Apakah Perbezaan Diantara Jin, Syaitan & Iblis?

syaitan

Di dalam Al-Quran, selain menyebutkan tentang manusia, Allah juga ada menyatakan tentang makhluk lain selain kita iaitu, jin, syaitan dan iblis.

Ramai yang terkeliru dengan ketiga-tiga istilah ini kerana menyangka ianya sama. Tetapi hakikatnya berbeza.

Ada yang menyangka bahawa jin, syaitan dan iblis adalah 3 jenis makhluk yang berlainan. Jadi dalam artikel kali ini, inshaaAllah saya akan cuba membahaskan tentang ketiga-tiga istilah ini menurut pandangan Islam.

Bila menyebutkan dari sudut pandangan Islam, maka tidak lain tidak bukan, rujukannya mestilah dari Al-Quran dan juga Hadis.

Kerana, tidak ada yang lebih mengetahui tentang persoalan yang melibatkan makhluk ghaib ini melainkan Allah dan Rasul-Nya.

Apa Itu Jin?

Jin adalah termasuk dalam makhluk yang diciptakan oleh Allah dengan kekuasaan dan kebijaksanaan-Nya. Berbanding dengan manusia, Allah menciptakan golongan jin berbeza dari segi sifat fiziknya.

Jin tidak memiliki jasad seperti manusia. Ini juga adalah tanda Allah telah menciptakan manusia dalam sebaik-baik dan sesempurna kejadian. Kerana kita diciptakan lengkap dengan jasad.

Allah telah menciptakan jin dari api. Banyak ayat-ayat Al-Quran yang menerangkan tentang penciptaan jin, antaranya di dalam Surah Al-Hijr ayat 26-27 yang bermaksud:

“Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari tanah liat yang kering kerontang yang berasal dari lumpur hitam yang diberi bentuk dan Kami telah ciptakan Jin sebelum di ciptakan manusia dari api yang sangat panas.” (Surah Al-Hijr ayat 26-27)

Dan Allah juga berfirman di dalam Surah Ar-Rahman ayat 15 yang bermaksud:

“Dia (Allah) menciptakan Jann (Jin) dari nyala api (pucuk api yang menyala-nyala atau Maarij)” (Surah Ar-Rahman ayat 15)

Menurut pandangan Ibnu Aqil sebagaimana yang dikutip oleh As-Syibli di dalam bukunya yang bertajuk Ahkam Al-Marjan fi Ahkam Al-Jann, menyebutkan bahawa jin disebut sebagai jin kerana dari segi bahasanya jin itu bermaksud yang tersembunyi, terhalang dan tertutup.

Jadi, disebut sebagai jin kerana mereka adalah sejenis makhluk yang terhalang (yakni terhalang dari dilihat oleh pandangan manusia).

Oleh kerana itu juga, bayi yang masih berada di dalam perut ibunya (kandungan) disebut sebagai janin. Ini kerana bayi di dalam perut ibunya terhalang daripada dapat dilihat dengan mata kasar.

Jin dan Janin berasal dari kata akar yang sama iaitu Jann.

Lihat pula pada perkataan orang gila. Di dalam bahasa Arab, orang gila disebut sebagai majnun, juga berasal dari kata Jann.

Ini kerana orang gila, akal pemikirannya yang waras sudah tertutup dan terhalang hingga menyebabkan dia tidak dapat berfikir dengan betul lagi.

Di dalam Islam, manusia dan jin secara umumnya mempunyai banyak persamaan. Cuma yang membezakan manusia dan jin adalah dari segi penciptaannya sahaja.

Allah menciptakan manusia dari tanah dan Allah menciptakan jin dari api. Jadi apa persamaan diantara manusia dan jin?

Pertama, jin dan manusia sama-sama memiliki tugas yang sama di dunia ini, iaitu untuk beribadah dan menyembah Allah.

Ini berdasarkan dalil dari Al-Quran iaitu di dalam Surah Az-Zariyat ayat 56 yang bermaksud:

“Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku” (Surah Az-Zariyat ayat 56)

Kedua, jin mempunyai akal dan nafsu, sama seperti manusia. Oleh kerana itulah, jin ada yang Islam dan ada yang kafir. Yang Islam itu pula, ada yang fasik, yang sering melakukan dosa seperti manusia.

Dan kerana itu juga, jin ada yang akan dimasukkan ke dalam neraka dan ada yang dimasukkan ke dalam syurga.

Allah SWT berfirman di dalam Surah Jin ayat 11 yang bermaksud:

“Dan bahawa sesungguhnya (memang maklum) ada diantara kita golongan yang baik keadaannya dan ada diantara kita yang lain dari itu. Kita masing-masing adalah menurut jalan dan cara yang berlainan” (Surah Jin ayat 11)

Apa pula dalil yang mengatakan bahwa jin ada yang masuk syurga dan ada yang masuk neraka? Mari kita perhatikan maksud ayat di bawah.

Allah berfirman di dalam Surah Ar-Rahman ayat 46 yang bermaksud:

“Dan orang yang takut akan keadaan dirinya di mahkamah Tuhannya (untuk dihitung amalnya), disediakan baginya dua syurga” (Surah Ar-Rahman ayat 46)

Ibnu Kathir rahimahullah taala di dalam kitabnya iaitu Sahih Tafsir Ibu Kathir menyebutkan bahawa ayat di atas berlaku secara umum kepada golongan manusia dan jin.

Ayat di atas juga menjadi dalil yang menyokong pendapat yang mengatakan bahawa jin juga akan masuk ke dalam syurga sekiranya mereka beriman dan bertakwa kepada Allah. Oleh kerana itu, Allah telah menjanjikan kepada jin dan manusia dengan balasan seperti itu. (Lihat Sahih Tafsir Ibnu Kathir, 4: 344-345)

Begitu juga dengan jin yang ingkar dan kafir kepada Allah. Mereka juga akan menerima balasan yang setimpal iaitu balasan dimasukkan ke dalam api neraka. Dalilnya ialah firman Allah di dalam Surah Hud ayat 119 yang bermaksud:

“Sesungguhnya Aku akan memenuhi neraka Jahannam itu dengan sekalian Jin dan Manusia (yang berdosa)” (Surah Hud ayat 119)

Lagi firman Allah di dalam Surah Al-A’raf ayat 179 yang bermaksud:

“Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahannam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat). Mereka itu seperti binatang ternakan, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai” (Surah Al-A’raf ayat 179)

Ketiga, jin juga seperti manusia di mana mereka mempunyai hati, mata dan telinga. Persamaan yang ketiga ini, dalilnya sama seperti dalil yang saya bawa di atas, iaitu dari Surah Al-A’raf ayat 179.

Setelah kita membahaskan tentang jin, sekarang mari kita lihat pula, apakah yang dikatakan syaitan itu?

Apakah Syaitan?

Di dalam Majma’ Al-Bahrain disebutkan, dari segi etimologi Bahasa Arab, perkataan syaitan itu diambil dari perkataan sya-tha-na, yang bermaksud menjauh.

Ini membawa maksud sesiapa yang disebut sebagai syaitan bermakna dia semakin jauh dari Allah dan juga menjauhkan orang yang beriman dari Tuhannya.

Ada satu katakunci yang tepat untuk memudahkan kita memahami makna syaitan iaitu “sifat”. Maksudnya syaitan itu adalah sifat yang dinisbahkan kepada makhluk (iaitu manusia dan jin) yang mempunyai sifat yang buruk seperti membangkang, tidak taat, membelot, khianat, bermaksiat, menentang perintah, derhaka dan sebagainya.

Sebab itu di dalam Al-Quran menyebutkan bahawa syaitan itu terdiri dari kalangan jin dan manusia. Firman Allah di dalam Surah An-Nas:

“Katakanlah (wahai Muhammad): Aku berlindung kepada Allah Pemelihara Sekalian manusia. Yang menguasai sekalian manusia. Tuhan yang berhak disembah oleh sekalian manusia. Dari kejahatan pembisik penghasut yang timbul tenggelam. Yang melemparkan bisikan dan hasutannya ke dalam hati manusia. (Iaitu pembisik dan penghasut) dari kalangan jin dan manusia” (Surah An-Nas ayat 1-6)

Di dalam tafsir surah An-Nas, Qatadah mengatakan bahawa dari kalangan jin terdapatnya syaitan-syaitan dan dari kalangan manusia juga terdapatnya syaitan-syaitan.

Ibnu Kathir pula menyatakan di dalam tafsirnya:

“Syaitan memiliki karakter yang jauh dari watak manusia dan jauh dari perilaku kebaikan.”

Imam Rafi’i di dalam kitab Al-Misbahul Munir pula telah menulis:

Syaitan adalah setiap sesuatu yang buruk yang berasal dari jin, manusia dan binatang”.

Pendapat di atas juga telah diperkuatkan olh Ja’far Syariat Madari di dalam Syarh wa Tafsir Lughah Quran. Dan bukan hanya sekali Allah menyebut bahawa syaitan itu terdiri dari kalangan jin dan manusia, bahkan ada beberapa tempat di dalam Al-Quran, antaranya di dalam Surah Al-An’am ayat 112:

“Dan demikianlah Kami jadikan bagi tiap-tiap Nabi itu musuh dari syaitan-syaitan, manusia dan jin”. (Surah Al-An’am ayat 112)

Siapakah Iblis?

Iblis berdasarkan etimologi bahasa Arab diambil dari perkataan balasa yang beerti tidak mempunyai kebaikan sedikitpun. Menurut sebahagian dari pakar-pakar Bahasa Arab pula, perkataan Iblis itu berasal dari kata ablasa yang bererti putus asa.

Iblis itu adalah makhluk yang berputus asa dari rahmat Allah hingga menjadikan ia sombong dan enggan sujud kepada Nabi Adam walaupun arahan itu datangnya dari Allah. Disebabkan itu maka Allah SWT telah mengusir Iblis dari syurga. Allah SWT telah berfirman di dalam Surah Al-A’raf ayat 12 yang bermaksud:

“Allah berfirman: Apakah penghalangnya yang menyekatmu daripada sujud ketika Aku memerintahkanmu? Iblis menjawab: Aku lebih baik dari Adam. Engkau (wahai Tuhan) jadikan aku dari api sedang dia Engkau jadikan dari tanah” (Surah Al-A’raf ayat 12)

Seterusnya Allah SWT berfirman lagi di dalam Surah Al-Kahfi ayat 50 yang bermaksud:

“Dan (ingatlah peristiwa) ketika Kami berfirman kepada para Malaikat: Sujudlah kamu kepada Adam, lalu mereka sujud kecuali Iblis,dia adalah berasal dari golongan jin, lalu dia menderhaka terhadap perintah Tuhannya. Oleh itu patutkah kamu hendak menjadikan Iblis dan keturunannya sebagai sahabat-sahabat karib yang menjadi pemimpin selain dari-Ku? Sedang mereka itu adalah musuh bagimu. Amatlah buruknya bagi orang-orang yang zalim, pengganti yang mereka pilih itu” (Surah Al-Kahfi ayat 50)

Di dalam ayat pertama, Allah menerangkan bahawa Iblis itu dijadikan dari api. Sedangkan jin juga dijadikan dari api. Dan di dalam ayat kedua pula, Allah menerangkan dengan jelas bahawa Iblis itu berasal dari golongan jin.

Kemudian setelah Iblis diusir dari syurga, dia meminta kepada Allah agar diberikan umur panjang sampai hari kiamat. Permintaan Iblis ini diceritakan oleh Allah di dalam Surah Al-A’raf ayat 14 yang bermaksud:

“Iblis berkata: Berilah tempoh kepadaku hingga hari mereka dibangkitkan (hari Kiamat)”. (Surah Al-A’raf ayat 14)

Berdasarkan ayat di atas, hanya iblis yang memiliki umur panjang sedangkan jin lainnya mati seperti manusia, itupun hanya sampai hari kiamat.

Setelah dipanjangkan umur, iblis pun berjanji akan menggoda Nabi Adam beserta seluruh keturunannya. Mengenai janji Iblis ini, anda boleh lihat Surah al-A’raf ayat 12-20.

Sumber Rujukan:

Anda Dapat Sesuatu?

Jika ya, jangan lupa untuk kongsikan artikel yang anda baca ini dengan rakan-rakan anda yang lain. Anda juga boleh melanggan artikel terbaru saya terus melalui emel. Klik di sini untuk melanggan.

2 Comments on "Apakah Perbezaan Diantara Jin, Syaitan & Iblis?"


  1. Assalamualaikum..ustaz idris, sya sejak zaman sekolah sering mengalami sakit misteri. Rupa-rpanya tanpa sedar sya menerima gangguan saka. Sehingga sekarang saya masih mgalami gangguan wlaupun pelbagai ikhtiar dilakukan. Kesemua tanda2 gangguan umum sya rasai..cuma sya tidak pasti adakah saka tu sudh masuk /belum pda badan sYa..bagaimana nak kenalpsti penyakit saka secara khusus?

    Reply

    1. Waalaikumussalam Cahya Aini,

      Sekiranya anda ada mengalami gejala-gejala gangguan, itu menunjukkan yang gangguan tersebut sudah berada dalam badan. Untuk mengetahui dengan pasti, saya menyarankan anda mendapatkan rawatan dari perawat ruqyah.

      Sekiranya ketika anda dirawat, anda mengalami tindakbalas meracau, itu menunjukkan petanda jelas yang anda mengalami gangguan saka.

      Reply

Ada pertanyaan?