Membaca Al-Quran Tetapi Melakukan Syirik

al-quran

Jika kita perhatikan di zaman sekarang ini, ramai orang membaca al-Quran. Malah setiap tahun, pertandingan membaca al-Quran meriah diadakan di seluruh dunia.

Namun sedarkah kita, walaupun ramai dikalangan kita yang membaca al-Quran, tetapi masih ramai lagi yang terjerumus di dalam kesyirikan dan meninggalkan tauhid.

Sedangkan, perkara tauhid ini adalah satu perkara yang sangat jelas di dalam al-Quran dan Sunnah Nabi SAW. Bahkan ketika dakwah Nabi di Mekah yang mengambil masa selama 13 tahun itu pun menekankan persoalan tauhid.

Sebagai seorang yang mengaku Islam dan beriman kepada Allah, tidak diragukan lagi bahawa al-Quran telah menjelaskan segala aspek yang diperlukan dalam kehidupan manusia untuk menjalani kehidupan di dunia, bahkan mengecapi kebahagiaan diakhirat.

Allah SWT telah berfirman:

“Dan (ingatkan tentang) hari Kami bangkitkan dalam kalangan tiap-tiap umat, seorang saksi terhadap mereka, dari golongan mereka sendiri dan Kami datangkanmu (wahai Muhammad) untuk menjadi saksi terhadap mereka ini (umatmu) dan Kami turunkan kepadamu Al-Quran menjelaskan tiap-tiap sesuatu dan menjadi hidayat petunjuk, serta membawa rahmat dan berita menggembirakan, bagi orang-orang Islam” (Surah An-Nahl ayat 89)

Dan penjelasan yang paling diperlukan oleh manusia serta paling penting sekali di dalam al-Quran ialah persoalan tauhid dan syirik. Kerana perkara ini adalah paling utama di dalam agama dan merupakan hal yang paling mendasar di dalam Islam.

Tauhidlah yang menjadi penentu kepada semua amalan yang dilakukan oleh seorang Muslim, dan perbuatan syiriklah yang akan membatalkan semua amalan tersebut.

Oleh kerana itu, Allah SWT telah menjelaskan tentang kedua perkara ini di dalam Al-Quran dengan penjelasan yang sangat mudah untuk difahami. Allah berfirman:

“Dan sesungguhnya Kami telah menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) ayat-ayat keterangan yang jelas dan nyata (Al-Quran) dan tidak ada yang akan mengingkarinya melainkan orang-orang yang fasik” (Surah Al-Baqarah ayat 99)

Bahkan semua bahagian di dalam Al-Quran adalah penjelasan mengenai persoalan tauhid dan syirik. Ibnu Qayyim mengatakan bahawa Al-Quran seluruhnya menjelaskan tentang tauhid.

Kerana isi kandungan Al-Quran pasti tidak lepas dari:

  • perintah untuk beribadah kepada Allah dan meninggalkan perbuatan syirik.
  • penjelasan tentang balasan baik bagi ahli tauhid, dan balasan buruk kepada mereka yang melakukan kesyirikan.
  • penjelasan tentang hukum halal dan haram
  • kisah-kisah tentang para rasul dan umat mereka, dan pergolakan yang mereka alami, di mana ianya merupakan pelajaran dan pengajaran kepada kita bahawa apa yang berlaku kepada mereka adalah balasan dari perbuatan tauhid dan syirik.

Maka Al-Quran yang dibaca setiap hari, siang dan malam, di dalam solat atau di luar solat, dibacakan oleh para qari, dan dihafal oleh kebanyakan umat Islam, semuanya berisikan tentang persoalan tauhid.

Namun sayang seribu kali sayang, masih ramai yang tergelincir dari persoalan yang sangat penting ini. Kita membaca dan mendengarkan Al-Quran tetapi tauhid tidak nampak di dalam perilaku seharian kita, bahkan ramai dikalangan kita yang terjerumus di dalam perbuatan syirik.

Tujuan Membaca Al-Quran

Syeikh Salih bin Fauzan mengatakan: “Anda dapati banyak orang yang membaca Al-Quran namun mereka terjerumus dalam kesyirikan dan meninggalkan tauhid. Padahal perkara tauhid ini sangat jelas di dalam Kitabullah dan Sunnah Rasulullah SAW. Ini kerana mereka menjadikan apa yang mereka dapati dari nenek moyang mereka, para syeikh mereka, dan kebiasaan penduduk daerah mereka. Mereka tidak merenungkan walau sehari pun, dan tidak mentadabbur apa yang ada di dalam Al-Quran. Dan mereka tidak berusaha mengkritik apa yang dilakukan oleh orang-orang, apakah perkara yang mereka lakukan itu betul atau tidak?”

Kemudian beliau melanjutkan lagi, “Bahkan mereka mempraktikkan secara taklid buta kepada nenek moyang mereka. Mereka menganggap Al-Quran hanyalah sekadar untuk dibaca untuk mengambil berkahnya dan mendapatkan pahala daripada membacanya. Mereka tidak bermaksud untuk mentadabbur al-Quran dan mengamalkan apa yang ada di dalamnya.” (Syarh Al Ushul As Sittah, Syaikh Shalih Al Fauzan, 10).

Padahal Al-Quran itu dibaca dengan tujuan untuk mengamalkannya, kerana ia adalah sumber hidayah. Allah SWT telah berfirman:

“Sesungguhnya Al-Quran ini memberi petunjuk ke jalan yang amat betul (Agama Islam) dan memberikan berita yang menggembirakan orang-orang yang beriman yang mengerjakan amal-amal soleh, bahawa mereka beroleh pahala yang besar” (Surah Al-Isra ayat 9)

Allah taala juga memerintahkan kita untuk mentadabbur al-Quran, bukan sekadar membaca tanpa direnungkan maksudnya. Allah taala berfirman:

“(Setelah diterangkan yang demikian) maka adakah mereka sengaja tidak berusaha memahami serta memikirkan isi Al-Quran? Atau telah ada di atas hati mereka penutup (yang menghalangya daripada menerima ajaran Al-Quran?)” (Surah Muhammad ayat 24)

Bahkan sebaik-baik manusia adalah orang yang mempelajarinya, berusaha memahami isinya dan mengajarkannya kepada orang lain. Bukan sekadar membacanya tanpa pemahaman. Rasulullah SAW telah bersabda:

“Sebaik-baik dikalangan kamu adalah yang mempelajari Al-Quran dan mengajarkannya” (Hadis riwayat Bukhari 4639)

Syeikh Shalih bin Fauzan melanjutkan, “sedikit sekali orang yang membaca A-Quran dengan tujuan ini. Kebanyakan mereka hanya membacanya untuk mencari berkah atau sekadar bernikmat-nikmat mendengarkan tilawah dari Qari, atau dengan mengubati orang sakit.

Adapun membaca al-Quran untuk mengamalkannya, serta mentaddabburnya dan mengembalikan apa yang dilakukan oleh orang-orang kepada Al-Quran, ini semua tidak ditemukan kecuali hanya pada sedikit orang sahaja” (Syarh Al Ushul As Sittah, Syaikh Shalih Al Fauzan, 11-12).

Terlalu Memberikan Perhatian Pada Tajwid, Tetapi Tidak Pada Tauhid

Ada sesetengah dari kita yang terlalu sangat memberikan perhatian kepada tajwid ketika membaca Al-Quran. Ada sesetengahnya pula sangat mementingkan lagu-lagu ketika membaca Al-Quran. Bahkan ada sebahagian orang, sanggup membeli cd-cd bacaan para imam-imam atau qari-qari semata-mata untuk meniru bacaan mereka. Tetapi mereka lalai daripada memberikan perhatian kepada perkara paling utama di dalam Al-Quran, iaitulah penjelasan tentang perkara yang berkaitan dengan tauhid dan syirik.

Syaikh Shalih Al Fauzan menyebutkan, “orang-orang membaca Al-Quran, memperbanyak bacaannya, mengkhatamkannya berkali-kali, menghafalnya, mentartilkannya, mereka sangat memberikan perhatian pada lafaz-lafaz dan tajwidnya. Sangat memberikan perhatian pada hukum-hukum mad, hukum-hukum idgham, ghunnah, iqlab, izhar, ikhfa, dan mencurahkan perhatian yang sangat besar dalam hal itu.

Ini memang baik. Namun tujuan yang lebih utama bukanlah ini. Tujuan yang lebih utama adalah mentadabbur Al-Quran, memahami Kitabullah, dan mengembalikan amalan kita serta amalan manusia kepada Kitabullah, apakah amalan-amalan tersebut sesuai dengan Kitabullah atau bertentangan?” (Syarh Al Ushul As Sittah, 13).

Tentangan Berat Kepada Para Da’i Tauhid

Beliau juga mengatakan, “bahkan jika ada seorang da’i yang ingin memperbaharui kebiasaan buruk yang ada pada diri mereka, mereka akan marah dan menuduhnya berbuat kesesatan. Bahkan mereka juga menuduhnya telah keluar dari ajaran agama, atau ia telah membaca ajaran baru, dan tuduhan-tuduhan lainnya” (Syarh Al Ushul As Sittah, 12).

Sudah menjadi sebuah lumrah bahwa orang yang berdakwah untuk mengajak kembali kepada Al Quran dan As Sunnah, mengajak manusia untuk bertauhid yang benar dan meninggalkan kesyirikan, akan mendapat penentangan yang hebat dari masyarakat. Hal itu tidak akan membuat mereka menjadi rendah dan hina, bahkan akan mengangkat darjat mereka di sisi Allah. Sebaliknya orang-orang yang menyisihkan petunjuk Al Qur’an dan sunnah yang hakikatnya hina dan rendah. Rasulullah Shallallahu’alaihi Wasallam bersabda:

Allah mengangkat darjat kaum-kaum dengan Al Qur’an ini, dan merendahkan kaum-kaum yang lainnya dengannya” (HR. Muslim).

Mereka telah didahului oleh para Nabi dan Rasul Allah yang juga mengalami hal yang serupa, bahkan lebih dahsyat lagi. Oleh karena itu Allah menghibur Rasulullah Shallallahu’alaihi Wasallam serta para da’i ilallah yang berjalan di atas jalannya:

Tidaklah ada yang dikatakan (oleh orang-orang kafir) kepadamu (wahai Muhammad) kecuali sesungguhnya hal serupa telah dikatakan kepada rasul-rasul sebelum kamu. Sesungguhnya Rabb-mu benar-benar mempunyai ampunan dan hukuman yang pedih” (QS. Fushilat: 43).

Semoga kita dimasukkan oleh Allah ke dalam golongan orang-orang yang sentiasa mempelajari, merenungkan dan mengamalkan kandungan Al Quran. Semoga kita digolongkan menjadi orang-orang yang bertauhid dan dijauhkan sejauh-jauhnya dari kesyirikan.

Kredit: Muslim.or.id

ANDA DAPAT APA-APA TAK?

Jika anda merasakan artikel yang saya kongsikan di atas memberikan manfaat, saya mohon agar anda kongsikan dengan rakan-rakan anda, samada di facebook, twitter,google+ dan lain-lain.


(Tentang Penulis: Ustaz Abdullah Idris berpengalaman selama 5 tahun membantu merawat pesakit-pesakit yang mengalami gangguan makhluk halus. Dapatkan perkembangan terkini dari beliau melalui  facebook, google+ dan juga twitter. Beliau telah kongsikan 6 teknik mendinding dari sihir yang telah membantu ramai pesakit beliau. Jika anda ingin mendapatkan khidmat rawatan beliau, dapatkan maklumat lanjut di sini.)

 


Lindungi Diri Anda Dari Sihir Dengan 6 Kaedah Dijamin BERKESAN!

Kaedah yang wajib diketahui & diamalkan  oleh mangsa-mangsa sihir

Anda akan mempelajari:

( 1)  8 jenis wirid/zikir yang mampu menjauhkan jin-jin penyihir.

(2) 1 amalan yang kita abaikan tetapi mampu mendinding kita dari sihir.

(3) 3 teknik & gaya pemikiran yang mampu meningkatkan kekuatan diri
melawan sihir.

Percuma.

3

butang-download

 

1 Comment on "Membaca Al-Quran Tetapi Melakukan Syirik"


  1. Peringatan yg bagus buat diri ini juga. Moga tiidak tergolong dikalangan org2 yg syirik dlm membaca Al Quran juga kehidupan seluruhnya. T kasih atas perkongsian ilmu ini ustaz.

    Reply

Ada pertanyaan?