Hukum Berjumpa Tukang Sihir Untuk Merawat Sihir

rawat-sihir
Jangan baca seorang. Kongsikan manfaat.

Dikemaskini pada oleh Ustaz Abdullah

Kita biasa mendengar orang mengatakan matlamat tidak menghalalkan cara. Apakah yang dimaksudkan dengan ungkapan tersebut?

Sebenarnya ia adalah satu kaedah feqah iaitu:

Maksudnya: Semua wasilah (jalan) atau cara, baginya berdasarkan hukum yang hendak dicapai.

Kaedah ini memberi maksud segala cara atau jalan, mempunyai hukum-hukum yang dimaksudkan.

Jika sekiranya maksud yang hendak dicapai adalah buruk dan jahat, maka sebarang bentuk cara atau wasilah adalah tidak dibenarkan.

Sebagai contoh, menjual anggur hukum asalnya adalah harus.

Tetapi jika diketahui bahawa tujuan sipembeli adalah untuk memproses bagi dijadikan arak, maka ketika itu menjual anggur kepadanya adalah haram.

Begitu juga hendaklah difahami bahawa sebarang bentuk maksud dan tujuan, sekalipun ianya baik tetapi untuk mencapainya tidaklah harus digunakan untuk mencapai maksud itu melainkan dengan cara yang harus juga.

Sebagai contoh, anda mempunyai niat yang baik untuk membantu fakir miskin, tetapi sekiranya cara yang digunakan untuk membantu itu adalah melalui jalan yang salah, contohnya dengan menggunakan hasil menang judi, maka ketika itu ianya menjadi haram.

Begitu jugalah dengan tajuk artikel yang ingin saya kongsikan dengan anda kali ini.

Adakah boleh berubat sihir dengan menggunakan kaedah sihir juga? Teruskan membaca artikel ini untuk mengetahui jawapan serta penjelasannya.

Pandangan Islam Tentang Perbuatan Sihir

Dari segi bahasa, sihir dalam Lisan al-Arab disebut:

“Tukang sihir seakan-akan memperlihatkan kebatilan dalam kebenaran dan menggambarkan sesuatu tidak seperti hakikat yang sebenarnya. Dengan demikian, dia telah menukar sesuatu daripada hakikat yang sebenarnya.” (Lihat Lisan al-‘Arab, 4/348)

Dari segi istilah, Ibnu Qudamah berkata:

“Sihir ialah ikatan, jampi dan perkataan yang diucapkan atau ditulis atau dibuat sesuatu yang mendatangkan kesan dan akibat buruk terhadap tubuh orang yang disihir atau terhadap hati dan akalnya tanpa menyentuhnya secara langsung.” (Lihat al-Mughni, 9/34)

Rasulullah SAW menyebut sihir sebagai salah satu daripada perbuatan dosa besar. Daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Jauhilah tujuh jenis dosa besar yang membinasakan. Sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah, apakah dosa-dosa itu? Sabda Baginda: Menyekutukan Allah, sihir, membunuh jiwa yang diharamkan melainkan dengan alasan yang benar, makan riba, makan harta anak yatim, lari daripada perang dan menuduh wanita muhsan beriman yang tidak bersalah dengan tuduhan zina.” (Riwayat al-Bukhari (2766)

Ulama bersepakat bahawa mempelajari sihir, mengajar serta mempraktikkannya adalah haram.

Ibn Qudamah berkata:

“Sesungguhnya mempelajari sihir dan mengajarkannya adalah haram. Tidak ada khilaf padanya dalam kalangan ahli ilmu.” (Lihat al-Mughni, 8/151)

Imam al-Nawawi berkata:

“Adapun mempelajarinya (sihir) dan mengajarkannya, maka hukumnya adalah haram.” (Lihat Muslim bi Syarh al-Nawawi, 14/176)

Hukum Jumpa Tukang Sihir Untuk Ubati Sihir

Hukum pergi kepada tukang sihir bagi memintanya mengubati sihir yang dihadapi adalah haram. 

Hal ini kerana apabila seseorang pergi menemui tukang sihir untuk mengubati sihir yang dihadapi, jelas perbuatan tersebut membawa kepada pergantungan kepada selain Allah SWT.

Ia boleh membawa kepada syirik kepada-Nya.

Dr Wahbah al-Zuhaili dalam al-Fatawa al-Mu’asirah berkata:

“Diharamkan untuk pergi kepada tukang sihir sama ada untuk melakukan sihir atau pengubatan sihir. Maka semua itu sebagaimana yang disebutkan di dalam hadis Nabawi adalah salah satu jenis daripada syirik kepada Allah SWT kerana ia adalah keyakinan dengan mengetahui yang ghaib atau pengubatan penyakit melalui perantaraan selain Allah SWT.” (Lihat al-Fatawa al-Mu’asirah, hlm. 319)

Barangsiapa yang pergi kepada tukang sihir dan tidak mempercayainya, maka solatnya tidak akan diterima selama empat puluh malam.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Sesiapa yang mendatangi tukang ramal (dukun) dan bertanya kepadanya tentang sesuatu, maka tidak diterima solatnya selama empat puluh malam.” (Riwayat Muslim no hadis 5957)

Manakala, Barangsiapa yang pergi berjumpa dan mempercayainya, maka dia telah kufur terhadap apa yang diturunkan oleh Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW yang telah diwahyukan oleh Allah SWT kepadanya hal-hal yang ghaib. Tidak ada yang mengetahui hal-hal ghaib kecuali Allah SWT. (Lihat al-Fatawa al-Mu’asirah, hlm. 319)

Sabda Nabi SAW yang bermaksud:

“Sesiapa yang mendatangi dukun atau tukang ramal, lalu dia membenarkan apa yang dikatakannya, maka sungguh ia telah kufur kepada apa yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW.” (Riwayat Ahmad, no hadis 9171)

Perlu difahami bahawa sihir tidak mungkin dilawan dengan sihir.

Begitu juga kejahatan tidak mampu untuk membatalkan kejahatan yang lain.

Yang mampu membatalkannya hanyalah Allah SWT. Hal ini sebagaimana kisah Nabi Musa dengan ashab Firaun yang dicatatkan dalam al-Quran Surah Taha ayat 70:

(Nabi Musa pun mencampakkan tongkatnya yang terus menelan segala benda sihir mereka), maka keadaan yang demikian menjadikan ahli-ahli sihir itu segera merebahkan diri sujud sambil berkata: “Kami beriman kepada Tuhan yang mengutus Nabi Harun dan Nabi Musa”.

Ibn Kathir berkata:

“Setelah tukang sihir itu melihat dan menyaksikan hal tersebut, sedangkan mereka sendiri juga mempunyai keahlian tentang berbagai jenis sihir, ilmu dan caranya, maka mereka dengan yakin mengetahui bahawa apa yang dilakukan oleh Musa itu bukan termasuk sihir dan tipu daya, dan bahawasanya hal itu merupakan suatu yang haq (benar) yang tidak diragukan lagi. Hal itu tidak dapat dilakukan kecuali oleh Tuhan yang jika mengatakan “jadilah” kepada sesuatu, maka pasti terjadi. Pada saat itulah para tukang sihir tersebut tersungkur seraya bersujud kepada Allah SWT dan berkata: “Kami beriman kepada Tuhan sekalian alam, Tuhan Nabi Musa dan Nabi Harun.” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 9/350)

Menggunakan Jampi (Ruqyah) Yang Syar’i

Dalam hal ini, Islam menyediakan solusi tersendiri iaitu menggunakan ruqyah (jampi) yang berasaskan ayat-ayat al-Quran dan al-Sunnah dalam mengubati sihir dan seumpamanya. 

Allah SWT berfirman di dalam Surah Al-Isra ayat 82:

Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur dari Al-Quran Ayat-ayat Suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman kepadanya dan (sebaliknya) Al-Quran tidak menambahkan orang-orang yang zalim (disebabkan keingkaran mereka) melainkan kerugian jua.

Imam al-Syaukani Rahimahullah berkata: “Para ulama berbeza pendapat berkaitan makna “al-syifa” (penawar) kepada dua pendapat:

  • Menjadi penawar bagi hati dengan hilangnya kebodohan, lenyapnya keraguan dan terbukanya tabir yang akan membawa kepada Allah SWT.
  • Menjadi penawar bagi penyakit-penyakit yang zahir dengan ayat-ayat ruqyah, perlindungan dan sebagainya.

Tidak menjadi masalah jika al-syifa’ (penawar) yang dimaksudkan dibawa pada kedua-dua makna tersebut”. (Lihat Fath al-Qadir, 3/300)

Imam al-Baghawi berkata:

“Ruqyah (jampi) yang dilarang adalah ruqyah yang di dalamnya terdapat kesyirikan atau disebutkan di dalamnya jin-jin jahat, atau ruqyah yang bukan berbahasa Arab dan tidak diketahui apa hakikatnya. Hal ini kerana boleh jadi ruqyah itu telah dimasuki oleh sihir atau kekafiran.

Adapun ruqyah (jampi) dengan menggunakan al-Qur’an dan Zikrullah, maka sesungguhnya hal itu adalah boleh malah dianjurkan. Ini kerana, Nabi SAW pernah meniup (menjampi) pada dirinya dengan surah-surah al-Mu’awwizat (al-Ikhlas, al-Falaq dan al-Nas)”. (Lihat Syarh al-Sunnah, 12/159)

Daripada Aisyah R.Anha, beliau berkata:

“Bahawa Rasulullah SAW jika sakit, beliau membacakan pada dirinya sendiri al-Mu’awwizat (ayat-ayat perlindungan) dan meniupkannya. Jika rasa sakitnya bertambah, maka saya yang membacakan kepada Baginda dan mengusapkannya dengan tangan Baginda dengan mengharap barakahnya.” (Riwayat al-Bukhari 5016 dan Muslim 5844)

Dalam sebuah hadis lain yang diriwayatkan oleh Abi Sa’id R.A, beliau berkata bahawa Jibril datang kepada Nabi SAW lalu berkata: “Ya, Muhammad! Apakah tuan sakit?” Jawab Baginda SAW: “Ya.” Lalu Jibril membacakan:

Maksudnya: “Dengan menyebut nama Allah, aku membacakan ruqyah untukmu dari segala sesuatu yang menganggumu dari kejahatan setiap jiwa dan pengaruh ‘ain. Semoga Allah menyembuhkanmu.” (Riwayat Muslim 5829)

Kesimpulan

Sesungguhnya mendatangi tukang sihir lain untuk mengubati sihir yang terkena adalah haram sama sekali.

Saya mengesyorkan agar jumpalah perawat-perawat yang menggunakan ruqyah berasaskan ayat-ayat al-Quran dan al-Sunnah dalam mengubati sihir.

Anda juga boleh mendapatkan khidmat rawatan membuang sihir dari saya. Untuk maklumat lanjut tentang rawatan yang saya sediakan, boleh klik di sini.

Atau sekiranya mampu, boleh merawat sendiri berdasarkan petunjuk Qurani dan hadis Nabawi.

Akhir sekali, semoga Allah SWT menjauhkan kita daripada perkara-perkara yang boleh membawa kepada syirik kepada-Nya dan serta mengurniakan kepada kita kefahaman dalam mengamalkan suruhan-Nya.

Wangian Kasturi Ruqyah

Anda Dapat Sesuatu?

Jika anda rasa artikel ini bermanfaat, sila kongsikan dengan rakan-rakan dan juga orang yang anda sayangi. Anda juga boleh melanggan artikel terbaru saya terus melalui emel. Klik di sini untuk melanggan.

Anda aktif menggunakan aplikasi telegram? Saya juga ada kongsikan ilmu-ilmu mahal tentang perubatan Islam melalui telegram. Berminat? Join channel telegram saya di sini.

Sumber rujukan

Hukum Berjumpa Tukang Sihir Untuk Merawat Sihir
Jangan baca seorang. Kongsikan manfaat.

Ada pandangan tentang artikel di atas? Kongsikan pandangan anda dengan pembaca lain.

Scroll to top
error: Maaf. Artikel ini tidak dibenarkan untuk copy!!
%d bloggers like this: