Anda tengah was-was ke samada dalam badan ada sihir atau tak? Tidak lagi bila anda dapatkan 2 video percuma ni. Klik di sini.

Mengapa Masih Suka Berjumpa Bomoh?

bomoh

Dikemaskini pada 09/09/2018 oleh Ustaz Abdullah

Semalam ketika aktiviti merawat saya bagi sesi malam berjalan, saya didatangi oleh satu keluarga. Masalah pada anak perempuannya. Saya lihat anak perempuannya nampak macam murung, tak banyak bercakap, orang kata nampak ‘blur’ je. Saya bertanyakan pada mak dan ayah kepada perempuan tersebut, apa masalah sebenar anak mereka. Mereka sendiri tak tahu.

Mereka memaklumkan kepada saya yang anak mereka tu baru je keluar dari wad. Kata doktor denggi. Tapi setelah dibuat pemeriksaan terperinci, bukan denggi. Demam pun tak kuat. Ketika nak memulakan sesi rawatan, mata saya terpandang pada tangan kanan perempuan tersebut. Ada dipakaikan seperti tangkal. Sah, mesti pergi jumpa bomoh. Tetapi saya masih membuat sangkaan baik, mungkin anak perempuan mereka ni pakai sekadar fesyen (macam tak masuk akal fesyen).

Tangkal
Inilah rupa tangkal yang dipakai oleh pesakit saya semalam.

Tapi untuk mendapatkan kepastian, saya bertanyakan juga kepada mak ayah perempuan tersebut. “Apa benda ni makcik?”. Makcik tu menjawab soalan saya, “Ni ada bomoh bagi anak saya pakai ustaz”. Jadi memang sahlah apa yang saya sangkakan. Perempuan ini memakai tangkal. Diberikan oleh bomoh pulak tu. Ok, saya stopkan cerita di atas setakat ini sahaja dulu. Sebab apa yang saya nak fokuskan dalam artikel ini ialah tentang pemakaian tangkal dan juga keharaman berjumpa dengan bomoh.

Apakah Tangkal dan Larangannya

Tangkal adalah sesuatu lilitan benang (biasanya berwarna hitam), yang dipakaikan di tubuh badan seseorang, samada di tangan, pinggang atau sebagainya. Ianya dipakai dengan tujuan untuk menyembuhkan penyakit atau untuk menjauhkan diri sipemakai dari bala atau musibah. Dari pengalaman saya dalam merawat, dalam zaman moden ini pun masih banyak lagi masyarakat kita yang masih memakai tangkal dan meletakkan kepercayaan kepada amalan tersebut. Nauzubillah. Syirik tanpa sedar.

Berkenaan dengan larangannya pula, dapat dilihat di dalam satu riwayat di mana Baginda s.a.w telah melihat seorang lelaki yang memakai ikatan tali atau benang di tangannya. Lalu Baginda s.a.w bertanya kepada lelaki itu, “Apakah ini?”. Lelaki itu menjawab, “Aku menjadikannya sebagai pelindung daripada al-Wahinah”. Al-wahinah adalah sejenis penyakit yang selalunya terkena pada tangan. Ianya dinamakan oleh orang Arab sebagai al-Wahinah, dan termasuk dalam kebiasaan mereka memakai gelang untuk berlindung daripada kesakitannya dan mereka mempercayai gelang tersebut akan melindungi mereka dari penyakit tersebut.

Lalu Rasulullah s.a.w telah bersabda: “Tiadalah ia (tangkal tersebut) menambah bagi kamu melainkan kelemahan. Lemparkan ia daripadamu kerana sesungguhnya jika kamu mati dan ia berada di atasmu, tidaklah ia akan membantu kamu selama-lamanya (yakni di Hari Akhirat).” (Hadis riwayat Ahmad, al-Targhib wa al-Tarhib, no:5067 dengan sanad Hasan). Untuk membaca lebih lanjut tentang perbahasan hadis di atas, boleh klik di sini. Selain itu saya juga menggalakkan anda membaca perbahasan lebih lanjut dalam artikel yang saya kongsikan pautannya di atas.

Saya harap lepas anda baca perbahasan terperinci dalam artikel ini, anda akan lebih faham keadaan bagaimanakah yang dihukumkan sebagai haram apabila memakai tangkal. Dan apakah ianya haram yang mutlak? Bagaimana pandangan ulama dalam perkara ini.

Berbalik kepada kes pesakit saya yang memakai tangkal tu, maka jelaslah hukumnya haram kerana telah meletakkan pengharapan agar pemakaian tangkal tu boleh memberikan kesembuhan terhadap penyakit yang sedang dihadapi.

Bomoh dan Kenapa Ianya Haram?

Sekarang kita pergi pula pada masalah bomoh. Saya yakin anda semua tentu dah tahu yang berjumpa bomoh ni haram hukumnya. Tapi persolannya, kenapa masih ramai lagi yang pergi berjumpa bomoh? Berdasarkan pengalaman saya, ada beberapa sebab mengapa masih ramai masyarakat kita pergi berjumpa bomoh. Antara sebabnya ialah:

  • pengetahuan akidah yang kurang mendalam.
  • selalu tertipu dengan imej bomoh yang ala-ala ustaz.
  • terdesak.
  • masih kurangnya perawat-perawat Islam untuk memenuhi permintaan pesakit yang tinggi.

Sebab-sebab di atas adalah dari pemerhatian saya sendiri. Mungkin anda nak tambah? Persoalan lain. Kenapa jumpa bomoh ni haram? Ada beberapa sebab yang menyebabkan keharamannya. Yang pertama, bomoh ini biasanya menggunakan pendamping dari kalangan jin untuk membantu aktiviti perbomohannya. Dan jalan untuk mendapatkan khidmat dari kalangan jin ini, kadang-kadang memerlukan sibomoh melakukan perkara-perkara yang berdosa dan syirik, sebab ianya disukai oleh golongan jin.

Antara contoh-contoh yang boleh menyebabkan dosa dan syirik yang dilakukan tukang bomoh untuk menarik perhatian jin ialah:

  • memijak al-Quran.
  • kencing di atas al-Quran.
  • menulis al-Quran secara terbalik.

Dari perbuatan-perbuatan dosa dan syirik di atas, tujuannya untuk memanggil golongan-golongan jin yang fasik dan kafir, kerana hanya jin dari golongan ini sahaja yang sanggup memperhambakan diri mereka kepada manusia (bomoh). Perkara ini telah pun dijelaskan di dalam al-Quran sendiri di mana Allah melarang manusia meminta pertolongan kepada golongan jin:

“Dan bahawa sesungguhnya adalah (amat salah perbuatan) beberapa orang dari manusia, menjaga dan melindungi dirinya dengan meminta pertolongan kepada ketua-ketua golongan jin, kerana dengan permintaan itu mereka menjadikan golongan jin bertambah sombong dan jahat”. (Surah Jin ayat 6)

Sebab yang kedua yang menjadikan haramnya berjumpa dengan bomoh ini kerana ia akan menjatuhkan kita kepada perbuatan mensyirikkan Allah apabila kita mempercayai bahawa bomoh boleh mengetahui perkara-perkara ghaib. Contohnya kita mempercayai bila bomoh mengatakan yang penyakit sifulan disebabkan ada orang yang menyihirnya. Sedangkan perkara ghaib tidaklah dapat diketahui oleh sesiapapun selain dari Allah s.w.t. Buktinya dapat kita lihat sendiri dalam firman-firman Allah yang banyak di dalam al-Quran, antaranya:

“Katakanlah lagi: Tiada sesiapapun di langit dan di bumi yang mengetahui perkara yang ghaib melainkan Allah. Dan tiadalah mereka menyedari bilakah masing-masing akan dibangkitkan hidup semula (sesudah mati).” (Surah an-Naml, ayat 65)

“Dialah Allah yang mengetahui perkara ghaib, maka Dia tidak memperlihatkan kepada seseorangpun tentang yang ghaib itu.” (Surah al-Jin, ayat 26)

Dua ayat di atas dengan jelas menyatakan bahawa perkara ghaib hanyalah diketahui oleh Allah sendiri. Jadi apabila kita pergi berjumpa bomoh dan membenarkan apa yang dikatakanlah oleh bomoh, maka dengan secara automatiknya kita meyakini yang bomoh tahu soal-soal ghaib. Tidakkah itu menyamakan Allah dengan makhluk-Nya? Dan tidakkah itu termasuk dalam perbuatan yang mensyirikkan Allah?

Sebenarnya bomoh tak tahu pun apa sahaja masalah ghaib melainkan apa yang diberitahukan itu hanyalah bohong belaka. Apa yang bomoh beritahu pada kita ialah apa yang disampaikan oleh khadamnya (jin) yang sebenarnya hanyalah tipu daya belaka. Ini kerana jin juga tidak langsung mengetahui perkara ghaib. Bukti jin tidak mengetahui perkara ghaib ini dapat diambil dari kisah kewafatan Nabi Sulaiman a.s. Allah telah menceritakan kisah kewafatan Nabi Sulaiman ini di dalam Surah Saba ayat 14.

Setelah Kami tetapkan berlakunya kematian Nabi Sulaiman, tidak ada yang menunjukkan kepada mereka tentang kematiannya melainkan semut putih (anai-anai) yang telah memakan tongkatnya. Maka apabila ia tumbang, ternyatalah kepada golongan jin itu, bahawa kalaulah mereka sedia, mengetahui perkara yang ghaib nescaya mereka tidak tinggal sedemikian lamanya di dalam azab (kerja berat) yang menghina.”

Berdasarkan ayat Al-Quran diatas, dengan jelas menunjukkan bahawa jin-jin berasa sangat menyesal apabila mereka menyedari kewafatan Nabi Sulaiman. Tetapi, mereka bukan menyesal kerana tidak sedar akan kewafatan Nabi Sulaiman, sebaliknya mereka kesal kerana terus melakukan kerja walaupun Nabi Sulaiman telah wafat. Manakan tidak, selama ini pun, mereka hanya bekerja kerana takutkan Nabi Sulaiman. Jadi, apabila Nabi Sulaiman telah wafat, tiada apa lagi yang perlu ditakutkan. Kisah ini juga membuktikan bahawa golongan jin tidak mengetahui apa-apa perkara ghaib seperti yang dipercayai oleh kita.

Sebab yang ketiga ialah apabila kita berjumpa dengan bomoh, secara tak sedar yang kita telah mencampakkan diri kita ke dalam kebinasaan. Kebinasaan yang macam mana saya maksudkan? Tahukah anda apabila sekali anda pergi berjumpa bomoh, dia akan pastikan yang anda akan datang lagi supaya bomoh tu dapat mengaut keuntungan dari anda. Anda boleh baca kisah seorang pesakit saya yang menderita selepas sekali pergi berjumpa dengan bomoh. Boleh baca di sini. Saya harap anda dapat ambil pengajaran dari kisah pesakit saya tu.

Semoga dengan perkongsian artikel ini, dapat membuka minda anda agar janganlah sekali-kali teringin nak pergi mendapatkan khidmat rawatan dari bomoh. Ianya termasuk dalam perkara yang dilarang dalam agama. Ingatlah bahawa penyakit itu datangnya dari Allah dan Allah jualah yang Maha Menyembuhkan. Perbuatan berjumpa bomoh hanya mengundang kemurkaan Allah sekaligus akan menjauhkan kesembuhan dari diri kita. Berusahalah untuk merawat penyakit anda dengan jalan yang dibenarkan dan berdoalah tanpa rasa berputus asa, inshaa Allah Allah akan sembuhkan penyakit anda.

(Artikel ini ditulis oleh Ustaz Abdullah Idris. Jika anda berminat dengan artikel beliau, boleh ikuti perkembangan beliau di facebook dan juga google+)

Pautan-pautan untuk rujukan:

http://hafizfirdaus.com/cahaya-rohani-mainmenu-78/daracom/cahaya-rohani/okt-2013-merawat-dengan-tangkal
https://soaljawab.wordpress.com/2007/12/08/hukum-lelaki-pakai-gelang-untuk-perubatan/

Follow saya di sosial media:
Mengapa Masih Suka Berjumpa Bomoh?
Scroll to top
error: Maaf. Artikel ini tidak dibenarkan untuk copy!!