Anda tengah was-was ke samada dalam badan ada sihir atau tak? Tidak lagi bila anda dapatkan 2 video percuma ni. Klik di sini.

Apakah Maksud Kerap Mimpi Orang Meninggal?

mimpi seseorang meninggal menurut islam

Dikemaskini pada 18/06/2022 oleh Ustaz Abdullah

Menurut wikipedia, mimpi adalah pengalaman bawah sedar yang melibatkan penglihatan, pendengaran, fikiran, perasaan atau pancaindera lainnya.

Bagaimana pula mimpi dari pandangan Islam? Nabi s.a.w telah bersabda:

“Mimpi itu ada 3 jenis. Mimpi yang merupakan gangguan syaitan untuk meresahkan anak Adam, mimpi yang pada asalnya perkara yang difikirkan manusia ketika terjaga, lalu terbawa ke dalam tidur. Mimpi yang merupakan satu bahagian daripada 46 bahagian kenabian” (Riwayat Ibnu Majah 3907)

Berdasarkan kepada hadis di atas, dapat kita fahami pandangan Islam tentang mimpi. Di dalam Islam mengajarkan bahawa mimpi yang dialami oleh seseorang terbahagi kepada 3 bahagian iaitu:

  1. Mimpi yang merupakan gangguan syaitan yang bertujuan untuk menimbulkan keresahan kepada seseorang.
  2. Mimpi yang pada asalnya perkara yang difikirkan oleh seseorang ketika terjaga hingga terbawa-bawa ke dalam mimpinya.
  3. Mimpi yang merupakan satu bahagian daripada 46 bahagian kenabian.

Oleh kerana kerap juga yang bertanyakan kepada saya berkenaan dengan mimpi berjumpa atau melihat orang yang sudah meninggal, jadi dalam artikel kali ini saya akan cuba kongsikan pandangan saya tentang isu ini.

Oleh kerana ianya pandangan saya, anda bebas untuk menerima atau menolak pandangan tersebut.

Dan saya juga berharap perkongsian ini dapat memberikan manfaat kepada pembaca walaupun sedikit.

Bagaimana Menghadapi Mimpi Baik & Buruk?

Islam adalah agama fitrah. Oleh kerana ianya agama fitrah, maka tidak ada satu perkara pun yang berkaitan dengan fitrah manusia yang tidak disentuh dalam Islam.

Mimpi adalah satu fitrah yang akan dialami oleh semua manusia. Jadi Islam mengajar bagaimana cara sepatutnya dilakukan apabila kita mengalami mimpi, samada ianya mimpi yang baik, ataupun yang buruk.

Berdasarkan kepada sebuah hadis sahih, Rasulullah s.a.w telah bersabda:

“Mimpi yang baik itu dari Allah. Sedangkan mimpi yang buruk itu dari syaitan. Jika salah seorang dari kalian bermimpi yang tidak ia sukai, maka hendaklah dia meniup ke sebelah kiri tiga kali dan membaca taawudz sebanyak tiga kali. Kemudian setelah itu hendaklah dia memalingkan tubuhnya ke arah yang lain. Dengan demikian tidak ada lagi yang membahayakan dan jangan diceritakan kepada sesiapa pun tentang mimpi tersebut”. (Hadis riwayat Bukhari no 6995, Muslim no 2261)

Dalam hadis di atas, Nabi menjelaskan tentang mimpi baik dan mimpi buruk. Jika mendapat mimpi yang baik, tidaklah menjadi masalah kepada kita.

Nabi juga mengatakan bahawa mimpi yang baik itu datangnya daripada Allah. Jadi apabila mendapat mimpi yang baik, ucapkalah “Alhamdulillah”.

Nabi mengajarkan kepada kita apa yang perlu dilakukan jika mendapat mimpi yang buruk, iaitu:

  1. Membaca taawudz.
  2. Meniup/meludah ke kiri tiga kali.
  3. Memalingkan tubuh ke arah yang lain.
  4. Jangan menceritakan kepada sesiapa pun mimpi tersebut.

Saya ada menjelaskan lebih terperinci tentang perkara di atas. Boleh baca artikel saya yang bertajuk 6 Langkah Yang Ditunjukkan Nabi Jika Mimpi Buruk.

Apakah Maksud Mimpi Orang Yang Dah Meninggal?

Bermimpi orang-orang yang dah meninggal boleh disebabkan beberapa faktor.

Pertama: Anda terlalu rindukan mereka.

Jika orang yang anda mimpikan itu adalah orang yang anda sayang, atau kenal, contohnya ahli keluarga, saudara atau kawan baik anda, mungkin anda mimpikan mereka disebabkan perasaan rindu.

Seperti yang Nabi beritahu dalam hadis yang saya kongsikan di atas, ada mimpi yang berlaku disebabkan perkara-perkara yang terlalu anda fikirkan ketika jaga.

Jadi perkara tersebut terbawa-bawa hingga ke dalam mimpi. Disebabkan orang yang anda mimpi itu adalah orang yang anda sayang, dan anda terlalu rindukannya ketika jaga, sebab itulah anda mimpikan orang yang dah meninggal tersebut.

Kedua: Mimpi itu adalah mainan syaitan.

Berdasarkan hadis di atas juga, Nabi telah menjelaskan kepada kita bahawa ada mimpi yang kita alami disebabkan mainan syaitan bertujuan untuk menimbulkan keresahan kepada kita.

Apa yang Nabi sampaikan ini sangat benar (sememangnya Nabi itu benar), kerana ada pesakit yang pernah menceritakan kepada saya bahawa dia ada bermimpi ahli keluarganya yang dah meninggal dalam keadaan yang menakutkan.

Ada juga yang bermimpi ahli keluarga mereka yang telah meninggal itu seakan-akan seperti diseksa.

Mimpi-mimpi begini yang dialami akan menyebabkan orang yang bermimpi itu menjadi resah dan sebagainya. Tambahan pula kerana orang yang datang dalam mimpi itu adalah ahli keluarga yang disayangi dan rapat dengan mereka ketika masih hidup dulu.

Inilah permainan syaitan.

Ketiga: Mungkin anda mengalami gangguan jin.

Mimpi yang menakutkan adalah salah satu tanda yang menunjukkan mereka yang kerap mengalaminya mungkin sedang mengalami gangguan jin.

Selain itu, dari pengalaman saya ada juga mimpi yang menjadi tanda kepada gangguan jin saka.

Contohnya mereka yang kerap bermimpi didatangi oleh seorang tua yang tidak dikenali dan ingin memberikan sesuatu.

Jangan salah sangka dengan kenyataan saya ini. Apa yang saya sampaikan adalah dari pengalaman sahaja dan bukanlah saya sedang mentakwil mimpi anda.

Apakah Tindakan Kita?

Jika anda mengalami mimpi orang yang sudah meninggal, apakah yang patut dilakukan?

Bergantung pada bagaimana mimpi yang dialami. Jika anda bermimpi yang baik, ucapkanlah Alhamdulillah.

Jika mimpi tersebut menjadikan anda resah dan takut, lakukanlah apa yang diajarkan Nabi apabila anda terjaga dari tidur.

“Mimpi yang baik itu dari Allah. Sedangkan mimpi yang buruk itu dari syaitan. Jika salah seorang dari kalian bermimpi yang tidak ia sukai, maka hendaklah dia meniup ke sebelah kiri tiga kali dan membaca taawudz sebanyak tiga kali. Kemudian setelah itu hendaklah dia memalingkan tubuhnya ke arah yang lain. Dengan demikian tidak ada lagi yang membahayakan dan jangan diceritakan kepada sesiapa pun tentang mimpi tersebut”. (Hadis riwayat Bukhari no 6995, Muslim no 2261)

Dan saranan saya, jika anda kerap mengalami mimpi ahli keluarag yang dah meninggal, dan mimpi tersebut menakutkan, sebaiknya dapatkanlah rawatan dari mana-mana perawat syar’i untuk pastikan apakah ada gangguan jin atau tidak.

Kesimpulan

Apabila anda bermimpi orang yang dah meninggal terutamanya jika mereka adalah ahli keluarga anda, jangan mudah meletakkan tanggapan yang negatif.

Contohnya seperti roh arwah tak tenang, arwah ada membela saka dan sebagainya. Sebaiknya lakukanlah amalan-amalan yang dapat membantu mereka di alam kubur seperti sentiasa mendoakan keampunan untuk mereka terutamanya jika yang sudah meninggal itu adalah ibu dan ayah anda.

Ataupun anda melakukan wakaf atas nama arwah. Ataupun menggantikan amalan-amalan arwah seperti ibadah haji dan puasa.

Ini kerana amalan-amalan tersebut telah disepakati ulama akan sampai dan memberikan manfaat kepada orang-orang yang telah mati.

Jika anda rasa artikel ini bermanfaat, jangan lupa untuk kongsikan ia di media sosial milik anda. Dengan ini lebih ramai orang akan mendapat manfaat dari artikel yang anda kongsikan.

Follow saya di sosial media:
Apakah Maksud Kerap Mimpi Orang Meninggal?
Scroll to top
error: Maaf. Artikel ini tidak dibenarkan untuk copy!!