Anda Telah Terkena Tipu Daya Syaitan Jika Ada Sikap Ini!

Iblis yang merupakan musuh tradisi manusia sejak dari Nabi Adam a.s tidak pernah sekali-kali merasa kekurangan cara untuk menyesatkan manusia. Jika manusia itu dari kalangan orang yang menjalankan agama, Iblis akan mencari ruang-ruang kelemahan yang mampu dipergunakannya untuk menyesatkan manusia tersebut.

Jika seseorang itu termasuk dalam golongan orang yang suka bersedekah, Iblis akan mencari ruang yang ada untuk menyesatkan orang itu melalui amalan sedekahnya. Jika orang itu dari golongan orang yang berilmu, Iblis akan cuba menyesatkan orang tersebut dengan ilmunya.

Pendek kata, Iblis sentiasa mempunyai strategi untuk menyesatkan manusia. Janganlah kita lupa akan janji Iblis bahawa dia akan mendatangi manusia samada dari depannya mahupun belakangnya. Samada dari kanannya mahupun kirinya. Sehinggalah manusia itu akan berjaya disesatkan oleh Iblis.

Dan diantara tipu daya Iblis ialah dia akan meniupkan perasaan merasa suci diri dalam diri seseorang. Sehingga orang itu akan merasa dirinya tidak melakukan apa-apa kesalahan dan merasa aman dari dosa.

Larangan Menganggap Diri Suci

Menganggap diri kita suci, atau merasa takjub/kagum dengan kebaikan dan amalan yang kita lakukan dipanggil sebagai ujub. Sifat ini termasuk dalam dalam sifat mazmumah, iaitu sifat-sifat yang tercela.

Allah s.w.t telah berfirman di dalam Surah An-Najm ayat 32 yang bermaksud:

“maka janganlah kamu memuji-muji dirimu (bahawa kamu suci bersih dari dosa). Dia sahajalah yang Maha Mengetahui akan orang-orang yang bertaqwa” (Surah An-Najm ayat 32)

Menjelaskan tentang ayat di atas, Syeikh Abdurrahman As-Si’di menerangkan bahawa orang-orang yang beriman dilarang dari mengkhabarkan kepada orang lain tentang dirinya yang merasa suci dengan cara selalu memuji-muji akan kebaikan dirinya (Taisir Karimir Rahman).

Ini kerana, sifat merasa diri suci ini adalah sifat orang-orang Yahudi dan Nasrani di mana Allah mencela mereka dengan sejelas-jelasnya sepertimana di dalam Al-Quran Surah Al-Baqarah ayat 80 yang bermaksud:

“Dan mereka berkata: “Kami tidak sekali-kali akan disentuh oleh api Neraka kecuali beberapa hari yang tertentu”. Katakanlah (wahai Muhammad): “Adakah kamu sudah mendapat janji dari Allah supaya (dengan itu) Allah tidak akan menyalahi janjiNya, atau hanya kamu mengatakan atas nama Allah sesuatu yang tidak kamu mengetahuinya?”

Bahkan, kemuncak dari sikap tercela itu, golongan Yahudi dan Nasrani merasakan hanya mereka sahajalah yang layak untuk masuk ke dalam syurga. Allah berfirman di dalam Surah Al-Baqarah ayat 111 yang bermaksud:

“Dan mereka (Yahudi dan Nasrani) berkata pula: Tidak sekali-kali akan masuk Syurga melainkan orang-orang yang beragama Yahudi atau Nasrani. Yang demikian itu hanyalah angan-angan mereka sahaja. Katakanlah (wahai Muhammad): Bawalah kemari keterangan-keterangan yang (membuktikan kebenaran) apa yang kamu katakan itu, jika betul kamu orang-orang yang benar”

Rasulullah dan Para Salaf Tidak Menganggap Mereka Suci

Saya ingin bertanya kepada anda, apakah adanya keraguan di dalam hati anda bahawa Rasulullah s.a.w adalah insan yang paling mulia? Sudah tentu tidak bukan. Kita semua meyakini dengan seyakin-yakinnya akan kesempurnaan iman Baginda. Tetapi adakah dengan kesempurnaan tersebut membuatkan Baginda merasa dirinya suci dan merasa bosan untuk beribadah?

Tidak sama sekali. Meskipun Baginda telah dijamin syurga dan segala kesalahan Baginda telah diampunkan Allah, itu menjadikan Baginda semakin kuat lagi beribadah. Sehingga diberitakan bahawa Baginda solat sampai bengkak kakinya.

Jadi, adakah masih layak untuk kita merasa diri suci sedangkan kita masih lagi belum mengetahui pengakhiran kehidupan kita. Apakah dengan amalan kita yang tidak seberapa melayakkan kita masuk ke dalam syurga Allah?

Semoga Allah s.w.t menjauhkan kita dari sikap merasa diri suci dan mengampunkan segala dosa-dosa kita. Dan semoga Allah mempermudahkan kita untuk mengecapi syurga-Nya, inshaaAllah.

Sumber: Muslim.or.id

Anda Dapat Sesuatu?

Jika ya, jangan lupa untuk kongsikan artikel yang anda baca ini dengan rakan-rakan anda yang lain. Anda juga boleh melanggan artikel terbaru saya terus melalui emel. Klik di sini untuk melanggan.

Ustaz Abdullah Idris

Saya berkemahiran membantu anda yang menghadapi sihir, saka dan gangguan jin yang lain dengan cara melakukan terapi Ruqyah Syariah agar dalam tempoh 7 hari gangguan yang anda hadapi dapat disembuhkan beransur-ansur.

Ada pandangan tentang artikel di atas? Kongsikan pandangan anda dengan pembaca lain.

error: Maaf. Artikel ini tidak dibenarkan untuk copy!!
%d bloggers like this: