Anda tengah was-was ke samada dalam badan ada sihir atau tak? Tidak lagi bila anda dapatkan 2 video percuma ni. Klik di sini.

Bagaimana Mengenal Gangguan Jin Di Dalam Atau Luar Badan?

bagaimana cara untuk mengenali gangguan jin di dalam atau diluar badan

Dikemaskini pada 06/05/2020 oleh Ustaz Abdullah

Jin adalah makhluk yang diciptakan Allah sama seperti manusia. Mereka adalah makhluk yang diberati dengan hukum syarak.

Oleh kerana mereka adalah makhluk yang diberati dengan hukum syarak, ini bermaksud jin adalah sama seperti manusia. Mereka mempunyai akal dan nafsu.

Mereka ada yang Islam dan kafir. Yang Islam pula, ada yang beriman dan bertaqwa, yang fasik dan munafik.

Ini bertepatan dengan apa yang diceritakan oleh Allah di dalam surah Jin ayat 10 dan ayat 14.

“Dan bahawa sesungguhnya (memang maklum) ada di antara kita golongan yang baik keadaannya dan ada di antara kita yang lain dari itu; kita masing-masing adalah menurut jalan dan cara yang berlainan.” (Surah Jin ayat 10)

“Dan bahawa sesungguhnya (dengan datangnya Al-Quran, nyatalah) ada di antara kita golongan yang beragama Islam dan ada pula golongan yang (kufur derhaka dengan) menyeleweng dari jalan yang benar; maka sesiapa yang menurut Islam (dengan beriman dan taat), maka merekalah golongan yang bersungguh-sungguh mencari dan menurut jalan yang benar”. (Surah Jin ayat 14)

Oleh kerana golongan jin ada yang begitu sikapnya, maka tidaklah mustahil berlakunya gangguan jin dikalangan manusia.

Bahkan ada jin yang mengganggu manusia tanpa sebarang sebab. Ia dilakukan kerana memang jin itu sendiri yang bersikap jahat mengganggu manusia.

Telah banyak perbahasan yang dilakukan tentang gangguan jin ini, samada dalam bentuk penulisan artikel, melalui terbitan video, dan juga sesi perbincangan ilmiah.

Anda boleh pilih bentuk penyampaian bagaimana yang sesuai dengan anda. Cuma, di dalam artikel kali ini, saya nak tambahkan sedikit perkara yang lebih khusus tentang gangguan jin ini.

Iaitu bagaimana kita nak mengenal samada gangguan jin yang berlaku itu adalah disebabkan jin berada di dalam badan kita, ataupun gangguan itu datangnya dari jin yang berada di luar tubuh kita.

Saya berharap agar penulisan ini dapat memberikan manfaat kepada anda.

Mengapa Jin Mengganggu Manusia

Dari maklumat yang saya dapat, samada melalui pembacaan, mahupun dari pengalaman saya sebagai seorang perawat, situasi manusia diganggu jin ini boleh dibahagikan kepada 2 kategori, iaitu:

  1. Gangguan yang berlaku berpunca dari kelalaian manusia itu sendiri.
  2. Gangguan yang berpunca akibat manusia menzalimi jin tanpa disedari

Tidak kiralah samada dalam situasi pertama atau kedua, Islam yang sempurna ini telah menunjukkan kepada kita bagaimana cara menghindarinya.

Cuma bergantung kepada diri kita sendiri samada nak mempraktikkannya atau tidak. Itu sahaja. Saya cuba kupas secara lebih lanjut tentang dua keadaan yang saya sebutkan di atas dan bagaimana Islam menyediakan jalan keluarnya.

Gangguan Jin Disebabkan Kelalaian Manusia

Lalai bagaimanakah yang dimaksudkan di sini? Lalai di sini bermaksud ialah apabila anda lalai daripada sentiasa di dalam keadaan mengingati Allah.

Dan yang keduanya ialah anda lalai dalam mempraktikkan segala ajaran yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w.

Saya bawakan contoh mudah di sini. Saya nak tanya anda satu soalan, adakah anda telah pastikan bahawa anda akan berwuduk terlebih dahulu sebelum anda tidur?

Jika jawapan anda ialah ya, alhamdulillah semoga Allah memberikan perlindungan kepada anda. Tetapi kalau jawapannya adalah tidak, inilah yang saya maksudkan gangguan jin yang berlaku disebabkan kelalaian manusia itu sendiri.

Saya kongsikan di sini apakah bentuk-bentuk amalan yang dianjurkan oleh Rasulullah untuk kita lakukan.

Tujuannya supaya kita sentiasa berada di dalam pemeliharaan Allah dari segala kejahatan termasuklah yang berpunca dari gangguan jin.

Saya taknak kongsi banyak-banyak. Saya hanya kongsikan tiga amalan yang mudah sahaja. Yang penting ialah anda dapat istiqamah.

Pertama: Berwuduk Sebelum Tidur

Banyak dalil-dalil yang menggambarkan Rasulullah menganjurkan supaya umatnya berwuduk terlebih dahulu sebelum tidur. Saya bawakan beberapa dalilnya di sini.

Yang pertama ialah hadis dari Al-Barra’ bin Azib r.a, bahawa Rasulullah s.a.w telah bersabda:

“Apabila engkau hendak tidur, berwuduklah sepertimana berwuduk ketika hendak bersolat. Kemudian berbaringlah dengan mengiring ke kanan dan bacalah:

Sumber gambar: https://konsultasisyariah.com

“Ya Allah, aku tundukkan wajahku kepada-Mu, aku pasrahkan urusanku kepada-Mu, aku sandarkan punggungku kepada-Mu, kerana rasa takut dan penuh harap kepada-Mu. Tidak ada tempat berlindung dan menyelamatkan diri dari hukuman-Mu kecuali kepada-Mu. Ya Allah, aku beriman kepada kitab-Mu yang telah Engkau turunkan, dan kepada Nabi-Mu yang telah Engkau utuskan”

Jika kamu mati di malam itu, kamu mati dalam keadaan fitrah. Jadikanlah doa itu sebagai kalimat terakhir yang engkau ucapkan sebelum tidur” (Hadis riwayat Bukhari 247 dan Muslim 2710)

Hadis seterusnya ialah hadis daripada Abdullah bin Umar r.a bahawa Rasulullah s.a.w telah bersabda:

sumber: https://konsultasisyariah.com

“Barangsiapa yang tidur dalam keadaan suci, maka Malaikat akan bersamanya di dalam pakaiannya. Dia tidak akan bangun hingga Malaikat berdoa “Ya Allah, ampunilah hambaMu sifulan kerana tidur dalam keadaan suci”. (Hadis riwayat Ibnu Hibban 3/329. Syuaib Al-Arnauth mengatakan, Perawi hadis ini termasuk perawi kitab shahih. Hadis ini juga dinilai shahih oleh Al-Albani dalam Shahih At Targhib wat Tarhib I/37)

Kedua: Baca Doa Sebelum Masuk Tandas

Tandas adalah tempat kotor yang menjadi tempat berkumpulnya jin. Sebab itulah pastikan anda membaca doa perlindungan terlebih dahulu sebelum masuk ke dalam tandas.

Dalil tentang membaca doa sebelum masuk ke dalam tandas ialah hadis daripada Anas bin Malik r.a

sumber: https://zayan.my

“Apabila Nabi s.a.w ingin memasuki tandas, Baginda bersabda: “Ya Allah aku berlindung kepada-Mu daripada syaitan jantan dan syaitan betina”

Ketiga: Membaca 3 Qul Sebelum Tidur

Amalan ini dilakukan oleh Rasulullah sebagai satu amalan perlindungan untuk diri Baginda.

Oleh itu, sebagai umat yang mencintai Baginda, sudah semestinya kita juga kena mengamalkan amalan ini. Dalil membaca 3 qul sebelum tidur ini adalah berdasarkan kepada hadis dari saidatina Aishah r.a beliau telah berkata:

“Nabi s.a.w ketika berada di tempat tidur setiap malam, Baginda mengumpulkan kedua tapak tangannya lalu kedua tapak tangan itu ditiup dan dibacakan Qul huwallahu ahad (surah Al-Ikhlas), Qul a’uzubirabbil falaq (surah Al-Falaq) dan Qul a’uzubirabbinnas (surah An-Nas). Kemudian Baginda mengusapkan kedua tapak tangan pada anggota tubuh yang mampu dijangkau dimulai dari kepala, wajah dan tubuh bahagian depan. Baginda melakukan yang demikian sebanyak tiga kali” (Hadis riwayat Bukhari 5017)

Gangguan Jin Disebabkan Manusia Menzalimi Jin

Sekarang saya nak kongsikan pula dengan anda apakah contoh-contoh gangguan jin yang berlaku disebabkan manusia melakukan kezaliman ke atas diri jin.

Oleh kerana jin yang telah dizalimi terlebih dahulu, maka gangguan ini lebih kerana jin tersebut nak membalas balik atas kezaliman yang dilakukan kepada dirinya.

Jangan Kencing Di Dalam Lubang

Ada sebuah hadis yang menceritakan tentang Nabi s.a.w melarang kita kencing di dalam lubang.

Al-Imam Ahmad bin Hanbal rahimahullah meriwayatkan.

Telah menceritakan kepada kami Mu’aadz bin Hisyaam, telah menceritakan kepadaku Ayahku, dari Qataadah, dari ‘Abdullaah bin Sarjis -radhiyallaahu ‘anhu-, bahwasanya Nabi Shallallaahu ‘alaihi wasallam bersabda, “Janganlah salah seorang dari kalian kencing di lubang, jika kalian tidur maka matikanlah lampu karena sesungguhnya tikus akan menyentuh sumbu kemudian membakar penghuni rumah, ikatlah tempat-tempat minum kalian, tutuplah minuman kalian dan tutuplah pintu-pintu rumah kalian di saat malam hari.”

Mereka bertanya kepada Qataadah, “Apakah yang dibenci dari kencing di lubang?” Qataadah menjawab, “Dikatakan bahwasanya lubang adalah tempat tinggal jin.”
[Musnad Ahmad no. 20775]

Diriwayatkan pula oleh Al-Baihaqiy (Sunan Al-Kubraa 1/99)Ar-Ruuyaaniy (Musnad no. 1451)Adh-Dhiyaa’ Al-Maqdisiy (Al-Mukhtaarah no. 3222); Dan diriwayatkan secara ringkas oleh Abu Daawud (Sunan no. 29)An-Nasaa’iy (Al-Mujtabaa’ no. 34; Sunan Al-Kubraa no. 30)Al-Haakim (Al-Mustadrak 1/186)Al-Baihaqiy (Sunan Ash-Shaghiir no. 59)Ibnul Jaaruud (Al-Muntaqaa no. 34)Al-Baghawiy (Syarhus Sunnah no. 192)Ibnul Mundzir (Al-Ausath fis Sunan wal Ijmaa’ no. 267), semua dari jalan Mu’aadz bin Hisyaam, dari Ayahnya, dari Qataadah, dari Ibnu Sarjis secara marfuu’.

Lazimnya kita akan menyalahkan jin kerana mengganggu manusia. Tetapi tanpa disedari, ada kemungkinan di mana manusia itu yang terlebih dahulu mengganggu jin. Oleh kerana itu, jin kembali mengganggu manusia adalah sebagai satu tindakbalas.

Diantara contoh gangguan manusia ke atas jin ialah apabila manusia membuang air kencing ke dalam tempat tinggal jin iaitu lubang-lubang di dalam tanah.

Bukan setakat itu sahaja, perbuatan manusia membuang air besar, meludah dan membuang sampah ke dalam lubang juga dikhuatiri akan mengganggu jin.

Memandangkan manusia tidak dapat melihat jin dengan mata kasar, jadi susahlah untuk kita mengetahui samada perbuatan kita itu mengganggu jin atau tidak.

Jadi jalan terbaik ialah dengan mengikuti nasihat Nabi s.a.w yang terdapat di dalam hadis di atas.

Jangan Buang Air Panas Di Dalam Lubang Tandas

Jika anda suka melakukan perbuatan ini, maka anda harus menghentikannya. Mengapa? Kerana dikhuatiri perbuatan ini boleh menyakiti jin yang berada di dalam tandas.

Bukankah tandas adalah tempat berkumpulnya jin. Lebih ditakutkan kalau jin yang berada di dalam tandas terdiri dari golongan jin-jin yang jahat. Ini berdasarkan hadis yang telah saya sebutkan sebelum ini di mana Rasulullah sebelum masuk ke dalam tandas, Baginda membaca doa terlebih dahulu.

Walaupun tidak ada hadis yang jelas melarang perbuatan tersebut, tetapi secara realitinya, ianya boleh berlaku. Syeikhul Islam telah menukilkan bahawa:

Jin merasuk manusia boleh disebabkan oleh tiga perkara:

Pertama: Kerana jin menyukai manusia yang dirasukinya. Jin merasukinya supaya dia boleh merasa tenang dengannya. Kerasukan begini adalah yang paling ringan dan paling mudah daripada yang lain.

Kedua: Kerana manusia mengganggu jin. Contohnya dengan mengencingi jin atau menyiram air panas kepada jin. Atau membunuh salah satu jin, atau bentuk gangguan yang lainnya. Ini adalah jenis kerasukan yang paling berat sehingga boleh menyebabkan terbunuhnya manusia yang dirasuki oleh jin tersebut.

Ketiga: Kerasukan kerana jin bermain-main. Seperti budak-budak nakal yang suka mengganggu orang.

(Majmu’ Fatwa 13/82)

Jangan Bunuh Ular Yang Masuk Ke Dalam Rumah

Ular adalah binatang berbisa yang boleh mendatangkan bahaya kepada kita. Biasanya kalau rumah kita dimasuki ular, dah pastilah kita akan cuba membunuhnya.

Tetapi perbuatan ini dilarang oleh Rasulullah s.a.w. Iaitu jangan terus dibunuh ular yang ada di dalam rumah kerana dikhuatiri ianya adalah jin yang menyerupai ular.

Dalam persoalan membunuh ular yang ada di dalam rumah, ianya adalah satu perbahasan yang agak panjang. Anda boleh baca lebih lanjut perbahasan tersebut melalui pautan ini.

Tetapi pendapat yang rajih ialah jika rumah anda dimasuki ular atau anda ternampak ular di dalam rumah, hendaklah diperingatkan sebanyak tiga kali terlebih dahulu dan mengusirnya. Jika ular tersebut tidak keluar, bolehlah bunuh ular tersebut.

Ini berdasarkan hadis Abu Lubabah yang berbunyi:

“Rasulullah s.a.w melarang membunuh jin yang berada di dalam rumah,
kecuali ular yang berbisa ada dua garis hitam dipunggungnya dan yang pendek ekornya, karena kedua jenis itu dapat menghilangkan pengelihatan mata dan mengeluarkan apa yang ada di dalam perut wanita”

Tanda-Tanda Orang Yang Ada Gangguan Jin

Walaupun jin tidak dapat dilihat dengan mata kasar, tetapi seseorang yang mengalami gangguan jin akan ada tanda-tandanya iaitu:

  • Susah tidur malam.
  • Sering terjaga tengah malam.
  • Kerap bermimpi menakutkan.
  • Kerap bermimpi binatang seperti anjing, kucing, serigala dan sebagainya.
  • Kerap bermimpi terjatuh dari tempat tinggi.
  • Kerap bermimpi mendukung atau menyusukan bayi.
  • Kerap bermimpi diancam benda tajam seperti pisau, kaca dan sebagainya.
  • Kerap bermimpi tempat kotor dan kawasan perkuburan.
  • Selalu sakit kepala tanpa sebab.
  • Cepat rasa nak marah walaupun disebabkan perkara kecil.
  • Selalu sakit belakang terutamanya dibahagian tulang belakang.
  • Sering rasa berdebar-debar tanpa sebab.
  • Rasa seperti ada sesuatu bergerak di dalam badan.
  • Sering rasa lesu, malas, tidak bersemangat tanpa sebab.
  • Rasa malas hendak melakukan ibadah terutamanya solat.
  • Rasa malas hendak membaca Al-Quran atau berzikir.
  • Cepat lupa tanpa sebab.

Jika anda mempunyai tanda-tanda yang saya sebut di atas, maka mungkin anda mengalami gangguan jin.

Mengapa saya kata mungkin?

Sebab tanda-tanda di atas satu kepastian yang anda memang betul-betul ada gangguan. Anda perlu pastikan terlebih dahulu apakah betul anda ada gangguan jin.

Bagaimana cara nak pastikan? Teruskan bacaan anda.

Tanda-Tanda Gangguan Jin Dalam Badan

Jadi anda mempunyai tanda-tanda gangguan jin di atas? Ok, sekarang saya akan kongsikan bagaimana nak pastikan bahawa tanda-tanda yang anda alami memang disebabkan gangguan jin.

Ada 2 cara anda boleh lakukan.

  1. Ruqyah mandiri
  2. Ruqyah dengan perawat

Ruqyah mandiri adalah satu kaedah di mana perawat merawat dirinya sendiri. Antara cara yang paling mudah ialah hanya dengan mendengar bacaan mp3 ruqyah.

Ya, sebenarnya kaedah ini juga berkesan jika dilakukan dengan istiqamah. Untuk lebih berkesan, dengar bacaan tersebut dengan menggunakan earphone.

Jika anda mengalami tindakbalas ketika mendengar bacaan ruqyah, maksudnya memang pastilah anda mengalami gangguan jin. Dan jin yang mengganggu ada di dalam badan anda.

Antara tindakbalas yang mungkin berlaku:

  • sakit kepala.
  • pening kepala.
  • mengantuk.
  • berpeluh.
  • denyutan jantung menjadi laju.
  • muntah.
  • rasa loya.
  • rasa panas.

Gangguan jin dalam badan ini, proses rawatannya perlu melalui 2 peringkat, iaitu:

  1. Mengeluarkan jin dari badan.
  2. Amalan zikir untuk mengelakkan jin masuk semula ke dalam badan.

Tanda Gangguan Jin Diluar Badan

Gangguan jin yang berlaku diluar badan seseorang, biasanya simtom-simtom yang dialami oleh mereka tak sama dengan gangguan jin di dalam badan.

Ini kerana, gangguan jin diluar ini kebanyakkannya berbentuk bisikan. Antara simtom-simtom yang akan dialami oleh mereka yang mengalami gangguan jin diluar ialah:

  • Selalu mendengar bisikan yang menyuruh melakukan perkara-perkara maksiat.
  • Selalu menimbulkan was-was terutamanya dalam persoalan ibadah.

Kaedah rawatan untuk gangguan jin diluar ini juga tak sama macam gangguan jin yang berada di dalam badan. Ianya lebih mudah.

Rawatan untuk gangguan jin diluar lebih memfokuskan untuk melemahkan gangguan tersebut. Antara kaedahnya ialah:

  • Banyakkan zikrullah. Ini kerana dengan banyak mengingati Allah, jin akan menjauhkan diri dari kita.
  • Kena dalami lagi ilmu terutamanya yang berkaitan dengan ilmu tauhid, ilmu akhlak dan juga ibadah. Ini kerana hanya dengan ilmu sahaja kita dapat melawan bisikan-bisikan was-was yang berpunca dari gangguan jin luar.

Kesimpulan

Samada gangguan jin yang berpunca dari gangguan jin yang diluar atau didalam, ingatlah bahawa kedua-duanya bertujuan untuk menjauhkan kita daripada Allah.

Hanya dengan mendekatkan diri kepada Allah sahajalah dapat menyelamatkan kita dari gangguan mereka.

Anda Dapat Sesuatu?

Jika anda rasa artikel ini bermanfaat, sila kongsikan dengan rakan-rakan dan juga orang yang anda sayangi. Anda juga boleh melanggan artikel terbaru saya terus melalui emel. Klik di sini untuk melanggan.

Anda aktif menggunakan aplikasi telegram? Saya juga ada kongsikan ilmu-ilmu mahal tentang perubatan Islam melalui telegram. Berminat? Join channel telegram saya di sini.

Sumber rujukan:

Tahukah anda bahawa 7 daripada 10 rawatan sihir tidak berjaya. Nak tahu sebabnya? Klik di sini sekarang.

Follow saya di sosial media:
Bagaimana Mengenal Gangguan Jin Di Dalam Atau Luar Badan?
Scroll to top
error: Maaf. Artikel ini tidak dibenarkan untuk copy!!