ruqyah

Apakah Perbezaan Darussyifa & Ruqyah Syariyyah?

Jangan baca seorang. Kongsikan manfaat.

Dikemaskini pada oleh Ustaz Abdullah

Adakah selama ini anda keliru diantara Darussyifa dan juga Ruqyah?

Ada yang menyangka bahawa kedua-dua istilah di atas adalah kaedah rawatan yang berbeza. Sebenarnya tidak.

Saya rasa perkara ini penting untuk saya jelaskan supaya anda tidak keliru.

Kekeliruan bagaimana yang saya maksudkan? Contohnya macam apa yang pernah berlaku kepada seorang pesakit ini.

Ada seorang pesakit ini, dia bertanyakan kepada saya, adakah saya ini dari Darussyifa?

Saya katakan padanya bahawa saya bukanlah dari Darussyifa, tetapi kaedah rawatan saya menggunakan ruqyah syariyyah.

Apabila mengetahui bahawa saya bukan dari Darussyifa, terus pesakit tersebut tak jadi nak mndapatkan rawatan dari saya.

Saya agak mungkin pesakit itu rasa bahawa kaedah lain dari Darussyifa adalah kaedah yang tak syar’i.

Lepas dari kejadian itu, tergerak dalam hati saya untuk menulis artikel ini.

Di dalam artikel ini, saya akan kongsikan dan jelaskan kepada anda apakah perbezaan diantara Darussyifa dan Ruqyah.

Pengenalan Kepada Darussyifa

Darussyifa adalah sebuah pertubuhan perubatan Islam yang diasaskan oleh Almarhum Tuan Guru Dato Dr Harun Din al-Hafiz.

Ianya telah ditubuhkan secara rasmi pada 17 April 1988. Dinamakan sebagai Darussyifa kerana ianya adalah gabungan dari dua perkataan iaitu Dar dan juga Syifa.

Dar bermaksud rumah manakala syifa pula membawa maksud kesembuhan.

Matlamat utama kewujudan Darussyifa adalah untuk memberikan rawatan alternatif untuk merawat penyakit samada penyakit fizikal seperti kencing manis, ataupun penyakit spiritual iaitu yang berkaitan dengan makhluk halus.

Oleh kerana Darussyifa adalah satu pertubuhan yang bukan bermotifkan keuntungan, maka anda boleh mendapatkan rawatan di mana-mana cawangan Darussyifa seluruh Malaysia secara percuma sahaja.

Ya, percuma. Tidak ada sebarang bayaran tertentu dikenakan. Melainkan jika anda ingin menyumbang, pihak Darussyifa sangat mengalu-alukan sumbangan tersebut.

Kursus Pengubatan Islam

Darussyifa bukan sahaja menyediakan khidmat rawatan tetapi mereka juga ada menyediakan kursus-kursus dan seminar perubatan Islam setiap tahun.

Pada pandangan saya, kursus-kursus yang dianjurkan oleh mereka sangat baik untuk anda sertai. Khususnya kepada kaum lelaki.

Sebabnya, berdasarkan kepada pengalaman saya merawat pesakit-pesakit gangguan jin dan juga sihir, masalah ini adakalanya berlaku secara tiba-tiba tanpa disedari.

Apatahlagi yang melibatkan sihir. Ini kerana sihir berlaku tanpa kita sedari siapa penghantarnya. Boleh jadi sahabat kita sendiri, atau ahli keluarga kita.

Saya pernah dihubungi oleh pesakit pada jam 2 atau 3 pagi semata-mata untuk mendapatkan rawatan.

Bukankah mudah jika di dalam setiap keluarga ada sekurang-kurangnya seorang ahli keluarga yang boleh memberikan rawatan, walaupun yang paling asas.

Jadi sekiranya anda berminat untuk mendalami tentang ilmu perubatan Islam, khususnya berkaitan dengan gangguan jin, saya galakkan anda mengikuti kursus dari Darussyifa.

Ada yang tanya pada saya mengapa saya tidak menganjurkan kursus perubatan Islam? 🙂

Sebenarnya rancangan itu ada, tetapi masih belum ada kemampuan untuk melaksanakannya lagi buat waktu ini.

Anda doa-doakanlah agar Allah permudahkan saya untuk menganjurkan kursus perubatan Islam ini ye 🙂

Darussyifa Tipu?

Saya bukan niat nak memburukkan Darussyifa. Sebenarnya perkara ini berlaku disebabkan sifat tidak jujur dan amanah yang dilakukan oleh segelintir peserta-peserta kursus Darussyifa.

Bahkan ada sesetengahnya tidak pernah langsung mengikuti sebarang kursus perubatan Darussyifa, tetapi mereka ‘claim’ (mengaku) bahawa mereka dari Darussyifa.

Kes-kes sebegini pernah diceritakan sendiri oleh pesakit-pesakit yang datang berjumpa dengan saya. Sejauh mana kebenarannya, saya tidak pasti.

Mereka mengatakan bahawa mereka pernah mendapatkan rawatan dari seorang ustaz Darussyifa.

Tetapi apabila pesakit menceritakan kaedah rawatan yang digunakan, saya yakin bahawa perawat itu bukan dari Darussyifa.

Jadi untuk mengelakkan diri anda daripada tertipu dengan mereka yang mempergunakan nama Darussyifa, saya nasihatkan agar anda hanya mendapatkan rawatan dari senarai pusat rawatan yang ada di dalam laman web rasmi Darussyifa sahaja.

Tak dinafikan bahawa Darussyifa adalah antara perintis terawal pusat perubatan Islam di Malaysia.

Tak hairanlah jika mereka telah membuka banyak cawangan diseluruh Malaysia. Anda boleh dapatkan rawatan dari Darussyifa samada di Cheras, Gombak, Ipoh ataupun cawangan yang berhampiran dengan tempat tinggal anda.

Tapi seperti yang saya dah sebutkan sebelum ini, semak dulu senarai pusat rawatan Darussyifa seluruh Malaysia di laman web rasmi Darussyifa.

Ini kerana sekiranya ada kaedah rawatan yang digunakan bercanggah dengan kaedah syar’i, mudah untuk anda membuat aduan,

Dan pihak Darussyifa sendiri mudah untuk mengambil tindakan disiplin kepada mana-mana perawat mereka yang terbukti menggunakan kaedah yang bercanggah dengan Islam.

Apakah Ruqyah?

Ok, saya dah terangkan kepada anda tentang Darussyifa. Sekarang saya nak terangkan pula tentang apakah maksud ruqyah.

Kalau Darussyifa adalah nama bagi sebuah pertubuhan perubatan Islam, ruqyah pula adalah nama atau istilah bagi kaedah yang digunakan dalam rawatan.

Mungkin ada yang tidak tahu bahawa ruqyah itu sebenarnya adalah perkataan Bahasa Arab yang bermaksud jampi.

Ruqyah terbahagi kepada 2 bahagian iaitu:

  1. Ruqyah syariyyah
  2. Ruqyah syirkiyyah

Ruqyah Syariyyah

Untuk memudahkan anda memahami tentang ruqyah syariyyah, mari kita lihat pada maknanya.

Dari segi makna, ruqyah bermaksud jampi, manakala syariyyah pula bermaksud syarak.

Apabila digabungkan kedua-duanya, kita dapat memahami bahawa ruqyah syariyyah adalah suatu kaedah menjampi yang berlandaskan kepada syarak.

Di mana ianya menggunakan ayat-ayat Al-Quran dan juga doa-doa yang bersandarkan kepada hadis Nabi s.a.w.

Ruqyah yang dibenarkan iaitu ruqyah syariyyah mempunyai beberapa syarat menurut pandangan ulama.

Profesor Dr Yusuf al-Qardawi menyatakan bahawa seseorang diharuskan untuk melakukan jampi (ruqyah) apabila memenuhi syarat-syarat di bawah:

  1. Menyebut nama Allah iaitu dengan berzikir dengan menggunakan nama-namaNya.
  2. Dengan menggunakan bahasa arab dan dapat difahami maknanya.
  3. Beriktiqad bahawa segala usaha tersebut iaitu bacaan ayat-ayat ruqyah yang dilakukan tidak dapat memberikan kesan melainkan dengan takdir dari Allah semata-mata.

Berkenaan dengan bacaan di dalam bahasa Arab, ada juga ulama yang berpendapat bahawa bacaan ayat-ayat jampi boleh dibacakan dalam apa-apa bahasa asalkan ianya difahami dan bebas dari segala unsur-unsur kesyirikan.

Ruqyah Syirkiyyah

Jika ruqyah syariyyah ialah ruqyah yang berpandukan kepada syarak, ruqyah syirkiyyah pula adalah sebaliknya.

Maksud ruqyah syirkiyyah ialah ruqyah yang syirik. Ini kerana di dalamnya terdapat perkara-perkara yang syirik.

Samada pada ucapannya, ataupun pada perbuatannya.

Kalau anda selalu mendapatkan rawatan dari mana-mana perawat, berhati-hati.

Sebab sekarang ini ramai perawat yang menyamar. Kata guna kaedah yang syar’i tetapi sebenarnya kaedah yang mereka guna telah terpesong dari landasan Islam yang sebenar.

Antara cara-cara yang digunakan dalam ruqyah syirkiyyah ini adalah:

  • Menggunakan perantaraan jin.
  • Bacaan atau tata caranya mengandungi kesyirikan. Inilah alasannya mengapa perawat mesti membaca ayat-ayat ruqyah dengan kuat.
  • Menggunakan benda-benda yang dianggap mempunyai kekuatan ghaib.
  • Memakai kekuatan tenaga dalam. Contohnya apabila perawat merawat tanpa menyentuh tetapi pesakit rasa seperti perawat ada menyentuh dirinya.
  • Meminta syarat-syarat tertentu yang tidak ada dasar syariatnya dan juga tidak munasabah.
  • Bacaan yang dibaca tetapi pesakit tak dapat dengar dengan jelas.
  • Mengaku boleh nampak makhluk halus. Contoh mudah, perawat bagitau dalam badan pesakit ada 10 ekor jin.
  • Mengaku boleh menangkap dan menundukkan jin bahkan boleh dimasukkan jin ke dalam botol.

Senarai yang saya kongsikan di atas adalah hanya beberapa contoh sahaja. Banyak lagi cara-cara yang digunakan oleh perawat yang dikhuatiri adalah ruqyah syirkiyyah.

Jadi berhati-hatilah apabila anda mendapatkan rawatan dari mana-mana pusat rawatan.

Buat kajian dan survey dulu jika anda mahu mendapatkan rawatan dari mana-mana perawat.

Ingat, zaman sekarang ini banyak perawat yang menyamar kononnya mereka mengamalkan kaedah ruqyah syariyyah.

Kesimpulan

Sebenarnya perbezaan diantara Darussyifa dan Juga ruqyah ialah, Darussyifa itu adalah nama bagi sebuah pertubuhan.

Sedangkan ruqyah ialah kaedah yang digunakan di dalam rawatan.

Dan Darussyifa juga menggunakan kaedah ruqyah apabila merawat pesakit-pesakit mereka.

Khususnya pesakit yang terkena gangguan jin ataupun sihir.

Anda Dapat Sesuatu?

Jika anda rasa artikel ini bermanfaat, sila kongsikan dengan rakan-rakan dan juga orang yang anda sayangi. Anda juga boleh melanggan artikel terbaru saya terus melalui emel. Klik di sini untuk melanggan.

Anda aktif menggunakan aplikasi telegram? Saya juga ada kongsikan ilmu-ilmu mahal tentang perubatan Islam melalui telegram. Berminat? Join channel telegram saya di sini.

Jangan baca seorang. Kongsikan manfaat.

Ada pandangan tentang artikel di atas? Kongsikan pandangan anda dengan pembaca lain.