Betulkah Perawat Boleh Tahu Segalanya? Menyingkap Realiti & Syariat

Perawat Islam berjubah putih dalam suasana spiritual dengan cahaya samar di latar belakang
Anggaran Masa Bacaan: 12 minit

Dikemaskini pada 13/05/2025 oleh Ustaz Abdullah

Selama saya merawat pesakit-pesakit gangguan jin dan sihir, banyak cerita-cerita yang saya dengar dari mereka tentang sesetengah perawat.

Cerita tentang apa?

Yelah, ada pesakit yang cerita pada saya ada perawat yang merawat mereka mengatakan yang mereka ini disihir dengan menggunakan rantai yang dibuang ke dalam sungai.

Ada juga perawat yang mengatakan barang sihir ditanam di bawah tangga rumah.

Dan ada juga pesakit yang bagitau pada saya, ada perawat yang siap boleh bagitau nama orang yang menyihir mereka.

Benda ini sebenarnya memberikan masalah pada saya. Masalah macam mana? Masalahnya apabila saya rawat, mereka ini takde pun tanda-tanda disihir, tapi mereka tak percaya cakap saya.

Mereka lebih percaya cakap perawat yang kononnya serba tahu ini. Dalam hati saya marah juga.

“Kalau dah percaya sangat cakap perawat tu, kenapa tak teruskan je berubat dengan perawat tersebut?”, saya berkata-kata dalam hati.

Disebabkan inilah saya mengambil keputusan menulis artikel ini dengan tujuan untuk menerangkan kepada masyarakat. Betul kah ada perawat yang boleh menceritakan secara detail tentang sihir yang dikenakan kepada seseorang?

Dan bagaimana pula kalau apa yang diceritakan oleh perawat itu tepat seperti yang berlaku kepada pesakit? Adakah itu bermaksud yang perawat ini diberikan kelebihan oleh Allah?

Persoalan-persoalan ini akan saya jawab dalam artikel ini dan inshaaAllah saya akan berikan pandangan saya bersama dengan dalil-dalil yang menyokongnya.

Mudah-mudahan anda mendapat manfaat dari artikel ini.

Isi Kandungan Artikel:

Adakah Perawat Memang Tahu?

Sebagai seorang perawat yang telah lama dalam bidang ini, saya memang tidak pernah menafikan bahawa sihir itu wujud. Bukan hanya kerana saya pernah merawat pesakit-pesakit sihir, bahkan lebih utama, sihir adalah perkara yang memang ada di dalam Al-Quran dan juga Hadis Rasulullah s.a.w.

Bila ada disebutkan dalam Al-Quran dan Hadis, maka sebagai orang beriman, wajiblah saya kena percaya.

Tetapi apa yang saya pertikaikan di sini ialah, bagaimana perawat boleh ceritakan secara terperinci tentang sihir tersebut?

Bagaimana sihir itu dilakukan perawat boleh tahu. Barang apa yang digunakan untuk sihir perawat boleh tahu. Dan ada perawat boleh tahu apa tujuan penyihir melakukan sihir ke atas mangsa.

Ini sangat tidak masuk akal sebab apa yang diceritakan oleh perawat adalah sesuatu perkara yang dilakukan secara tersembunyi. Bahkan dishir dilakukan dengan bantuan jin yang meruapakan makhluk ghaib.

Saya ada juga tanya pada pesakit, mereka ada tak tanya kepada perawat macam mana boleh tahu secara terperinci tentang sihir yang dikenakan kepada mereka.

Ini pun masalah juga. Semua pesakit yang saya tanyakan, kebanyakan dari mereka akan mengatakan yang mereka takde pulak tanya tentang perkara tersebut kepada perawat.

Tetapi dari maklumat yang saya dapat, perawat akan menyatakan bahawa mereka ini mendapat maklumat melalui salah satu dari empat perkara di bawah:

  1. Ilham atau lintasan hati.
  2. Komunikasi dengan jin Islam yang “membantu” rawatan.
  3. Maklumat ghaib yang diperolehi semasa sesi rawatan (seperti pesakit kerasukan).
  4. Pengalaman lampau dan analisa berdasarkan tanda-tanda tertentu.

Saya huraikan dengan lebih terperinci tentang keempat-empat perkara di atas.

1. Ilham atau lintasan hati.

Ada sesetengah perawat mendakwa bahawa mereka ni dapat maklumat melalui ilham atau lintasan hati. Tapi ada sesetengah perawat ni lagi bijak.

Untuk memastikan pesakit boleh terima apa yang mereka katakan, elemen agama kena digunakan. Iaitu mereka akan mendakwa kononnya ilham tersebut dapat setelah melakukan solat hajat. Nampak tak?

Bila dicampur dengan unsur-unsur agama ni, pesakit takde alasan lah nak tolak. Walaupun ragu-ragu pesakit terpaksalah terima.

Tetapi di sini saya nak jelaskan bahawa:

  • Di dalam Islam memang ilham ni boleh berlaku, khususnya kepada orang-orang yang benar-benar bertaqwa. Tapi anda juga kena sedar yang bukan semua ilham tu datangnya dari Allah, ada yang datang daripada syaitan ataupun bisikan nafsu sendiri. Berkenaan dengan ilham ini, ada peristiwa melucukan yang pernah terjadi pada saya. Sebab bila saya pertikaikan tentang kemampuan perawat yang kononnya diberikan kelebihan ni, ada satu komen yang menyamakan keboleh perawat ni adalah seperti kelebihan yang diberikan Allah kepada Saidina Umar r.a. Bagi saya ini sangat keterlaluan apabila menyamakan orang awam seperti kita dengan para sahabat Nabi yang mereka ini memang dimuliakan oleh Allah sendiri. Saidina Umar ni salah seorang sahabat yang dijamin syurga. Layakkah perawat disamakan dengan sahabat Nabi?
  • Ilham tak boleh dijadikan hujah syar’i. Maksudnya anda tak boleh nak tuduh atau menghukum seseorang hanya dengan ilham. Anda kena bawa bukti yang nyata.
  • Ilham yang dijadikan sandaran untuk menuduh seseorang melakukan sihir adalah sangat merbahaya dan boleh mendatangkan fitnah yang besar. Berapa banyak dah saya tengok hubungan silaturrahim putus hanya kerana ada orang yang percaya dengan ilham siperawat.

Kesimpulannya di sini ialah ilham atau lintasan hati tak boleh dijadikan sumber mutlak atau dijadikan pegangan dalam sesuatu perkara, apatahlagi nak menuduh seseorang melakukan sihir.

2. Komunikasi dengan Jin Islam yang Membantu Rawatan

Saya tak pernah lagi jumpa ada orang yang mengaku bahawa Malaikat datang membantu dia. Tapi banyak yang saya jumpa mengaku kononnya ‘Jin Islam’ membantu mereka, khususnya dalam rawatan melibatkan makhluk ghaib.

Anda tahu kenapa?

Sebab kalau ada yang kata Malaikat datang membantu, memang takkan ada orang percaya. Sebab walaupun sejahil mana sekalipun individu Islam tu, mereka tahu bahawa Malaikat ni hanya akan patuh perintah Allah sahaja.

Tapi kalau guna nama ‘Jin Islam’, akan ada orang yang percaya. Dan itulah realitinya. Tapi persoalannya, betulkah yang membantu tu jin Islam?

  • Realitinya, tidak ada jaminan bahawa jin Islam yang datang membantu tu benar-benar jujur dan ikhlas. Bahkan keislaman jin itupun boleh dipertikaikan. Siapa boleh jamin jin itu Islam?
  • Oklah, katalah itu memang jin Islam, anda tetap kena sedar bahawa jin itu tetap berada di alam ghaib. Ini bermaksud maklumat yang mereka bagi tu tak boleh dianggap muktamad dan bebas dari sebarang tipu daya. Manusia yang Islam pun banyak menipu. Jadi jin yang Islam pun tak mustahil boleh menipu kan.
  • Dan ada ulama yang memberikan pandangan tidak boleh meminta pertolongan walaupun dari jin Islam. Sebab ianya boleh membuka pintu kepada perbuatan syirik apabila meminta pertolongan kepada selain dari Allah.

3. Maklumat Ghaib yang Diperolehi Semasa Sesi Rawatan

Boleh dikatakan semua perawat pernah berhadapan dengan situasi begini. Iaitu keadaan di mana ketika pesakit sihir diruqyah, dia meracau.

Kemudian dalam keadaan kerasukan tu, jin dalam badan pesakit akan mula berkata-kata.

Masa inilah jin tu akan mula menyebut nama seseorang individu yang kononnya adalah orang yang menyihir mangsa. Jin ni pun pandai. Kenapa dia sebut nama orang-orang tertentu?

Sebab biasanya orang yang disebut itulah memang ada masalah dengan mangsa. Inilah yang kadang-kadang menjadikan mangsa mudah untuk percaya.

Lebih teruk lagi bila perawat pun menyokong apa yang dicakapkan oleh jin tadi. Tapi apa yang saya nak jelaskan di sini ialah:

  • Nama-nama yang disebutkan tadi biasanya datang daripada jin, bukan dari pesakit itu sendiri.
  • Jadi anda kena sedar bahawa jin boleh sahaja nak berbohong, mereka-reka cerita dan membuat tuduhan palsu. Tujuannya adalah untuk memecahbelahkan manusia, memutuskan silaturrahim, menimbulkan pergaduhan dan menimbulkan kebergantungan pesakit hanya kepada perawat.
  • Ada sesetengah perawat yang boleh percaya dengan maklumat-maklumat yang diberitahu oleh jin yang merasuk tadi dan akhirnya membuat rumusan memang betullah orang yang disebut nama tadi yang melakukan sihir.

Kesimpulannya ialah maklumat yang diterima semasa kerasukan tak boleh sama sekali dijadikan sandaran hukum atau tubuhan. Sebabnya ia boleh mendatangkan fitnah yang besar kalau dipercayai tanpa usul periksa.

4. Pengalaman Lampau dan Analisa Berdasarkan Tanda-Tanda Tertentu

Ada sesetengah perawat pula, mereka ni tak bergantung kepada bantuan makhluk ghaib, tapi mereka bergantung kepada pengalaman dan juga analisa kepada tanda-tanda tertentu.

Sebagai contoh, kalau orang tu sakit dibahagian pinggang dan selalu mimpi ular, itu biasanya sihir pengasih. Adakah cara ni salah?

  • Cara ni sebenarnya tidaklah salah. Memang tanda-tanda dan gejala yang ditunjukkan oleh pesakit boleh dijadikan panduan awal. Sama juga macam doktor yang membuat analisa berpandukan kepada simptom-simptom penyakit.
  • Yang jadi salahnya ialah, apabila ada perawat yang menjadikan analisa gejala-gejala gangguan dan juga dari pengalaman mereka, sebagai satu petunjuk untuk menyatakan ‘dengan pasti’ siapa pelaku sihir, macam mana sihir dilakukan dan apa tujuan sihir tu dihantar.
  • Keadaan ini sangat merbahaya kerana apabila perawat terlalu yakin dengan analisa tersebut dan membuat dakwaan seolah-olah perkara itu sudah terbukti — sedangkan ia hanya berdasarkan andaian pengalaman, bukan dalil syar’ie. Hal ini boleh menyebabkan timbulnya tuduhan melulu terhadap individu tertentu, menanam syak wasangka dalam keluarga, dan membentuk kepercayaan palsu dalam masyarakat. Lebih parah lagi, ia boleh mengheret orang awam kepada dosa memfitnah serta mencetuskan permusuhan yang berpanjangan — semuanya berpunca daripada andaian yang tidak disahkan kebenarannya.

Kesimpulannya, memang tidak dinafikan bahawa pengalaman dalam merawat pesakit adalah sesuatu yang sangat penting. Saya sendiri pun merujuk kepada pengalaman dalam proses rawatan. Namun begitu, pengalaman perlu dijadikan panduan dan penanda aras, bukan sebagai satu kaedah untuk menuduh secara pasti bahawa seseorang telah melakukan sihir ke atas individu lain.

Sebagai contoh, apabila pesakit datang untuk rawatan buat kali pertama, saya akan bertanya beberapa soalan berkaitan gejala yang dialami.

Jika dia menjawab bahawa dia mengalami simptom tertentu, saya boleh mengagak bahawa ada kemungkinan dia sedang mengalami gangguan jin atau sihir.

Ini kerana, berdasarkan pengalaman saya merawat ramai pesakit sebelum ini, gejala-gejala tertentu sering kali muncul pada pesakit yang benar-benar mengalami gangguan tersebut.

Gejala yang dialami juga boleh memberikan petunjuk awal tentang kedudukan jin dalam tubuh.

Namun semua ini masih pada tahap andaian awal dan tidak boleh dijadikan asas mutlak untuk menuduh sesiapa.

Pesakit tetap perlu menjalani sesi rawatan ruqyah secara bersemuka agar penilaian dapat dibuat dengan lebih teliti dan berhikmah.

📩 Dapatkan Ebook Percuma & Akses Ilmu Eksklusif!

Jangan lepaskan peluang untuk jadi yang pertama menerima:
✅ Artikel terbaru & kemas kini terus ke inbox
✅ Perkongsian ilmu & pengalaman sebenar rawatan Islam
✅ Bonus eksklusif: Ebook Percuma – “Rahsia Disebalik Gejala Gangguan Jin”
Ebook ini mengupas tanda-tanda gangguan jin, bagaimana membezakannya dengan masalah biasa, dan langkah awal sebelum mendapatkan rawatan.
👉 Daftar sebagai ahli newsletter sekarang – percuma dan penuh manfaat, insyaAllah.

Maklumat Ghaib Milik Siapa?

Sebagai seorang yang beriman, bagi saya perkara ini jelas. Akidah ialah perkara asas yang paling utama di dalam Islam. Bila ditanya siapa yang tahu persoalan ghaib, tak lain dan tak bukan, Allah s.w.t yang Maha Tahu.

Firman Allah:

“Katakanlah (wahai Muhammad): Tiada siapa pun di langit dan di bumi yang mengetahui perkara yang ghaib melainkan Allah.”
(Surah An-Naml: 65)

Ayat al-Quran ini sangat jelas dan mudah difahami. Allah memerintahkan Nabi Muhammad ﷺ supaya menyampaikan kepada kaumnya secara khusus — dan kepada seluruh umat manusia secara umum — bahawa dalam urusan yang berkaitan dengan perkara ghaib, tiada siapa yang mengetahuinya melainkan Allah semata-mata.

Termasuklah Nabi Muhammad ﷺ sendiri, Baginda tidak mengetahui perkara ghaib kecuali apa yang diwahyukan oleh Allah. Hal ini dinyatakan dengan tegas dalam Surah al-A‘rāf ayat 188:

“Katakanlah (wahai Muhammad): Aku tidak berkuasa menarik manfaat bagi diriku, dan tidak pula menolak kemudaratan kecuali apa yang dikehendaki Allah. Dan sekiranya aku mengetahui perkara ghaib, tentulah aku akan memperbanyakkan kebaikan untuk diriku dan aku tidak akan ditimpa sesuatu keburukan. Aku hanyalah seorang pemberi amaran dan pembawa berita gembira kepada kaum yang beriman.”

Persoalannya ialah, jika perkara ini sudah menjadi asas yang jelas dalam al-Quran, mengapa masih ada perawat yang mendakwa mengetahui perkara ghaib — kononnya sebagai sebahagian daripada rawatan Islam?

Jawapannya mudah: kerana akan sentiasa ada pesakit yang percaya. Dan di situlah ruang penipuan dan manipulasi berlaku.

Saya sendiri pernah berdepan dengan satu kes di mana seorang pesakit sanggup membayar sebanyak RM16,000 kepada seorang perawat. Mengapa? Kerana perawat itu mendakwa bahawa seluruh keturunan pesakit telah terikat dengan satu perjanjian jin saka, dan untuk memutuskan perjanjian itu, setiap ahli keluarga perlu dirawat, dan rumah mereka pula perlu dipulihkan secara spiritual. Perawat tersebut turut menyatakan bahawa proses ini akan mengambil masa selama tiga hari.

Bila saya mendengar cerita ini, saya tahu dengan serta-merta bahawa ia tidak masuk akal — tetapi pesakit itu tetap percaya dan sanggup membayar kerana yakin perawat tersebut tahu “sesuatu” yang orang lain tidak tahu.

Kesimpulannya, perkara ghaib bukan ruang untuk kita buat andaian sesuka hati, apatah lagi mendakwa tahu secara pasti. Dalam Islam, maklumat ghaib adalah milik mutlak Allah. Nabi Muhammad ﷺ sendiri tak tahu perkara ghaib melainkan apa yang Allah wahyukan. Jadi siapa kita kalau nak buat seolah-olah kita lebih tahu daripada apa yang Nabi sendiri tidak tahu? Sebagai perawat, kita kena jujur dan beradab dengan batas ilmu. Bila kita sedar batas ini, insyaAllah rawatan kita lebih bersih, lebih selamat, dan lebih diredhai Allah.

Antara Kasyaf dan Tipu Daya Jin

Anda tahu tak apa itu kasyaf? Pernah dengar tentang kasyaf? Ilmu kasyaf ni memang ada ke? Untuk menjawab semua persoalan ni, saya bawakan dalil dari Al-Quran iaitu di dalam Surah Al-Kahfi ayat 60 hingga 82.

Di dalam surah Al-Kahfi ayat 65 Allah s.w.t telah berfirman:

“Lalu mereka bertemu dengan seorang hamba dari hamba-hamba Kami (iaitu al-Khidir), yang Kami telah kurniakan kepadanya rahmat daripada sisi Kami, dan Kami telah mengajarkan kepadanya ilmu dari sisi Kami (ilmu laduni).”

Ayat ini menceritakan tentang Nabi Khidir yang telah dianugerahkan dengan “ilmu laduni”. Ilmu ni ialah ilmu yang datang secara langsung dari Allah. Dia tak boleh didapatkan melalui proses biasa seperti berguru atau belajar.

Apa yang membuktikan Nabi Khidir ada ilmu laduni ni? Anda boleh baca dalam ayat seterusnya iaitu ayat 66 hingga 82. Dalam ayat tersebut, Nabi Khidir telah melakukan 3 tindakan yang luar biasa yang mana memang mustahil manusia biasa boleh buat, iaitu:

  1. Melubangkan perahu — untuk melindungi pemiliknya daripada dirampas oleh raja yang zalim.
  2. Membunuh seorang anak — kerana anak itu akan menjadi sebab besar kesengsaraan ibu bapanya.
  3. Mendirikan semula dinding rumah — sebagai balasan kerana ada harta anak yatim di bawahnya.

Walaupun Nabi Musa adalah seorang Rasul yang mana pangkatnya lebih tinggi dari seorang Nabi, tetapi Baginda tidak memahami hikmah di sebalik tindakan-tindakan ini, lalu ditegur oleh al-Khidir.

Ini menunjukkan bahawa ada ilmu yang Allah kurniakan kepada sebahagian hamba-hambaNya yang tidak diketahui oleh orang lain, termasuk para Rasul dalam situasi tertentu — tetapi ilmu ini bukan ghaib mutlak, sebaliknya ilmu tentang hikmah atau takdir yang telah Allah nyatakan kepadanya secara khas.

Jadi ilmu kasyaf (disebut juga ilmu laduni) ialah kemampuan seseorang untuk melihat perkara-perkara yang tidak dapat dilihat oleh mata kasar.

“Jadi mungkin perawat tu diberi ilmu kasyaf ustaz, mana kita nak tau”.

Ada juga pesakit yang cakap macam ni untuk membenarkan juga perbuatan sesetengah perawat yang mengaku kononnya tahu tentang persoalan ghaib. Jadi saya akan huraikan tentang perbezaan antara ilmu kasyaf sebenar (seperti yang berlaku kepada Nabi Khidir) dengan tuntutan palsu mengetahui perkara ghaib oleh sebahagian perawat moden, bersandarkan kepada kisah dalam Surah al-Kahfi:

1. Ilmu Kasyaf Sejati Datang Terus dari Allah, Bukan Direka atau Didakwa

Dalam Surah al-Kahfi ayat 65, Allah menyebut bahawa al-Khidir adalah hamba yang “diberi rahmat daripada sisi Kami dan diajarkan ilmu daripada sisi Kami”. Ini menunjukkan bahawa ilmu yang dimiliki oleh Khidir adalah anugerah khas dari Allah, bukan hasil daripada latihan, zikir-zikir tertentu, atau khidmat jin.

Perawat hari ini yang mendakwa tahu benda ghaib biasanya tidak menyandarkan kepada wahyu atau ilmu yang benar, tetapi hanya kepada lintasan hati, bisikan jin, atau andaian sendiri. Soalan saya, ada ke perawat yang berani mengaku yang dia dapat ilmu terus dari Allah?

2. Nabi Musa Pun Tak Mengetahui Apa yang Allah Ajarkan kepada Khidir

Walaupun Nabi Musa adalah seorang rasul yang agung, Allah mahu menunjukkan bahawa ilmu Allah sangat luas, dan ada sebahagian ilmu yang tidak diberikan kepada Musa tetapi diberikan kepada Khidir.

Jadi kalau seorang Rasul sendiri tidak tahu perkara ghaib, mustahil ada perawat biasa hari ini yang boleh mendakwa mengetahui siapa yang sihirkan pesakit, di mana barang sihir disembunyikan, atau siapa waris jin saka, melainkan itu semua hanyalah sangkaan dan dakwaan semata-mata.

3. Khidir Tidak Menunjuk-nunjuk Ilmu Kasyafnya atau Meminta Bayaran

Nabi Khidir tidak pernah mengaku dirinya sebagai wali, perawat, atau meminta bayaran atas bantuannya. Bahkan, dia menyuruh Musa bersabar dan diam, kerana hikmah tindakannya hanya akan difahami di akhir perjalanan.

Tapi yang lawaknya, perawat moden yang kononnya mendakwa boleh melihat jin, mengetahui sihir dengan tepat, buat duit dengan mengenakan bayaran yang tak masuk akal. Ini sangat bertentangan dengan sifat rendah diri dan adab ilmu sebenar.

4. Ilmu Kasyaf Tidak Bercanggah dengan Wahyu atau Syariat

Apa yang dilakukan oleh Nabi Khidir tidak bercanggah dengan syariat — bahkan akhirnya dijelaskan sebagai tindakan yang berdasarkan perintah Allah, bukan ikut nafsu atau andaian sendiri.

Tetapi perawat yang melakukan dakwaan contohnya “perjanjian jin 7 keturunan”, “jin saka tinggal dalam pokok belakang rumah”, atau “tulah dari keturunan nenek moyang”, benda ni semua tidak bersandarkan kepada nas, atau dalil yang sahih, bahkan banyak menimbulkan fitnah dan salah gaham dalam masyarakat.

Jadi kesimpulannya, kisah Nabi Musa dan Nabi Khidir yang Allah ceritakan dalam Al-Quran bukan bukti yang nak menunjukkan manusia boleh tahu tentang perkara ghaib sesuka hati.

Tapi kisah tersebut nak menyatakan bahawa Allah akan memberikan ilmu kepada sesiapa yang Dia kehendaki dan ianya berlaku bukan atas dakwaan semata-mata, tetapi atas wahyu dan hikmah yang sebenar.

Jadi dakwaan sesetengah perawat hari ini yang kononnya mengetahui perkara ghaib, boleh berinteraksi dengan alam ghaib, perlulah dinilai dengan syariat, bukan semata-mata kerana perawat tu “nampak hebat”, “nampak alim” dan sebagainya.

Kesan Percaya Buta Kepada Perawat

Dalam pengalaman saya merawat, pernah berlaku beberapa kes di mana ahli keluarga bergaduh di depan mata saya sendiri.

Bila diselidik, puncanya berpunca daripada kenyataan tidak bertanggungjawab yang dikeluarkan oleh perawat, dan lebih malang lagi — ada yang percaya bulat-bulat tanpa soal.

Antara kes yang saya sendiri pernah kendalikan ialah satu pasangan suami isteri yang bertengkar teruk.

Apabila saya bertanya, si suami memaklumkan bahawa seorang perawat sebelum ini mendakwa ibu kepada si suami telah menyihir mereka berdua.

Alasannya?

Kerana ibu tersebut dikatakan tidak merestui menantunya dan kononnya sudah ada calon lain pilihan sendiri.

Bayangkan apa yang berlaku selepas itu — keretakan hubungan, pergaduhan rumah tangga, dan hilangnya kepercayaan terhadap ahli keluarga sendiri, hanya kerana satu dakwaan yang tidak berasas dan tidak dibuktikan.

Antara Kesan Buruk Jika Terlalu Percaya Kepada Perawat Tanpa Usul Periksa:

  • Fitnah terhadap individu yang dituduh melakukan sihir, sedangkan tiada bukti sahih.
  • Terputusnya silaturrahim dan timbulnya permusuhan antara ahli keluarga atau masyarakat.
  • Kebergantungan melampau kepada perawat, melebihi pergantungan kepada Allah.
  • Kerosakan akidah, apabila seseorang meyakini bahawa perawat memiliki kuasa luar biasa yang tidak pun dikurniakan oleh Allah kepada manusia biasa.

Kesimpulannya, perawat perlu lebih berhati-hati dalam memberi sebarang kenyataan, terutamanya apabila melibatkan tuduhan terhadap orang lain.

Dan sebagai pesakit atau waris, kita juga bertanggungjawab untuk menilai secara rasional dan tidak menerima bulat-bulat apa sahaja yang keluar dari mulut perawat.

Jika tidak, kita bukan sahaja berisiko merosakkan hubungan sesama manusia, tetapi juga merosakkan keyakinan kita kepada Allah.

Penilaian Ketaqwaan: Bukan Pada Kemampuan Ghaib

Satu lagi perkara yang saya perhatikan ialah ramai dalam kalangan masyarakat kita mudah terpedaya dengan perawat yang tampil dengan imej seperti orang alim.

Berjubah, berserban, berjanggut, lalu secara automatik mereka akan dianggap sebagai orang soleh yang kononnya diberi kelebihan oleh Allah untuk melihat perkara ghaib atau ‘dibukakan hijab’.

Ini antara alasan paling biasa saya dengar daripada pesakit:

“Dia pakai macam tu, muka pun bercahaya, mestilah dia orang yang dekat dengan Allah. Mungkin Allah bukakan hijab untuk dia nampak benda ghaib.”

Hakikatnya, penampilan luar bukan bukti seseorang itu mengetahui perkara ghaib.

Allah sendiri telah menjelaskan dalam Surah Al-Baqarah ayat 2–5, bahawa antara ciri orang bertaqwa ialah:

“… mereka beriman kepada perkara ghaib…”
“… yu’minuuna bil-ghayb…”

Perhatikan betul-betul — orang bertaqwa ialah mereka yang beriman kepada perkara ghaib, bukan orang yang tahu perkara ghaib.

Ini sangat penting.

Taqwa adalah darjat tertinggi dalam Islam, tetapi Allah tidak menyatakan bahawa orang bertaqwa diberikan ilmu ghaib.

Bahkan Nabi Muhammad ﷺ sendiri tidak tahu perkara ghaib, melainkan apa yang diwahyukan kepadanya — apatah lagi kita sebagai manusia biasa.

Apa Yang Masyarakat Perlu Faham

  • Ketaqwaan seseorang tidak diukur melalui kebolehan luar biasa yang dimiliki.
  • Ketaqwaan dinilai melalui istiqamah dalam ibadah, kejujuran, akhlak mulia, dan tawaduk, bukan sekadar rupa atau kebolehan yang memukau.
  • Kita tidak boleh menyamakan “boleh merawat” dengan “pasti benar” — kerana penipuan dan fitnah juga boleh datang dari mereka yang kelihatan warak.

Kesimpulannya, anda perlu bijak menilai dan tidak tertipu dengan penampilan luar.

Islam tidak mengajar kita untuk terlalu mudah percaya, lebih-lebih lagi dalam hal yang melibatkan perkara ghaib, tuduhan, dan aqidah.

Penutup

Sebagai umat Islam, kita dituntut untuk sentiasa berhati-hati dalam menerima sebarang maklumat, lebih-lebih lagi apabila melibatkan perkara ghaib.

Kita perlu sedar bahawa perawat hanyalah perantara dalam usaha mendapatkan kesembuhan.

Kebergantungan sebenar hanyalah kepada Allah SWT, bukan kepada manusia atau kemampuan luar biasa yang didakwa.

Jangan mudah percaya dengan setiap kata-kata perawat, terutamanya apabila ia melibatkan tuduhan tanpa bukti terhadap orang lain.

Islam menuntut keadilan, dan setiap tuduhan perlu disokong dengan dalil, bukan sekadar lintasan hati atau dakwaan ghaib.

Moga Allah SWT sentiasa memelihara kita daripada fitnah sihir, dan lebih penting lagi daripada fitnah kepercayaan yang salah terhadap perkara ghaib.

Semoga kita semua terus istiqamah di atas jalan kebenaran, dengan sandaran penuh kepada Allah dalam setiap langkah dan ikhtiar.

Saranan Dari Saya

Sebagai usaha tambahan untuk menjaga diri daripada gangguan yang tidak diingini, disarankan untuk mengamalkan penggunaan wangian kasturi ruqyah sebagai salah satu bentuk ikhtiar.

Wangian ini bukan sahaja menyegarkan, malah telah lama digunakan dalam rawatan Islam untuk membantu menenangkan jiwa, menguatkan semangat dalaman, serta sebagai pelindung daripada unsur-unsur negatif dengan izin Allah.

Jika anda berminat untuk mendapatkan Wangian Kasturi Terapi Ruqyah, boleh klik butang di bawah:

Follow saya di sosial media:
Betulkah Perawat Boleh Tahu Segalanya? Menyingkap Realiti & Syariat

Ada pandangan tentang artikel di atas? Kongsikan pandangan anda dengan pembaca lain.

Scroll to top
error: Maaf. Artikel ini tidak dibenarkan untuk copy!!