Tawasul Yang Dilarang

tawassul

Di dalam artikel saya yang lepas bertajuk Tawasul Yang Tidak Menyebabkan Syirik, saya sudah pun menjelaskan bagaimanakah cara bertawasul yang benar. Maksud benar di sini ialah berlandaskan petunjuk dari Nabi s.a.w dan juga para sahabat Baginda.

Jadi, dalam artikel kali ini pula, kita akan sambung pula tentang bagaimana cara-cara bertawasul yang tidak dibenarkan oleh Islam. Kerana ianya mengandungi perbuatan-perbuatan yang membawa kepada perlakuan syirik.

Tawasul yang dilarang ini ada banyak. Contohnya seperti meminta kepada berhala, binatang, memuja makhluk, berlebih-lebihan dalam meminta kepada makhluk sehingga melupakan Allah s.w.t, meminta kepada makhluk dan disertai dengan keyakinan bahawa makhluk itu mampu untuk mengabulkan permintaannya.

Allah s.w.t telah berfirman di dalam Al-Quran, Surah Az-Zumar ayat 3, yang bermaksud:

“Ingatlah! (Hak yang wajib dipersembahkan) kepada Allah ialah segala ibadat dan bawaan yang suci bersih (dari segala rupa syirik) dan orang-orang musyrik yang mengambil selain dari Allah untuk menjadi pelindung dan penolong (sambil berkata): Kami tidak menyembah atau memujanya melainkan supaya mereka mendampingkan kami kepada Allah sehampir-hampirnya, sesungguhnya Allah akan menghukum di antara mereka (dengan orang-orang yang tidak melakukan syirik) tentang apa yang mereka berselisihan padanya. Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayat petunjuk kepada orang-orang yang tetap berdusta (mengatakan yang bukan-bukan), lagi sentiasa kufur (dengan melakukan syirik)”

Allah s.w.t berfirman lagi di dalam Surah Yunus ayat 18 yang bermaksud:

“Dan mereka menyembah yang lain dari Allah, sesuatu yang tidak dapat mendatangkan mudarat kepada mereka dan tidak dapat mendatangkan manfaat kepada mereka dan mereka pula berkata: Mereka (yang kami sembah itu) ialah pemberi-pemberi syafaat kepada kami di sisi Allah. Katakanlah (wahai Muhammad): Adakah kamu hendak memberitahu kepada Allah akan apa yang Dia tidak mengetahui adanya di langit dan di bumi (padahal Allah mengetahui segala-galanya)? Maha Suci Allah dan tertinggi keadaanNya dari apa yang mereka sekutukan.

Kedua-dua ayat di atas Allah nak menceritakan keadaan orang-orang Musyrikin Mekah di mana mereka menyembah berhala-berhala yang ada disekeliling mereka adalah dengan tujuan untuk mendekatkan diri kepada Allah.

Mereka ini bukanlah meminta terus kepada berhala yang mereka sembah itu, tetapi berhala yang mereka sembah itu adalah perantara antara mereka dengan Allah. Dan mereka juga beranggapan bahawa berhala-berhala tersebut dapat memberikan syafaat.

Apa yang dilakukan oleh golongan Musyrikin Mekah itu, juga banyak dilakukan dikalangan kita. Di zaman kita, golongan-golongan ini menyebut-nyebut nama para wali dan nama syeikh-syeikh di dalam amalan zikir yang mereka lakukan.

Mereka beranggapan bahawa dengan kemuliaan yang ada para wali tersebut, dapat menjadikan mereka semakin dekat dengan Allah. Ini adalah tawasul yang dilarang sama sekali di dalam Islam. Jangan kita mudah terpedaya.

Selain itu, termasuk juga dalam perbuatan tawasul yang dilarang ialah bertawasul dengan menyebut nama orang saleh yang telah meninggal. Seruan kepada orang yang telah mati. Seruan kepada Nabi Muhammad s.a.w, sedangkan Baginda telah pun wafat.

Sedangkan cara bertawasul begini tidak pernah dilakukan oleh Rasulullah dan para sahabat Baginda. Baginda tidak pernah bertawasul dengan Nabi-Nabi yang terdahulu yang telah pun wafat.

Bahkan, di dalam peristiwa Umar Al-Khattab, beliau juga tidak bertawassul lagi dengan Nabi s.a.w selepas dari kewafatan baginda. Saidina Umar menyebutkan apabila beliau pergi berjumpa dengan Abbas bin Abdul Mutalib, “dulu ketika Nabi masih hidup, kami bertawasul dengan Nabi. Tetapi sekarang Nabi telah tiada, dan engkaulah yang paling mulia dikalangan kami. Maka doakanlah untuk kami wahai Abbas”.

Lihat perbuatan Umar Al-Khattab, walaupun beliau sangat menyintai Nabi, bertawasul dengan Nabi ketika Nabi masih hidup, perbuatan itu (bertawasul dengan Nabi) tidak diteruskan selepas kewafatan Nabi. Kerana perbuatan ini bercanggah dengan tauhid yang suci dan bersih.

Itulah sedikit gambaran umum dan ringkas berkaitan dengan amalan bertawassul yang bercanggah dengan syarak. Bertawassul tidak salah tetapi biarlah ianya dilakukan bersandarkan kepada hadis-hadis Nabi yang sahih seperti yang telah saya jelaskan dalam artikel saya yang lepas. Semoga penulisan ini bermanfaat.

Anda Dapat Sesuatu?

Jika ya, jangan lupa untuk kongsikan artikel yang anda baca ini dengan rakan-rakan anda yang lain. Anda juga boleh melanggan artikel terbaru saya terus melalui emel. Klik di sini untuk melanggan.

Ada pertanyaan?