Anda tengah was-was ke samada dalam badan ada sihir atau tak? Tidak lagi bila anda dapatkan 2 video percuma ni. Klik di sini.

Apakah Jin Qarin & Hubungannya Dengan Manusia?

Dikemaskini pada 29/03/2020 oleh Ustaz Abdullah

Pernahkah anda mendengar istilah jin qarin? Apakah tugas mereka dan adakah semua manusia mempunyai jin qarin? InshaaAllah dalam artikel ini, saya akan kongsikan perkara-perkara yang berkaitan dengan jin qarin ini.

Qarin adalah golongan jin yang ditugaskan untuk hidup berdamping dengan setiap manusia dengan tujuan untuk menggoda dan menyesatkannya. Oleh kerana itu, qarin termasuk dari kalangan syaitan dari golongan jin.

Syeikh Ibnu Utsaimin ketika ditanya, “Apa itu qarin?”. Lalu beliau menjawab: “Qarin adalah syaitan yang ditugaskan untuk menyesatkan manusia dengan izin Allah. Dia bertugas memerintahkan kemungkaran dan mencegah yang ma’aruf. Sebagaimana yang Allah firmankan:

“Syaitan itu menjanjikan (menakutkan) kamu dengan kemiskinan dan kepapaan (jika kamu bersedekah atau menderma) dan dia menyuruh kamu melakukan perbuatan yang keji (bersifat bakhil dan kedekut), sedang Allah menjanjikan kamu (dengan) keampunan daripadanya serta kelebihan kurniaan-Nya dan (ingatlah), Allah Maha Luas limpah rahmat-Nya, lagi sentiasa Meliputi Pengetahuannya” (Surah al-Baqarah ayat 268)

Akan tetapi, jika Allah memberikan kurnia kepada hamba-Nya berupa hati yang baik, jujur, selalu tunduk kepada Allah, lebih menginginkan akhirat dan tidak mementingkan dunia, maka Allah akan menolongnya agar tidak terpengaruh dengan gangguan jin qarin ini, sehingga dia tidak mampu menyesatkannya” (Majmu’ Fatwa 17:427)

Dalil Adanya Jin Qarin

Diantara dalil wujudnya jin qarin ialah:

a) Firman Allah:

“(Semasa dia dihumbankan ke dalam Neraka Jahannam, dia mendakwa bahawa syaitanlah yang menjadikan dia sesat pada saat itu) syaitan yang sentiasa menyertainya (di dunia dahulu berkata): “Wahai Tuhan kami, aku tidak menyesatkannya, tetapi sememangnya dia sendiri berada di dalam kesesatan yang jauh terpesong” (Surah Qaf ayat 27)

Di dalam tafsir Ibnu Katsir dinyatakan bahawasanya Ibnu Abbas r.a, Mujahid, Qatadah, dan beberapa ulama lainnya mengatakan “Yang menyertai manusia adalah syaitan yang ditugaskan untuk menyertai manusia.” (Tafsir Ibnu Katsir, 7:403)

b) Hadis Nabi s.a.w

Dari Ibnu Mas’ud r.a, Nabi s.a.w telah bersabda: “Setiap orang diantara kamu telah diutus kepadanya seorang qarin (pendamping) dari golongan jin. Para sahabat bertanya, “Adakah termasuk engkau wahai Rasulullah?” Baginda menjawab, “Termasuk aku. tetapi Allah membantuku untuk menundukkannya sehingga dia masuk Islam. Kerana itu, dia tidak memerintahkan aku kecuali yang baik sahaja.” (Hadis Riwayat Muslim)

Tugas Jin Qarin

Nabi s.a.w telah bersabda:

“Setiap orang diantara kamu telah diutus kepadanya seorang qarin (pendamping) dari golongan jin” (Hadis riwayat Musim)

Imam an-Nawawi mengatakan, “Dalam hadis ini terdapat peringatan keras terhadap godaan jin qarin dan bisikannya. Nabi s.a.w memberitahu bahawa dia bersama kita, agar kita sentiasa berhati-hati sebaik mungkin. (Syarh Shahih Muslim, 17:158)

Syeikh Muhammad bin Shalih al-Munajid menjelaskan, “Berdasarkan pemerhatian terhadap berbagai dalil dari al-Quran dan as-Sunnah dapat disimpulkan bahawa tidak ada tugas bagi jin qarin selain menyesatkan, mengganggu dan membisikkan was-was. Godaan jin qarin ini akan semakin menjadi lemah, sebanding dengan tahap kekuatan iman pada diri seseorang.” (Fatawa Islam, tanya jawab, no. 149459)

Apakah Qarin Juga Menyertai Manusia Setelah Manusia Itu Meninggal?

Syeikh Ibnu Utsaimin menjelaskan, “Apakah qarin ini akan terus menyertai manusia, sampai menemaninya di kuburan? Jawapannya tidak. Zahir hadis menunjukkan bahawa dengan berakhirnya usia manusia tersebut, maka jin ini akan meninggalkannya. Kerana tugas yang perlu dilakukannya telah pun selesai. Apabila seseorang manusia itu mati, maka akan terputuslah semua amalannya, kecuali tiga perkara. Iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat yang diajarkan, dan juga doa anak yang soleh. (HR. Muslim). (Majmu’ Fatawa, 17:427)

Cara Melindungi Diri Dari Jin Qarin

Banyakkanlah berzikir dan memohon perlindungan kepada Allah dari gangguan jin qarin ini. Jika kita bersungguh-sungguh melakukan perkara ini, inshaaAllah akan datang bantuan dan perlindungan dari Allah. Allah s.w.t berfirman:

“Dan jika engkau dihasut oleh sesuatu hasutan oleh syaitan, maka mintalah perlindungan kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mendengar Lagi Maha Mengetahui” (Surah al-A’raf ayat 200)

Di dalam Tafsir As-Sa’di dinyatakan, “Bila pun dan di dalam keadaan apa pun, ketika syaitan menggoda anda, di mana anda merasakan adanya bisikan, menghalangi anda untuk melakukan kebaikan, mendorong anda untuk melakukan dosa, atau membangkitkan semangat anda untuk melakukan maksiat maka berlindunglah kepada Allah, sandarkan diri anda kepada Allah, mintalah perlindungan kepada-Nya. Sesungguhnya Dia Maha Mendengar terhadap apa yang anda ucapkan dan Maha Mengetahui niat anda, kekuatan dan kelemahan anda. Dia Mengetahui kesungguhan anda dalam bersandar kepada-Nya, sehingga Dia akan melindungi anda dari godaan dan was-was syaitan. (Taisir Karimir Rahman, Hal.313)

Anda Dapat Sesuatu?

Jika anda rasa artikel ini bermanfaat, sila kongsikan dengan rakan-rakan dan juga orang yang anda sayangi. Anda juga boleh melanggan artikel terbaru saya terus melalui emel. Klik di sini untuk melanggan.


Tahukah anda 80% rawatan gangguan jin dan sihir akan menemui kegagalan. Ketahui sebabnya dengan klik di sini.

Follow saya di sosial media:
Apakah Jin Qarin & Hubungannya Dengan Manusia?
Scroll to top
error: Maaf. Artikel ini tidak dibenarkan untuk copy!!