Anda tengah was-was ke samada dalam badan ada sihir atau tak? Tidak lagi bila anda dapatkan 2 video percuma ni. Klik di sini.

Kelebihan Bulan Ramadhan

Dikemaskini pada 23/01/2023 oleh Ustaz Abdullah

bulan ramadhan

Allah s.w.t telah berfirman di dalam kitab-Nya yang suci:

“Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa (Surah al-Baqarah ayat 183)

Pejam celik pejam celik, tak dirasa masa berlalu tersangat pantas. Bulan Ramadhan, bulan yang mempunyai pelbagai kelebihan, bulan yang dimuliakan Allah kini kembali lagi. Bersyukur kita kepada Allah dan mohonlah agar Allah ketemukan kita dengan bulan Ramadhan dan panjangkan umur kita agar dapat kita merebut segala kelebihan dan ganjaran di dalam bulan Ramadhan.

Kelebihan Bulan Ramadhan

Banyak sangat hadis Rasulullah s.a.w yang telah menerangkan kelebihan dan keistimewaan yang dikurniakan Allah di dalam bulan Ramadhan berbanding bulan-bulan yang lain. Antaranya ialah:

1) Bulan Ramadhan penghapus dosa

“Solat lima waktu, jumaat ke jumaat dan ramadhan ke ramadhan merupakan penghapus dosa di antaranya selama mana dijauhi dosa besar”. (Riwayat Imam Muslim)

2) Pada bulan Ramadhan dibuka pintu syurga, ditutup pintu neraka dan dirantai syaitan-syaitan

Sabda Rasulullah s.a.w;

“Apabila tiba malam pertama Ramadhan akan diikat/dirantai segala syaitan dan jin-jin yang sesat, ditutup segala pintu neraka hingga tidak ada satu pintu pun yang dibuka, dibuka segala pintu syurga hingga tidak ada satu pintupun yang ditutup. Seorang penyeru (yakni Malaikat) akan berseru; “Wahai orang yang mengejar kebaikan! Tampillah kamu. Wahai orang yang ingin melakukan kejahatan! Undurlah kamu (yakni berhentilah dari melakukan kejahatan)”. Akan terdapat orang-orang yang bakal dibebaskan Allah dari api neraka. Hal demikian itu berlaku pada setiap malam (di sepanjang Ramadhan)”. (Riwayat Imam at-Tirmizi, Baihaqi dan Ibnu Hibban dari Abu Hurairah r.a.)

3) Lima anugerah khusus Allah untuk umat Muhammad di bulan Ramadhan

Sabda Rasulullah s.a.w.;

“Telah diberikan kepada umatku di bulan Ramadhan lima perkara yang belum pernah diberikan kepada seorang nabi pun sebelumku, yaitu; Di permulaan Ramadhan Allah akan melihat kepada umatku. Sesiapa Allah melihat kepadanya nescaya ia tidak akan diazab selama-lamanya. Bau mulut mereka (yang berpuasa) ketika petang hari lebih wangi di sisi Allah dari bau kasturi.

Malaikat akan memohon ampun untuk mereka di sepanjang hari dan malam. Allah menyuruh syurga supaya bersiap-sedia dengan berkata kepadanya; “Bersiaplah kamu dan berhiaslah untuk hamba-hambaKu. Mereka hampir datang (memasukimu) untuk beristirehat dari kepayahan dunia menuju ke rumahKu dan kemuliaanKu”.

Pada akhir malam bulan Ramadhan, Allah mengampuni dosa semua mereka. Seorang lelaki dari sahabat bertanya; ‘Adakah malam itu lailatul Qadar?’. Jawab Rasulullah; ‘Tidak. Apakah engkau tidak melihat kepada pekerja-pekerja yang bekerja. Apabila mereka telah selesai dari pekerjaan mereka, akan disempurnakanlah upah-upah bagi mereka”. (Riwayat Imam Ahmad, al-Bazzar dan al-Baihaqi dari Jabir r.a.)

4) Malam al-Qadar

Antara kelebihan besar bulan Ramadhan ialah di dalamnya terdapat lailatul-Qadar atau malam al-Qadar (kemuliaan) yang dinyatakan keistimewaannya secara khusus oleh Allah dalam surah al-Qadr;

“Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (Al Qur’an) pada malam al-Qadar (kemuliaan). Dan tahukah kamu apakah malam al-Qadar itu? Malam al-Qadar itu lebih baik dari seribu bulan. Pada malam itu turun malaikat-malaikat dan malaikat Jibril dengan izin Tuhannya untuk mengatur segala urusan. Malam itu (penuh) kesejahteraan sampai terbit fajar”. (al-Qadr: 1-5)

Walaupun surah di atas tidak menjelaskan bilakah akan munculnya malam al-Qadar, namun jawapan bagi persoalan ini dijelaskan oleh Nabi s.a.w. dalam sabdanya;

“Carilah lailatul-Qadar pada sepuluh malam terakhir dari bulan Ramadhan”. (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim dari Saidatina Aisyah r.a.)

Begitulah antara kelebihan dan keistimewaan bulan Ramadhan. Orang yang tahu menilainya sudah pasti tidak akan mensia-siakan peluang untuk merebut kelebihan-kelebihan tersebut. Bahkan Rasulullah sendiri pernah menegaskan;

“Sekiranya manusia benar-benar menyedari kebaikan-kebaikan yang ada di bulan Ramadhan ini, pastinya mereka akan mengharapkan supaya sepanjang tahun adalah Ramadhan”. (Riwayat Ibnu Abi Dunya)

Maha Penyayangnya Allah kan kepada hamba-hamba-Nya, khususnya kepada kita umat Nabi Muhammad dengan dikurniakannya bulan Ramadhan. Marilah bersama-sama kita membina kekuatan iman untuk merebut dan tidak melepaskan  peluang yang diberikan Allah ini.

Jika kita tidak merebut peluang pada tahun ini, kita tidak tahu apakah Allah akan memberikan peluang ini lagi pada tahun akan datang. Di kesempatan ini juga saya ingin mengucapkan Selamat Menyambut Bulan Ramadhan al-Mubarak.


Follow saya di sosial media:
Kelebihan Bulan Ramadhan
Scroll to top
error: Maaf. Artikel ini tidak dibenarkan untuk copy!!