Perbuatan Sihir Dan Perbomohan Akan Merosakkan Akidah

Assalamualaikum pembaca yang dihormati,

Kita semua tahu bahawa di dalam agama Islam, akidah yang suci dan bersih dari segala kekufuran dan kesyirikan adalah sangat penting.

Bahkan jika kita lihat dalam Sirah Nabi Muhammad sendiri pun, 13 tahun dakwah Nabi di Mekah adalah mengajak manusia supaya mentauhidkan Allah semata-mata. Jangan menyengutukan Allah dengan berhala-berhala yang mereka sembah dan puja setiap hari.

Begitulah pentingnya akidah sebagai tonggak utama di dalam Islam.

Jadi, bagaimana pula amalan sihir dan perdukunan yang masih lagi berlaku di dalam masyarakat moden ini, boleh menyebabkan kita mensyirikkan Allah?

Ini berlaku kerana, di dalam amalan tukang-tukang sihir dan dukun terdapatnya praktik-praktik yang berunsurkan syirik dan khurafat. Antaranya:

1) Mengaku bahawa tahu perkara-perkara yang ghaib, sedangkan pengetahuan tentang perkara ghaib adalah suatu pengkhususan bagi Allah semata-mata. Ini jelas di dalam firman Allah yang bermaksud:

“Katakanlah: Tidak ada seorang pun dilangit dan dibumi yang mengetahui perkara ghaib, kecuali Allah, dan mereka tidak mengetahui bilamana mereka akan dibangkitan” (Surah An-Naml ayat 65)

Juga di dalam firman Allah yang bermaksud:

“(Dia adalah Rabb) Yang Mengetahui yang ghaib, Dia tidak memperlihatkan kepada seorangpun tentang yang ghaib itu, kecuali kepada Rasul yang diredhai-Nya, maka sesungguhnya Dia mengadakan penjaga-penjaga (Malaikat) dimuka dan dibelakangnya” (Surah Jin ayat 26-27)

Dalam dua ayat di atas jelas menyatakan bahawa tidak ada seorangpun dari makhluk Allah yang mengetahui perkara-perkara ghaib. Manakala dalam ayat yang kedua pula, Allah menegaskan lagi bahawa perkara ghaib hanyalah di dalam pengetahuan Allah semata-mata.

Cuma dalam ayat kedua ini adanya pengecualian, iaitu ada sesetengah dari manusia yang Allah berikan kepada mereka pengetahuan tentang yang ghaib. Mereka ialah golongan para Rasul yang diredhai oleh Allah.

Tetapi hakikatnya masih sama iaitu pengetahuan tentang yang ghaib itu hanyalah disisi Allah semata-mata. Jadi bagaimana pula ada dikalangan manusia zaman sekarang yang mengaku tahu perkara-perkara ghaib?

2) Melakukan kerjasama (JV) dengan syaitan dan melakukan perbuatan yang kufur sebagai syarat agar syaitan mahu memberikan pertolongan kepada mereka (tukang sihir dan bomoh).

Adalah mustahil manusia biasa dapat mengetahui perkara-perkara yang ghaib, contohnya perkara-perkara lepas yang telah berlaku kepada seseorang. Melainkan hanya dengan cara memohon pertolongan kepada jin sahaja. Ini kerana jin ada dikalangan mereka yang berumur panjang.

Jadi, sebagai syarat supaya jin memberikan bantuan, maka tukang sihir dan bomoh kenalah melakukan perbuatan-perbuatan yang mensyirikkan dan dilaknat oleh Allah, contohnya memijak Al-Quran, kencing di atas Al-Quran, menyembelih haiwan korban bukan kerana Allah, tetapi untuk dipersembahkan kepada jin.

Oleh kerana tukang sihir dan bomoh melakukan perkara-perkara yang syirik dan kufur, maka mahukah kita pergi berjumpa untuk mendapatkan khidmat dan nasihat?

Tidaklah pergi kepada tukang-tukang sihir ini melainkan mereka yang telah rosak juga imannya. Semoga Allah pelihara iman kita dan menghindarkan kita dari melakukan perbuatan syirik kepada Allah.

Anda Dapat Sesuatu?

Jika ya, jangan lupa untuk kongsikan artikel yang anda baca ini dengan rakan-rakan anda yang lain. Anda juga boleh melanggan artikel terbaru saya terus melalui emel. Klik di sini untuk melanggan.