Anda tengah was-was ke samada dalam badan ada sihir atau tak? Tidak lagi bila anda dapatkan 2 video percuma ni. Klik di sini.

Apa Yang Dimaksudkan Dengan Ruqyah Syar’iyyah?

Dikemaskini pada 24/05/2023 oleh Ustaz Abdullah

Sebelum saya berkongsi dengan lebih mendalam tentang kaedah dalam rawatan Islam ini, saya rasa lebih baik jika anda mengenali terlebih dahulu dengan lebih lanjut tentang kaedah ruqyah syar’iyyah ini.

Apakah peranannya? Dari mana sumber ambilan kaedah rawatan ini? Dan paling penting bagaimanakah tahap keberkesanan kaedah rawatan ini, terutamanya dalam membantu merawat penyakit yang berpunca dari gangguan makhluk halus seperti sihir, saka, pukau dan sebagainya.

Sebab dengan mengetahui perkara-perkara asas, anda akan lebih mudah untuk faham apabila dijelaskan tentang perkara-perkara yang lebih mendalam dalam rawatan ini.

Selain itu, anda juga tidak akan mudah tertipu apabila ada perawat-perawat lain yang mempraktikkan kaedah yang meragukan kemudian mengaku bahawa kaedah itu adalah ruqyah syar’iyyah.

Maksud Ruqyah Syar’iyyah

Ruqyah Syar’iyyah terdiri dari dua perkataan, iaitu Ruqyah dan juga Syar’iyyah. Maksud ruqyah ialah jampi, dan syar’iyyah pula bermaksud hukum-hakam dan perundangan dalam tatacara hidup berdasarkan al-Quran dan as-Sunnah.

Oleh itu, apa yang dapat kita fahami dari gabungan dua perkataan iaitu ruqyah dan juga syar’iyyah ialah kaedah jampi yang bersandarkan kepada hukum-hakam Islam yang didasari oleh al-Quran dan as-Sunnah.

Kesimpulannya, ruqyah syariah ialah kaedah rawatan Islam yang berpegang kepada dalil.

Dalil Ruqyah Syar’iyyah

Setelah kita memahami apakah yang dimaksudkan dengan ruqyah syar’iyyah, sekarang mari kita lihat apakah dalil yang menjadi pegangan dalam kaedah rawatan Islam ini.

Dalil pertama yang menjadi sandaran kepada pengamalan kaedah ini ialah firman di dalam surah al-Isra’ ayat 82 yang bermaksud”

“Dan Kami (Allah) turunkan daripada al-Quran sesuatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang yang beriman, dan (al-Quran itu) tidaklah menambahkan kepada orang yang zalim selain kerugian”

Ayat di atas menerangkan kepada kita bahawa Al-Quran yang diturunkan bukan sekadar menjadi petunjuk kepada jalan kebenaran, bahkan ianya juga merupakan penawar bagi orang-orang yang beriman, samada penyakit rohani ataupun jasmani.

Dalil yang seterusnya pula ialah berpandukan kepada ayat 42 dari Surah Sad yang bermaksud:

“Hentakkanlah kakimu, inilah air yang sejuk untuk mandi dan untuk minum”

Ayat di atas menceritakan bagaimana proses Allah menyembuhkan Nabi Ayub dari penyakit yang dihidapinya. Jelas dalam ayat di atas Allah menyuruh Nabi Ayub mandi dan minum dari air mata air yang muncul dari hentakkan kaki Nabi Ayub.

Ayat di atas pula menjadi dalil dan panduan untuk kaedah merawat pesakit. Sebab itu anda lihat boleh dikatakan semua pengamal perubatan ruqyah syar’iyyah akan menyuruh pesakit minum dan mandi selepas proses rawatan.

Berkaitan dengan penggunaan ayat-ayat ruqyah dalam proses merawat pesakit yang terkena gangguan jin dan sihir, apakah dalil yang digunakan sehingga ada ayat-ayat yang dipilih dari keseluruhan Al-Quran?

Secara umumnya, keseluruhan ayat Al-Quran boleh digunakan untuk ruqyah. Ini kerana seperti yang saya jelaskan di atas bahawa ayat 82 daripada Surah Al-Isra menyebut bahawa Allah telah turunkan Al-Quran sebagai penawar. Ini merujuk kepada keseluruhan Al-Quran.

Maksudnya, sekiranya anda tidak menghafal ayat-ayat ruqyah yang khusus, anda boleh sahaja membaca mana-mana ayat dari Al-Quran yang anda mampu untuk membacanya. Untuk ayat-ayat yang dipilih secara khusus pula, ianya berpandukan kepada beberapa hadis.

Contohnya ialah peristiwa di mana syaitan mengajarkan kepada Abu Hurairah tentang kelebihan ayat kursi. Peristiwa ini berdasarkan kepada hadis riwayat Imam Bukhari, nombor hadis 2187.

Syaitan mengajarkan kepada Abu Hurairah bahawa sekiranya beliau membaca ayat kursi ketika hendak tidur, maka Allah akan menjaga hingga ke pagi. Dan apa yang diajarkan oleh syaitan ini dibenarkan oleh Rasulullah s.a.w.

Hadis yang lain ialah hadis tentang peristiwa Rasulullah disihir oleh Labid bin Al-Asam, seorang lelaki Yahudi. Dalam hadis panjang ini, setelah Rasulullah membacakan ayat-ayat dari Surah Al-Falaq dan An-nas, maka Baginda terasa seperti dirinya terlepas dari ikatan.

Jadi, berpandukan kepada penjelasan saya di atas, kaedah rawatan ruqyah syar’iyyah yang menggunakan ayat-ayat tertentu adalah berdasarkan kepada hadis-hadis yang tertentu juga.

Walaupun begitu, ada juga ayat-ayat ruqyah yang digunakan di dalam rawatan adalah kerana dalam ayat tersebut mengandungi amaran dan peringatan tentang azab Allah kepada mereka yang melakukan sihir.

Ayat-ayat ini dibaca bertujuan untuk menyedarkan jin sihir yang berada dalam badan pesakit.

Kesimpulan

Kaedah ruqyah syar’iyyah adalah suatu kaedah yang berpandukan kepada petunjuk Al-Quran dan Hadis. Oleh itu, bukan semua orang boleh mengaku bahawa kaedah yang digunakannya ialah kaedah ruqyah syar’iyyah selagi ianya bertentang dengan Al-Quran dan Hadis.

Sebagai pesakit, anda juga perlu tahu sedikit sebanyak perkara-perkara asas berkaitan dengan kaedah ini. Tujuannya supaya anda sendiri dapat mengenalpasti apakah benar seseorang perawat itu benar-benar mengamalkan kaedah ruqyah syar’iyyah atau tidak.

Dan saya berharap agar perkongsian artikel ini sedikit sebanyak dapat menambahkan pengetahuan anda tentang kaedah ruqyah syar’iyyah. Sekiranya anda mempunyai pertanyaan atau kemusykilan, sila ajukan persoalan anda diruangan komen untuk saya bantu anda menjawab persoalan tersebut inshaaAllah.

Follow saya di sosial media:
Apa Yang Dimaksudkan Dengan Ruqyah Syar’iyyah?
Scroll to top
error: Maaf. Artikel ini tidak dibenarkan untuk copy!!