Syirik: Dosa Yang Tidak Diampunkan (Bah.2)

syirik

Sekiranya kita mengimbas kembali sejarah dakwah Nabi SAW ketika di Mekah dan Madinah, kita akan dapat melihat perbezaan antara keduanya.

Ini kerana, ketika Baginda berdakwah di Mekah yang berlangsung selama lebih kurang 13 tahun, isi dakwah Nabi ketika itu ialah menentang penyembahan berhala dan mengajak kepada menyembah hanya Allah yang Esa dan tidak mensyirikan-Nya dengan sesuatu.

Mengapa mereka diajak supaya tidak mensyirikkan Allah?

Ini kerana, masyarakat Arab Mekah ketika itu bukanlah tidak mengenal Allah sebagai Tuhan yang berkuasa, yang menciptakan, mereka tahu semua itu. Tetapi mereka menyamakan Allah dengan berhala-berhala mereka di dalam ibadah.

Sebab itulah mereka dipanggil sebagai musyrikin (orang-orang yang syirik). Bagi anda yang baru pertama kali sampai ke blog ini, artikel yang sedang anda baca ini adalah sambungan dari artikel yang pertama. Jadi, saya menggalakkan anda membaca dulu artikel pertama di sini.

Di dalam artikel ini, saya akan kongsikan pula tentang jenis-jenis syirik.

Syirik terbahagi kepada dua jenis, iaitu syirik kecil dan juga syirik besar.

Apakah syirik besar?

Syirik besar adalah memalingkan suatu bentuk ibadah kepada selain Allah, seperti berdoa atau mendekatkan diri kepadanya dengan cara melakukan penyembelihan korban atau nazar untuk selain Allah, baik untuk kuburan, jin atau syaitan, dan lainnya.

Atau seseorang yang merasa takut kepada orang mati (roh) yang mana pada anggapannya mempunyai kuasa untuk membahayakan dirinya, atau mengharapkan sesuatu kepada selain Allah, yang tidak kuasa memberikan manfaat ataupunpun mudharat, atau seseorang yang meminta sesuatu kepada selain Allah, di mana tidak ada manusia pun yang mampu memberikannya selain Allah, seperti memenuhi hajat, menghilangkan kesulitan dan selain itu dari berbagai macam bentuk ibadah yang tidak boleh dilakukan melainkan ditujukan kepada Allah saja.

Allah SWT telah berfirman di dalam Surah Yunus ayat 10 yang bermaksud:

“Doa ucapan mereka di dalam Syurga itu ialah Maha Suci Engkau dari segala kekurangan wahai Tuhan! Dan ucapan penghormatan mereka padanya ialah: Salam sejahtera! Dan akhir doa mereka ialah segala puji dipersembahkan kepada Allah yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam!” 

Syirik besar ini dapat menyebabkan pelakunya terkeluar dari agama Islam dan menjadikannya penghuni kekal di dalam neraka, sekiranya ia mati dalam keadaan syirik dan tidak bertaubat kepada Allah.

Bentuk-bentuk perlakuan yang termasuk dalam syirik besar itu ada banyak, tetapi dalam artikel ini saya hanya akan tuliskan empat darinya.

Pertama: Syirik doa iaitu di mana selain daripada berdoa kepada Allah, mereka juga memanjatkan doa mereka kepada selain Allah.

Allah SWT telah berfirman di dalam Surah Al-Ankabut ayat 65 yang bermaksud:

“Dalam pada itu, apabila mereka naik bahtera (lalu menemui sesuatu bahaya di laut), mereka memohon pertolongan kepada Allah dengan doa yang tulus ikhlas kepadaNya. Kemudian setelah Allah menyelamatkan mereka (naik) ke darat, mereka berlaku syirik kepadaNya.”

Kedua: Syirik niat. Syirik ini pula di mana pelakunya melakukan sesuatu ibadah dengan niat dan keinginan yang ditujukan kepada selain Allah.

Allah SWT telah berfirman di dalam Surah Hud ayat 15-16 yang bermaksud:

Sesiapa yang keadaan usahanya semata-mata berkehendakkan kehidupan dunia dan perhiasannya (dengan tidak disaksikan sama oleh Al-Quran tentang sah batalnya), maka Kami akan sempurnakan hasil usaha mereka di dunia dan mereka tidak dikurangkan sedikitpun padanya. (15) Merekalah orang-orang yang tidak ada baginya pada hari akhirat kelak selain daripada azab Neraka dan pada hari itu gugurlah apa yang mereka lakukan di dunia dan batallah apa yang mereka telah kerjakan.” (16)

Ketiga: Syirik ketaatan. Iaitu mereka mentaati kepada selain Allah dalam hal maksiat kepada Allah SWT. Perbuatan ini digambarkan oleh Allah di dalam Surah Taubah ayat 31 yang bermaksud:

“Mereka menjadikan pendeta-pendeta dan ahli-ahli agama mereka sebagai pendidik-pendidik selain dari Allah dan juga (mereka mempertuhankan) Al-Masih Ibni Mariam, padahal mereka tidak diperintahkan melainkan untuk menyembah Tuhan Yang Maha Esa; tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia. Maha Suci Allah dari apa yang mereka sekutukan.”

Keempat: Syirik mahabbah (kecintaan). Iaitu mereka menyamakan sesuatu yang lain dengan Allah dalam soal kecintaan.

Dalam perkara ini, Allah SWT telah berfirman di dalam Surah Al-Baqarah ayat 165 yang bermaksud:

“(Walaupun demikian), ada juga di antara manusia yang mengambil selain dari Allah (untuk menjadi) sekutu-sekutu (Allah), mereka mencintainya, (memuja dan mentaatinya) sebagaimana mereka mencintai Allah; sedang orang-orang yang beriman itu lebih cinta (taat) kepada Allah dan kalaulah orang-orang yang melakukan kezaliman (syirik) itu mengetahui ketika mereka melihat azab pada hari akhirat kelak, bahawa sesungguhnya kekuatan dan kekuasaan itu semuanya tertentu bagi Allah dan bahawa sesungguhnya Allah Maha berat azab seksaNya, (nescaya mereka tidak melakukan kezaliman itu).”

Apakah Syirik Kecil?

Berbeza dengan syirik besar, syirik kecil ini tidaklah sampai menjadikan pelakunya terkeluar daripada agama Islam.

Walaupun begitu, syirik kecil juga sangat merbahaya kerana ianya adalah wasilah (jalan, perantara) kepada berlakunya syirik besar.

Syirik kecil ini pula terbahagi kepada dua bahagian, iaitu:

1) Syirik zahir. Iaitu syirik kecil yang dilakukan dalam bentuk ucapan dan perbuatan. Contohnya seperti seseorang yang bersumpah dengan selain nama Allah SWT. Dalam hal ini, Rasulullah SAW telah bersabda:

“Barangsiapa yang bersumpah atas nama selain Allah, maka ia telah berbuat kufur dan syirik”. (HR. At-Tirmidzi (no. 1535) dan al-Hakim (I/18, IV/297), Ahmad (II/34, 69, 86) dari ‘Abdullah bin ‘Umar Radhiyallahu anhuma. Al-Hakim berkata: “Hadits ini shahih menurut syarat al-Bukhari dan Muslim.” Dan disepakati oleh adz-Dzahabi. Lihat juga Silsilatul Ahaadiits ash-Shahiihah (no. 2042)

Syirik yang dimaksudkan dalam hadis di atas adalah syirik kecil.

Qutailah binti Shaifi al-Juhaniyah Radhiyallahu anhuma mengatakan bahawa ada sesorang Yahudi telah datang berjumpa dengan Nabi SAW dan berkata: “Sesungguhnya kamu semua telah melakukan perbuatan syirik”. Engkau mengucapkan, “Atas kehendak Allah dan kehendakmu”, dan mengucapkan, “Demi Kaabah”. Maka Nabi SAW telah memerintahkan kepada para sahabat apabila hendak bersumpah hendaklah mengatakan, “Demi Allah, Pemilik Kaabah”, dan mengucapkan, “Atas kehendak Allah, kemudian atas kehendakmu”. (Lihat HR. An-Nasa-i (VII/6) dan ‘Amalul Yaum wal Lailah (no. 992). Hadits ini diriwayatkan juga oleh Ahmad (VI/371, 372), ath-Thahawi dalam Musykiilul Aatsaar (I/220, no. 238), al-Hakim (IV/297), dishahihkan oleh al-Hakim dan disetujui oleh adz-Dzahabi. Al-Hafizh Ibnu Hajar rahimahullah berkata dalam al-Ishaabah (IV/389): “Hadits ini shahih, dari Qutailah x, wanita dari Juhainah. Lihat pembahasan ini dalam Fat-hul Majiid Syarah Kitaabit Tauhiid (bab 41 dan 43).

Berdasarkan hadis di atas, contoh syirik dalam bentuk perkataan yang telah dilakukan ialah apabila mengucapkan, “Atas kehendak Allah dan kehendakmu”.

Ucapan tersebut di atas adalah salah kerana menyamakan sesuatu dengan nama Allah apabila hendak bersumpah. Ucapan yang benar ialah, “Atas kehendak Allah, kemudian kerana kehendakmu”.

Perkara ini adalah berdasarkan kepada hadis dari Ibnu Abbas Radiyallah Anhuma bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:

“Apabila seseorang dari kamu bersumpah, janganlah ia mengucapkan, “Atas kehendak Allah dan kehendakmu”. Tetapi hendaklah dia mengatakan, “Atas kehendak Allah kemudian kehendakmu”. (HR. Ibnu Majah (no. 2117), hadits ini hasan shahih. Lihat Silsilatul Ahaadiits ash-Shahiihah (no. 1093).

Perkataan ثُـمَّ (kemudian) yang dimaksudkan dalam hadis di atas menunjukkan tertib berurutan, di mana ianya menjadikan kehendak hamba mengikuti kehendak Allah.

Allah SWT telah berfirman di dalam Surah At-Takwir ayat 29 yang bermaksud:

“Dan kamu tidak dapat menentukan kemahuan kamu (mengenai sesuatupun), kecuali dengan cara yang diatur oleh Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan seluruh alam”

Manakala contoh syirik dalam bentuk perbuatan pula ialah seseorang yang memakai gelang, benang pada bayi, dan yang sejenis dengannya, sebagai pengusir atau penangkal bahaya.

Ataupun seperti menggantungkan azimat kerana takut terkena penyakit ain atau selainnya. Jika seseorang itu meletakkan keyakinan kepada benang, azimat, kalung dan sebagainya sebagai sebab (penyerta) untuk menolak bahaya dan menghilangkannya, maka perbuatan ini termasuk di dalam syirik kecil, kerana Allah tidak menjadikan hilangnya bahaya dengan sebab-sebab tersebut.

Tetapi sekiranya seseorang itu berkeyakinan bahawa gelang, azimat dan sejenisnya itu, dapat menolak dan menghilangkan bahaya, maka perbuatan tersebut termasuk dalam syirik besar. Ini kerana ia telah berkeyakinan dan meletakkan pergantungan kepada selain Allah.

2) Syirik khafi (tersembunyi). Iaitu syirik dalam bentuk keinginan dan niat. Sebab itu dipanggil sebagai tersembunyi kerana perbuatannya tidak dapat dilihat.

Termasuk dalam syirik ini seperti perbuatan riya’ (ingin dipuji orang), dan juga sum’ah (ingin didengari orang), dan yang lainnya.

Contohnya seseorang yang melakukan amal ibadah untuk mendekatkan diri kepada Allah, tetapi dalam masa yang sama ia ingin mendapatkan pujian manusia.

Misalnya seseorang yang melakukan solat dan bersedekah dengan tujuan mendapatkan pujian dari manusia. Ataupun seseorang yang memperdengarkan bacaan Al-Qurannya kepada orang lain dengan tujuan supaya mereka menceritakan pula kepada orang lain dan akan menyanjungnya.

Sesuatu amal ibadah itu, apabila telah bercampur dengan riya’, maka amalan tersebut akan tertolak dan tidak akan diterima oleh Allah. Oleh sebab itulah Allah memerintahkan kita melakukan ibadah dengan ikhlas. Allah SWT telah berfirman di dalam Surah Al-Kahfi ayat 110 yang bermaksud:

“Katakanlah (wahai Muhammad): Sesungguhnya aku hanyalah seorang manusia seperti kamu, diwahyukan kepadaku bahawa Tuhan kamu hanyalah Tuhan Yang Satu; Oleh itu, sesiapa yang percaya dan berharap akan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah dia mengerjakan amal yang soleh dan janganlah dia mempersekutukan sesiapapun dalam ibadatnya kepada Tuhannya.”

Maksudnya, katakanlah (wahai Muhammad SAW) kepada orang-orang musyrik yang mendustakan ke-Rasulanmu: “Sesungguhnya aku ini hanyalah manusia seperti juga dirimu.” Maka barangsiapa yang menganggap diriku (Muhammad SAW ) adalah pendusta, hendaklah ia mendatangkan sebagaimana yang telah Nabi SAW bawa.

Sesungguhnya Nabi SAW tidak mengetahui yang ghaib, iaitu tentang perkara-perkara terdahulu yang pernah disampaikan beliau, seperti tentang Ashhaabul Kahfi, tentang Dzul Qarnain, atau perkara ghaib lainnya, melainkan (sebatas) yang telah diwahyukan Allah Taala kepada Baginda.

Kemudian Rasulullah SAW mengkhabarkan bahawa ilah (sesembahan) yang mereka seru dan mereka ibadahi, tidak lain adalah Allah Yang Esa, tidak ada sekutu bagi-Nya. Lalu Allah SWT mengabarkan bahwa barangsiapa yang mengharapkan perjumpaan dengan-Nya -iaitu mendapat pahala dan kebaikan balasan-Nya- maka hendaklah ia mengerjakan amal soleh yang sesuai dengan syari’at-Nya, serta tidak menyekutukan sesuatu apapun dalam beribadah kepada Rabb-nya. Amal perbuatan inilah yang di-maksudkan untuk mencari keridhaan Allah Ta’ala semata, yang tidak ada sekutu bagi-Nya.

Kedua hal tersebut (amal shalih dan tidak menyekutukan Allah) merupakan rukun amal yang maqbul (diterima). Iaitu harus benar-benar tulus karena Allah (menjauhi perbuatan syirik) dan harus sesuai dengan syariat (Sunnah) Rasulullah SAW.

Rasulullah SAW bersabda:

“Sesungguhnya yang paling aku takutkan atas kalian adalah syirik kecil.” Mereka (para Sahabat) bertanya: “Apakah syirik kecil itu, wahai Rasulullah?” Beliau Shallallahu ‘alaihi wa sallam menjawab: “Iaitu riya’.” 

Termasuk juga dalam syirik, iaitu seseorang yang melakukan amal untuk kepentingan duniawi, seperti orang yang menunaikan ibadah haji atau berjihad untuk mendapatkan harta benda.

Sebagaimana dalam hadits dari Abu Hurairah Radhiyallahu anhu bahwa Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

“Celakalah hamba dinar, celakalah hamba dirham, celakalah hamba khamishah, celakalah hamba khamilah. Jika diberi ia senang, tetapi jika tidak diberi ia marah.” (HR. Al-Bukhari (no. 2886, 2887, 6435) dan Ibnu Majah (no. 4136).

Khamishah dan khamilah adalah pakaian yang terbuat dari wool atau sutera dengan diberi sulaman atau garis-garis yang menarik dan indah.

Saya mengharapkan artikel ini dapat menambahkan pengetahuan kita khususnya tentang syirik kecil (riya) ini. Mudah-mudahan dengan ilmu yang ada, kita dapat melakukan ibadah ikhlas semata-mata kerana Allah, inshaaAllah.

Sumber rujukan:

Anda Dapat Sesuatu?

Jika ya, jangan lupa untuk kongsikan artikel yang anda baca ini dengan rakan-rakan anda yang lain. Anda juga boleh melanggan artikel terbaru saya terus melalui emel. Klik di sini untuk melanggan.

2 Comments on "Syirik: Dosa Yang Tidak Diampunkan (Bah.2)"

Ada pertanyaan?