Dikemaskini pada 29/04/2024 oleh Ustaz Abdullah
Di dalam budaya masyarakat Melayu, istilah saka adalah merujuk kepada jin yang diambil sebagai pendamping dan diwariskan dari satu generasi kepada generasi yang seterusnya.
Manakala gangguan saka pula merujuk kepada keadaan seseorang yang mempunyai tanda gangguan saka dan ianya telah dipastikan setelah dilakukan rawatan dengan kaedah ruqyah ke atas diri orang itu.
Di dalam artikel kali ini, inshaaAllah saya akan kongsikan dengan anda perkara-perkara yang berkaitan dengan saka.
Isi Kandungan Artikel
- Tujuan Saka Diambil & Bahayanya
- Jenis-Jenis Jin Saka
- Saka Yang Paling Kuat
- Tanda-Tanda Ada Jin Saka
- Sasaran Jin Saka
- Cara Merawat Saka
- Kesimpulan
Tujuan Saka Diambil & Bahayanya
Oleh kerana jin saka ini berkaitan dengan keturunan, biasanya ia melibatkan generasi yang terdahulu. Mereka ini mengambil jin saka sebagai pendamping demi untuk memenuhi tujuan-tujuan tertentu.
Dan sebagai balasannya, jin saka ini membuat perjanjian supaya dirinya akan terus diwariskan ke generasi yang akan datang.
Perjanjian inilah yang membuatkan jin saka akan terus mengganggu keturunan tuannya. Diantara tujuan-tujuan jin saka ini diambil sebagai pendamping ialah:
- untuk tujuan perubatan.
- untuk tujuan perlindungan diri.
- untuk tujuan kecantikan.
- untuk tujuan perbidanan.
- untuk tujuan membantu menjaga harta benda.
Maklumat-maklumat di atas saya dapat hasil daripada pengalaman buang jin saka yang saya jalankan kepada pesakit-pesakit saya.
Apakah bahayanya mengambil jin saka ini sebagai pendamping?
Kita kena ingat bahawa iblis adalah dari golongan jin. Sebagaimana firman Allah s.w.t di dalam surah Al-Kahfi ayat 50:
“Dan (ingatlah) ketika Kami (Allah) berfirman kepada para Malaikat: “Sujudlah kamu kepada Adam. Maka sujudlah mereka kecuali iblis. Dia adalah dari golongan jin, maka ia menderhakai perintah Tuhannya. Patutkah kamu mengambil dia dan keturunannya sebagai pemimpin selain Aku, sedang mereka adalah musuhmu? Amat buruklah iblis itu sebagai pengganti (selain Allah)”
Dan iblis yang berasal dari golongan jin ini telah berjanji kepada Allah. Apakah janji iblis? Janji iblis ini Allah telah rakamkan di dalam Al-Quran iaitu surah Al-A’raf ayat 16 dan 17:
Iblis menjawab: “Kerana Engkau telah menghukumkanku tersesat, maka aku benar-benar akan (menghalang-halangi) mereka dari jalan-Mu yang lurus, kemudian aku akan mendatangi mereka dari muka dan dari belakang mereka, dari kanan dan kiri mereka. Dan Engkau tidak akan mendapati kebanyakan mereka bersyukur”
Ya, iblis telah berjanji akan sedaya upaya untuk menyesatkan manusia dari jalan Allah yang lurus dan benar. Inilah bahaya mengambil jin sebagai pendamping.
Jin tidak akan bersetuju untuk menjadi pembantu kepada manusia melainkan manusia itu sanggup mengikut syarat-syaratnya. Syarat-syarat yang diletakkan oleh jin inilah peluangnya untuk menjadikan manusia itu sesat.
Mari lihat ayat Al-Quran di bawah iaitu dari surah Jin ayat 6:
“Dan bahawa sesungguhnya adalah (amat salah perbuatan) beberapa orang dari manusia, menjaga dan melindungi dirinya dengan meminta pertolongan kepada ketua-ketua golongan jin, kerana dengan permintaan itu mereka akan menjadikan golongan jin bertambah sombong dan jahat”
Jadi apakah kebaikan yang boleh diharapkan apabila Al-Quran dengan jelas menyatakan bahawa apabila seorang manusia itu meminta pertolongan jin, tindakan itu hanya menambahkan kejahatan jin sahaja. Inilah bahayanya.
Bahaya yang pertama dan utama apabila mengambil jin sebagai pendamping ialah boleh merosakkan akidah. Ini kerana mereka yang mengambil jin sebagai pendamping akan meyakini bahawa jin mampu membantu mereka mencapai apa sahaja tujuan yang mereka inginkan.
Jadi, hilanglah pergantungan dia kepada Allah. Dia lebih yakin kepada pertolongan jin berbanding pertolongan daripada Allah.
Dan bahaya yang kedua ialah jin saka ini akan berterusan mengganggu generasi yang akan datang. Ini disebabkan perjanjian yang telah dilakukan oleh jin saka ini dengan tuannya yang asal.
Ini adalah bentuk-bentuk kejahatan yang dilakukan oleh jin kepada manusia. Diakibatkan oleh kesilapan manusia itu sendiri.
Jenis-Jenis Jin Saka
Kita selalu mendengar pelbagai istilah yang disebut dikalangan masyarakat Melayu berkaitan dengan jin saka ini. Antara istilah yang digunakan ialah:
- saka keturunan raja.
- saka keturunan jawa.
- saka puteri.
- saka bidan.
- saka harimau.
- saka harimau putih.
- saka harimau berantai.
- dan saka buaya putih.
Ini adalah istilah-istilah yang popular. Saya tidak pasti mengapa nama-nama tersebut dipilih dan siapa yang memberikan istilah tersebut.
Itu tidaklah penting. Yang pentingnya kita mesti faham bahawa hakikatnya semua istilah di atas adalah merujuk kepada golongan jin. Hanya panggilannya sahaja yang berbeza.
Di dalam sebuah hadis Rasulullah s.a.w telah bersabda:
“Jin itu ada tiga golongan. Satu golongan yang mempunyai kepak yang terbang ke sana ke mari (di udara). Satu golongan berbentuk ular dan anjing. Manakala golongan ketiga ada yang tinggal setempat dan ada yang berpindah randah”. (Hadis riwayat al-Hakim di dalam al-Mustadrak)
Ada pendapat yang mengatakan bahawa jin yang diambil sebagai saka ini biasanya melibatkan jin dari jenis yang suka berpindah-randah. Saya tidak pasti sejauh mana kebenaran pendapat ini.
Saka Yang Paling Kuat
Ramai yang tanya pada saya, dalam banyak-banyak gangguan jin saka ini, yang mana satu gangguan jin saka yang kuat?
Berdasarkan kepada pembacaan saya, antara gangguan saka yang dikatakan yang paling kuat adalah saka harimau.
Ini kerana, saka harimau ini dikatakan mampu untuk menjelma dan menukar rupanya dan menyerang sesiapa sahaja bergantung kepada arahan tuannya.
Tetapi, ada beberapa perkara yang perlu difahami di sini.
Yang pertamanya, gangguan saka harimau mahupun saka-saka yang lain hakikatnya adalah gangguan jin.
Jadi, jika dikatakan saka harimau adalah saka yang paling kuat adalah kerana mampu menukar wajah, itu sebenarnya adalah kemampuan jin yang diberikan oleh Allah s.w.t kepada mereka.
Bahkan banyak dalil-dalil yang menjelaskan tentang perkara ini.
Antaranya kisah syaitan menyerupai manusia dan meminta harta zakat kepada Abu Hurairah RA yang ketika itu diamanahkan untuk menjaga zakat sebagaimana katanya:
Maksudnya: Rasulullah SAW mewakilkanku untuk menjaga zakat Ramadhan, lalu datang kepadaku seseorang dan mengaut makanan.Aku memegangnya dan berkata: ” Sesungguhnya aku akan melaporkanmu kepada Rasulullah SAW.” Orang itupun menceritakan apa yang berlaku lalu berkata:” Apabila kamu ke tempat tidurmu, bacalah ayat Kursi, maka pemelihara dari Allah akan sentiasa bersamamu, dan syaitan tidak akan mendekatimu sehingga Subuh.” Nabi SAW bersabda: “Dia telah berkata benar kepadamu sementara dia adalah pendusta, dia itu ialah syaitan.”
Tetapi saya tidak menafikan bahawa ada golongan jin yang dikategorikan sebagai kuat, iaitu jin Ifrit.
Ini bersandarkan kepada sebuah ayat Al-Quran iaitu ayat dari surah an-Namlu ayat 39 yang bermaksud:
“Berkatalah Ifrit dari golongan jin: “Aku akan membawakannya kepadamu sebelum engkau bangun dari tempat dudukmu, dan sesungguhnya aku amatlah kuat gagah untuk membawanya, lagi amanah”.
Walaupun begitu ada sebuah hadis Nabi SAW yang menceritakan bahawa Baginda telah mencekik jin Ifrit kerana telah mengganggu Baginda ketika solat.
Hadis ini diriwayatkan dalam banyak kitab hadis muktabar antaranya dalam Sahih al-Bukhari. Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda:
Maksudnya: Sesungguhnya Ifrit daripada bangsa jin telah menggangguku semalam untuk memutuskan solatku. Maka Allah berikan aku kelebihan untuk mengatasinya. Kemudian, aku hendak mengikatnya di salah satu tiang masjid sehingga waktu subuh dan kalian semua dapat melihatnya. Lalu aku teringat perkataan Nabi Sulaiman AS, “Wahai Tuhan, kurniakanlah kepadaku sebuah kerajaan (yang tidak ada taranya dan) yang tidak akan ada pada sesiapapun kemudian daripadaku”. Rauh berkata: Kemudian Baginda SAW mengusirnya dalam keadaan hina”.
Jadi, berdasarkan dari dalil-dalil yang saya kongsikan di atas, sebenarnya tidak ada jin saka yang kuat sepertimana yang difahami oleh sebilangan masyarakat kita.
Saya lebih cenderung untuk berpegang dengan pendapat, sekiranya kita merupakan seorang hamba Allah yang benar-benar bertaqwa kepada Allah, inshaaAllah jin dan syaitan tidak akan mampu melakukan tipu daya dan menakutkan kita.
Jadi, semuanya adalah terpulang kepada diri kita sendiri.
Tanda-Tanda Ada Jin Saka
Di dalam artikel saya yang sebelum ini pun saya dah jelaskan. Bahawa apabila seseorang itu mengalami gangguan jin, akan zahirlah pada diri orang tersebut tanda-tanda.
Begitulah juga bagi mereka yang ada gangguan dari jin saka. Akan ada juga tanda gangguan tersebut.
Tanda-tanda yang menunjukkan mungkin seseorang itu mengalami gangguan saka ialah:
- susah tidur malam tanpa sebab.
- sering terjaga pada waktu malam diikuti dengan perasaan takut.
- mimpi buruk atau menakutkan contohnya mimpi hantu yang sedang mengejar.
- kerap terjadi gejala seakan ditindih oleh seseorang.
- mimpi melihat binatang seperti ular, kala jengking dan sebagainya.
- selalu mengetap gigi ketika sedang tidur.
- kerap bermimpi terjatuh dari tempat tinggi.
- selalu bermimpi berada di tempat kotor atau kawasan perkuburan.
- selalu bermimpi budak kecil atau bayi. Contohnya mimpi menyusukan bayi.
- selalu mimpi melihat salib atau gereja.
- selalu mengalami pening kepala yang tidak diketahui puncanya.
- sering lupa bahkan ada yang sampai tahap kronik boleh menyebabkan gila.
- sering rasa sakit pada salah satu anggota badan tanpa dapat dipastikan sebabnya.
- sentiasa sakit dibahagian belakang terutamanya disekitar tulang belakang.
- sentiasa mengantuk terutamanya apabila berada di dalam majlis ilmu.
- cepat marah walaupun disebabkan perkara kecil.
- mudah teremosi dan sensitif.
Anda ada tanda-tanda di atas? Jika ada, itu tmenunjukkan anda sedang mengalami gangguan jin, dan mungkin juga ianya disebabkan oleh gangguan saka.
Teruskan bacaan kerana dalam subtopik seterusnya saya akan kongsikan kaedah-kaedah rawatan ruqyah mandiri yang boleh anda ikhtiarkan.
Sasaran Jin Saka
Bukan semua keturunan yang mempunyai jin saka akan mewarisinya. Jin saka ini akan memilih siapakah yang dirasakan sesuai untuk menjadi pewarisnya yang baru.
Anda jangan lupa bahawa setiap dari kita Allah telah utuskan qarin dari bangsa jin yang telah berdampingan dengan kita sejak dari kita dilahirkan.
Jadi, jin qarin ini sudah tahu sangat segala-galanya tentang diri kita. Dan jin qarin ini juga tahu di mana kelemahan kita yang memungkinkan jin saka untuk mengambil kesempatan untuk mengganggu kita.
Untuk mengetahui lebih lanjut tentang bagaimana jin qarin ini mampu menarik gangguan jin saka, anda boleh baca artikel saya bertajuk Bagaimana Jin Qarin Boleh Menarik Gangguan Jin Lain.
Ciri-ciri mereka yang akan menjadi sasaran jin saka ini ialah:
- Mereka yang cetek pengetahuan agama dan tidak berusaha untuk mendalaminya.
- Mereka yang gemar melakukan maksiat.
- Mereka yang sentiasa meninggalkan amalan-amalan fardhu seperti solat dan puasa. Bagi perempuan pula, yang tidak menutup aurat adalah berisiko diganggu jin saka.
- Mereka yang mempelajari ilmu-ilmu kebatinan yang melanggar batasan agama.
- Mereka yang kuat berpegang dengan agama dan rajin beribadah juga tak terkecuali akan cuba diganggu. Bagi golongan begini, pastikan anda mendalami ilmu tauhid dan juga ilmu akhlak. Kerana mereka yang tidak kuat pegangan akidah dan buruk akhlaknya juga berisiko menjadi sasaran jin saka.
Cara Merawat Saka
Dari pengalaman saya, kes-kes gangguan yang melibatkan saka keturunan bukanlah mudah untuk dirawat. Ia memerlukan kesungguhan terutamanya dari pihak pesakit. Tetapi ia tidak mustahil.
Di bawah saya kongsikan langkah demi langkah ruqyah mandiri yang boleh anda lakukan.
Pertama: Yakinlah bahawa gangguan saka yang sedang anda hadapi ini sebenarnya adalah suatu bentuk ujian dari Allah.
Di dalam sebuah hadis, Nabi menyebutkan bahawa segala musibah penyakit atau bencana yang berlaku kepada kita sebenarnya adalah kafarah (penebus) di atas segala dosa yang kita lakukan selama ini.
Jadi, langkah pertama ialah perlulah bertaubat dengan bersungguh-sungguh kepada Allah. Buatlah dua rakaat solat sunat taubat dan mohonlah ampun kepada Allah.
Apabila seseorang itu hendak bertaubat di atas segala dosa yang dilakukan, ada syarat-syarat yang perlu dipenuhi agar taubat yang kita lakukan diterima oleh Allah.
Sekiranya dosa yang dilakukan itu adalah dosa kepada Allah tanpa melibatkan dosa dengan manusia, syarat-syaratnya ialah:
- Menyesal dengan bersungguh-sungguh di atas dosa-dosa yang telah dilakukan. Yakni terasa menyesal, sedih, dukacita dan berasa tidak sepatutnya melanggar perintah Allah.
- Berazam dengan bersungguh-sungguh untuk tidak mengulangi lagi dosa tersebut.
- Meninggalkan perkara-perkara yang boleh mendatangkan dosa samada dosa kecil ataupun dosa besar.
Jadi, kalaulah sebelum ini kita ada terlibat dengan dosa-dosa besar seperti berzina, meninggalkan solat, tidak berpuasa, minum arak dan sebagainya, maka selepas ini berazamlah untuk tidak mengulangi perbuatan dosa tersebut.
Sekiranya dosa yang dilakukan sebelum ini ada melibatkan dosa dengan manusia, ada satu syarat tambahan yang perlu anda lakukan, selain syarat-syarat di atas iaitu:
- Perlulah meminta maaf di atas segala dosa yang telah dilakukan kepada orang tersebut. Contohnya jika kita pernah memfitnah orang tersebut, maka perlulah meminta maaf dan menceritakan segala fitnah yang telah dilakukan. Sekiranya pernah mengambil barangnya, perlulah dipulangkan semula. Jika barang yang pernah diambil itu sudah tiada, perlulah diganti semula atau diminta halal kepada orang tersebut.
Kedua: Amalkan membaca zikir pagi dan petang setiap hari. Anda boleh dapatkan buku al-Mathurat yang memuatkan bacaan zikir pagi dan petang dikedai-kedai buku agama yang berhampiran dengan anda.
Ketiga: Minum dan mandi dengan air yang telah diruqyahkan dengan ayat-ayat khusus untuk merawat gangguan jin. Senarai ayat-ayat ini anda boleh download secara percuma di sini. Air ini anda boleh lakukan sendiri jika anda mampu membaca Al-Quran. Jika tidak mampu, berjumpalah dengan mana-mana perawat berhampiran anda.
Keempat: Pastikan anda sentiasa tidur dalam keadaan berwuduk. Kerana mereka yang tidur dalam keadaan berwuduk akan sentiasa didoakan keselamatannya oleh para Malaikat.
Kelima: Mesti lakukan solat sunat tahajjud sekurang-kurangnya dua rakaat setiap hari.
Keenam: Langkah keenam ini adalah pilihan. Jika anda rasa langkah-langkah yang dilakukan di atas masih belum mencukupi, dalam masa yang sama anda juga boleh dapatkan rawatan dari perawat berpengalaman yang berhampiran dengan anda.
Kesimpulan
Setelah saya mengulas tentang saka keturunan dan cara merawatnya, dapat disimpulkan bahawa pemahaman yang mendalam tentang gangguan saka ini adalah sangat penting untuk membantu individu dan keluarga yang telah terkena akibatnya.
Kerana tanpa pemahaman yang betul, tak mustahil mangsa yang terkena gangguan saka ini akan mudah terpengaruh untuk mendapatkan rawatan yang bercanggah dengan Islam.
Ini sekaligus akan memburukkan lagi keadaan mangsa.
Melalui pendekatan yang betul dan bersungguh-sungguh, gangguan saka keturunan dapat diatasi jika diberikan rawatan dengan kaedah yang dibenarkan Islam.
Perlu juga disedari bahawa menangani gangguan saka bukanlah tugas yang mudah, oleh itu selain rawatan yang betul, bantuan dan sokongan dari keluarga juga sangat perlu untuk memberikan kekuatan kepada mangsa.
Follow saya di sosial media: