Anda tengah was-was ke samada dalam badan ada sihir atau tak? Tidak lagi bila anda dapatkan 2 video percuma ni. Klik di sini.

Bagaimana Mencari & Putuskan Buhul Sihir?

Dikemaskini pada 19/07/2023 oleh Ustaz Abdullah

Sejak kebelakangan ini, saya sering pula menerima persoalan dari para pembaca yang singgah di blog ini tentang bagaimana caranya untuk mencari atau mengesan barang sihir.

Ataupun dipanggil buhul sihir.

Memang tidak dinafikan bahawa mencari buhul sihir dan memusnahkannya adalah cara paling berkesan untuk mematikan sihir yang telah dihantar kepada anda.

Kenapa?

Sebab dengan menggunakan perantaraan buhul sihir inilah tukang sihir akan dapat melakukan kezaliman ke atas mangsanya.

Buhul sihir ini akan dijadikan sebagai alat kawalan diantara tukang sihir dengan jin sihir yang menjadi pembantunya.

Jadi di dalam artikel ini saya akan kongsikan dengan anda bagaimana caranya untuk mencari buhul sihir dan memusnahkannya. Mudah-mudahan dengan itu sihir yang ada di dalam badan mangsa akan hilang dengan izin Allah.

Kenali Tanda-Tanda Sihir

Sebelum anda nak lakukan teknik untuk mencari buhul ini, terlebih dahulu anda mestilah mengetahui apakah ciri-ciri orang yang terkena buhul.

Maksud orang yang terkena buhul ini ialah mereka yang terkena sihirlah.

Sebab seperti yang saya jelaskan di atas bahawa buhul sihir ini digunakan sebagai perantaraan untuk tukang sihir mengawal dan melakukan kezaliman ke atas mangsa.

Jadi apakah ciri-ciri mereka yang terkena sihir dan bagaimana untuk mengenalinya?

Mula-mula cuba semak satu persatu gejala-gejala di bawah pada orang yang anda syaki telah disihir.

1. Susah tidur malam.
2. Sering terjaga tengah malam.
3. Selalu mimpi menakutkan.
4. Selalu mimpi jatuh dari tempat tinggi.
5. Selalu mimpi bayi.
6. Selalu mimpi diancam benda tajam.
7. Selalu mimpi tempat kotor atau kawasan kubur.
8. Selalu sakit kepala tanpa sebab.
9. Selalu rasa berdebar-debar.
10. Cepat nak marah tanpa sebab.
11. Rasa malas nak beribadah.
12. Cepat lupa.

Sekiranya ada, apa yang perlu anda lakukan ialah cuba ruqyah orang tersebut (bacakan ayat-ayat ruqyah) selama 30 minit ataupun sejam. Jika anda tidak pasti apakah ayat-ayat ruqyah yang perlu di baca, download senarai ayat-ayat ruqyah yang telah saya sediakan melalui pautan di bawah.

Download senarai ayat-ayat ruqyah di sini.

Apa yang akan berlaku sekiranya orang itu disihir?

Tandanya ialah dia akan memuntahkan lendir dengan banyaknya inshaaAllah.

Cara Mengesan Buhul Sihir

Alhamdulillah sekarang anda dah tahu bahawa orang yang anda syaki telah disihir itu, memang telah disihir dengan menggunakan teknik yang saya kongsikan di atas.

Langkah seterusnya ialah anda akan lakukan pula teknik untuk mengesan di mana disembunyikan buhul sihir tersebut.

Yang pertama sekali ialah anda perlu bantu pesakit yang disihir itu untuk menguatkan jiwanya.

Caranya ialah dengan mengajarkan kepada pesakit untuk berdoa kepada Allah agar membantu dirinya dan diberikan kekuatan untuk melawan kejahatan sihir. Contohnya anda boleh ajarkan doa begini:

“Ya Allah Ya Tuhanku, sesungguhnya Engkaulah Zat Yang Maha Berkuasa. Aku yakin bahawa sihir ini berlaku adalah dengan keizinan-Mu juga. Maka bantulah aku Ya Allah dengan menunjukkan kepadaku di mana letaknya buhulnya sihir. Sesungguhnya Engkaulah Tuhan Yang Maha Mengetahui Perkara Ghaib”.

Setelah diajarkan berdoa, anda bimbing pula pesakit untuk membacakan ayat 103 dari Surah Al-An’am.

Selepas dibacakan doa dan bacaan ayat 103 Surah Al-An’am, suruh pesakit tiupkan ke tapak tangannya. Kemudian sapulah ke mukanya dan tutup matanya.

InshaaAllah dengan izin Allah, apabila melakukan langkah ini, pesakit akan diperlihatkan bayangan jelmaan makhluk jin yang menyakitinya.

Bayangan itu akan diperlihatkan dengan beberapa keadaan.

  • samada dalam bentuk rupa yang menakutkan.
  • ataupun dalam bentuk binatang seperti kala jengking, ular, tikus dan cicak.
  • dalam bentuk benda-benda sihir contohnya paku, jarum dan sebagainya.
  • ataupun dalam rupa seseorang yang dikenali oleh pesakit (kena hati-hati kalau dapat bayangan sebegini kerana takut jin menipu).

Bila nampak bayangan tersebut, apa yang perlu dilakukan?

Anda ajarkan kepada pesakit membaca Surah Al-Ikhlas, Al-Falaq dan An-Nas sebanyak tiga kali kemudian tiupkan pada tangan kanan.

Selepas itu, suruh pesakit untuk lakukan isyarat seperti menyapu kepada bayangan yang dia nampak itu, dengan niat untuk menghilangkannya.

Pesakit Mendapat Bayangan Tempat Barang Sihir Disembunyikan

Ada juga kes di mana selepas dibacakan dengan ayat 103 Surah Al-An,am, pesakit diperlihatkan bayangan tempat di mana buhul sihir ditanam atau disembunyikan.

Jika pesakit diperlihatkan dengan bayangan begini, anda bawa pesakit ke tempat yang ditunjukkan dalam bayangan.

Tujuannya adalah untuk memastikan betul atau tidak barang sihir berada di situ.

Apabila pesakit semakin hampir dengan tempat tersebut, suruhlah pesakit membaca ayat kursi, surah Al-Ikhlas, Al-Falaq dan An-Nas berulang-ulang kali.

Dari pengalaman saya, jika benar barang sihir berada di temapt tersebut, biasanya pesakit akan memberikan tindakbalas apabila berada hampir atau berada tepat di atas barang sihir, jika barang itu ditanam.

Tindakbalasnya ialah pesakit akan menggeletar seluruh badannya.

Lakukan Teknik Pemutus Sihir

Seperti yang saya jelaskan biasanya buhul sihir ini dilakukan dengan menggunakan barang peribadi milik mangsa. Kemudian tukang sihir akan menjampi barang sihir tersebut dengan mentera-mentera sihir.

Tujuan dijampi barang sihir tersebut ada dua.

  1. Untuk menyeru jin sihir yang akan menjadi pembantu. Jin sihir inilah yang akan dihantar kepada mangsa dengan tujuan untuk melakukan kezaliman ke atas dirinya.
  2. Untuk melakukan ikatan diantara barang sihir dengan jin sihir dengan menggunakan tali ghaib. Apabila jin sihir masuk ke dalam badan mangsa, jin sihir akan menanam tali ghaib tersebut seperti yang dikehendaki oleh tukang sihir. Dengan cara inilah tukang sihir dapat menzalimi mangsa sihir dengan apa cara sekalipun.

Jadi, apabila ditemukan barang sihir, anda perlu lakukan teknik pemutus sihir.

Tujuannya adalah untuk memutuskan tali ghaib diantara mangsa sihir (di mana jin sihir berada di dalam badannya) dengan tukang sihir tadi. Cara untuk melakukan teknik ini ialah:

Langkah pertama: Anda leraikan barang-barang sihir tersebut. Contohnya kalau bungkusan kain kuning, anda buka ikatan bungkusan tersebut dan leraikan barang-barang di dalamnya.

Sediakan air kosong segelas.

Anda baca kombinasi ayat pemutus sihir di bawah:

  • Ta’awuz
  • Surah Al-A’raf ayat 117 hingga 122.
  • Surah Yunus ayat 81 dan 82.
  • Surah Taha ayat 69.

Langkah kedua: Selepas membaca kombinasi ayat-ayat di atas, tiupkan pada air dan juga pada barang-barang sihir yang telah dileraikan. Kemudian jirus air ke atas barang-barang sihir tersebut.

Selepas itu, barang-barang sihir tadi hendaklah ditanam ataupun dihanyutkan ke dalam sungai.

Buat Rawatan Ruqyah Kepada Pesakit

Selepas anda lakukan teknik pemutus sihir pada barang-barang sihir, langkah seterusnya ialah lakukan pula teknik pemutus sihir kepada pesakit.

Caranya juga tidaklah sesukar mana. Asalkan anda boleh membaca Al-Quran dengan baik dari segi tajwidnya.

Langkah pertama ialah anda lakukan ruqyah kepada pesakit iaitu dengan membacakan ayat-ayat ruqyah kepadanya.

Langkah kedua ialah memandikan pesakit dengan mandian limau purut selama tiga hari, waktunya ialah diantara selepas Asar sebelum Maghrib.

Untuk menyediakan mandian limau purut, anda lakukan langkah-langkah di bawah.

Caranya ialah:

  1. Mula-mula anda sediakan limau purut 21 biji dan juga air mineral 1.5 liter sebotol (digunakan untuk memandikan pesakit)
  2. Langkah kedua anda bacakan ayat-ayat ruqyah pada barang-barang tersebut. Link untuk download ayat ruqyah ada di atas.
  3. Langkah ketiga ialah anda mandikan pesakit dengan limau purut dan juga air ruqyah tadi. Cara mandi seperti di bawah.

Cara mandi:

  • Sediakan baldi kecil dan isikan air paip separuh baldi.
  • Masukkan satu bahagian air yang telah diruqyah (satu botol untuk mandian 3 hari).
  • Kemudian ambil 3 biji limau purut, potong dua bahagian dan perahkan ke dalam baldi. Kulit limau tadi dimasukkan sekali ke dalam baldi.
  • Kemudian suruh pesakit mandi biasa terlebih dahulu.
  • Yang terakhir barulah dibilas dengan air mandian limau separuh baldi tadi.

Selepas dilakukan mandian limau purut ini selama tiga hari, lihat tahap perubahan yang berlaku kepada pesakit. Sekiranya perlu, ulangi langkah membuat rawatan kepada pesakit ini sekurang-kurangnya 2 kali dalam sebulan.

Amalan Ruqyah Mandiri

Sekiranya sihir dapat disembuhkan pada serangan kali pertama, jangan terus rasa gembira dan lega.

Sebab anda kena faham, diantara jin sihir dan tukang sihir ini, mereka mempunyai hubungan. Maksudnya sekiranya jin sihir berjaya dikeluarkan, dan sihir di dalam badan dapat dimatikan, tukang sihir dapat mengetahuinya.

Jadi mungkin juga sihir akan dihantar lagi dan risiko untuk terkena sihir masih ada.

Jadi tidak kiralah samada anda sendiri atau ahli keluarga anda yang disihir, janganlah mengabaikan amalan ruqyah mandiri.

Amalan ruqyah mandiri bertujuan untuk membina kekuatan pendinding diri.

Teknik yang saya kongsikan dalam artikel ini adalah untuk membantu anda merawat dan mematikan sihir. Tetapi teknik ini tidak dapat membantu anda untuk membina pendinding diri.

Anda sendiri yang perlu belajar dan mempraktikkan ruqyah mandiri untuk menguatkan pendinding dalam diri anda.

Kesimpulan

Alhamdulillah, inilah sedikit ilmu yang saya dapat saya kongsikan dengan anda untuk anda praktikkan samada pada diri sendiri, ahli keluarga atau sesiapa sahaja yang memerlukan bantuan.

Ingatlah bahawa untuk melawan kejahatan sihir, teknik bukanlah matlamat tetapi ianya adalah alat sahaja.

Pergantungan kita adalah pada Allah semata-mata.

Jadi sehebat manapun teknik yang anda tahu, ianya tidak memberikan apa-apa kesan jika Allah tidak mengizinkan.

Tetapi jika Allah berkehendak, dengan segelas air kosong yang cukup dengan bacaan Bismillah sahaja mampu mematikan sihir.

Jadi usahakanlah agar diri kita sentiasa dekat dengan Allah agar ikhtiar untuk merawat sihir menjadi mudah dan menemui kesembuhan inshaaAllah.

Follow saya di sosial media:
Bagaimana Mencari & Putuskan Buhul Sihir?
Scroll to top
error: Maaf. Artikel ini tidak dibenarkan untuk copy!!