7 Faktor Kegagalan Dalam Ruqyah

ruqyah

Adakah anda sudah beberapa kali mendapatkan rawatan Ruqyah Syariyyah? Tetapi masih juga belum mendapatkan kesembuhan dari rawatan yang anda terima.

Ataupun masalah sihir anda masih juga berulang kembali walaupun sudah diruqyah.

Sehingga anda tertanya-tanya, mengapa dah guna kaedah perubatan yang mengikut syarak pun, masalah gangguan jin yang anda hadapi masih tidak sembuh sepenuhnya.

Dalam keadaan begini, anda pun sudah mulai ragu-ragu dengan hadis Nabi SAW yang berbunyi:

“Allah tidak akan menurunkan penyakit, melainkan menurunkan ubatnya juga”. (Sahih Bukhari 5246)

Juga hadis dari Jabir dari Rasulullah SAW, Baginda telah bersabda:

“Setiap penyakit ada ubatnya. Apabila ubatnya tepat, maka sembuhlah penyakit itu dengan izin Allah”. (Sahih Muslim 4084)

InshaaAllah dalam artikel kali ini, saya akan kongsikan dengan anda 7 faktor yang menyebabkan rawatan ruqyah yang anda lakukan tidak berhasil.

Pertama: Pesakit Tidak Mahu Diruqyah

Apabila dalam hati pesakit masih lagi ada unsur menolak untuk diruqyah, maka disitu akan wujudnya unsur keyakinan yang menjadi penghalang kepada kesembuhan.

Itulah sebabnya sekiranya pesakit tidak mahu diruqyah, saya akan menolak untuk merawat mereka. Kerana dalam keadaan begitu amat sukar untuk mendapatkan kesembuhan dalam rawatan.

Kesalahan lain pula ialah pesakit hanya ingin diruqyah sahaja, tetapi bukan inginkan kesembuhan.

Akhirnya pesakit hanyalah menunggu masa seterusnya untuk diruqyah oleh perawat dan tidak mendengarkan isi tausiyah dari ayat-ayat ruqyah yang dibacakan.

Selain itu pesakit juga tidak faham akan mekanisme kesembuhan dengan ruqyah syariyyah.

Pesakit tidak memahami prinsip asas dalam rawatan secara ruqyah iaitu siapa yang menyembuhkan penyakitnya.

Oleh kerana merasakan bahawa perawat yang menyembuhkan, atau ayat-ayat ruqyah yang menyembuhkan, pesakit berterusan mencari perawat-perawat yang dianggap hebat, ataupun ayat-ayat yang power untuk merawat diri mereka.

Pesakit tidak memahami makna kesembuhan yang sebenarnya. Kebanyakan dari mereka hanya mengharapkan kesembuhan pada jasad sahaja tanpa melihat kepada hati yang menjadi punca kepada sakitnya jasmani.

Oleh kerana itu, apabila diruqyah dan menimbulkan rasa sakit, pesakit akan fokus kepada sakit yang ditimbulkan oleh jin.

Tetapi tidak menumpukan perhatian kepada bacaan ayat-ayat ruqyah yang dibaca oleh perawat dengan tujuan untuk merawat hatinya.

Keadaan lain pula ialah pesakit hanya ingin disembuhkan, tetapi tidak mahu berubah. Sedangkan Allah Yang Maha Menyembuhkan, bukan sekadar mahu menyembuhkan hamba-Nya, tetapi mahu hamba-Nya itu berubah.

Akhirnya walaupun anda dah mendapatkan rawatan dari pelbagai tempat, tetapi masih juga belum sembuh. Ini kerana anda mencari kesembuhan tanpa mencari redha Allah.

Sedangkan redha Allah adalah sebab utama untuk anda mendapatkan kesembuhan.

Kedua: Pesakit Masih Berada Dalam Perbuatan Syirik

Tahukah anda bahawa perbuatan syirik itu terbahagi kepada dua bahagian? Iaitu:

  • syirik besar
  • syirik kecil

Syirik besar mungkin kita tidak lakukan, contohnya menyembah berhala, melakukan ritual di kubur yang dianggap keramat (walaupun masih banyak yang melakukannya), dan sebagainya.

Tetapi syirik kecil yang paling dibimbangi kita melakukannya kerana kita tidak tahu apa itu syirik kecil dan bagaimana menjauhinya.

Apa syirik kecil?

Untuk mudah memahami apakah yang dimaksudkan dengan syirik kecil, mari kita lihat hadis di bawah:

“Sesungguhnya yang paling aku takuti dari apa yang aku takutkan menimpa kalian adalah syirkul asghar (syirik kecil)”. Maka para sahabat bertanya, “Apa yang dimaksudkan dengan syirkul asghar?”. Baginda Nabi SAW menjawab, “Ar-Riya”. (Hadis riwayat Ahmad no. 27742).

Riya adalah termasuk dalam perbuatan syirik, walaupun ianya tidaklah sebesar dosa melakukan syirik akbar (syirik besar).

Tetapi yang menjadi masalahnya di sini ialah apabila kita masih melakukan riya, maka ianya adalah salah satu faktor yang menjadi penghalang, Allah menyembuhkan penyakit gangguan walaupun dengan ruqyah.

Ketiga: Tidak Istiqamah Dengan Jemaah, Al-Quran dan Sunnah

Maksudnya di sini ialah anda tidak bersungguh-sungguh mengikuti dan mengamalkan sunnah. Atau dengan erti kata lain anda masih terlalu tertarik dengan gemerlapan dunia.

Maksud tertarik dengan dunia ini bukanlah bermaksud yang anda perlu tinggalkan dunia. Tetapi maksudnya jangan sampai keindahan dunia itu melekat di hati anda sehingga anda dijangkiti pula dengan penyakit “cinta dunia”.

Dan untuk memastikan yang anda benar-benar berada di atas jalan sunnah, tidak ada jalan lain melainkan anda perlulah mempelajari tentangnya. Maksudnya di sini ialah dalamilah ilmu agama.

Keempat: Mengeluh dan Berputus Asa Dari Rahmat Allah

Ibnu Qayyim al-Jauziyah mengatakan, “Putus asa itu lebih buruk daripada kematian”. Ini kerana kematian itu hanyalah memisahkan jasad dari ruh, sedangkan berputus asa itu memisahkan diantara ruh kita dengan Allah SWT.

Allah SWT telah berfirman:

“Sesungguhnya tidak berputus asa dari rahmat Allah, melainkan kaum yang kafir”. (Surah Yusuf ayat 87)

Kelima: Tidak Mahu Bertaubat dan Berasa Aman Dari Dosa

Taubat adalah menyesal, tetapi seseorang itu tidak akan bertaubat sehinggalah dia mengerti apakah kesalahannya.

Dengan merasakan aman dari ancaman Allah, secara tidak langsung kita akan meremehkan Allah dan akibatnya kita akan menangguh-nangguh dari bertaubat atas kesilapan yang kita lakukan.

Sedangkan kita lupa dan lalai, bahawa setiap hari perjalanan hidup kita ini semakin menuju pada kematian.

Keenam: Masih Terus Bersahabat Dengan Syaitan

Saya, anda dan kita semua, walaupun mulut kita mengatakan bahawa syaitan adalah musuh kita, tetapi hakikatnya masih banyak perbuatan dan amalan seharian kita yang mengikuti kehendak nafsu dan godaan syaitan.

Jadi, mari kita sama-sama berusaha untuk bangkit melawan hasutan nafsu dan godaan syaitan supaya Allah menurunkan pertolongan-Nya dan memberikan kesembuhan terhadap penyakit kita.

Ketujuh: Tidak Memiliki Benteng Ghaib

Benteng ghaib di sini bukanlah bermaksud yang anda perlu belajar tentang ilmu ghaib. Tetapi maksudnya ialah anda perlu melakukan amalan-amalan sunnah yang akan membentengi diri anda dari serangan jin dan juga bisikannya.

Ini kerana tugas perawat hanyalah mengeluarkan jin dan memutuskan belenggu sihir yang ada dalam diri pesakit. Tetapi untuk memastikan jin tidak masuk semula adalah tugas pesakit.

Jadi dalam usaha untuk membangunkan benteng ghaib ini, selain menguatkan amalan wajib dan memperbanyakkan amalan sunnah, pesakit juga mesti menghindari dari melakukan dosa-dosa besar.

Kerana ia akan menghalang turunnya rahmat Allah sedangkan rahmat Allah adalah perkara paling penting dalam proses penyembuhan dengan ruqyah syariyyah.

Apa yang mesti anda lakukan?

Lakukanlah perkara-perkara di bawah dengan konsisten:

  1. Menjaga keikhlasan dalam setiap keadaan. Iblis sudah bersumpah untuk menjerumuskan seluruh manusia, kecuali orang mukhlisin (orang ikhlas). Ikhlas merupakan benteng yang tidak akan pernah dapat ditembusi oleh Iblis.Cuba lihat kembali surah al Hijr ayat 39-40.
  2. Selalu memohon perlindungan kepada Allah. Menempatkan Allah dihati sebagai tempat bergantung dan berlindung dimanapun berada.
  3. Tadabbur Al-Quran. Menghiasi dan menghidupkan rumah dan jiwaraga kita dengan al-Quran. Setidaknya membaca 10 ayat dari Surah Al-baqarah  (1-4, 255-257, 284-286), al-Falaq dan An-Naas selepas Maghrib.
  4. Menghindari zina, riba dan dosa-dosa besar lain. Mengenai riba, ada 60 tingkatan dosa dalam riba, dan tingkatan terkecil adalah sebanding dengan menyetubuhi ibu sendiri. Tentang hal ini Allah SWT berfirman: “Orang-orang yang makan (mengambil) riba tidak dapat berdiri melainkan seperti berdirinya orang yang kemasukan syaitan lantaran (tekanan) penyakit gila”. (Al Baqarah: 275)
  5. Dhawamul wudhu, melakukan Qiyamullail, menjaga pandangan, lisan, perut, kemaluan, tangan dan anggota-anggota lain.
  6. Berdoa ketika keluar rumah, masuk masjid, masuk kamar mandi dan ketika hendak tidur.
  7. Membaca Dzikir “Lailaaha illallahu, wahdahu laa syariikalahu, lahulmulku walahul hamdu, wahua ‘ala kulli saiyiing qadiir” 100 kali selepas subuh.
  8. Ambil wudhu dan baca Ayat Kursi sebelum tidur.

Demikianlah tujuh faktor yang menjadi punca kegagalan apabila anda mendapatkan rawatan dengan kaedah ruqyah syariyyah.

Marilah kita sama-sama memuhasabah diri kita supaya Allah menurunkan rahmat dan redha-Nya kerana itulah intipati utama untuk anda mendapatkan kesembuhan yang hakiki, inshaaAllah.

Sumber Rujukan:

  1. Faktor Kegagalan Ruqyah
  2. Mengenal Syirik Asghar (Syirik Kecil)

Anda Dapat Sesuatu?

Jika ya, jangan lupa untuk kongsikan artikel yang anda baca ini dengan rakan-rakan anda yang lain. Anda juga boleh melanggan artikel terbaru saya terus melalui emel. Klik di sini untuk melanggan.

3 Comments on "7 Faktor Kegagalan Dalam Ruqyah"

Ada pertanyaan?