Anda tengah was-was ke samada dalam badan ada sihir atau tak? Tidak lagi bila anda dapatkan 2 video percuma ni. Klik di sini.

Bagaimana Membezakan Diantara Tangisan Manusia & Tangisan Dari Jin?

Dikemaskini pada 04/10/2018 oleh Ustaz Abdullah

Assalamualaikum pembaca yang dihormati,

Dari pengalaman saya ketika merawat pesakit yang diganggu oleh jin, ada sesetengah keadaan di mana ketika diruqyah, pesakit itu menangis teresak-esak.

Persoalannya di sini ialah bagaimana untuk membezakan diantara tangisan yang memang datang dari diri pesakit, atau tangisan itu sebenarnya tangisan yang datang dari jin yang ada di dalam badan pesakit/.

Ini kerana, ada sesetengah pesakit yang datang mendapatkan rawatan, sebenarnya bukanlah berpunca dari gangguan jin, tetapi sebenarnya berpunca dari masalah lain.

Sebagai contoh, ada pesakit yang kelihatan seperti mengalami gangguan jin jika dilihat dari simtom-simtom yang dialaminya, tetapi hakikatnya bukanlah itu masalahnya. Masalah sebenarnya ialah dia mengalami gangguan emosi seperti stress atau kemurungan.

Oleh kerana itu, ketika dirawat, pesakit yang mengalami masalah stress ini juga berkemungkinan boleh bereaksi menangis. Jadi, sangat penting untuk kita dapat membezakan diantara tangisan yang berpunca dari gangguan jin ataupun bukan, terutamanya kepada mereka yang mungkin baru di dalam bidang perubatan Islam.

Jika kita menganggap semua yang menangis itu berpunca dari gangguan jin, kemungkinan apabila kita cuba untuk berdialog atau menyuruh jin itu keluar, tidak ada sebarang respon yang berlaku.

Ini kerana, yang menangis itu sebenarnya bukanlah disebabkan oleh jin, tetapi disebabkan masalah lain, seperti stress, kemurungan atau sebagainya. Maka sia-sialah usaha kita kerana rawatan yang diberikan tidak sesuai dengan penyakitnya.

Tangisan Kerana Takutkan Allah & Tangisan Kerana Jin

Dari apa yang saya lihat dalam sesi rawatan saya, pesakit yang menangis ketika dirawat ini, saya letakkan dalam 2 kategori. Satu yang menangis kerana mengenangkan masalah yang dihadapi, dan yang keduanya menangis kerana gangguan jin.

Ini kerana, selepas selesai sesi merawat, saya akan bertanyakan kepada pesakit saya, mengapa menangis. Biasanya kalau yang bukan disebabkan gangguan jin, dia akan beritahu kepada saya bahawa dia menangis kerana memikirkan masalah yang dihadapi.

Bagi yang menangis kerana disebabkan gangguan jin, biasanya mereka ini tidak sedar pun yang mereka sedang menangis. Ada juga yang sedar, tetapi mereka mengakui tidak dapat mengawal diri untuk tidak menangis.

Secara peribadi. saya bersetuju dan yakin dengan apa yang dinyatakan oleh pesakit saya. Ini kerana,  menurut Syeikh Abu Nashr Muhammad al-Imam di dalam kitabnya “Ahkaamu atta’aamuli ma’al jinni wa adabur ruqa asy-syar’iyyah” (أحكام التعامل مع الجن و آداب الرقي الشرعية) hal.55 adalah :

البكاء بالقلب و دمع العين فقط هذا من خشية الله

“Tangisan yang datang dari hati dan hanya mengeluarkan air mata sahaja, maka tangisan ini adalah disebabkan perasaan takut kepada Allah”.

Menurut beliau pula, tangisan yang berpunca dari gangguan jin adalah:

البكاء مع الضرب بالبدن و الصياح باللسان فهو من الشيطان

“Tangisan yang diikuti dengan adanya pukulan pada badan dan juga teriakan pada lisan, maka ini adalah tangisan yang berpunca dari gangguan jin.

Selain itu juga, tangisan yang berpunca dari gangguan jin juga akan diikuti dengan adanya rasa gementar pada anggota badan pesakit, tangan menjadi kejang, jari-jemari pesakit seperti hendak mencakar atau menumbuk, kaki yang menendang dan sebagainya.

Maka, kesimpulannya, tangisan yang datang dari diri pesakit sendiri, biasanya hanyalah sekadar mengeluarkan air mata sahaja. Ini disebabkan pesakit sebenarnya berada dalam keadaan stress atau berhadapan dengan masalah besar dalam hidupnya.

Ataupun, ada juga yang menangis kerana pesakit tersebut telah melakukan dosa yang besar, dan merasa benar-benar insaf serta mahu bertaubat. jadi, apabila dibacakan ayat-ayat al-Quran, bacaan tersebut sangat memberikan kesan sehingga membuatkan pesakit tadi menangis.

Manakala tangisan yang berpunca dari gangguan jin pula biasanya tidak hanya mengeluarkan air mata sahaja. Ianya akan diikuti oleh tindakan agresif dari pesakit. Contohnya pesakit menjerit dan memaki hamun perawat, atau memukul-mukul badannya sendiri, dan sebagainya.

jadi, sekiranya anda berhadapan dengan pesakit yang berkeadaan sedemikian, dapatlah anda memberikan solusi yang terbaik, bergantung kepada masalah yang dihadapinya. Semoga perkongsian ini memberikan manfaat kepada semua.

tanda sihir

Anda Dapat Sesuatu?

Jika ya, jangan lupa untuk kongsikan artikel yang anda baca ini dengan rakan-rakan anda yang lain. Anda juga boleh melanggan artikel terbaru saya terus melalui emel. Klik di sini untuk melanggan.

 

Follow saya di sosial media:
Bagaimana Membezakan Diantara Tangisan Manusia & Tangisan Dari Jin?
Scroll to top
error: Maaf. Artikel ini tidak dibenarkan untuk copy!!