Ilmu Tenaga Dalam Menurut Islam (Bahagian 2)

ilmu tenaga dalam
Anggaran Masa Bacaan: 7 minit

Dikemaskini pada 29/10/2017 oleh Ustaz Abdullah

Tulisan kali ini masih lagi tentang ilmu tenaga dalam. Ianya adalah sambungan dari artikel sebelum ini. Bagi anda yang baru pertama kali sampai ke blog ini, saya menggalakkan agar anda membaca dulu bahagian satu artikel ini. Klik di sini untuk membaca artikel tersebut.

Di dalam bahagian satu artikel ini, saya telah menjelaskan tentang definisi tenaga dalam, apa pandangan Islam tentang ilmu tersebut, dan di akhir artikel itu saya telah kongsikan lima kritikan umum tentang ilmu ini.

Pada artikel kali ini, saya akan sambung pula kritikan secara khusus berkaitan dengan ilmu tenaga dalam ini. Jika sempat, inshaaAllah saya akan habiskan bahagian kedua ini. Jika tidak sempat, saya akan sambung pada bahagian ketiga pula.

Kritikan Secara Terperinci Ilmu Tenaga Dalam

Pertama: Belajar ilmu tenaga dalam dapat menjadikan seseorang itu mempunyai kekuatan atau tenaga yang luar biasa. Maksud luar biasa ialah ianya bercanggah dengan hukum akal.

Seperti yang telah saya terangkan di dalam artikel sebelum ini bahawa di dalam ilmu tenaga dalam, seseorang itu diajar bagaimana untuk menjadi kebal. Tetapi tidakkah mereka yang mempelajari ilmu kebal ini sedar bahawa Rasulullah tidak kebal.

Saya dah jelaskan, jika ilmu kebal ini adalah ilmu yang memang bermanfaat, Rasulullah adalah yang pertama akan mempelajarinya dan sudah pastilah Baginda juga akan mengajarkannya kepada para sahabat.

Perkara ini telah menjadi suatu petanda yang jelas bahawa ilmu kebal bukanlah ilmu yang bermanfaat dan memuliakan siapa yang mengamalkannya, sebaliknya ia adalah ilmu yang batil di mana di sana adanya campurtangan dan bantuan dari jin. Sedangkan itulah taktik dan strategi syaitan untuk menyesatkan sesiapa yang mengikuti jejak langkah syaitan.

Oleh kerana itu, ada dikisahkan di dalam riwayat mengenai ilmu kebal yang dimiliki oleh  al-­Harits ad-Dimasyqi yang muncul di Syam pada masa pemerintahan ‘Abdul Malik bin Marwan, setelah itu mengakui dirinya sebagai nabi.

Syaitan-syaitan telah melepaskan rantai-rantai yang dililit dikedua kakinya. Membuatkan tubuhnya menjadi kebal terhadap sejnjata tajam, menjadikan batu marmar boleh berkata-kata apabila disentuh oleh tangannya, dan dia melihat sekumpulan orang-orang yang berjalan kaki atau menunggang kuda di langit, dan mengkhabarkan bahawa sesungguhnya mereka itu adalah malaikat. Padahal hakikatnya, itu adalah jin.

Ketika kaum muslimin berjaya menangkap  al-­Harits ad-Dimasyqi, untuk dijatuhkan hukuman bunuh. Tetapi apabila dilontarkan tombak ke tubuhnya, ianya tidak mampu melukakan kerana ilmu kebal yang dimilikinya. Lalu  ‘Abdul Malik bin Marwan berkata kepada orang yang melontarkan tombak tersebut supaya membaca Bismillah sebelum menikamnya. Lalu orang tersebut mencuba sekali lagi dan sebelum itu menyebutkan Bismillah, maka ketika itu tewaslah al-Harits ad-Dimasyqi. (Majmu’ Fatawa, Syaikhul Islam, 11/285)

Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah rahimahullah telah memberikan komen tentang riwayat di atas : “Beginilah perihal orang orang disertai syaitan. Syaitan-syaitan tersebut akan mening­galkan mereka apabila dibacakan di sisi mereka apa yang boleh mengusirnya seperti ayat kursi.”

Kedua: Mengalahkan musuh hanya dari jarak jauh

Teknik ini, iaitu mengalahkan musuh hanya dari jarak jauh, sekiranya benarnya ilmu tersebut dan memberikan manfaat, sudah tentulah Nabi dan para sahabatnya, yang banyak terlibat di dalam peperangan jihad menegakkan Islam, akan menggunakan ilmu tersebut demi untuk memenangkan Islam. Tetapi apa yang terjadi adalah sebaliknya.

Ketiga: Latihan aplikasi jurus tenaga dalam, seorang murid diharuskan untuk marah

Di dalam Islam, seseorang itu dituntut oleh sentiasa melatih diri untuk berakhlak mulia dan menjauhi sifat tercela seperti pendendam, membenci, emosi/marah dan lain-lain.

Tetapi berbeza di dalam amalan ilmu tenaga dalam. Seseorang yang hendak mengaplikasikan jurus tenaga dalam, mereka diharuskan, diajarkan supaya berada dalam keadaan marah. Sudah tentulah ianya bertentangan dengan apa yang diajarkan oleh Nabi s.a.w yang mewasiatkan kepada seseorang supaya tetap berada dalam keadaan bersabar dan tidak marah.

Kerana marah itu adalah kunci dan sumber kejahatan, sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w:

“Dari Abu Hurairah r.a berkata: “Sesungguhnya seseorang telah berkata kepada Nabi s.a.w. Berilah aku wasiat. Kemudian Nabi s.a.w menjawab, “Janganlah engkau marah”. Baginda mengulangi beberapa kali. “Jangan engkau marah”. (Hadis riwayat Bukhari, no 6116)

Imam Ibnu Rajab rahimahullah berkata, “Hadis ini menunjukkan bahawa sesungguhnya perasaan marah itu adalah sumber kejahatan dan menahan diri darinya (marah), adalah sumber kepada kebaikan”. (Jaami’ Ulum wal Hikam, 1/362)

Di dalam hadis lain juga ada disebutkan bahawa marah itu adalah bersumber dari syaitan sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w, “Sesungguhnya marah itu adalah dari syaitan. Dan syaitan itu diciptakan dari api. Dan api hanya dapat dipadamkan dengan air. Maka apabila salah seorang dari kamu marah, maka berwuduklah”

Di dalam hadis lain pula ada dijelaskan:

Rasulullah s.a.w telah bersabda, “Sesungguhnya syaitan menyusup dalam diri manusia melalui aliran darah. Aku khawatir sekiranya syaitan itu menyusupkan kejelekan dalam hati kalian berdua.” (Muttafaqun ‘alaih. HR. Bukhari no. 3281 dan Muslim no. 2175).

Kemungkinan inilah rahsia mengapa di dalam amalan ilmu tenaga dalam, seseorang itu diajarkan bagaimana untuk menjadi marah apabila berhadapan dan menyerang musuhnya, kerana ajaran trsebut adalah bersumberkan dari bisikan syaitan.

Dan dengan sifat marah tersebut, syaitan dengan mudahnya akan dapat menguasai jiwa dan diri seseorang, kerana ia mengalir di dalam tubuh manusia. Dengan demikian, mereka akan dapat menguasai musuhnya berkat bantuan khadamnya (syaitan).

Perkara ini telah diperkuatkan lagi dengan pengakuan mereka yang terlibat di dalam ilmu tenaga dalam ini di mana mereka mengatakan bahawa jurus akan dapat berfungsi dengan penuh dan sempurna jika menghadapai musuh dalam keadaan marah.

Jadi sebenarnya bukan tenaga dalam yang menjadikan jurus dapat berfungsi, sebaliknya jurus berfungsi kerana khadam (syaitan) terus masuk ke dalam tubuh badan terus menuju ke otaknya sehingga dapat menggerakkan jurus dengan sempurna dan akhirnya mampu menewaskan musuh.

Keempat: Ilmu tenaga dalam mengajar seseorang untuk menjadi dukun

Perkara ini dapat dilihat dari praktik ilmu tenaga dalam itu sendiri. Diantaranya mereka menjadikan seseorang itu jatuh cinta, membuatkan seseorang itu jatuh sakit, penyembuhan dari penyakit dengan menggunakan jurus-jurus tertentu, boleh meramal atau mencari barang yang hilang, boleh meramal masa depan dan ada yang boleh mengetahui isi hati seseorang.

Semua amalan yang dilakukan di atas adalah dilarang di dalam Islam. Mengapa? Kerana ilmu tenaga dalam ini adalah bersumberkan dari bisikan syaitan yang sebenarnya mahu mengheret kita agar terpesong dari agama dan terjerumus ke dalam dosa. Akibat dari perbuatan-perbuatan di atas tidak akan terlepas dari dua kemungkinan sahaja. Iaitu samada melakukan kesyirikan, ataupun melakukan dosa besar.

Membuat seseorang jatuh cinta.

Sihir jenis ini, di dalam bahasa arab diistilahkan sebagai al-‘athfu, iaitu membuatkan seseorang jatuh cinta kepada orang lain. Dalam istilah lain, disebut juga sebagai at-tiwalah, iaitu sesuatu yang dibuat bertujuan untuk menjadikan isteri mencintai suaminya ataupun sebaliknya. (Lihat Fathul Majid, hlm. 123)

Mungkin ada yang akan bertanya. Kalau untuk kebaikan tidak bolehkah? Seperti menjadikan suami dan isteri saling mencintai dan berkasih sayang. Jawapannya matlamat tidak sekali-sekali menghalalkan cara. Ini kerana perbuatan sebegini adalah syirik sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w:

“Sesungguhnya ruqyah (dengan mentera dukun), jimat dan tiwalah (sihir mahabbah) adalah perbuatan syirik” (HR Ahmad, Abu Daud)

Tiwalah dihukumkan sebagai syirik walaupun untuk tujuan kebaikan. Ini kerana mereka menggunakan sesuatu yag lain dari Allah taala untuk untuk mendatangkan kebaikan dan menolak kejahatan. ((Lihat Fathul Majid, hlm. 124)

Oleh itu, apa-apa yang diajarkan di dalam ilmu tenaga dalam dengan cara-cara tertentu untuk menjadikan seseorang itu jatuh cinta atau menyukai seseorang, maka ianya termasuk dalam sihir mahabbah sebagaimana yang dimaksudkan dalam hadis di atas.

Membuatkan Orang Sakit

Di dalam ilmu tenaga dalam, pelbagai cara yang dilakukan untuk membuatkan seseorang itu jatuh sakit. Tetapi, walau apa sekalipun cara yang digunakan, ianya termasuk dalam perbuatan sihir yang haram di sisi agama. Ini berdasarkan sebuah hadis Nabi s.a.w:

Imron bin Hushain berkata : “Rasulullah s.a.w bersabda : ‘Bukan termasuk golongan kami orang yang melakukan atau meminta tathayyur (menentukan nasib sial berdasarkan tanda-tanda benda, burung dan lain-lain), orang yang meramal atau yang meminta diramalkan, orang yang menyihir atau meminta disihirkan dan barangsiapa mendatangi peramal dan membenarkan apa yang ia katakan, maka sesungguh­nya ia telah kafir terhadap wahyu yang diturunkan ke­pada Muhammad‘ (HR. ath-Thobaroni dalam al­-Ausath, al-Mundziri berkata: Sanad ath-Thobaroni hasan. Diriwayatkan juga oleh al-Bazzaar, dengan sanad jayyid)

Ini kerana sihir tidak akan berlaku sama sekali kecuali dengan bantuan jin dan orang yang menyihir ini pula mestilah memperhambakan diri kepada jin tersebut dengan cara melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh agama.

Penyembuhan Dari Pelbagai Penyakit Fizik, Psikis dan Ghaib

Di dalam ilmu tenaga dalam ada diajarkan teknik menyembuhkan pelbagai jenis penyakit dengan menggunakan fungsi jurus-jurus tertentu. Maka tidak diragukan lagi bahawa kaedah ini adalah bertentangan dengan syarak, khususnya untuk merawat penyakit yang berpunca dari makuhluk ghaib, iaitu jin.

Sememangnya agama menyuruh untuk berubat apabila kita diuji dengan penyakit, tetapi kaedah perubatan yang digunakan mestilah bersih dari unsur-unsur kesyirikan dan juga segala perkara yang diharamkan.

Contohnya ada yang bertanyakan kepada saya tentang rawatan untuk mendapatkan cinta seseorang dengan cara menggunakan paku. Ianya dinamakan dengan “Cinta Paku Pasangan”. Ini adalah contoh kaedah yang bertentangan dengan syarak.

Rasulullah s.a.w telah bersabda:

“Wahai hamba-hamba Allah, berubatlah. Sesungguhnya Allah tidak meletakkan penyakit, melainkan meletakkan untuknya ubat. kecuali satu penyakit, iaitu tua” (Riwayat Ahmad, Abu Daud, al-Tirmizi dan Ibn Majah).

Juga sabda Baginda:

“Bagi setiap penyakit ada ubatnya. Apabila betul ubatnya, maka sembuhlah dengan izin Allah “. (Hadis riwayat Muslim)

Allah s.w.t telah menurunkan ubat yang paling mujarab untuk semua jenis penyakit, samada penyakit fizik mahupun spiritual, iaitu Al-Quran. Tetapi kebanyakan kaum muslimin tidak dapat menggunakan dan memanfaatkannya secara baik dengan disertai keyakinan yang benar.

Allah s.w.t telah berfirman:

“Dan Kami telah menurunkan al-Qur’an sesuatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang yang beriman dan al-Qur’an itu tidaklah menambah kepada orang yang zalim selain kerugian.” (QS. al-Isro'[171]:82)

“Hai manusia, sesungguhnya telah datang kepadamu pelajaran dari Robbmu dan penyembuh bagi penyakit-­penyakit (yang berada) dalam dada (hati) dan petunjuk serta rahmat bagi orang orang yang beriman. ” (QS. Yunus ayat 57)

Imam Ibnu Qayyim berkata, “Al-Quran adalah penyembuh yang sempurna dari semua penyakit hati, penyakit fizik dan penyakit-penyakit yang ada di dunia dan akhirat. Dan tidaklah setiap orang yang ahli dan diberi taufiq untuk boleh menggunakannya sebagai penyembuhan.

Dan apabila orang yang sakit boleh melakukan pengubatan dengan baik dengan menggunakan al-Quran dan meletakkannya kepada penyakit dengan penuh kejujuran dan keimanan, penerimaan yang sempurna, keyakinan yang tetap serta melengkapi syarat-syaratnya, maka tidak satupun penyakit yang akan boleh melawannya selama-lamanya.

Dan bagaimana mungkin penyakit itu dapat melawan perkataan Tuhannya yang telah menciptakan langit dan bumi dan seandainya kalau ia diturunkan ke atas gunung-gunung tentu akan hancur. Tidak satupun dari penyakit hati dan fizik di dalam al-Quran kecuali terdapatnya cara untuk menemukan ubat dan penyebabnya dan cara untuk melakukan pencegahan dari penyakit tersebut, tentu bagi orang yang diberikan pemahaman oleh Allah tentang kitab-Nya…. Adapun (resep) penyembuhan (penyakit) hati (psikis) maka al-Qur’an telah menyebutkannya secara terperinci dan menyebutkan (juga) sebab-sebab penyakit dan (cara) mengubatinya. Alloh Ta’ala berfir­man :

“Apakah tidak cukup (bagi) mereka bahwa sesungguh­nya Kami telah menurunkan kepadamu  al-Qur’an yang dibacakan kepada mereka.” (QS. al-Ankabut [291: 51)

Maka barangsiapa yang tidak dapat disembuhkan oleh al-Qur’an maka Allah tidak akan meny­embuhkannya dan barangsiapa yang tidak cukup baginya al-Qur’an maka Allah tidak akan mem­berikan kecukupan baginya.” (Sila lihat Zadul Ma’ad, 4/322)

Penulis mengajak kita membaca dan mere­nungi perkataan Imam Ibnu Qoyyim rahimahullah , di atas.

Semoga hal itu memotivasi kita untuk membaca al-Qur’an, merenungi dan memahaminya, agar ia menjadi lampu penerang kehidupan dan ubat pe­nyembuh segala penyakit jiwa (psikis) dan fisik.

Tetapi sayangnya, kebanyakan kaum mus­limin sekarang ini berpaling dari al-Quran, tidak membaca dan merenunginya. Mereka juga me­ninggalkan Sunnah. Akhirnya syaitan membisik­kan kepada mereka agar mencari alternatif selain al-Qur’an untuk mengatasi permasalahan kehidu­pan dan penyembuhan penyakit yang mereka ra­sakan. Caranya adalah dengan melakukan terapi­-terapi perdukunan dan teknik-teknik ilmu tenaga dalam, yang membuat mereka terperangkap ke dalam jaringan syaitan yang selalu berusaha membawa manusia kepada kesesatan dan kesyirikan, samada disedari atau tidak. Na’uzubillah min zalik.

InshaaAllah artikel ini akan saya sambung dalam bahagian ketiga memandangkan ianya sudah agak panjang untuk dihabiskan semuanya.

Sumber rujukan:

Anda Dapat Sesuatu?

Jika ya, jangan lupa untuk kongsikan artikel yang anda baca ini dengan rakan-rakan anda yang lain. Anda juga boleh melanggan artikel terbaru saya terus melalui emel. Klik di sini untuk melanggan.

 

 

Follow saya di sosial media:
Ilmu Tenaga Dalam Menurut Islam (Bahagian 2)
Scroll to top
error: Maaf. Artikel ini tidak dibenarkan untuk copy!!