Anda tengah was-was ke samada dalam badan ada sihir atau tak? Tidak lagi bila anda dapatkan 2 video percuma ni. Klik di sini.

Bagaimana Melawan Bisikan Syaitan Di Dalam Hati?

Dikemaskini pada 28/04/2023 oleh Ustaz Abdullah

Apabila Allah s.w.t telah mengusir Iblis kerana keengganannya tunduk hormat kepada Nabi Adam a.s, Iblis telah berjanji kepada Allah.

Janji itulah yang menyebabkan tidak ada seorang pun keturunan Adam yang terlepas dari gangguan Iblis ini.

Apa janji Iblis tersebut?

Janji Iblis ini Allah telah rakamkan di dalam Surah Al-A’raf ayat 16 dan 17:

Inilah janji Iblis yang menyebabkan manusia akan terus diganggu Iblis dan keturunannya termasuklah gangguan berbentuk bisikan iblis di dalam hati.

Maksudnya:

“Iblis berkata: Oleh kerana Engkau (wahai Tuhan) menyebabkan daku tersesat (maka) demi sesungguhnya aku akan mengambil tempat menghalangi mereka (dari menjalani) jalan-Mu yang lurus. Kemudian aku datangi mereka dari hadapan mereka serta dari belakang mereka, dan dari kanan mereka serta dari kiri mereka dan Engkau tidak akan mendapati kebanyakan mereka bersyukur”

Dan diantara salah satu cara Iblis nak memesongkan manusia dari jalan yang benar, jalan yang diredhai Allah ialah melalui bisikan kepada hati-hati manusia.

Di dalam artikel ini, saya akan kongsikan dengan anda bagaimana untuk melawan bisikan syaitan yang sentiasa terlintas di dalam hati-hati kita.

Jenis-Jenis Bisikan Syaitan

Ibnul Qayyim menyebutkan ada enam jenis bisikan syaitan yang berasal dari syaitan. Enam jenis bisikan tersebut ialah:

  1. Membuatkan kita sibuk berandai-andai/berkalau-kalau.
  2. Membuatkan kita cemas memikirkan perkara yang belum jadi.
  3. Membuatkan kita selalu memikirkan tentang perkara-perkara yang keji.
  4. Mengkhayalkan kita tentang perkara-perkara yang mustahil.
  5. Membuatkan manusia terfikir untuk melakukan dosa.
  6. Membuatkan kita ragu-ragu tentang kewujudan Allah.

1) Membuatkan Manusia Sibuk Berandai-Andai

Apa maksudnya?

Begini. Pernah tak apabila telah berlaku sesuatu yang anda tak inginkan, kemudian anda terfikir:

“Kalaulah aku buat begini, mesti takkan jadi begini”

Pernah tak anda alami situasi begini? Mesti pernahkan. Ketahuilah bahawa itu adalah bisikan yang datang daripada syaitan.

Jadi kalau berlaku sesuatu yang tidak kita inginkan, apa yang sepatutnya dilakukan?

Rujuk hadis di bawah:

Rasulullah s.a.w telah bersabda, “Sekiranya sesuatu yang buruk telah menimpamu, maka janganlah engkau katakan “kalaulah aku melakukan begini dan begitu, tentu akan jadi begini dan begitu”, tetapi katakanlah “ini takdir Allah, apa yang Dia kehendaki akan berlaku” Kerana kalimat seandainya itu akan membuka (pintu) perbuatan syaitan” (Hadis riwayat Muslim)

Kenapa perkataan ‘kalau’ itu dapat membuka pintu syaitan?

Ini kerana:

  1. Ia akan membuka pintu kesedihan, penyesalan dan mungkin kebencian yang susah untuk dihilangkan.
  2. Ia merupakan satu adab yang buruk terhadap Allah s.w.t kerana Dialah yang telah mentakdirkan berlakunya sesuatu.

Cara terbaik apabila anda berhadapan dengan perkara yang buruk ialah redha dan sabarlah dengan musibah tersebut.

Yakinlah bahawa ianya adalah ketetapan Allah dan pastinya ada sesuatu hikmah disebaliknya yang kita tidak tahu.

2) Membuatkan Kita Cemas Memikirkan Sesuatu Yang Belum Terjadi

Bisikan syaitan yang kedua ialah dia selalu akan membisikkan kepada kita supaya risaukan sesuatu perkara yang belum lagi terjadi.

Apabila kita sentiasa berada dalam keadaan cemas, ketika ini syaitan akan mudah untuk mengawal hati dan akal kita dan menghasut kita melakukan sesuatu yang berdosa.

3) Membuatkan Kita Terfikir Perkara-Perkara Yang Keji

Syaitan akan cuba mencari ruang untuk sentiasa membisikkan kejahatannya.

Contoh mudah, katakanlah lalu dihadapan anda seorang wanita yang tidak menutup aurat dan berpakaian yang tidak sepatutnya, ketika inilah syaitan akan membisikkan perkara keji kepada anda.

Bisikannya begitu dahsyat sehingga anda terbayang-bayangkan perkara keji dan maksiat.

Bahkan jika anda terpengaruh dengan bisikan syaitan tadi, maka anda akan menuruti apa yang anda fikir dan bayangkan.

Sebab itulah dalam Islam mengajar bagi lelaki jika terpandang aurat wanita, segeralah menundukkan pandangan.

Dan begitu juga bagi wanita diwajibkan menutup auratnya dengan sempurna. Ini bertujuan jangan sampai syaitan membisikkan kejahatan kepada kita sehingga kita terpengaruh dengan bisikannya.

4) Mengkhayalkan Kita Dengan Perkara-Perkara Yang Mustahil

Bisikan syaitan yang seterusnya ialah di dalam perkara-perkara yang mustahil akan berlaku.

Contohnya seseorang yang membayangkan sekira dirinya menjadi Nabi, ataupun perkara-perkara lain yang memang mustahil akan berlaku.

Syaitan membisikkan perkara begini supaya manusia sentiasa berada dalam keadaan yang sia-sia dan membuang masa memikirkan sesuatu yang mustahil berlaku.

5) Membuatkan Manusia Terfikir Untuk Melakukan Dosa

Pernahkah terlintas di dalam fikiran anda untuk melakukan sesuatu dosa? Contohnya terfikir untuk berzina? Nauzubillah hi min zalik.

Ini juga salah satu daripada bisikan-bisikan syaitan. Sememangnya itulah tugas syaitan iaitu mengajak manusia untuk melakukan dosa.

Jika terlintas difikiran anda untuk melakukan dosa, cepat-cepatlah beristighfar kepada Allah dan mintalah perlindungan daripada-Nya.

Kerana syaitan sedang berbisik kepada anda.

6) Membuatkan Kita Ragu-Ragu Dengan Kewujudan Allah

Syaitan juga akan meniupkan bisikannya kepada kita berkaitan dengan hal-hal ketuhanan.

Contohnya seperti di mana Allah sekarang? Allah sedang buat apa? Syaitan juga bijak.

Adakalanya dia tidak akan membisikkan secara terus. Dia akan mengaitkan dengan sesuatu perkara, membuatkan kita terfikir-fikir dan kemudian dia akan membisikan perkara yang membuatkan kita ragu-ragu dengan Allah.

Contohnya, dalam keadaan sekarang di mana umat Islam banyak yang diseksa dan dizalimi, syaitan akan membisikkan kepada kita, kenapa Allah membiarkan umat Islam diseksa? Dan pelbagai lagi soalan-soalan.

Ini akan menimbulkan bermacam-macam persoalan yang boleh menjadikan kita akhirnya terpengaruh dengan bisikan-bisikan ini.

Bagaimana Melawan Bisikan Syaitan?

Setelah saya kongsikan enam strategi syaitan menanamkan bisikannya ke dalam hati anda, persoalan seterusnya ialah bagaimana nak melawan bisikan syaitan tersebut?

Untuk menghadapi strategi syaitan ini, kita pun perlu ada strategi. Ianya juga adalah satu strategi jangka panjang yang perlu anda lakukan.

Pertama: Dalami Ilmu

Ini adalah strategi paling ampuh. Anda perlu mempunyai ilmu bagi menghadapi bisikan syaitan ini. Ilmu yang bagaimana?

Pertama dan paling penting sekali ialah ilmu akidah. Apabila akidah kita mantap, bisikan syaitan yang mempersoalkan pokok-pokok akidah akan berjaya kita tepis.

Kedua ilmu akhlak. Ilmu akhlak akan membenihkan sifat-sifat mulia di dalam hati kita.

Contohnya sifat malu. Sifat malu adalah satu sifat yang mulia sehingga Nabi mengatakan malu itu sebahagian daripada iman.

Orang beriman kena ada sifat malu. Bila ada sifat malu, pertama sekali kita akan malu dengan Allah. Hati kita malu untuk memikirkan perkara-perkara yang jijik dan dosa.

Kita akan malu dengan manusia. Wanita terlebih lagi kena tinggi sifat malunya. Wanita yang tinggi perasaan malunya, tidak dengan sesuka hati mendedahkan auratnya untuk tontonan orang.

Wanita Islam yang tidak malu mendedahkan auratnya, imannya bermasalah. Lelaki yang mempunyai sifat malu pula, akan malu untuk memandang aurat wanita yang bukan mahramnya.

Ketiga ilmu berkaitan dengan ibadah. Ini juga penting. Kerana ibadah yang betul akan meningkatkan iman.

Tapi bagaimana nak betul ibadahnya jika tidak ada ilmu. Dengan ilmu, inshaaAllah betullah ibadahnya.

Betul ibadahnya inshaaAllah kuatlah imannya. Dan apabila kuat imannya, inshaaAllah akan lahirlah akhlak yang baik. Kerana akhlak itu adalah buah kepada iman.

Kedua: Jangan Dipraktikkan

Apa sahaja bisikan syaitan yang datang, lawanlah bisikan tersebut. Dan paling penting jangan dipraktikkan.

Itu yang saya katakan tadi bahawa strategi pertama yang paling penting ialah kena mendalami ilmu.

InshaaAllah dengan ilmu kita akan tahu apa sahaja lintasan jahat yang terlintas dihati dan difikiran kita sebenarnya adalah bisikan syaitan.

Dengan iman yang kuat, inshaaAllah kita akan mampu menolak dan tidak akan mempraktikkannya terutamanya bisikan yang mengajak untuk melakukan maksiat.

Ketiga: Mohon Perlindungan Dari Allah

Pergantungan dengan Allah tidak boleh sama sekali diabaikan. Kerana Allah yang memberi kekuatan kepada kita untuk melawan bisikan syaitan.

Dari Abu Hurairah r.a bahawasanya Rasulullah s.a.w telah bersabda:

“Syaitan mendatangi kalian dan akan membisikkan: “Siapa yang menciptakan ini? Siapa yang menciptakan itu?, sampai akhirnya dia akan membisikkan, “Siapa yang menciptakan tuhanmu? Jika sudah demikian, maka segeralah minta perlindungan kepada Allah dan berhenti (yakni tidak memikirkannya). (Hadis riwayat Bukhari 3276 dan Muslim 134)

Jadi mohonlah perlindungan kepada Allah dengan mengucapkan “ta’awudz” iaitu Au’zubillah hi minasy syaitonnir rajim (Aku berlindung kepada Allah dari syaitan yang direjam).

Kesimpulan

Hakikatnya segala tipu daya termasuk bisikan syaitan adalah lemah. Ini telah ditegaskan oleh Allah sendiri di dalam banyak ayat-ayat Al-Quran.

Dan oleh kerana tipudaya syaitan itu lemah, tidak akan terpedaya dengan tipudaya syaitan itu melainkan orang-orang yang lemah iman dengan pergantungannya kepada Allah.

Semoga Allah menyelamatkan kita semua dan memasukkan kita ke dalam golongan hamba-hambaNya yang beriman dan bertawakal kepada-Nya.

Follow saya di sosial media:
Bagaimana Melawan Bisikan Syaitan Di Dalam Hati?
Scroll to top
error: Maaf. Artikel ini tidak dibenarkan untuk copy!!