Anda tengah was-was ke samada dalam badan ada sihir atau tak? Tidak lagi bila anda dapatkan 2 video percuma ni. Klik di sini.

Mengapa Gangguan Jin Berulang?

gangguan jin

Dikemaskini pada 20/01/2019 oleh Ustaz Abdullah

Adakah anda selalu mengalami masalah gangguan jin yang berulang? Memang saya tidak nafikan, kebanyakan masalah utama yang akan dihadapi oleh pesakit-pesakit gangguan jin ini ialah gangguan jin yang akan berulang.

Oleh kerana ia adalah masalah utama yang dihadapi oleh kebanyakan pesakit, saya cuba mencari-cari apakah sebabnya masalah tersebut berlaku. Dan saya dapati ada beberapa faktor yang menjadi penyebabnya.

Di dalam artikel ini, inshaaAllah saya akan kongsikan dengan anda apakah faktor-faktor yang menjadi penyebab gangguan jin berulang kembali.

Cara Mengenali Gangguan Jin

Ini adalah perkara asas yang perlu anda tahu. Maksud mengenali gangguan jin di sini bukanlah sekadar tahu sahaja, tetapi anda juga perlu tahu untuk membezakan diantara diantara gangguan jin ataupun gangguan fizikal (penyakit) mahupun emosi.

Saya berikan contoh.

Ada penyakit yang mempunyai gejala yang sama dengan gangguan jin. Contohnya penyakit insomnia. Penyakit insomnia ialah penyakit yang akan menjadikan pengidapnya mengalami gejala susah untuk tidur.

Dan diantara gejala gangguan jin pula ialah susah untuk tidur malam. Jadi, bagaimana hendak membezakan gejala susah tidur malam yang disebabkan penyakit ataupun yang disebabkan oleh gangguan jin.

Ini contoh untuk gangguan fizikal (penyakit). Sekarang saya bagi pula contoh untuk gangguan emosi. Katakanlah masalah kemurungan.

Mereka yang mengalami kemurungan ini akan selalu berada dalam keadaan sedih yang melampau dan berpanjangan. Begitu jugalah gejala yang akan dialami oleh mereka yang terkena gangguan jin. Persoalannya bagaimana anda nak bezakan diantara gangguan emosi dan gangguan jin.

Inilah yang saya maksudkan dengan tahu membezakan. Ada yang tanya kepada saya pentingkah nak bezakan keduanya?

Jawapannya ya, memang penting. Sebab, apabila dapat dibezakan, barulah kita dapat mencari apakah punca kepada berlakunya masalah tersebut. Dan apabila dapat dikesan puncanya, dari situ dapatlah pula diberikan kaedah rawatan yang tepat kepada pesakit.

Jadi, bagaimana nak bezakan diantara gangguan jin dan juga gangguan fizikal atau emosi? Dalam maksud yang lain, bagaimana nak mengenali gangguan jin? Susahkah untuk mengenalinya?

Sebenarnya tidaklah sesusah manapun untuk mengenali mereka yang mengalami gangguan jin. Saya kongsikan dengan anda langkah-langkahnya.

Ada 2 langkah mudah yang perlu anda lakukan.

  1. Perhatikan gejala-gejala gangguan jin.
  2. Nilai gejala-gejala tersebut.

Langkah 1: Perhatikan gejala-gejala gangguan jin

Dari pengalaman saya, mereka yang mengalami gangguan jin akan menunjukkan gejala-gejala perubahan pada diri mereka. Samada perubahan dari segi fizikal mahupun perubahan dari segi emosi.

Jika anda termasuk dalam salah seorang yang mengalami gangguan jin, mungkin anda juga alami gejala-gejala di bawah. Gejala-gejala tersebut ialah:

  • susah tidur malam.
  • sering terjaga tengah malam.
  • kerap mimpi yang menakutkan.
  • kerap bermimpi binatang seperti anjing, kucing, serigala dan sebagainya.
  • kerap bermimpi terjatuh dari tempat tinggi.
  • kerap bermimpi mendukung atau menyusukan bayi.
  • kerap bermimpi diancam benda tajam seperti pisau, kaca dan sebagainya.
  • kerap bermimpi di tempat kotor.
  • kerap bermimpi dikawasan perkuburan.
  • selalu sakit kepala tanpa sebab.
  • sering rasa berdebar-debar tanpa sebab.
  • rasa sakit dibahagian belakang terutamanya tulang belakang.
  • rasa sesuatu bergerak-gerak dalam badan.
  • rasa lesu, malas dan tidak bersemangat tanpa sebab.
  • cepat nak marah tanpa sebab.
  • rasa malas untuk beribadah terutamanya mendirikan solat.
  • rasa malas untuk berzikir dan membaca Al-Quran.
  • cepat lupa tanpa sebab.

Langkah 2: Memastikan gejala-gejala gangguan

Seperti yang saya katakan bahawa ada diantara gejala-gejala gangguan jin ini sama dengan gejala-gejala penyakit fizikal. Jadi apabila anda mengalami gejala-gejala di atas, anda perlu pastikan terlebih dahulu. Betulkah gejala-gejala tersebut disebabkan oleh gangguan jin atau disebabkan penyakit fizikal.

Bagaimana cara nak pastikan?

Tak susah pun sebenarnya. Ada beberapa cara yang boleh anda lakukan. Tetapi saya akan tunjukkan satu cara yang paling mudah untuk anda lakukan.

Caranya ialah anda dengar bacaan ayat-ayat ruqyah melalui earphone. Anda tidak perlu membaca ayat-ayat tersebut, hanya dengar sahaja.

Jika memang benar di dalam badan anda ada gangguan jin, anda mungkin akan mengalami tindakbalas di bawah:

  • menguap berkali-kali diikuti dengan rasa mengantuk secara tiba-tiba.
  • denyutan jantung anda akan menjadi bertambah laju.
  • anda akan tiba-tiba rasa sakit kepala.
  • berpeluh-peluh.
  • rasa sesuatu bergerak-gerak di dalam tubuh badan anda.

Jika anda mengalami tindakbalas di atas, yakinlah bahawa anda sedang mengalami gangguan jin. Apa yang saya kongsikan ini adalah dari pengalaman saya sendiri.

Cara Mengenali Jenis-Jenis Gangguan Jin

Apakah beza subtopik ini dengan subtopik di atas?

Bezanya ialah subtopik di atas berbentuk umum. Dan di dalam subtopik ini saya akan menjelaskan secara lebih terperinci.

Apabila anda lakukan 2 langkah di atas, tujuannya ialah untuk mengesan apakah gejala-gejala yang anda alami berpunca dari gangguan jin atau bukan.

Persoalan seterusnya ialah, jika betul anda mengalami gangguan jin, gangguan yang macam mana? Apakah gangguan tersebut ada kaitan dengan sihir, saka dan sebagainya?

Di sini saya akan kongsikan dengan anda 3 jenis gangguan jin dan bagaimana untuk mengenalinya. 3 jenis gangguan yang saya maksudkan itu ialah:

  1. sihir
  2. pendamping
  3. jin asyiq

Sihir

Sihir ialah suatu bentuk gangguan jin yang mana ianya dihantar oleh tukang sihir dengan tujuan-tujuan tertentu. Sebagai contoh sihir pemisah atau tafriq dihantar kepada mangsa dengan tujuan untuk memisahkan pasangan suami dan isteri.

Sihir pelalau pula dihantar kepada mangsa dengan tujuan untuk mewujudkan halangan. Ada yang digunakan untuk menghalang mangsa daripada berjaya di dalam pelajaran, atau kerjaya, atau perniagaan dan sebagainya.

Sihir hawatif pula dihantar dengan tujuan untuk menjadikan mangsa gila. Dan bermacam-macam lagi jenis sihir yang ada.

Bagaimana untuk mengetahui yang anda disihir?

Berdasarkan pengalaman saya, tanda seseorang itu disihir, apabila dia diruqyah, tindakbalas yang akan berlaku ialah dia akan mengeluarkan muntah lendir dalam kuantiti yang banyak.

Pendamping

Pendamping pula adalah gangguan jin yang berlaku disebabkan beberapa faktor. Pendamping yang dipanggil saka ialah pendamping yang diwarisi secara turun temurun dari generasi nenek moyang dahulu kala.

Dan ada juga pendamping yang didapati kerana menuntut ilmu-ilmu kebatinan. Sebagai contoh ilmu kebal. Bagi mereka yang diganggu dengan jin pendamping ini, tindakbalas yang akan berlaku apabila dibacakan ayat-ayat ruqyah ialah mereka akan mengamuk/meracau/histeria.

Saya pernah merawat satu kes pesakit yang diganggu oleh jin saka panglima. Ketika dibacakan ayat-ayat ruqyah, apa yang berlaku ialah pesakit tersebut secara tiba-tiba di dalam kaedaan tidak sedarkan diri terus bersilat.

Inilah antara contoh tindakbalas yang akan berlaku kepada pesakit yang mengalami gangguan jin pendamping. Satu perkara lagi yang perlu anda tahu tentang jin pendamping ini ialah ada jin pendamping yang berbentuk luaran dan ada juga jin pendamping yang berbentuk dalaman.

Jin pendamping berbentuk dalaman adalah jin pendamping yang sejak kecil lagi telah berdamping dengan kita, iaitu jin qarin. Untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang jin qarin, anda boleh membaca artikel yang saya tulis bertajuk Bagaimana Jin Qarin Menarik Gangguan Jin Lain?.

Jin Asyiq

Jin asyiq pula adalah sejenis gangguan yang berlaku disebabkan jin tersebut jatuh cinta kepada seseorang manusia. Gangguan jin asyiq boleh berlaku kepada lelaki dan juga perempuan.

Gangguan jin asyiq berbeza sedikit dengan gangguan jin yang saya sebutkan di atas iaitu sihir dan juga pendamping.

Ini kerana mereka yang diganggu jin asyiq akan mengalami gejala-gejala khusus. Untuk mengetahui lebih lanjut tentang gejala-gejala gangguan jin asyiq ini, sila baca artikel saya bertajuk Gangguan Jin Asyiq & Penyebabnya.

Pesakit yang mengalami gangguan jin asyiq ini juga akan mengalami tindakbalas seperti meracau, mengamuk dan juga histeria.

Cara Keluarkan Jin Dari Badan

Ada dua cara yang boleh anda ikhtiarkan untuk mengeluarkan jin dari badan anda.

  1. Ruqyah mandiri
  2. Perawat meruqyah anda

Secara ringkasnya ruqyah mandiri bermaksud pesakit merawat sendiri gangguan jin yang berlaku ke atas dirinya. Jujur saya katakan bahawa untuk mempelajari ruqyah mandiri bukanlah cukup sekadar membaca artikel ini sahaja.

Walaupun kaedah ini tidak memerlukan pesakit berjumpa dengan perawat, tetapi anda masih perlu berjumpa dengan mana-mana guru yang berpengalaman yang boleh mengajar anda cara melaksanakan kaedah ini dengan betul.

Satu lagi mengapa anda perlu mendapatkan guru yang berpengalaman untuk belajar kaedah ini ialah supaya apabila anda melaksanakan kaedah ini, ianya dilakukan secara bersistem dan juga dilakukan dengan penuh keyakinan.

Walaubagaimanapun, di dalam artikel ini, saya kongsikan cara-cara asas yang mudah untuk anda praktikkan di rumah. Saya harap ianya sedikit sebanyak dapat membantu.

  1. Berwuduk dengan sempurna. Ketika memulakan wuduk, perbetulkan niat anda iaitu untuk meruqyah diri sendiri.
  2. Selepas selesai berwuduk, angkat tangan dan berdoalah bersungguh-sungguh kepada Allah agar anda dilindungi dari kejahatan tukang-tukang sihir dan juga sihir-sihir mereka, dan juga agar dikeluarkan segala jin-jin yang terdapat di dalam tubuh badan anda.
  3. Ucapkanlah dua kalimah syahadah dan makna-maknanya.
  4. Dekatkan kedua tapak tangan anda ke mulut dan bacakan 6 ayat-ayat di bawah. Sebelum memulakan setiap bacaan, terlebih dahulu bacalah taawudz.
    1) Al-fatihah 3 kali (setiap kali habis bacaan, tiup ke tapak tangan)
    2) Ayat kursi 3 kali (setiap kali habis bacaan, tiup ke tapak tangan)
    3) 2 ayat terakhir surah Al-Baqarah 3 kali (setiap kali habis bacaan, tiup ke tapak tangan)
    4) Surah Al-Ikhlas 3 kali (setiap kali habis bacaan, tiup ke tapak tangan)
    5) Surah Al-Falaq 3 kali (setiap kali habis bacaan, tiup ke tapak tangan)
    6) Surah An-Nas 3 kali (setiap kali habis bacaan, tiup ke tapak tangan)
  5. Sapukan tapak tangan anda ke seluruh tubuh dari kepala hingga ke kaki, mana yang dapat dicapai oleh tangan anda.
  6. Biasanya, tubuh badan anda akan menunjukkan tindakbalas seperti menguap berkali-kali diikuti dengan rasa mengantuk secara tiba-tiba, denyutan jantung anda akan menjadi bertambah laju, anda akan tiba-tiba rasa sakit kepala, berpeluh-peluh, rasa sesuatu bergerak-gerak di dalam tubuh badan, sendawa dan muntah.
  7. Untuk merasakan kesan yang lebih baik, saya menggalakkan anda melakukan amalan asas ruqyah mandiri ini setiap hari apabila anda ada waktu yang terluang.

Sekiranya selepas anda melakukan amalan ruqyah mandiri ini masih belum menunjukkan sebarang perubahan, saya nasihatkan supaya anda cuba pula cara yang kedua iaitu berjumpa dengan mana-mana peruqyah dan minta mereka untuk scan dan rawat anda jika perlu.

Cara Elakkan Gangguan Jin Berulang

Apabila seseorang itu telah diganggu jin, itu bermaksud ketahanan badannya berada pada tahap yang lemah yang memungkinkan jin masuk dan melakukan kemudharatan kepadanya.

Sebab itu apabila seseorang pesakit itu telah dirawat, dia akan berasa sihat untuk beberapa hari, tetapi selepas itu gangguan jin yang dialaminya sebelum ini akan berulang balik. Ini kerana pesakit itu masih belum ada usaha untuk menguatkan ketahanan tubuh badannya.

Bagaimana untuk meningkatkan tahap ketahanan badan? Supaya tak mudah diganggu oleh jin?

Yang paling asas sekali ialah anda perlu pastikan bahawa semua amalan-amalan fardhu yang diwajibkan ke atas anda, dilaksanakan dengan penuh keikhlasan kepada Allah. Semua amalan-amalan fardhu seperti solat dan puasa yang ditinggalkan, perlu diganti semula.

Kemudian bertaubatlah di atas segala dosa-dosa yang telah anda lakukan sebelum ini dan berazamlah untuk tidak mengulanginya lagi. Selain yang di atas, anda lakukan bersunguh-sungguh amalan di bawah:

  1. Amalkan memakan tamar Ajwa kerana Nabi s.a.w telah bersabda: “Barangsiapa yang memakan tujuh biji tamar Ajwa pada pagi hari, dia tidak akan mendapat sebarang kemudharatan racun atau sihir yang terkena pada hari itu”. (HR Al-Bukhari (no. 5769) dan Muslim (no. 2047) (155)), dari Shahabat Sa’ad bin Abu Waqqash)
  2. Berwuduk sebelum tidur. Ini kerana setiap muslim yang berada dalam keadaan berwuduk akan sentiasa didoakan oleh Malaikat sepertimana hadis Nabi, “Barangsiapa yang tidur dalam keadaan suci, maka malaikat akan bersamanya di dalam pakaiannya. Dia tidak akan bangun hingga malaikat berdoa ‘Ya Allah, ampunilah hambamu si fulan karena tidur dalam keadaan suci.’” (HR. Ibn Hibban 3/329. Syuaib Al-Arnauth mengatakan, Perawi hadis ini termasuk perawi kitab shahih. Hadis ini juga dinilai shahih oleh Al-Albani dalam Shahih At Targhib wat Tarhib I/37)
  3. Memelihara solat berjemaah terutamanya solat Subuh. Berdasarkan hadis Nabi sesiapa yang memelihar solat berjemaah akan berada di dalam perlindungan Allah. Rasulullah s.a.w telah bersabda,“Sesiapa yang mengerjakan solat solat Subuh (berjemaah), dia berada dalam lindungan Allah. Perhatikanlah, wahai anak Adam, berusahalah jangan sampai Allah mencabut perlindunganNya daripadamu akibat suatu kesalahan yang kau lakukan.“ (Hadis riwayat Muslim)
  4. Mendirikan solat sunat tahajjud. Semua telah sedia maklum tentang kelebihan solat tahajjud ini. Diantaranya ialah solat tahajjud dapat memelihara diri mereka yang melaksanakannya dari terkena sihir dan gangguan jin. Ini kerana mereka yang istiqamah melakukan solat tahajjud akan mendapat pertolongan terus daripada Allah tanpa perantaraan. Bukankah Allah sebaik-baik penolong?
  5. Membaca doa perlindungan apabila masuk ke tandas. Berapa ramai yang mengabaikan amalan ini? Bukankah tandas itu rumah bagi jin. Rasulullah apabila masuk ke dalam tandas, Baginda akan berdoa dengan doa berikut, “Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung dengan-Mu dari gangguan syaitan jantan dan syaitan betina”. (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).
  6. Sentiasa mengingati Allah (zikrullah). Apabila seorang hamba sentiasa mengingati Allah dengan cara melaksanakan segala suruhan Allah dan meninggalkan segala larangan-Nya, hamba itu akan menjadi semakin dekat dengan Allah. Dan apabila seorang hamba dekat dengan Tuhannya, adakah jin dan syaitan berani hampir dengan hamba itu? Sudah tentulah tidak.
  7. Zikir di waktu pagi dan petang. Dari Anas bin Malik r.a berkata, Rasulullah s.a.w telah bersabda,”Aku duduk bersama orang-orang yang berdzikrullah Ta’ala mulai dari (waktu) sholat shubuh hingga terbit matahari lebih aku cintai daripada memerdekakan empat orang budak dari putra Nabi Isma’il. Dan aku duduk bersama orang-orang yang berdzikrullah mulai dari (waktu) sholat Ashar sampai terbenam matahari lebih aku cintai daripada memerdekakan empat orang budak” (HR. Abu Dawud: 3667, dihasankan oleh Syaikh Al-Albani)
  8. Sentiasa menutup aurat. Apabila bercerita tentang aurat, biasanya ia akan berkaitan dengan kaum wanita. Sebab aurat bagi wanita lebih berat dari kaum lelaki. Dari pemerhatian saya, wanita memang banyak masalah berkaitan dengan aurat. Ingatlah aurat wanita ialah seluruh tubuhnya kecuali muka dan tapak tangan.

Saya rasa cukuplah dahulu 8 cara yang boleh anda amalkan dengan istiqamah sebagai ikhtiar untuk mengelakkan diri anda dari terkena gangguan jin.

Walaupun nampak macam mudah, tapi tak semua amalan-amalan di atas dapat kita amalkan. Bagi anda yang membaca, tepuk dada tanya diri anda sendiri.

Kesimpulan

Masalah gangguan jin berulang berlaku bukanlah kerana kaedah rawatan yang tidak betul, hakikatnya boleg datang disebabkan kelalaian pesakit itu sendiri.

Masalah sebenar pesakit ialah kerana terlalu fokus kepada kaedah dan juga perawat. Sebab itu ada sesetengah perawat yang telah mendapatkan rawatan dari seluruh Malaysia. Kerana mereka mencari perawat yang paling handal yang dapat menyembuhkan penyakit gangguan jin hanya dengan sekali rawatan.

Ingatlah bahawa kesembuhan itu sebenarnya berlaku dengan izin Allah dan ianya bermula dengan diri anda sendiri.

Anda Dapat Sesuatu?

Jika anda rasa artikel ini bermanfaat, sila kongsikan dengan rakan-rakan dan juga orang yang anda sayangi. Anda juga boleh melanggan artikel terbaru blog ini melalui emel. Klik di sini untuk mendaftar.

Anda aktif menggunakan aplikasi telegram? Saya juga ada kongsikan ilmu-ilmu tentang perubatan Islam melalui telegram. Nak join tak? Join channel telegram saya di sini.

Follow saya di sosial media:
Mengapa Gangguan Jin Berulang?
Scroll to top
error: Maaf. Artikel ini tidak dibenarkan untuk copy!!