Mengapa Saya Menggunakan Istilah Perubatan Islam?

perubatan islam

Adakah anda keliru dengan istilah perubatan Islam?

Sebenarnya isu penggunaan istilah perubatan Islam telah lama menjadi satu topik hangat yang dibincangkan.

Ada yang bersetuju dengan penggunaannya. Ada yang tidak bersetuju dengan penggunaan istilah tersebut. Walaupun penggunaannya mendapat pelbagai reaksi dan pandangan, bagi saya ia sebenarnya bukanlah satu isu besar.

Bagi saya isunya di sini ialah pemahaman masyarakat Islam itu sendiri. Sebab jika masyarakat faham, tidak ada sebarang masalah dengan penggunaan istilah tersebut.

Jadi, di dalam artikel kali ini, saya akan sama-sama berkongsi dengan anda berkenaan dengan istilah tersebut, dan inshaaAllah saya akan sertakan pandangan saya.

Mengapa mengapa saya menggunakan istilah perubatan Islam?

Dan bila dikatakan perubatan Islam ia merujuk kepada perubatan untuk penyakit yang bagaimana?

InshaaAllah, saya akan cuba jelaskannya dalam artikel kali ini.

Sebelum saya menulis lebih jauh, saya nak sertakan satu quote yang mana ianya adalah soalan yang ditanyakan kepada saya melalui emel.

Assalamualaikum ustaz, Mohon kiranya ustaz dapat memberi pencerahan tentang istilah ” perubatan Islam ” atau ” perawatan Islam “. Bagi saya ia istilah yang sangat mengelirukan walaupun telah diguna secara meluas. Mengikut yang saya faham ia hanya merujuk kepada kaedah yang menggunakan ayat ayat AlQuran tertentu untuk mencegah atau rawatan penyakit. Kalau begitu apakah perubatan oleh Doctor di hospital atau klinik tidak Islamik. Tidak kah kita telah merendahkan martabat Islam dengan menyempitkan skop Islam itu sendiri. Lebih memalukan bila ada tokoh tokoh Perubatan Islam terpaksa juga dapatkan rawatan Doktor bahkan hingga keluar negara pun sanggup. Sepatutnya perubatan Islam lah yang lebih superior kerana Islam lebih tinggi dari segala yang lain.

Apa pandangan anda tentang persoalan di atas?

Saya juga bersetuju dengan apa yang penghantar emel di atas katakan. Dan ada juga yang saya tidak bersetuju.

Tetapi seperti yang saya katakanlah, isunya di sini sebenarnya masalah kefahaman masyarakat, bukan isu istilah tersebut.

Masyarakat yang kurang faham dengan penggunaan istilah tersebut.

Pemahaman Yang Kurang Tepat

Apa yang kurang tepatnya dengan pemahaman masyarakat kita?

Pemahaman yang kurang tepat dalam pemikiran masyarakat kita ialah apabila menganggap bahawa perubatan Islam itu hanyalah semata-mata rawatan yang menggunakan jampi dengan ayat-ayat Al-Quran dan juga doa-doa yang diambil dari hadis Nabi yang sahih.

Jadi bila beranggapan begini, apabila sakit, masyarakat akan terus berjumpa dengan perawat dan minta dijampi dengan bacaan Al-Quran ataupun doa-doa.

Adakah perbuatan ini salah?

Jawapannya tidak salah. Tetapi yang salah ialah apabila menganggap bahawa rawatan begitu sahaja yang Islam, yang lain tidak Islam.

Islam itu syumul (luas). Di dalam Islam, apa sahaja kaedah perubatan yang diyakini dapat memberikan kesan yang positif terhadap sesuatu penyakit bersandarkan kepada prinsip ilmu perubatan, maka ianya dibenarkan dalam Islam.

Asalkan tidak menggunakan benda yang haram, khurafat atau syirik.

Ini kerana hadis-hadis sahih yang menyebut tentang perubatan adalah hadis yang berbentuk umum.

Sebagai contoh:

“Berubatlah wahai hamba-hamba Allah, sesungguhnya Allah tidak meletakkan penyakit, melainkan meletakkan untuknya ubat, kecuali satu penyakit, iaitu tua” (Riwayat Ahmad, Abu Daud, al-Tirmizi dan Ibn Majah).

Di dalam hadis yang lain pula, Nabi s.a.w telah bersabda:

“Bagi setiap penyakit ada ubatnya. Apabila betul ubatnya, maka sembuhlah dengan izin Allah.” (Riwayat Muslim).

Dalam kedua hadis di atas, terdapat arahan dari Nabi untuk mendapatkan rawatan apabila sakit.

Tetapi ianya umum, Nabi tidak pula menghadkan bahawa ianya mesti menggunakan ayat-ayat Al-Quran ataupun doa-doa dari hadis Nabi s.a.w.

Disitulah cantik dan luasnya ajaran Islam, ia mengiktiraf dan menerima apa sahaja perkara yang baik, tetapi pastikan ianya masih di dalam landasan yang dibenarkan Islam.

Sebab itulah, sekiranya doktor yang bukan Islam menasihatkan seseorang Islam yang sakit supaya jangan berpuasa, maka pesakit perlulah mengikuti nasihat doktor.

Kerana apa yang dinasihatkan oleh doktor itu adalah berdasarkan prinsip ilmu perubatan yang benar.

Dan sebab itu Allah Yang Maha Mengetahui dan Maha Bijaksana memberikan rukhsah (kelonggaran) kepada mereka yang sakit untuk tidak berpuasa.

Apa yang diajar dalam Islam ialah, apabila kita sakit, berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk berubat dengan cara yang benar. Kemudian jangan lupa untuk berdoa kepada Allah agar memberikan kesembuhan dengan sebab ikhtiar yang kita lakukan.

Dan akhir sekali, kita sebagai orang yang beriman kenalah bertawakal sepenuhnya kepada Allah.

Ini berdasarkan firman Allah di dalam Surah Ali-Imran ayat 159 yang bermaksud:

“Kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakallah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya”

Mengapa Saya Guna Istilah Perubatan Islam?

Ok, soalan yang akan ditanya.

Mengapa ustaz menggunakan istilah perubatan Islam? Dan blog ini pun menggunakan domain PerawatIslam.com

Ini jawapan saya. Anda boleh pilih samada bersetuju atau tidak. Itu hak anda.

Saya menggunakan istilah perubatan Islam khusus kepada penyakit yang disebabkan oleh gangguan makhluk halus sahaja.

Contohnya sihir, saka, santau, pukau, jin asyiq, penyakit ‘ain dan sebagainya.

Mengapa?

Sebabnya saya yakin, gangguan jin hanya boleh dirawat dengan kaedah rawatan yang mengikut prinsip al-Quran dan Sunnah sahaja.

Iaitu kaedah yang bersih dan segala bentuk syirik, khurafat dan meragukan.

Dan secanggih mana pun perubatan moden, takkan mampu merawat masalah gangguan jin. Sebab itu, sekiranya seseorang pesakit yang saya rawat, jika ternyata tidak ada gangguan jin, saya akan nasihatkan kepada mereka supaya merujuk pula kepada doktor.

Selain itu, apa yang masyarakat tak nampak ialah, perubatan Islam mementingkan akhlak. Perawat dan pesakit kedua-duanya kena berakhlak.

Tetapi ini tidak ditekankan dalam ilmu perubatan moden.

Dalam keadaan ini, saya bukan menyempitkan tetapi mengagungkan kaedah perubatan Islam yang menggunakan kaedah Al-Quran dan Sunnah.

Kerana rawatan perubatan Islam adalah satu-satunya jalan keluar kepada penyakit yang berpunca dari gangguan jin.

Bahkan kaedah rawatan Islam sahaja yang mampu merawat penyakit yang berpunca dari penyakit hati seperti sombong, takbur, riak, sum’ah, kedekut, pemarah dan sebagainya.

Dan akhir sekali, penulisan ini juga sebagai menjawab kenyataan yang mengatakan bahawa adalah memalukan jika seorang tokoh perubatan Islam pun mendapatkan rawatan dari seorang doktor.

Sebenarnya tidak ada apa yang perlu dimalukan. Itu menggambarkan bahawa tokoh perubatan Islam itu adalah seorang yang benar-benar memahami tentang keluasan perubatan di dalam Islam.

Bahkan, buka sekadar memahami, kefahaman itu diterjemahkan dalam bentuk perbuatannya. Asalkan tidak ada sebarang unsur syirik, khurafat, melibatkan perkara-perkara yang haram, maka Islam membenarkannya.

Sebaliknya mereka yang mengeluarkan kenyataan sebegitulah sebenarnya orang yang dangkal ilmu serta pemikirannya.

Anda Dapat Sesuatu?

Jika ya, jangan lupa untuk kongsikan artikel yang anda baca ini dengan rakan-rakan anda yang lain. Anda juga boleh melanggan artikel terbaru saya terus melalui emel. Klik di sini untuk melanggan.

 

2 Comments on "Mengapa Saya Menggunakan Istilah Perubatan Islam?"


  1. Assalamualaikum Ustaz,
    Saya ingin bertanya tentang tanda-tanda apakah penyakit yang mungkin saya dan isteri hadapi DAN macam manakah ikhtiar yang patut kami buat:

    1. Rumah – sejak dulu lagi bila kami tinggal di kondo, kadang2 di pagi hari saperti selepas subuh, kami akan mendengar saperti orang bekerja, membersih kawasan, menyangkul dan sebagainya. Kami dapat mendendar walau pun kami di tingkat 5. Bila saya tanya tukang kebun, katanya dia mula bekerja dari jam 8:30 pagi.

    2. Juga kami mendengar orang main guli dan kadang2 menumbuk lesung di tingkat atas. Dan sekarang kami pindah ke kawasan lain, perumahan – juga bila saya di tingkat bawah, ada mendengar guli dan kadang2 macam barang jatuh.

    3. Kadang2 isteri saya melawan. Mudah tersentuh hati. Tak boleh kawal emosi. Percakapan saya dianggapnya arahan dengan suara yang kuat. Itu yang menggangu beliau.

    4. Anak2 yang belajar ditengah malam, ada cerita yang merasa kelibat saperti orang. Isteri pun ada merasa juga. Saya belum pernah.

    5. Rezeki kami sempit. Alhamdulillah dicukupkan Allah. Tetapi apa2 yang kami buat untuk berniaga, ianya saperti bermusim. Tidak berterusan laku nya.

    Boleh Ustaz share insight Ustaz. Terima kasih.

    Reply

    1. Waalaikumussalam,

      Ada kemungkinan apa yang encik ceritakan itu adalah tanda-tanda yang encik sekeluarga dan di rumah mengalami gangguan makhluk halus. Untuk rumah, bolehlah dipasangkan bacaan ayat-ayat ruqyah 24 jam selama sebulan. Kemdudian lihat samada gangguan di rumah masih ada atau tidak. Untuk diri, saya nasihatkan kena dapatkan rawatan.

      Reply

Ada pertanyaan?