ni? Jawapannya ya, sangat penting supaya kita tak terjebak dengan tipu daya bomoh. Ingat, bila kita dah mula berubat dengan bomoh, susah kita nak lepaskan diri.

Satu perkara yang tidak ada beza diantara bomoh sekarang dan bomoh di zaman Nabi dulu ialah, mereka ini mengaku dapat mengetahui perkara-perkara ghaib baik untuk masa yang telah lalu mahupun yang akan datang. Bagaimana mereka berani untuk mendakwa yang sedemikian? Ini kerana kebiasaannya bomoh ini akan mengadakan hubungan dengan jin. Maksudnya jin itulah yang menceritakan kepada bomoh apa-apa yang ditanyakan oleh masyarakat kepada sibomoh tadi.

Oleh kerana itulah Rasulullah telah mengishtiharkan perang kepada mana-mana individu yang membuat dakwaan dan kenyataan dusta kononnya mempunyai kelebihan untuk mengetahui perkara ghaib. Termasuk juga dalam mendakwa mengetahui perkara ghaib apabila boleh memberitahu di mana letaknya barang yang hilang, siapa yang kononnya menghantar sihir kepada seseorang. Kadang-kadang golongan ustaz dan ustazah pun suka mengeluarkan kenyataan begini. Ini seperti apa yang diceritakan oleh pesakit-pesakit saya.

Saya pernah membantah kenyataan dari pesakit saya yang dia pernah berubat dengan seorang ustaz dan kononnya ustaz ni diberi kelebihan dibuka hijab dan dapat melihat perkara ghaib. Saya tegaskan, jika benar seseorang itu diberikan kelebihan oleh Allah, kelebihan itu sepatutnya tidak boleh bercanggah dengan syarak, iaitu apa yang dikehendaki oleh al-Quran dan as-Sunnah.

Bagaimana Allah akan memberikan kelebihan kepada seseorang untuk mengetahui perkara ghaib, sedangkan Allah sendiri telah menegaskan di dalam al-Quran yang tidak ada satu makhluk pun yang diberikan pengetahuan tentang perkara ghaib, baik yang dilangit atau di bumi. Allah s.w.t telah berfiman:

“Katakanlah! Tidak ada yang dapat mengetahui perkara ghaib di langit dan di bumi melainkan Allah semesta.” (Surah an-Naml: ayat 65)

Bahkan Rasulullah sendiri, seorang yang paling dekat dengan Allah dan tinggi darjatnya (sebaik-baik makhluk), pun diarahkan oleh Allah agar menegaskan kepada manusia bahawa Baginda juga tidak mengetahui perkara ghaib, melainkan apa yang diwahyukan oleh Allah sahaja, inikan kita hanya umat Nabi, dah tentu tidak termasuklah bomoh. Penegasan ini telah dirakamkan oleh Allah di dalam al-Quran yang bermaksud:

“Katakanlah: Aku tidak berkuasa mendatangkan manfaat bagi diriku dan tidak dapat menolak mudarat kecuali apa yang dikehendaki Allah dan kalau aku mengetahui perkara-perkara yang ghaib, tentulah aku akan mengumpulkan dengan banyaknya benda-benda yang mendatangkan faedah dan (tentulah) aku tidak ditimpa kesusahan. Aku ini tidak lain hanyalah (Pesuruh Allah) yang memberi amaran (bagi orang-orang yang ingkar) dan membawa berita gembira bagi orang-orang yang beriman.” (Surah al-‘Araf ayat 188)

Jadi di manakah benarnya kenyataan mereka (bomoh) yang mendakwa kononnya mereka diberikan kelebihan oleh Allah, dibuka hijabnya sehingga boleh mengetahui perkara ghaib. Ini mengarut dan dusta semata-mata. Adakah mereka juga nak mendakwa mereka ini lebih mulia dan lebih tinggi darjatnya dari Baginda Rasulullah s.a.w?

Ancaman Mereka Yang Berjumpa Bomoh

Tidak dinafikan, masyarakat Melayu kita khususnya, begitu taksub dan yakin dengan dakwaan sesetengah individu yang serba hebat yang boleh tahu persoalan ghaib ini. Ada pulak yang mudah termakan dan percaya dengan gelaran ustaz dan ustazah. Jika dibacakan kepada mereka dalil di atas sekalipun, mereka tetap akan mengatakan, “Takkanlah ustaz tu nak tipu kot?”.

Gelaran tidak memberikan sebarang makna pun. Kalau pak syeikh dari Arab sekalipun, kalau kenyataannya bertentangan dengan kehendak al-Quran dan as-Sunnah, ia tetap ditolak juga. Saya tidak menafikan, ada bomoh-bomoh zaman sekarang yang dah bijak. Mereka akan menyamar sebagai ustaz atau ustazah untuk mengaburi mata masyarakat. Bergantung kepada kitalah untuk membezakannya.

Tetapi saya juga tidak menafikan ada sesetengah golongan ustaz mahupun ustazah yang nak kelihatan hebat di mata manusia. Mereka nak masyarakat anggap mereka ini orang yang dekat dengan Allah sehingga mereka boleh mengetahui persoalan ghaib. Ditambah pula mereka ini kononnya menggunakan kaedah yang berwajah ‘Islamik’ seperti melakukan solat hajat untuk meramal masa depan atau untuk mengetahui di mana barang yang hilang.

Masyarakat akan menganggap takkan tipu kot, sebab dia buat solat hajat. Nampak tak hebat dan liciknya permainan golongan ni? Tetapi hakikatnya, ia tetap bertentangan dengan kehendak al-Quran dan as-Sunnah. Sebab tu, di tempat saya merawat, saya sekali tidak mengamalkan kaedah rawatan jarak jauh seperti solat hajat, kemudian boleh memberitahu hal-hal yang tidak diketahui.

Saya juga tidak mengamalkan kaedah rawatan menggunakan nama, gambar, nombor kad pengenalan, kad kredit, nombor telefon dan sebagainya, yang kedengarannya merepek dan melucukan. Macam cerita Nujum Pak Belalang. Banyak lagi sebenarnya teknik yang digunakan oleh golongan bomoh terpelajar dan ‘ustaz ustazah’ ni.

Bagi yang suka sangat berjumpa dengan golongan yang saya sebutkan di atas, ini ancaman yang diberikan Rasulullah:

“Barangsiapa yang mendatangi bomoh untuk bertanya tentang sesuatu perkara lalu dia membenarkan apa yang bomoh itu katakan, maka tidak diterima solatnya selama empat puluh hari”. ( Riwayat Muslim )

Rasulullah s.a.w menegaskan lagi dalam sabdanya yang lain:

“Barangsiapa yang mendatangi bomoh lalu ia mempercayai apa yang bomoh itu katakan maka kafirlah ia terhadap apa yang Allah turunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w”.( Riwayat Al-Bazzar dengan sanad yang kuat ; berkata al-Haithami perawinya shohih kecuali ‘Uqbah bin Sinan 5/117)

Tanda-Tanda Bomoh

Oleh kerana kebanyakan bomoh ni menggunakan jin untuk menjalankan kerjanya, biasanya jin tersebut meletakkan syarat sebagai pertukaran ketaatan yang diberikan oleh jin kepada si bomoh tadi. Jadi, syarat-syarat yang perlu dipatuhi inilah yang akan menjadi tanda yang dia itu seorang bomoh.

Apabila anda berjumpa dengan seorang yang mendakwa boleh merawat masalah gangguan jin, dan anda perasan mereka melakukan perkara-perkara di bawah, berhati-hatilah. Tanda-tanda yang patut anda perhatikan ialah:

1) Soalan si bomoh kepada pesakit tentang nama pesakit dan nama ibunya.

2) Permintaan si bomoh agar diberikan kepadanya apa-apa kesan milik si pesakit seperti sikat, baju, rambut dan sebagainya.

3) Meminta daripada pesakit agar dibawakan haiwan tertentu dengan sifat-sifat tertentu untuk dibuat korban kononnya, dengan menyebut nama-nama tertentu bukan dengan nama Allah. Boleh jadi kemudian darah binatang itu diletakkan pada bahagian yang sakit.

4) Si bomoh menulis gambarajah atau rumus-rumus tertentu yang tidak difahami yang mengandungi angka dan huruf-huruf tidak bersambung atau nama-nama bintang pada kain atau kertas.

5) Dalam tempoh bacaan jampi, dia mengangkat suaranya apabila membaca ayat al-Quran dan kemudian membaca berkumat kamit sesuatu yang tidak jelas dan tidak dapat difahami maksudnya.

6) Si bomoh memberi sesuatu sebagai tangkal yang dipakaikan kepada si pesakit. Ianya mengandungi rumus-rumus dan gambarajah empat segi, tiga segi dan sebagainya dengan nombor-nombor dan huruf-huruf tidak bersambung. Diletakkan pula syarat pada pemakaiannya.

7) Si bomoh memerintahkan pesakit agar menghindari manusia dalam tempoh-tempoh tertentu. Tidak bergaul dengan mereka serta menyorok dalam satu bilik yang gelap, dan tidak dibenarkan melihat matahari.

8 ) Terkadang si bomoh meminta supaya pesakit tidak menyentuh air selama tempoh tertentu. Kebiasaannya selama 40 hari. Kadangkala bomoh menyuruh supaya pesakit meletakkan lambang salib di tengkuknya. Ini menunjukkan bahawa jin yang membantunya beragama kristian.

9) Si bomoh memberikan sesuatu kepada pesakit untuk ditanam di bumi.

10) Si bomoh memberikan kepada pesakitnya kertas yang bertulis dengan sesuatu untuk dibakar dan diperasapkannya kepada pesakit.

11) Si bomoh bercakap dengan seseorang yang berada didalam majlis, tetapi tidak dapat dilihat. Si bomoh meminta izin dan pertolongan “orang itu” untuk mengubati pesakit. Si bomoh juga memberi keyakinan kepada jin (orang itu) bahawa pesakit tidak datang kepadanya kecuali dia telah yakin dan menyukainya.

12) Kadang-kadang si bomoh menulis sesuatu rumus atau gambarajah tertentu disertakan huruf-huruf yang tidak bersambung dan nombor-nombor tertentu yang kemudiannya direndamkan di dalam air, lalu diberi kepada pesakit sebagai minuman.

13) Si bomoh tidak menerima pesakit pada bulan Ramadhan khususnya pada 21 Ramadhan hingga akhir Ramadhan. Demikian juga bomoh tidak menerima pesakit pada 10 awal bulan Zulhijjah.

14) Sesiapa yang sentiasa membaca zikir pagi dan petang atau yang dikenali sebagai ma’thurat, maka si bomoh tidak akan menerimanya sebagai tetamu atau tidak selesa dengan kehadirannya.

15) Meletakkan sebekas air yang biasanya dicampurkan dengan najis seperti air kencing, supaya jin mampu dilihat oleh si bomoh dan muncul kepada tukang sihir tersebut.

16) Kebiasaanya si bomoh menggunakan asap kemenyan dalam perubatannya. Asap kemenyan yang busuk itu bagi menyeru jin untuk membantunya. Ini berbeza dengan “bukhur” (asap kayu gaharu yang berbau wangi), ianya sangat tidak disukai oleh jin-jin.

17) Yang paling jelas lagi ialah si bomoh merupakan orang yang tidak menunaikan solat. Tidak istiqmah dalam melaksanakan tuntutan-tuntutan agama yang fardhu, apatah lagi yang sunat.

Terkadang, Allah mengurniakan sedikit firasat (tekaan tepat) kepada orang-orang yang soleh dan alim ulama sehingga mereka mengetahuinya sekalipun dengan hanya melihat wajah tukang sihir. Ini kerana, tukang sihir atau bomoh itu telah dicabut cahaya keimanan daripada wajahnya dengan sebab kesyirikan-kesyirikan yang dilakukannya. Semoga Allah melindungi kita dan ahli keluarga kita semua daripada kejahatan-kejahatan tukang sihir dan syaitan yang direjam. Wallahualam.

Anda Dapat Sesuatu?

Jika anda rasa artikel ini bermanfaat, sila kongsikan dengan rakan-rakan dan juga orang yang anda sayangi. Anda juga boleh melanggan artikel terbaru saya terus melalui emel. Klik di sini untuk melanggan.

Anda aktif menggunakan aplikasi telegram? Saya juga ada kongsikan ilmu-ilmu mahal tentang perubatan Islam melalui telegram. Berminat? Join channel telegram saya di sini.


Kecewa dengan masalah gangguan jin dan sihir yang belum sembuh? Walaupun anda dah habis beribu ringgit? Mahukah saya tunjukkan kepada anda RAHSIA bagaimana untuk sembuh dengan cara yang mudah, praktikal & menjimatkan? Walaupun ketika anda sedang tidur. Klik di sini untuk mengetahui caranya!

Follow saya di sosial media:
Bagaimana Nak Mengenali Bomoh?
Scroll to top
error: Maaf. Artikel ini tidak dibenarkan untuk copy!!