Anda tengah was-was ke samada dalam badan ada sihir atau tak? Tidak lagi bila anda dapatkan 2 video percuma ni. Klik di sini.

Kisah Nabi Muhammad Disihir & Pengajarannya

kisah nabi

Dikemaskini pada 28/12/2016 oleh Ustaz Abdullah

Pernahkah anda membaca riwayat kisah nabi Muhammad s.a.w telah disihir? Apa pandangan anda tentang kisah tersebut? Mungkin ada beberapa persoalan yang muncul dalam pemikiran anda, betul tak?

Mungkin anda terfikir, bukankah nabi Muhammad s.a.w maksum, iaitu terpelihara dari segala kejahatan manusia? Jika persoalan di atas yang bermain di dalam fikiran anda, inshaaAllah artikel yang akan anda baca ini akan memberikan jawapannya.

Selain itu, antara yang akan dibahaskan juga di dalam artikel ini ialah apakah hikmah dan pengajaran yang dapat kita sama-sama ambil dari kisah nabi Muhammad disihir ini.

Bagaimana Permulaan Kisahnya

Sebelum kita melihat apakah hikmah dan pengajaran disebalik kisah nabi Muhammad disihir ini, adalah lebih baik jika kita mengetahui bagaimana kisahnya.

Peristiwa disihirnya Rasulullah s.a.w berlaku tatkala Baginda pulang dari Hudaibiah dalam bulan Zulhijjah tahun ketujuh hijrah. Selain itu, ketika berlakunya peristiwa ini jugalah diturunkan dua surah yang disebut sebagai al-Mu’awwizatain, iaitu surah al-Falaq dan surah an-Nas.

Setelah selesai perang khaibar, maka datanglah ketua-ketua Yahudi bertemu dengan seorang tukang sihir Yahudi yang bernama Labid bin al-A’sam dari Bani Zuraiq. Tujuan mereka datang berjumpa dengan tukang sihir tersebut adalah untuk melakukan sihir ke atas diri Rasulullah s.a.w.

Dengan bantuan dari seorang budak Yahudi yang juga merupakan khadam Nabi, mereka dapat mencuri sikat rambut Nabi bersama-sama dengan rambut yang ada pada gigi-gigi sikat Rasulullah.

Bersama-sama dengan bahan-bahan tersebut, maka dibuatlah patung berupa Rasulullah s.a.w daripada lilin. Lalu lilin tersebut telah ditikam dengan sebelas bilah jarum, dan disimpul dengan sebelas ikatan. Maka ditakdirkan, Rasulullah s.a.w pun terkena sihir selama 40 hari.

Pada suatu hari ketika Rasulullah s.a.w sedang tidur, datanglah dua orang Malaikat di dalam mimpi baginda. Seorang berada dikepala dan seorang lagi dikaki Rasulullah.

Kisah ini banyak disebut di dalam hadis-hadis sahih, seperti riwayat daripada Ibnu Abbas, Ibnu Majjah, Muslim, An-Nasa’i dan lain-lain. Hadis yang menceritakan kisah tersebut ialah:

Diriwayatkan daripada Siti Aisyah RA, telah berkata:

“Rasulullah SAW telah disihir oleh seorang lelaki dari Bani Zuraiq yang bernama Labid bin al-A‘sam sehingga baginda berasa khayal melakukan sesuatu perkara, padahal baginda tidak melakukannya. Hinggalah pada suatu hari atau suatu malam ketika berada di sisiku baginda berdoa dan terus berdoa. Kemudian Nabi SAW: “Wahai ‘Aishah, apakah engkau merasakan bahawa Allah SWT telah mendatangkan fatwa ketika aku benar-benar memerlukannya? Telah datang kepadaku dua orang lelaki, lalu salah seorang daripadanya duduk berhampiran kepalaku, dan seorang lagi berhampiran kakiku”. Berkata lelaki yang berada berhampiran kepala kepada temannya yang berada berhampiran kakinya: “Apakah penyakit lelaki ini?”. Lalu dijawab: “Terkena sihir”. Berkata lagi: “Siapa yang menyihirnya”, lalu dijawab: “Labid bin al-A‘sam. Berkata lagi: “Dengan (bahan) apa (disihir)?”, lalu dijawab: “Pada sikat dan rambut, dan kemudian dibungkus dengan seludang tamar jantan muda”. (Lelaki itu) bertanya lagi: “Di mana letaknya benda itu”. Lalu dijawab: “Di dalam telaga Dharwan”. Maka Rasulullah SAW mendatangi telaga itu bersama dengan beberapa orang sahabat baginda. (Setelah kembali) Nabi SAW berkata: “Wahai ‘Aishah, telaga yang aku lihat itu airnya berwarna merah-kemerahan seperti inai. Rupa pohon tamar itu seperti kepala-kepala syaitan”. Aku (‘Aishah) bertanya: “Ya Rasulullah, kenapa tidak dikeluarkan sahaja benda itu?”. Baginda menjawab: “Jangan! Allah telah menyembuhkan daku. Aku tidak suka mengenakan kejahatan seperti ini ke atas orang lain”. Lalu baginda menyuruh agar ditimbus bahan-bahan sihir dalam telaga itu”.

Persoalan Berkaitan Dengan Kisah Nabi Disihir

Antara persoalan yang paling banyak diajukan berkaitan dengan kisah ini ialah, apakah benar Nabi disihir? Bukankah Baginda seorang yang maksum dan dilindungi oleh Allah dari kejahatan manusia. Dan sekiranya Nabi disihir, apakah ianya mempengaruhi wahyu dari Allah yang diturunkan kepada Baginda?

Jawapan untuk soalan pertama, apakah Nabi disihir?

Nabi Muhammad s.a.w memang seorang yang maksum. Firman Allah di dalam surah al-Maidah, ayat 67, yang bermaksud:

يَـٰٓأَيُّہَا ٱلرَّسُولُ بَلِّغۡ مَآ أُنزِلَ إِلَيۡكَ مِن رَّبِّكَ‌ۖ وَإِن لَّمۡ تَفۡعَلۡ فَمَا بَلَّغۡتَ رِسَالَتَهُ ۥ‌ۚ وَٱللَّهُ يَعۡصِمُكَ مِنَ ٱلنَّاسِ‌ۗ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يَہۡدِى ٱلۡقَوۡمَ ٱلۡكَـٰفِرِينَ

“Wahai Rasul! Sampaikanlah apa yang telah diturunkan kepadamu daripada Tuhanmu. Jika tidak engkau melakukannya (dengan menyampaikan kesemuanya), maka beerti engkau tidaklah menyampaikan risalahnya. Allah jualah akan memelihara mu daripada (kejahatan) manusia. Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang kafir”

Dalam ayat di atas, perkataan maksum jelas disebut ya’simuka (yang berwarna merah) bermaksud memelihara kamu. Tafsir yang muktabar, contohnya seperti Tafsir Ibnu Kathir, Tafsir Qurtubi, dan sebagainya, menerangkan bahawa bahawa maksud memelihara dalam ayat di atas ialah tidak ada orang yang mampu untuk membunuh Nabi, kerana Baginda dilindungi dan dipelihara oleh Allah.

Ayat di atas juga bermaksud bahawa Rasulullah s.a.w dipelihara oleh Allah sehingga tidak berlaku suatu kemaksiatan pun ke atas Baginda dan Baginda tidak melakukan kesalahan yang sehingga mendatangkan dosa. Itu yang dimaksudkan dengan maksum dalam erti kata sebenarnya.

Tetapi, atas kapasiti/hakikat Nabi sebagai manusia biasa, Baginda juga tidak terlepas dari disakiti. Sebagai contoh Baginda pernah disakiti sehingga luka kakinya akibat dibaling batu oleh kanak-kanak upahan ketika Baginda berdakwah ke Taif.

Baginda juga mengalami luka dan juga pelbagai kesakitan, contohnya ketika Baginda bersama-sama para sahabat di dalam peperangan. Selain itu, baginda juga mengalami sakit kepala, demam dan juga sebagainya. Termasuk juga kisah nabi disihir. Kesemua di atas tidak termasuk dalam maksud maksum seperti yang dikehendaki dalam ayat di atas, kerana Nabi tetap seorang manusia biasa.

Persoalan yang kedua, apakah sihir yang berlaku pada Nabi tidak mempengaruhi wahyu yang diturunkan oleh Allah kepada Baginda?

Sihir yang berlaku ke atas Nabi s.a.w sebenarnya tidak memudaratkan Baginda pun, kerana tidak mengubah sesuatu pun dari wahyu Allah dan tidak dimasukkan sesuatu pun tambahan daripada syariat. Apa yang dikenakan ke atas Baginda sesuatu dalam bentuk khayalan atau waham sahaja.

Dari segi logiknya pula, wahyu yang disampaikan oleh Nabi adalah datangnya dari Allah Yang Maha Berkuasa. Apa yang berlaku ke atas Nabi (Nabi disihir) adalah kehendak Allah semata-mata, dan sudah tentulah Allah juga berkuasa untuk melindungi wahyu-wahyu yang diturunkan kepada Baginda daripada terkena pengaruh sihir tersebut.

Hikmah Berlakunya Sihir Ke Atas Diri Nabi

Antara hikmah yang paling penting dari kisah nabi Muhammad s.a.w disihir ialah supaya diri Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam menjadi suri tauladan bagi kita, umatnya. Jika salah seorang dari kita terkena sihir, maka ingatlah bahawa manusia yang paling baik sekali dari semua makhluk Allah (iaitu Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam) pun juga pernah terkena sihir.

Hikmah lain yang boleh diambil ialah, walaupun baginda disihir,  baginda tidak meminta pertolongan kepada tukang sihir, atau dukun, (untuk melawan sihir yang berlaku ke atas baginda). Akan tetapi, baginda shallallahu ‘alaihi wa sallam hanya meminta pertolongan kepada Allah Ta’ala.

Jika salah seorang dari kita ditimpa kefakiran, kita kena ingat bahawa manusia yang paling baik dari kita (iaitu Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam) pun pernah mengikat batu di perutnya (untuk menahan rasa lapar). Jika salah seorang dari kita ditimpa dengan ujian (dengan musibah), maka Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam pun juga pernah ditimpa ujian yang jauh lebih sukar dari kita. Jika salah seorang dari kita diganggu atau disiksa, maka pada diri baginda shallallahu ‘alaihi wa sallam terdapat suri tauladan (iaitu baginda juga pernah diganggu dan disiksa).

Pengajaran

Dan akhir sekali, ada beberapa pengajaran penting yang boleh kita ambil dari kisah nabi disihir ini. Bagi saya, pengajaran yang boleh diambil adalah sangat penting.

  1. Walaupun Baginda seorang Rasul bahkan makhluk terbaik sekali yang pernah diciptakan Allah, tetapi baginda hakikatnya tetap seorang manusia biasa yang tidak mengetahui perkara ghaib. Rasulullah tidak mengetahui yang Baginda telah disihir melainkan selepas Baginda didatangi oleh dua Malaikat di dalam mimpinya, barulah Baginda tahu. Jadi, sekiranya ada dikalangan kita yang mengaku boleh tahu tentang sihir, contohnya siapa yang menghantar sihir, sebenarnya dia telah melakukan penipuan.
  2. Sihir berlaku adalah dengan bantuan dari syaitan. Sebab itulah tukang sihir akan melakukan perkara-perkara yang diharamkan, ataupun perkara yang mensyirikkan Allah. Kerana dengan cara itu, syaitan akan memberikan taat setia kepada tukang sihir.
  3. Peranan doa dalam menghadapi sesuatu musibah atau penyakit. Dalam kisah nabi disihir ini, dengan jelas menceritakan bahawa Baginda berulang-ulang kali berdoa kepada Allah agar memberikan petunjuk dan menyembuhkan Baginda. Sehinggalah diutus-Nya dua Malaikat kepada Baginda. Selain itu, kita juga tidak boleh berputus asa untuk berdoa dan sewajarnya diulang doa itu beberapa kali disertakan juga dengan usaha berikhtiar untuk mencari rawatannya, sepertimana yang ditunjukkan oleh Nabi s.a.w.

Dan akhir sekali, kesimpulan yang boleh diambil ialah kita mesti menyedari bahawa sihir adalah satu amalan yang telah wujud bukan hanya di zaman kita, bahkan ianya telah wujud di zaman Rasulullah s.a.w lagi. Ianya boleh mengenai kepada sesiapa sahaja, termasuklah diri Rasulullah sendiri.

Oleh itu, sebagai persediaan, kita hendaklah sentiasa berusaha mendekatkan diri kepada Allah, kerana hanya dengan cara itu sahaja dapat melindungi diri kita dari kejahatan sihir.

Selain itu, kita juga dituntut untuk melakukan amalan-amalan pendinding untuk diri, sebagai contoh mengamalkan zikir-zikir yang ma’thur dari Nabi, contohnya mengamalkan membaca ayat Kursi, surah al-Baqarah, al-mu’awwizatain dan sebagainya.

ANDA DAPAT APA-APA TAK?

Jika anda merasakan artikel yang saya kongsikan di atas memberikan manfaat, saya mohon agar anda kongsikan dengan rakan-rakan anda, samada di facebook, twitter,google+ dan lain-lain.


(Tentang Penulis: Ustaz Abdullah Idris berpengalaman selama 5 tahun membantu merawat pesakit-pesakit yang mengalami gangguan makhluk halus. Dapatkan perkembangan terkini dari beliau melalui  facebook, google+ dan juga twitter. Beliau telah kongsikan 6 teknik mendinding dari sihir yang telah membantu ramai pesakit beliau. Jika anda ingin mendapatkan khidmat rawatan beliau, dapatkan maklumat lanjut di sini.)

 


Lindungi Diri Anda Dari Sihir Dengan 6 Kaedah Dijamin BERKESAN!

Kaedah yang wajib diketahui & diamalkan  oleh mangsa-mangsa sihir

Anda akan mempelajari:

( 1)  8 jenis wirid/zikir yang mampu menjauhkan jin-jin penyihir.

(2) 1 amalan yang kita abaikan tetapi mampu mendinding kita dari sihir.

(3) 3 teknik & gaya pemikiran yang mampu meningkatkan kekuatan diri
melawan sihir.

Percuma.

3

butang-download

 

Follow saya di sosial media:
Kisah Nabi Muhammad Disihir & Pengajarannya
Scroll to top
error: Maaf. Artikel ini tidak dibenarkan untuk copy!!