2 Cara Terbaik Untuk Anda Selamat Dari Bomoh?

Assalamualaikum pembaca sekalian,

Menurut wikipedia, bomoh adalah merujuk kepada ahli perubatan tradisional dikalangan masyarakat melayu. Biasanya bomoh melakukan perubatan mereka dengan menggunakan bahan-bahan berasaskan tumbuh-tumbuhan, herba dan juga haiwan.

Tetapi, sekiranya kaedah di atas tidak berkesan, maka mereka akan beralih pula kepada kaedah yang menggunakan perantaraan makhluk halus, iaitu jin.

Dan realitinya khidmat bomoh memang digunakan untuk merawat penyakit-penyakit yang berkaitan dengan gangguan makhluk halus.

Islam pula adalah satu-satunya agama yang diterima dan diredhai oleh Allah. Allah juga telah mengisytiharkan di dalam Al-Quran, lebih tepatnya di dalam Surah Al-Maidah ayat ketiga yang bermaksud:

“Pada hari ini telah Aku sempurnakan untukmu agamamu, dan telah Ku sempurnakan kepadamu nikmat-Ku, dan telah Ku redhai Islam sebagai agama bagimu”

Oleh kerana Islam telah sempurna, maka Islam melalui petunjuk Nabi Muhammad saw telah mengajar kita bagaimana untuk merawat penyakit, lebih-lebih lagi yang berkaitan dengan gangguan jin dan juga sihir.

Di dalam artikel kali ini, saya tidaklah bercadang untuk berkongsikan tentang cara-cara merawat gangguan jin dan sihir yang berteraskan panduan syarak, kerana telah banyak saya tuliskan dalam artikel sebelum ini. Cuma tinggal kemahuan anda sahaja untuk meluangkan masa membaca artikel-artikel yang banyak di dalam blog ini.

Di dalam artikel kali ini saya hanya ingin membahaskan tentang bagaimana cara mudah yang boleh anda praktikkan supaya anda tidak terjebak dengan gejala perbomohan ini.

Bahaya Bomoh

Sebelum itu, perlu kita tahu terlebih dahulu, apakah bahayanya apabila seseorang itu terlalu mempercayai kepada bomoh, dan apakah kesannya kepada masyarakat dan juga negara.

Kesan buruk apabila mempercayai bomoh bolehlah dibahagikan kepada tiga bahagian, iaitu:

  1. kesan buruk kepada individu itu sendiri.
  2. kesan buruk kepada masyarakat.
  3. kesan buruk kepada negara.

Pertama: Kesan buruk kepada individu.

Bagi seseorang muslim yang mempercayai kepada bomoh, kesan paling buruk kepada mereka ialah rosaknya akidah. Selain itu, mempercayai bomoh juga akan merosakkan amalan baik yang dilakukan. Sebagaimana hadis Nabi s.a.w:

“Barangsiapa yang mendatangi dukun atau tukang sihir lalu mempercayai apa yang dikatakan olehnya, maka dia telah kufur terhadap apa yang telah diturunkan kepada Muhammad s.a.w” ( Hadis riwayat Ahmad, Al-Hakim dri Abu Hurairah r.a)

Selain itu, aktiviti perbomohan ini juga akan menyebabkan masa terbuang dengan perkara-perkara yang tidak sihat dan bertentangan dengan ajaran Islam seperti memuja dan melakukan amalan-amalan syirik serta khurafat.

Kepercayaan kepada bomoh akan menjadikan pemikiran seseorang itu menjadi tertutup. Ini kerana mereka tidak menggunakan kewarasan akal untuk berfikir melainkan semuanya dipengaruhi oleh cakap-cakap bomoh walaupun apa yang akan mereka lakukan itu tidak rasional.

Oleh kerana kepercayaan kepada bomoh itu adalah perbuatan yang bercanggah dengan akidah, maka secara tidak langsung ianya akan merosakkan iman. Akibatnya, hati tidak tenang dan kehidupan sentiasa kucar-kacir.

Kedua: Kesan buruk kepada masyarakat

Aktiviti perbomohan akan menyebabkan runtuhnya sistem kekeluargaan. Ini berpunca kerana perbezaan akidah dan kepercayaan diantara sesama ahli keluarga.

Selain itu, apabila terlalu taksub dengan kata-kata bomoh akan menjadikan sesama ahli keluarga wujudnya rasa curiga diantara satu sama lain dan akhirnya keharmonian di dalam sesuah keluarga akan hilang.

Perpaduan di dalam masyarakat juga akan hilang apabila sikap menghormati telah hilang. Ini berlaku disebabkan sikap fanatik individu yang terlalu fanatik dengan bomoh.

Ketiga: Kesan terhadap negara

Penglibatan serta ketaksuban seseorang itu kepada bomoh akan menjadikan dirinya menjadi tidak proaktif. Ini kerana segala kerja buatnya adalah berpandukan kepada kata-kata bomoh yang banyak membuang masa. Akhirnya negara menjadi mundur di mana kemajuan sesebuah negara adalah bergantung kepada sumbangan dan juga produktiviti rakyatnya.

Penglibatan di dalam amalan perbomohan juga akan mengancam perpaduan dan keharmonian di dalam masyarakat. Kesan daripada itu, negara kita akan mengalami gangguan dari segi kestabilan politik dan ekonomi negara. Akhirnya, kerajaan terpaksa menghabiskan masa dan wang ringgit demi untuk memastikan kestabilan politik serta ekonomi negara berada dalam keadaan baik.

Anda boleh melihat contoh dahulu di mana telah viral di media sosial tentang Raja Bomoh. Seluruh dunia mentertawakan negara kita kerana perbuatan Raja Bomoh yang kononnya boleh mencari semula kapal terbang MH370 dengan hanya menggunakan teropong buluh semata-mata.

Kita telah ditertawakan dan dipandang rendah oleh masyarakat dunia kerana pengamalan khurafat tersebut. Nampaklah kita akan kesan buruk daripada amalan bomoh itu.

Cara Elakkan Bomoh

Memandangkan saya telah lama berkecimpung dalam bidang perubatan Islam ini, saya perhatikan banyak perawat-perawat yang mengaku menggunakan kaedah perubatan Islam, tetapi sebenarnya tidak.

Kaedah yang mereka gunakan pula tak ubah seperti kaedah di dalam amalan perbomohan. Saya tidaklah berani untuk mengatakan semua mereka ini menggunakan bantuan dari golongan jin di dalam sesi rawatan mereka, tetapi walaupun mereka tidak menggunakan jin, kemungkinan mereka akan menggunakan tipu daya kepada pesakit-pesakit mereka.

Jadi saya nak kongsikan dengan anda bagaimana cara untuk mengelakkan dari tersilap langkah mendapatkan rawatan dari mereka. Cara yang boleh anda lakukan ialah:

PERTAMA: TIDAK MENGENAKAN SYARAT YANG PELIK. 

Kaedah perubatan Islam tidak menjadikan sesuatu perkara itu sebagai syarat. Oleh itu, jika perawat menyuruh anda menyediakan sesuatu, tanya semula kepada perawat apakah ianya syarat.

Sebagai contoh, katakanlah perawat menyuruh anda melakukan mandi limau, tanya balik, apakah ianya syarat yang mesti dilakukan.

Tidak dinafikan, saya sendiri menyuruh pesakit saya membawa limau jika nak mendapatkan rawatan. Tetapi ianya bukan syarat. Terpulang kepada pesakit. Jika pesakit nak ikut kaedah tersebut, boleh ikut.

Jika taknak, saya tidak memaksa. Tetapi, saya akan menerangkan apa tujuan dilakukan mandi limau. Tambah pula jika perawat menyuruh anda menyediakan barang-barang yang pelik.

Contohnya perawat menyuruh anda membawa kain putih, kuning, atau hitam, duit syiling, atau sebagainya.

Biasanya perawat yang meletakkan syarat-syarat tertentu kepada pesakit, dikhuatiri mereka ini ada perjanjian yang dilakukan dengan golongan jin yang membantu mereka ketika merawat.

Jadi, saranan saya sebelum nak mendapatkan rawatan, tanya 3 soalan di bawah:

1) Barang apa yang perlu dibawa?
2) Apakah tujuan barang tersebut digunakan?
3) Kalau tak bawa barang tersebut, boleh atau tidak?

InshaaAllah soalan ni dapat membantu anda untuk membuat keputusan samada meneruskan rawatan atau tidak.

KEDUA: TINGGALKAN YANG MERAGUKAN. 

Di dalam perubatan Islam juga, perawat tidak dibenarkan mengamalkan kaedah yang meragukan. Contoh kaedah-kaedah yang meragukan yang ada diamalkan ialah:

a) Membaca sesuatu dengan hanya berkuat-kamit, tetapi tidak didengari bacaannya.

Ini kerana, di dalam perubatan Islam, bacaan ruqyah yang dibenarkan hanyalah ayat-ayat Al-Quran dan juga doa-doa yang diajarkan oleh Nabi saw.

Jika perawat membaca tanpa dapat didengari bacaannya, di situ timbul dua keraguan.

Keraguan pertama ialah apa yang dibaca oleh perawat. Keraguan yang kedua ialah jika yang dibaca itu Al-Quran ataupun doa dari Nabi, mengapa tidak dibaca secara kuat.

Ini kerana, dari pengalaman saya, bacaan perawat juga dapat memberikan kesan kepada pesakit.

b) Merawat secara jarak jauh melalui gambar atau nama.

Yang menimbulkan keraguan di sini ialah bagaimana hanya melalui gambar dan nama, perawat boleh tahu secara detail masalah pesakit.

c) Meminta pesakit melakukan perkara yang jelas bertentang dengan agama.

Saya pernah bertemu dengan pesakit wanita yang mengaku pernah disuruh oleh seorang perawat untuk menanggalkan bajunya. Alasannya itu adalah kaedah rawatannya. Ini jelas  bercanggah dengan ajaran Islam.

Jadi anda boleh cuba bertanya kepada perawat bagaimana kaedah rawatan yang digunakannya. Ataupun anda boleh cuba dapatkan info terlebih dahulu tentang perawat yang akan anda dapatkan khidmat rawatannya.

Ini 2 cara mudah yang dapat saya kongsikan dengan anda, supaya anda tidak tertipu dengan bomoh yang mengamalkan cara rawatan yang bercanggah dengan syarak.

tanda sihir

Anda Dapat Sesuatu?

Jika ya, jangan lupa untuk kongsikan artikel yang anda baca ini dengan rakan-rakan anda yang lain. Anda juga boleh melanggan artikel terbaru saya terus melalui emel. Klik di sini untuk melanggan.