Tahukah Anda Taubat Itu Kunci Kesembuhan?

Assalamualaikum pembaca yang dihormati,

Ramai pesakit saya yang sering bertanya tentang persoalan mengapakah mereka tidak sembuh-sembuh dari penyakit gangguan yang mereka alami?

Kalau nak diikutkan usaha yang dilakukan, dah bermacam-macam tempat perubatan dah pergi, tetapi masih juga tak sembuh. Kalau sembuh pun sekejap sahaja. Selang seminggu atau dua minggu, penyakit gangguan jin kembali berulang.

Jadi, apa masalah sebenarnya? Di mana silapnya sehingga kesembuhan itu dirasakan terlalu mustahil untuk dikecapi memandangkan penyakit gangguan jin yang dah lama dialami.

InshaaAllah dalam artikel kali ini saya akan kongsikan dengan anda sesuatu yang selama ini mungkin anda, dan juga saya memandang remeh dan seakan tidak penting, tetapi sebenarnya ianya dalah faktor penting dalam usaha untuk mencari kesembuhan.

Manusia Sentiasa Melakukan Dosa

Manusia adalah makhluk Allah yang tidak lepas dari melakukan dosa. Tipulah kalau ada manusia yang berani mengaku bahawa ada hari-hari di mana dirinya tidak melakukan dosa.

Saya yakin kita semua sedar akan perkara tersebut. Tetapi mungkin sesuatu yang kita tidak atau kurang menyedari bahawa dosa yang kita lakukan setiap hari itu adalah punca berlakunya segala musibah kepada kita. Termasuklah penyakit gangguan jin yang anda alami.

Allah s.w.t berfirman yang bermaksud:

“Apa sahaja kebaikan (nikmat kesenangan) yang engkau dapati adalah dari Allah. dan apa sahaja bencana yang menimpamu, maka ia adalah dari (kesalahan) dirimu sendiri” (Surah An-Nisa ayat 79)

Ibnu Katsir berkata, maksud “dari dirimu” dalam ayat di atas ialah dengan sebab dosamu.

 Taubat Sebagai Ubat Dari Penyakit Dosa

Allah yang menjadikan kita Maha Mengetahui akan kelemahan hamba-Nya yang sentiasa melakukan dosa. Dan Dia juga Maha Penyayang dan Maha Pengampun.

Maka Allah telah membuka selebar-lebarnya pintu taubat kepada hamba-Nya yang mahu mensucikan diri dari segala dosa dan mahu kembali kepada-Nya.

Allah s.w.t telah berfirman yang bermaksud:

“Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah, lalu memohon ampun akan dosa mereka dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa selain Allah dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang telah mereka lakukan itu, sedangkan mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya)” (Surah Ali-Imran ayat 135)

Taubat merupakan langkah pertama bagi kita untuk menyucikan diri, membersihkan jiwa, batin dan hati dari segala kerak noda dan dosa yang melekat pada tubuh.

Di dalam tazkiyatun nafs, untuk pembersihan jiwa, bertaubat adalah jalan awal bagi mereka. Ini kerana hati yang penuh dengan kerak noda dan dosa sangat susah untuk menerima nur hidayah dan hikmah di dalam hati jiwa sanubarinya.

Apa Itu Taubat?

Taubat ertinya berhenti melakukan kemaksiatan dan kembali menuju ketaatan. Taubat adalah amalan yang sangat dicintai oleh Allah s.w.t. Allah s.w.t berfirman:

“Sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang bertaubat dan menyukai orang-orang yang menyucikan diri” (Surah Al-Baqarah ayat 222)

Allah berfirman lagi di dalam Surah At-Tahrim ayat ayat 8 yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman, bertaubatlah kepada Allah dengan taubat yang bersungguh-sungguh” (Surah At-Tahrim ayat 8)

Taubat yang bersungguh-sungguh itu atau disebut sebagai taubat nasuha mempunyai 5 syarat, iaitu:

1) Ikhlas kerana Allah iaitu berniat semata-mata mengharapkan keampunan dan keredhaan dari Allah, dan mengharapkan pahala atas taubat yang dilakukan serta berharap agar diselamatkan Allah dari azab seksa-Nya.

2) Menyesali kemaksiatan yang telah dilakukan, merasa sedih dan berazam tidak akan mengulangi perbuatan dosa tersebut.

3) Menjauhkan diri dari perbuatan maksiat sesegera mungkin. Jika perbuatan tersebut melanggar hak-hak Allah maka segera tinggalkan. Kerana perbuatan tersebut haram dilakukan sehingga wajib ditinggalkan. Adapun jika berkaitan dengan hak-hak makhluk maka segeralah meminta maaf dan kembalikan haknya yang telah diambil.

4) Bertekad untuk tidak mengulangi kemaksiatan tersebut di waktu-waktu mendatang.

5) Hendaknya taubat dilakukan sebelum ditutupnya pintu taubat iaitu sebelum tibanya ajal dan sebelum terbitnya matahari dari sebelah Barat.

Allah s.w.t berfirman di dalam Surah An-Nisa ayat ayat 18 yang bermaksud:

“Dan tidak ada gunanya taubat itu kepada orang-orang yang selalu melakukan kejahatan, hingga apabila salah seorang dari mereka hampir mati, berkatalah ia: Sesungguhnya aku bertaubat sekarang ini, (sedang taubatnya itu sudah terlambat) dan (demikian juga halnya) orang-orang yang mati sedang mereka tetap kafir. Orang-orang yang demikian, Kami telah sediakan bagi mereka azab seksa yang tidak terperi sakitnya” (Surah An-Nisa ayat 18)

Kesimpulannya, marilah kita sama-sama memuhasabah diri. Adakah kita setiap hari bertaubat kepada Allah di atas segala dosa-dosa yang telah kita lakukan? Jika belum, kemungkinan besar itulah diantara faktor yang menjadikan kesembuhan atas penyakit gangguan yang dialami terhalang.

Anda Dapat Sesuatu?

Jika ya, jangan lupa untuk kongsikan artikel yang anda baca ini dengan rakan-rakan anda yang lain. Anda juga boleh melanggan artikel terbaru saya terus melalui emel. Klik di sini untuk melanggan.