Doa-Doa Pelindung Diri & Cara Amalannya

doa pelindung diri
Jangan baca seorang. Kongsikan manfaat.

Dikemaskini pada oleh Ustaz Abdullah

Doa adalah senjata buat orang-orang beriman dan seharusnya bagi setiap orang beriman untuk sentiasa menggunakan senjata tersebut.

Ini kerana ramai dikalangan kita yang mengambil ringan akan hal tersebut. Tambahan pula banyak ayat-ayat di dalam Al-Quran yang menunjukkan tuntutan untuk setiap insan itu berdoa kepada Allah.

Antaranya firman Allah di dalam surah Al-Araf ayat 55:

“Berdoalah kepada Tuhan kamu dengan merendah diri dan (dengan suara) perlahan-lahan. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas”

Kelebihan Berdoa Di Dalam Islam

Islam sangat-sangat menggalakkan kepada penganutnya agar sentiasa berdoa. Galakan ini dapatlah kita perhatikan dari firman Allah di dalam surah Ghafir ayat 60:

“Dan Tuhan kamu berfirman: Berdoalah kamu kepada-Ku, nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu” (QS 40:60)

Amalan berdoa yang dilakukan oleh kita menunjukkan sikap penghambaan yang tinggi dari seorang hamba kepada Penciptanya.

Apabila seseorang itu berdoa dengan bersungguh-sungguh, itu menunjukkan bahawa dia sedar dirinya penuh dengan kelemahan, serba kekurangan dan sangat mengharapkan pertolongan kepada Allah.

Antara kelebihan-kelebihan yang akan didapati dari amalan berdoa ini ialah:

  1. Dapat memberikan ketenangan di dalam hati. Ini kerana dengan berdoa, kita dapat meluahkan segala masalah kita secara direct kepada Allah dan ditambah pula kita yakin bahawa Allah Maha Mendengar segala permintaan kita dan Dia juga Maha Berkuasa untuk memberikan pertolongan kepada kita.
  2. Doa yang datang dari hati yang penuh khusyuk, pasrah dan yakin kepada Allah inshaaAllah akan dimakbulkan kerana Allah telah berfirman di dalam Al-Quran sepertimana dalam ayat di atas tadi.
  3. Berdoa dapat membuang jauh-jauh sifat sombong dari diri kita. Ini berlaku apabila kita berdoa dalam keadaan kita lemah dan kita yakin bahawa tidak ada sesiapa yang dapat memberikan pertolongan selain Allah.
  4. Sentiasa berdoa terutamanya apabila berada di dalam kesusahan dapat membuktikan seseorang itu benar-benar cintakan Rasulullah. Ini kerana Rasulullah juga sentiasa berdoa kepada Allah apabila Baginda di dalam kesusahan. 
  5. Berdoa dapat meningkatkan rasa keinsafan dalam diri betapa kita ini adalah manusia yang sangat kerdil dan lemah dihadapan Allah.

Doa Pelindung Diri Yang Diajarkan Nabi

Nabi Muhammad s.a.w adalah manusia paling sempurna yang pernah diciptakan oleh Allah. Tidak ada manusia lain yang dapat menandingi keistimewaan Baginda.

Jadi, sangat-sangat beruntunglah kita ini kerana Allah telah memilih kita untuk menjadi umat Baginda.

Sebagai tanda mensyukuri nikmat tersebut, sepatutnya kita menjadikan Rasulullah sebagai role model dalam segenap kehidupan kita. Ini juga bertepatan dengan firman Allah di dalam surah Al-Ahzab ayat 21:

“Demi sesungguhnya adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) hari Akhirat, serta dia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)”

Dalam berdoa juga begitu, doa-doa yang diajarkan Rasulullahlah yang paling layak untuk kita utamakan dan amalkan. Antara banyak-banyak doa yang diajarkan oleh Baginda ialah doa pelindung diri dan keluarga.

Mengapa Rasulullah mengajarkan kepada umatnya doa pelindung diri? Ini kerana setiap hari kita sentiasa terdedah kepada bahaya. 

Dan mungkin ada dikalangan kita yang tak berapa menyedari bahawa setiap saat kita ini dalam bahaya. Bahaya itu datangnya dari syaitan. Bukankah syaitan itu adalah musuh yang terang lagi nyata bagi manusia?

Allah s.w.t telah berfirman surah Al-Baqarah ayat 208 iaitu:

“Wahai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam keseluruhannya, dan janganlah kamu turuti jejak langkah syaitan itu. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu”

Selain bahaya yang datang dari syaitan, kita juga perlu perlindungan dari kejahatan manusia, dari bahaya ilmu hitam dan sebagainya.

Jadi, dalam artikel kali ini saya ingin kongsikan dengan anda doa-doa dan amalan-amalan yang menjadi sunnah Rasulullah s.a.w sebagai suatu ikhtiar terbaik untuk kita semua mendapat perlindungan dari Allah.

Doa-doa dan amalan yang saya kongsikan ini diharapkan dapatlah anda lakukan secara istiqamah. Ianya boleh digunakan sebagai pendinding dari gangguan syaitan, dari kejahatan manusia, dari serangan sihir dan ilmu hitam.

Selain anda mengamalkan untuk diri sendiri, sebaiknya ajarkanlah amalan-amalan di bawah kepada ahli keluarga anda. Ajak mereka untuk amal bersama-sama.

Pertama: Zikir Di Waktu Pagi Dan Petang

Amalan ini adalah berdasarkan kepada hadis riwayat Abu Dawud.

Anas bin Malik r.a telah berkata, bahawa Rasulullah s.a.w telah bersabda:

“Aku duduk bersama-sama orang-orang yang berzikrullah mulai dari waktu solat subuh hingga terbit matahari lebih aku cintai daripada memerdekakan empat orang budak dari putera Nabi Ismail. Dan aku duduk bersama orang-orang yang berzikrullah bermula dari solat Asar sampai terbenam matahari lebih aku cintai daripada memerdekakan empat orang budak”. (Hadis riwayat Abu Dawud: 3667, dihasankan oleh Al-Bani)

Apakah zikir-zikir yang nak dibaca?

Untuk memudahkan anda, saya sarankan anda boleh beli senaskhah buku Al-Mathurat yang ada dijual dikedai-kedai buku agama yang berhampiran dengan anda.

Kedua: Membaca Doa Sebelum Dan Selepas Keluar Tandas

Berapa ramai dikalangan kita yang mengabaikan amalan yang mudah ini? Ini juga sebenarnya adalah satu ikhtiar untuk perlindungan diri kerana tandas adalah tempat berkumpulnya jin. 

Kadang-kadang ada pesakit yang bertanyakan kepada saya apakah punca mereka diganggu jin. Sebenarnya dengan mengabaikan amalan inilah antara faktor yang boleh mendorong kepada berlakunya gangguan jin.

Amalan ini mudah. Pastikan anda masuk ke dalam tandas dengan kaki kiri terlebih dahulu. Dan sebelum masuk, bacalah doa di bawah:

“Allahumma inni a’uzubika minal khubusi wal khaba’is (Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepadamu dari godaan syaitan lelaki dan perempuan).” Hadis riwayat Bukhari dan Muslim.

Kemudian, apabila keluar dari tandas, keluarlah dengan kaki kanan terlebih dahulu. Dan bacalah doa di bawah:

“Ghufranak (Aku memohon ampun kepadaMu).”Hadis Riwayat An-Nasa’ie.

Ketiga: Jangan Biarkan Rumah Seperti Kuburan

Rumah adalah tempat untuk kita beristirehat. Jadi, sudah tentu kita mahu rumah yang menjadi tempat tinggal kita sentiasa di dalam keadaan tenang dan tenteram.

Rasulullah telah mengajar kita melalui hadis di bawah:

“Janganlah jadikan rumah kamu seperti kuburan. Sesungguhnya syaitan akan lari dari rumah yang dibacakan padanya surah Al-Baqarah”. (Hadis riwayat Muslim: 780)

Maksud rumah yang dijadikan seperti kuburan ialah rumah yang kosong daripada zikir dan ketaatan.

Keempat: Berwuduk Sebelum Tidur

Orang yang tidur dalam keadaan berwudhu akan didoakan keampunan dan keselamatan.

Al-Imam At-Thabrani meriwayatkan dari Ibnu Abbas r.a bahawa rasulullah s.a.w telah bersabda:

“Sucikanlah badan-badan kalian. Semoga Allah mensucikan kalian, kerana tidak ada seorang hamba pun yang tidur dalam keadaan bersuci melainkan satu Malaikat akan bersamanya di dalam syiar. Tidak satu saat pun dia membalikkan badannya melainkan satu Malaikat akan berkata, “Ya, Allah ampunilah hamba-Mu ini kerana dia tidur dalam keadaan suci”. 

Kelima: Bangun Menunaikan Solat Malam

Saya yakin mesti ramai yang dah tahu tentang kelebihan-kelebihan yang akan didapati apabila istiqamah menunaikan solat tahajjud.

Di dalam Al-Quran pun banyak ayat-ayat yang menganjurkan kepada kita untuk bangun menunaikan solat tahajjud, antaranya:

“Dan pada sebahagian malam hari solat tahajjudlah kamu” (surah Al-Isra ayat 79)

Diantara kelebihan apabila kita menunaikan solat tahajjud ini ialah kita akan diberikan pertolongan oleh Allah.

Ini kerana seseorang yang istiqamah dalam menunaikan solat tahajjud, dia sentiasa berdua-duaan bersama Tuhannya diwaktu semua orang sedang nyenyak tidur. Oleh kerana itu, adakah Allah akan melupakan hamba-Nya yang sentiasa bersama-Nya di tengah malam ini? Sudah tentu tidak.

Jika anda hendak sentiasa terpelihara dari bahaya sihir dan ilmu hitam, maka istiqamahlah menunaikan solat tahajjud.

Walaupun masih banyak lagi amalan-amalan yang boleh dilakukan untuk menjadi pelindung diri dari segala bahaya, saya rasa jika anda dapat istiqamah betul-betul lima perkara ini pun inshaaAllah anda akan dapat rasa hasilnya.

Kesimpulan

Doa adalah salah satu ibadah yang mudah dilakukan tetapi hebat kerana ianya adalah cara untuk kita berhubung terus dengan Allah s.w.t. Disamping itu, di dalam bab berdoa terdapat keluasan yang mana kita tidak semestinya perlu berdoa dengan doa yang diajar oleh Allah SWT di dalam al-Quran dan juga yang diajar oleh Nabi SAW di dalam hadith sahaja walaupun sebaik-baik doa atau lafaz doa adalah yang daripada Allah SWT dan Nabi SAW.

Kita boleh berdoa dengan apa jua doa sekalipun selagimana makna atau maksud doa tersebut adalah baik dan tidak bercanggah dengan agama. Selain itu juga, kita juga perlu meraikan beberapa adab-adab, syarat-syarat dan garis panduan di dalam berdoa agar doa yang dipanjatkan itu merupakan satu doa yang berkualiti tinggi. Akhirnya, semoga Allah SWT mengurniakan kita semua kesejahteraan yang berpanjangan serta menjauhkan kita daripada segala perkara yang tidak baik sama ada di dunia mahupun di akhirat. 

Anda Dapat Sesuatu?

Jika anda rasa artikel ini bermanfaat, sila kongsikan dengan rakan-rakan dan juga orang yang anda sayangi. Anda juga boleh melanggan artikel terbaru saya terus melalui emel. Klik di sini untuk melanggan.

Anda aktif menggunakan aplikasi telegram? Saya juga ada kongsikan ilmu-ilmu mahal tentang perubatan Islam melalui telegram. Berminat? Join channel telegram saya di sini.

 

Doa-Doa Pelindung Diri & Cara Amalannya
Jangan baca seorang. Kongsikan manfaat.

Ada pandangan tentang artikel di atas? Kongsikan pandangan anda dengan pembaca lain.

Scroll to top
error: Maaf. Artikel ini tidak dibenarkan untuk copy!!
%d bloggers like this: