Anda tengah was-was ke samada dalam badan ada sihir atau tak? Tidak lagi bila anda dapatkan 2 video percuma ni. Klik di sini.

Ilmu Tenaga Dalam Menurut Pandangan Islam (Bahagian 1)

ilmu tenaga dalam

Dikemaskini pada 22/10/2017 oleh Ustaz Abdullah

Kalau kita melihat group-group yang aktif di media-media sosial, terutamanya facebook, kita akan menemui tentang group-group yang memperkenalkan atau menyebarkan tentang kehebatan ilmu tenaga dalam. Mereka mempamerkan kehebatan mereka mampu menjatuhkan musuh hanya dari jauh, tubuh badan mereka kebal dari senjata tajam, dan sebagainya.

Masyarakat yang menyaksikannya pula, mempunyai pelbagai tafsiran dan pandangan. Ada yang merasakan ilmu tersebut benar dengan alasan ilmu Allah itu luas. Ada pula yang menolaknya dengan berhujah ianya ilmu yang tidak pernah diajarkan oleh Nabi kepada para sahabatnya.

Disamping itu, tak kurang juga dikalangan masyarakat yang terpesona dengan kehebatan aksi-aksi luar biasa yang ditunjukkan oleh golongan-golongan pengamal ilmu tenaga dalam ini. Ini kerana, keghairahan golongan media yang menemuramah ‘tok guru’ mereka turut memuji dan mengkagumi aksi-aksi begini. Persoalan paling penting sekali di sini, bagaimanakah pandangan dan penerimaan Islam tentang ilmu tenaga dalam ini?

InshaaAllah dalam artikel kali ini, saya akan kongsikan dengan anda.

Definisi Tenaga Dalam

Dari pelbagai rujukan, secara kesimpulannya, ilmu tenaga dalam dapatlah didefinisikan sebagai ilmu untuk mempelajari atau membangkitkan kekuatan/tenaga dalam (inner power) dengan menggunakan cara-cara tertentu.

Antara cara-caranya ialah mempelajari teknik-teknik pernafasan dengan jurus-jurus tertentu dan juga dengan cara bermeditasi (bertafakur).

Setelah saya melakukan kajian pembacaan dari sumber-sumber yang diyakini, saya menemui pengakuan dari mereka-mereka yang pernah terlibat dengan amalan ilmu tenaga dalam ini mengatakan bahawa di dalamnya terdapat beberapa bentuk kesyirikan iaitu:

  • Dengan mempelajari tenaga dalam (ilmu metafizika), mereka yang mempelajarinya akan menjadi sakti, iaitu dengan cara menyalurkan tenaga ke bahagian badan tertentu.
  • Dengan kekuatan fungsi jurus, mereka mampu mengalahkan musuh hanya dari jarak jauh.
  • Ketika melakukan latihan untuk mengaplikasikan jurus tenaga dalam itu, seseorang itu dimestikan untuk berada dalam keadaan marah sebagai persediaan untuk menyerang musuh.
  • Dengan ilmu tenaga dalam juga diajarkan seseorang untuk menjadi dukun/bomoh. Jangan terkejut di zaman sekarang ini, mereka yang belajar tenaga dalam juga ada dalam imej seorang ustaz, kiyai, imam dan sebagainya. Tujuannya untuk menutup kesyirikan yang ada dalam ilmu tersebut. Diantara bentuk-bentuk perdukunan yang diajar ialah cara membuat seseorang jatuh cinta, ilmu menjadikan orang sakit, teknik penyembuhan, mengesan barang yang hilang, cara untuk mengetahui masa lalu dan masa depan, dan juga teknik untuk mengetahui isi hati orang lain.
  • Di dalam ilmu ini juga ada diajarkan teknik untuk ‘mengisi’ benda hidup ataupun benda mati untuk tujuan sesuatu keperluan.
  • Di dalam ilmu tenaga dalam ada diajarkan teknik pembentengan benda hidup atau mati dari segala bahaya.
  • Di dalam ilmu tenaga dalam ada diajarkan teknik mengusir jin pengganggu.

Itulah beberapa bentuk kesesatan dan penyimpangan yang terdapat diajarkan di dalam ilmu tenaga dalam.

Pandangan Islam

Apabila kita hendak mempelajari sesuatu, maka suka atau tidak, kita perlu melihatnya dari sudut pandangan agama Islam. Kerana hanya jika kita mempelajari dan mengamalkan sesuatu yang selari dengan kehendak Al-Quran dan Sunnah sahajalah jalan yang kita tempuh itu akan berada pada jalan yang betul dan selamat.

Ini bertepatan dengan apa yang disabdakan oleh Nabi Muhammad s.a.w:

“Aku telah tinggalkan kepada kamu dua perkara, Kamu tidak akan tersesat selama berpegang kepada keduanya, iaitulah Kitab Allah dan Sunnah Rasul-Nya (Hadits Shahih Lighairihi, H.R. Malik; al-Hakim, al-Baihaqi, Ibnu Nashr, Ibnu Hazm. Dishahihkan oleh Syaikh Salim al-Hilali di dalam At Ta’zhim wal Minnah fil Intisharis Sunnah, hlm. 12-13).

Jadi, sebelum saya menjelaskan pandangan Islam tentang ilmu ini, ada sesuatu yang perlu kita sedar. Iaitu agama Islam ini telah Allah sempurnakan dari seluruh aspek, baik dari segi keilmuan dan peribadatan. Ini berdasarkan firman Allah di dalam Surah Al-Maidah ayat 3 yang bermaksud:

“…Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu dan Aku telah redakan Islam itu menjadi agama untuk kamu.”

Manakala Rasulullah s.a.w pula telah diutuskan oleh Allah untuk membawa ilmu yang bermanfaat dan juga menunjukkan amal-amal soleh. Sepertimana yang telah difirmankan oleh Allah s.w.t di dalam Surah At-Taubah ayat 33 yang bermaksud:

“Dialah yang telah mengutus RasulNya (Muhammad) dengan membawa petunjuk dan agama yang benar (agama Islam), untuk dimenangkan dan ditinggikannya atas segala agama yang lain, walaupun orang-orang musyrik tidak menyukainya” 

Imam Ibnu Kathir rahimahullah berkata: Petunjuk adalah apa yang dibawa oleh Baginda baik berupa berita-berita yang benar, keimanan yang benar dan ilmu yang bermanfaat. Maksud agama yang benar ialah amal-amal soleh yang benar lagi bermanfaat untuk keselamatan di dunia dan di akhirat. (Tafsir Ibnu Kathir: 2/425, cet. Dar al-Fikr).

Oleh kerana itulah di dalam Islam telahpun ada penjelasan tentang ilmu yang bermanfaat, di mana ilmu tersebut dapat membawa seseorang kepada keredhaan Allah s.w.t, dapat memberikan ketenteraman jiwa, serta menjadi keselamatan untuk kita di dunia, lebih-lebih lagi diakhirat.

Dan begitu juga sebaliknya, di mana Islam juga telah memberikan penjelasan tentang ilmu yang tidak bermanfaat kerana ianya mendatangkan kecelakaan kepada mereka yang mempelajari dan mengamalkannya.

Jadi bagaimana ilmu yang bermanfaat itu?

Ilmu yang bermanfaat ialah ilmu yang berdasarkan kepada Al-Quran dan Sunnah serta yang difahami sesuai dengan pemahaman para salafus soleh, di mana para salafus soleh adalah generasi umat Islam yang terbaik sekali.

Manakala ilmu yang tidak bermanfaat pula ialah ilmu yang bertentangan dengan prinsip di atas di mana kita dilarang sama sekali untuk mempelajari dan mengamalkannya. Ini kerana ilmu tersebut hanyalah akan merosakkan dan juga memberikan kesan yang buruk, baik kepada mereka yang cuba mempelajarinya ataupun orang-orang lain. Contohnya seperti ilmu sihir, ilmu hitam, ilmu kebatinan dan juga lain-lain ilmu yang seumpama dengannya.

Berkenaan dengan pandangan dan juga kritikan Islam terhadap ilmu tenaga dalam dan juga yang seumpama dengannya, ianya dapatlah dihuraikan secara umum dan juga terperinci. Memandangkan artikel ini sudah agak panjang, maka untuk kali ini, saya akan kongsikan kritikan secara umum dulu. Selebihnya saya akan kongsikan dalam artikel akan datang.

Kritikan Ilmu Tenaga Dalam Secara Umum

Pertama: Ilmu tenaga dalam dan juga yang sewaktu dengannya adalah suatu bentuk ilmu yang baharu dan tidak ada sandarannya, baik dari Al-Quran mahupun dari petunjuk Nabi s.a.w. Rasulullah s.a.w tidak pernah mengajarkan kepada para sahabatnya ilmu tenaga dalam ini.

Sedangkan, jika dilihat pada suasana ketika itu, di mana para sahabat ramai yang ditindas dan dizalimi, bahkan Rasulullah s.a.w sendiri berdepan dengan ancaman bunuh demi menyebarkan dakwah, secara logiknya sudah tentulah ilmu sebegini sangat diperlukan.

Dan ketika sampai zaman khulafa ar-rashidin pun banyak berlakunya aktiviti jihad yang memerlukan kepada ilmu sebegini. Tetapi adakah ianya berlaku sepertimana yang kita lihat di zaman sekarang? Tidak sama sekali.

Rasulullah s.a.w tidak pernah mengajarkan kepada para sahabat baginda yang terlibat dengan banyak peperangan. Jika difikirkan kembali, kalaulah memang ilmu sebegini bermanfaat untuk pertahanan diri dan dapat menjatuhkan musuh dari jarak jauh, sudah tentulah Rasulullah s.a.w akan mengajarkan kepada para sahabat baginda dan juga pastilah para sahabat baginda akan mewariskannya kepada generasi terkemudian.

Akan tetapi, realitinya perkara tersebut tidak pernah berlaku sama sekali. Jadi jelaslah bahawa ilmu tersebut termasuk dalam ilmu yang tidak bermanfaat dan menyimpang dari landasan agama Islam yang suci.

Rasulullah s.a.w telah bersabda:

“Barangsiapa yang membuat suatu perkara baru dalam urusan kami ini (urusan agama), yang tidak ada asalnya, maka perkara tersebut tertolak” (Riwayat Bukhari no 2697 dan Muslim no 1718)

Kedua: Ilmu tenaga dalam itu sendiri bukan berasal dari Islam. Tenaga dalam ataupun disebut juga sebagai krachtologi oleh orang-orang Mesir kuno, berasal dari kata “logos” yang beerti belajar dan juga “krachtos” yang bererti tenaga.

Dari Mesir, Krachtologi ini berkembang sehingga ke Babylon, Yunani, Romawi dan juga Persia. Di Persia tenaga semacam ini dinamakan Dacht. Dalam Dahtayana disebutkan bahwa pada suku Bukht dan Persia, terkenal ilmu perang dinamakan Dahtuz iaitu dapat menjatuhkan musuh hanya dari jarak jauh. Kaum bangsawan Persia dilatih sejenis senaman waktu dinihari sehingga mereka mempunyai tenaga Daht itu.

Berdasarkan sejarah di atas, telah memperkuatkan kenyataan bahawa ilmu ini tidak berasal dari Islam, ianya adalah suatu yang bid’ah, bahkan dikhuatiri membawa kepada kesyirikan, bahkan tidak bermanfaat di dalam agama Islam. Seperti yang saya sebutkan di awal tadi, sekiranya ilmu tersebut bermanfaat kepada umat manusia, sudah tentulah Allah akan menjelaskan manfaat dan hakikat ilmu tersebut kepada rasul utusan-Nya.

Oleh itu sedarlah kita bahawa ilmu yang diajarkan kepada masyarakat ini merupakan suatu kebohongan dan kebatilan. Tetapi untuk mengelakkan ianya dilihat sebagai suatu yang batil dan menyimpang, maka guru-guru yang mengajar ilmu tersebut menamakannya dengan nama-nama Islam yang indah, bahkan mereka sendiri menonjolkan imej mereka dengan imej agama iaitu dengan berserban, memakai songkok atau kopiah, berjubah dan sebagainya.

Ketiga: Dalam ilmu tenaga dalam ini terdapat pokok kesesatan dan kesyirikan yang sangat banyak.

Keempat: Dan akibat buruk yang paling ketara apabila seseorang itu mempelajari ilmu tenaga dalam ini ialah hilangnya rasa bertawakal dan berserah diri kepada Allah. Ini kerana mereka telah dikaburi dengan kebolehan luar biasa mereka seperti mampu mengalahkan musuh dari jarak jauh, diri kebal dari segala senjata tajam, sehingga syaitan membisikkan ke dalam hati mereka bahawa mereka tidak perlukan bantuan sesiapa pun.

Sedangkan Islam mengajar kita bahawa semua yang berlaku adalah dengan kehendak dan izin Allah semata, maka dengan itu manusia mesti bertawakal dan berserah diri kepada Allah dan meminta pertolongan kepada-Nya untuk mendapatkan perlindungan dan keselamatan dari segala bahaya dan malapetaka.

Kelima: Jika anda perasan, di dalam pembelajaran ilmu tenaga dalam ini, ada satu kaedah yang boleh dikatakan wajib ada, iaitulah bertafakur, atau bermeditasi. Ini adalah satu cara yang bid’ah dan tidak ada sandaran dari Al-Quran dan Sunnah.

Bahkan amalan bermeditasi dapat dijumpai di dalam agama-agama lain. Ianya telah dipraktikkan sejak dari zaman dahulu lagi yang dikenali di dalam bahasa Sansekerta dengan dhyana. Meditasi di dalam salah satu aliran Budha Mahayana dikenali sebagai zen. Amalan ini adalah salah satu usaha untuk membawa kesedaran menuju samadi.

Tujuan utama dari amalan meditasi tersebut adalah untuk menyatukan jiwa dengan Tuhan yang dikenali di dalam dunia Tasawuf dengan istilah (Itti­haad) yakni Allah s.w.t bersatu dengan makhluk. Maha suci Allah dari keyakinan yang kufur ini. Ti­dak diragukan lagi bahawa konsep dan ajaran yang seperti ini bertentangan dengan aqidah islamiyah.

Itulah sumber pengambilan amalan meditasi yang terdapat di dalam pembelajaran ilmu tenaga dalam ini. Akhirnya ia akan membawa kepada kebatilan, kesyirikan dan praktik kesesatan yang mistik.

Jadi, apakah semua amalan bertafakur itu termasuk dalam bid’ah dan sesat? Jawapannya ialah tidak. Adapun meditasi atau bertafakur yang mengikut syariat ialah tafakur dengan cara memerhatikan makhluk ciptaan Allah, penciptaan langit dan bumi, alam semesta dan sebagainya. Tujuan bertafakur adalah untuk menjadikan kita berfikir dan merenung alam ciptaan yang mana merupakan bukti dan tanda-tanda kewujudan, keesaan, kekuasaan dan kehebatan Allah s.w.t.

Tafakur yang begini caranya akan menjadikan seseorang lebih termotivasi dirinya untuk mengabdikan diri kepada Allah, mengagungkan dan melaksanakan semua perintah-Nya dan akhirnya meningkatkan tahap keimanan mereka. Kerana itulah Allah berfirman di dalam Surah Ali-Imran ayat 190 dan 191 yang bermaksud:

Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal. (190) (Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab Neraka”

Inilah tujuan utama daripada amalan bertafakur. Untuk memerhati, mengingati dan memikirkan kebesaran Allah melalui ciptaan Allah sepertimana penciptaan langit dan bumi, serta siang dan malam. Bukan amalan bertafakur itu untuk mendapatkan ilmu tenaga dalam. InshaaAllah artikel ini akan bersambung dalam bahagian yang kedua.

Sumber rujukan:

Anda Dapat Sesuatu?

Jika ya, jangan lupa untuk kongsikan artikel yang anda baca ini dengan rakan-rakan anda yang lain. Anda juga boleh melanggan artikel terbaru saya terus melalui emel. Klik di sini untuk melanggan.

Follow saya di sosial media:
Ilmu Tenaga Dalam Menurut Pandangan Islam (Bahagian 1)
Scroll to top
error: Maaf. Artikel ini tidak dibenarkan untuk copy!!