Dikemaskini pada 24/05/2026 oleh Ustaz Abdullah
Sepanjang penglibatan saya yang boleh dikatakan lama dalam bidang perubatan Ruqyah Syar’iyyah, kerap juga saya menerima pesakit wanita berkerjaya yang mana mereka ini mengalami tanda-tanda awal sihir pemisah rumahtangga.
Antara faktor utama mereka datang berjumpa saya ialah kerana mereka keliru samada keletihan melampau yang mereka alami adalah disebabkan oleh penat bekerja seharian ataupun sebenarnya itulah tanda-tanda awal sihir pemisah.
Secara ringkasnya, perbezaan ketara diantara stress sebab kerja dengan sihir ialah terletak pada tindak balas emosi itu sendiri.
Biasanya stress kerja akan hilang apabila anda rehat atau bila anda melakukan sesuatu yang anda suka.
Contohnya hobi anda seperti memasak, membaca novel, bercuti dan sebagainya.
Berbeza dengan sihir pemisah di mana anda akan berasa rimas, benci atau sesak dada hanya apabila anda berdepan atau duduk berdekatan dengan suami.
Jadi dalam artikel ini saya akan kongsikan dari pengalaman sendiri di dalam kerjaya sebagai seorang perawat di mana ada 7 tanda utama bagaimana gangguan sihir pemisah ini akan ‘menghambat’ keharmonian di dalam rumahtangga anda.
Dan saya juga akan kongsikan langkah-langkah praktikal untuk mengatasinya.
Kalau anda tidak mempunyai masa yang banyak untuk membaca keseluruhan artikel ini, anda boleh terus klik pada mana-mana tanda yang anda rasa sangat relate dengan apa yang anda tengah alami sekarang. Tapi jangan lupa untuk simpan artikel ini untuk mudah anda rujuk kembali di masa akan datang.
7 Tanda Utama Sihir Pemisah Rumahtangga
- Perubahan Perasaan Mendadak Bila Berdekatan
- Sesak Dada & Sukar Bernafas Selepas Waktu Asar
- Sakit Bahu, Tulang Belakang & Sendi Tanpa Punca Perubatan
- Keinginan Seksual Menurun Mendadak atau ‘Terkunci’
- Kerap Mimpi Buruk & Gangguan Tidur
- Pergaduhan Disebabkan Perkara Yang Terlalu Remeh
- Wajah Suami Kelihatan Buruk atau Menakutkan
- Ikhtiar Solusi: Apa Yang Anda Perlu Buat Sekarang?
- Soalan Lazim (FAQ)
Perubahan Perasaan Mendadak Bila Berdekatan
Macam yang saya dah beritahu di awal tadi, perbezaan ketara di antara stress sebab kerja dan juga perubahan emosi akibat sihir ialah bagaimana tindak balas yang ditunjukkan apabila anda berada dalam kedua-dua situasi ini.
Katakanlah anda sangat sibuk di pejabat hari ini. Dengan tugasan yang menimbun, deadline yang semakin dekat, ditambah pula dengan mesyuarat yang panjang. Memang penat. Namun, segala stress kerja tadi biasanya akan hilang sebaik sahaja anda balik ke rumah dan berehat bersama suami, atau mungkin keluar makan bersama anak-anak. Aktiviti ini selalunya mampu menghilangkan rasa stress tersebut.
Tetapi, ia sangat berbeza dengan tindak balas sihir pemisah.
Walaupun anda sudah stress di tempat kerja, keadaan menjadi lebih parah sebaik sahaja menjejakkan kaki ke rumah. Bila tengok sahaja wajah suami, emosi anda tiba-tiba jadi tak menentu—datang rasa rimas, rasa nak marah, dan rasa benci yang meluap-luap tanpa sebab. Inilah keadaan yang kerap diceritakan oleh pesakit-pesakit yang pernah saya rawat sepanjang penglibatan saya dalam bidang perubatan Islam.
Sesak Dada & Sukar Bernafas Selepas Waktu Asar
Tanda kedua ini pun selalu sangat pesakit wanita mengadu pada saya.
Biasanya mereka akan tanya begini:
“Ustaz, kalau dekat ofis siang tadi, elok je saya bernafas. Tak ada sakit apa pun.”
Tapi peliknya… Bila jam dah melepasi waktu Asar, waktu-waktu nak dekat Maghrib tu, dada mula rasa sempit. Rasa macam kena himpit dengan benda berat. Nak tarik nafas pun terasa pendek dan mengah.
Mula-mula, mungkin anda fikir, “Ah, ini penat bekerja la ni. Letih menghadap jem jalan raya.”
Tapi sekejap. Kalau betul penat kerja, kenapa dia datang waktu maghrib sahaja? Kenapa bila malam makin larut, sakit tu hilang sendiri?
Sepanjang saya merawat kes sihir pemisah ini, sebenarnya waktu Asar hingga Maghrib memang waktu yang sangat “kritikal”
Dalam perubatan Islam, waktu senja begini adalah waktu di mana jin dan syaitan mula aktif berkeliaran. Sebab itu, kalau ada “benda” yang dihantar untuk merosakkan hubungan anda, waktu inilah dia akan mula ‘menekan’ dada anda.
Ini berdasarkan apa yang hadis Nabi dah sebut:
Daripada Jabir bin Abdullah R.A, beliau berkata: Rasulullah S.A.W bersabda: “Apabila kegelapan malam mulai datang—atau apabila kamu berada di waktu petang—maka tahanlah anak-anakmu (daripada keluar), kerana sesungguhnya syaitan berkeliaran (bertebaran) pada waktu itu. Jika telah berlalu sebahagian daripada waktu malam, maka lepaskanlah mereka. Dan tutuplah pintu-pintu serta sebutlah nama Allah, kerana sesungguhnya syaitan tidak dapat membuka pintu yang tertutup…”
Anda boleh tengok dalam hadis di atas. Nabi sebut secara spesifik bahawa waktu petang ketika nak menjelangnya malam, syaitan memang akan berkeliaran pada waktu itu.
Sihir ini sengaja buat dada anda sesak supaya emosi anda jadi kacau. Bila dada dah sempit, oksigen kurang, automatik kita akan jadi cepat marah dan baran.
Akhirnya, bila melangkah masuk je pintu rumah, nampak muka suami, terus rasa nak meletup. Padahal suami tak buat salah apa pun hari itu.
Jadi, kalau anda kerap kena ‘serang’ sesak dada waktu-waktu begini, tolong jangan ambil remeh. Itu antara isyarat kuat ada sesuatu yang tak kena dengan rohani anda.
Sakit Bahu, Tulang Belakang & Sendi Tanpa Punca Perubatan
Satu lagi tanda yang kerap juga pesakit mengadu pada saya ialah bab sakit badan.
Selalunya, mereka akan rasa lenguh dan berat yang teramat sangat di bahagian belikat, bahu, membawa ke tulang belakang.
Rasa dia macam kita tengah pikul beg baju yang berat sangat. Lenguh dia lain macam.
Bila pergi klinik, doktor kata tak ada apa-apa masalah. Otot biasa sahaja.
Dah makan ubat tahan sakit, dah pergi berurut satu badan, tapi peliknya…
Sakit tu tetap tak hilang. Lepas urut, esok lusa dia datang balik.
Kenapa jadi macam itu?
Sebab kalau stres bekerja biasa, bila kita dapat urutan yang betul dan rehat yang cukup, otot kita akan relaks dan sakit akan berkurang.
Tetapi kalau ia berpunca daripada sihir pemisah, punca sakit itu bukan pada fizikal, tetapi pada rohani.
Sepanjang saya merawat kes-kes macam ini, makhluk halus atau jin sihir yang dihantar memang suka menumpang atau ‘mencengkam’ di titik-titik saraf utama manusia—terutamanya di bahagian bahu dan tulang belakang.
Tujuan mereka buat begitu adalah untuk melemahkan fizikal anda.
Bila badan dah sakit dan lesu, minda kita akan jadi automatik negatif. Kita akan jadi cepat tersinggung, cepat nak marah, dan tak ada tenaga nak melayan suami atau anak-anak dengan baik.
Akhirnya, suasana dalam rumah sengaja dibiarkan ‘tegang’ hanya disebabkan badan anda yang sentiasa rasa sakit dan penat yang tak tahu apa puncanya.
Jadi, kalau anda dah cuba macam-macam rawatan fizikal tapi bahu dan tulang belakang masih rasa ‘berbatu’ beratnya, itu tanda cengkamannya mungkin sudah mula mengganggu rohani anda.
Keinginan Seksual Menurun Mendadak atau ‘Terkunci’
Poin keempat ini agak sensitif, tapi saya perlu sentuh juga.
Sebab apa?
Sebab ini antara matlamat paling utama kenapa sihir pemisah itu dihantar oleh orang yang dengki dengan rumahtangga yang anda bina.
Bila stres kerja biasa, adakalanya badan kita penat dan rasa kurang bertenaga untuk bersama suami.
Itu normal. Lepas dapat tidur yang cukup atau bercuti hujung minggu, kebiasaannya hubungan kelamin suami isteri akan kembali rancak macam biasa.
Tetapi, sangat berbeza kalau anda dah kena sihir pemisah.
Hubungan intim yang dulunya bahagia dan tiada masalah, tiba-tiba boleh berubah 180 darjah menjadi hambar.
Bukan sekadar hambar biasa…
Malah ada pesakit yang mengadu pada saya, mereka rasa mual, geli, ataupun tiba-tiba datang rasa takut yang amat sangat setiap kali suami mendekat atau menyentuh kulit mereka.
Dalam istilah perubatan Islam, ada satu keadaan yang dipanggil sebagai ‘Ar-Rabth’ atau ‘terkunci’.
Jin sihir yang dihantar itu akan mengganggu sistem saraf dan emosi isteri sehingga nafsu seksual terhadap suami mati sepenuhnya.
Kadangkala, isteri rasa sayang pada suami, tapi bila masuk bab hubungan batin, badan jadi menolak secara agresif.
Penolakan secara agresif ini juga boleh berlaku hingga ke tahap terjadinya keadaan yang pelik kepada isteri. Contohnya, bila nak melakukan hubungan intim sahaja tiba-tiba paha isteri terkunci, atau tiba-tiba keluar darah yang banyak dari kemaluan isteri.
Dalam perubatan ruqyah, sihir ini sangat kronik dan hanya ditujukan khusus kepada isteri dikenali sebagai Sihir Ikatan Pemisah.
Kalau anda nak tahu samada anda terkena sihir ikatan pemisah ini, boleh muat turun checklist yang saya sediakan. Semak tanda-tanda sihir ikatan ikatan pemisah di sini sekarang.
Nampakkah permainan halus mereka?
Sihir ini sengaja target ‘lubuk’ kebahagiaan rumah tangga ini supaya hubungan suami isteri mula renggang. Bila keperluan batin tidak dipenuhi, masing-masing akan mula menjauhkan diri dan mencari salah pasangannya.
Jadi, kalau anda rasa perubahan nafsu ini berlaku secara drastik dan mendadak tanpa ada masalah kesihatan klinikal, janganlah sekadar menuding jari kata anda cuma “penat kerja”.
Kena bagi perhatian dan tindakan segera, sebab benteng rahsia rumah tangga anda mungkin sedang diceroboh secara halus.
Kerap Mimpi Buruk & Gangguan Tidur
Satu lagi tanda yang sangat ketara bila anda terkena sihir pemisah ini ialah kualiti tidur anda akan mula terganggu, terutama sekali bila kerap sangat kena mimpi buruk.
Kalau stres bekerja biasa, badan kita letih sangat. Bila letih, selalunya letak je kepala atas bantal, terus lena sampai ke subuh.
Betul tak?
Mimpi pun jarang-jarang, atau kalau ada pun mungkin mimpi pasal kerja di pejabat sebab terlalu fikir pasal kerja siang tadi.
Tetapi, sangat berbeza kalau gangguan itu datang daripada sihir pemisah.
Mata anda mungkin rasa mengantuk yang amat sangat, tapi bila baring, minda jadi ligat dan susah sangat nak terlelap.
Dan kalau anda dapat tidur pun, tidur anda tak lena. Anda akan kerap terjaga dalam keadaan berdebar-debar, peluh jantan keluar, atau tersentak seolah-olah baru jatuh dari tempat tinggi.
Paling kerap, pesakit wanita yang buat rawatan dengan saya akan mengadu pada saya yang mereka ni selalu mimpi perkara yang menakutkan.
Antara mimpi yang paling biasa ialah mimpi melihat atau dikejar haiwan berbisa seperti ular hitam, kala jengking, atau lipan.
Ada juga yang bermimpi didatangi orang atau lembaga hitam yang tidak dikenali yang cuba nak takut-takutkan atau sakitkan mereka.
Dalam rawatan Islam, mimpi-mimpi seperti ini sebenarnya adalah salah satu cara bagaimana “benda” halus itu mula memberi isyarat kehadirannya dalam tubuh kita.
Satu soalan yang kita boleh cuba bincangkan ialah, kenapa jin sihir nak ganggu kita waktu tidur?
Sihir ini sengaja menyerang waktu tidur anda supaya benteng pertahanan rohani dan emosi anda menjadi lemah pada keesokan harinya.
Bila malam tak cukup tidur, siang hari emosi kita akan jadi sangat rapuh. Kita akan jadi cepat tersinggung, mudah melenting, dan tak ada kesabaran langsung untuk melayan kerenah suami mahupun anak-anak.
Jadi, kalau anda perasan corak tidur anda dah mula berubah pelik dan dipenuhi mimpi yang bukan-bukan, tolong jangan sekadar anggap ia “gangguan tidur biasa akibat stres”.
Mungkin ada “tetamu tidak diundang” yang sedang cuba mengucar-ngacirkan ketenangan malam anda.
Pergaduhan Disebabkan Perkara Yang Terlalu Remeh
Pernah tak anda lalui situasi di mana isu yang sangat kecil tiba-tiba meletup jadi pergaduhan besar yang dahsyat?
Kalau stres kerja biasa, adakalanya kita memang cepat merungut sebab balik rumah badan dah letih.
Mungkin anda bising sikit kalau rumah bersepah atau kain baju belum berlipat. Tapi selalunya, lepas dah mandi, dah makan, dan dapat bertenang, emosi kita akan kembali stabil. Kita pun rasa bersalah sebab teremosi tak tentu pasal dengan suami tadi.
Tetapi, kalau rumah tangga anda sedang diganggu oleh jin sihir pemisah, suasananya berbeza sama sekali.
Rumah akan jadi sentiasa “panas” tanpa henti. Berdasarkan pengalaman saya mengendalikan kes sebegini, jin sihir yang dihantar akan jadi batu api untuk memarakkan lagi api kemarahan.
Benda-benda remeh yang selalu sangat jadi punca suami isteri bergaduh besar selalunya macam ini:
- Salah letak barang: Suami tersalah letak tuala basah atas katil atau lupa simpan cawan dalam sinki, isteri punya marah macam suami ada perempuan lain.
- Tersalah tegur: Suami niat nak menegur atau bertanya elok-elok pasal lauk, tapi telinga isteri dengar macam suami tengah menyindir dan menghina dia.
- Pandangan mata jadi menyakitkan hati: Tengok cara suami berjalan, cara suami mengunyah makanan, malah dengar bunyi suami bernafas pun boleh buat isteri rasa menyirap dan nak melenting.
Nampak tak betapa pelik keadaannya?
Perkara-perkara kecil begini sengaja dibesarkan oleh gangguan tersebut sehinggakan dalam tempoh yang singkat, perkataan “cerai” atau “kita berpisah je la” begitu mudah keluar daripada mulut.
Malah ada pesakit yang menangis depan saya, mengadu yang mereka sendiri tak tahu kenapa mulut mereka lancar sangat sebut nak bercerai, padahal dalam hati masih sayangkan rumahtangga yang dibina.
Sebab itu saya selalu pesan, kalau rumah tangga dah mula hilang sabar disebabkan hal-hal sekecil kuman, berwaspadalah. Ego anda mungkin bukan puncanya, tetapi ada “api” luar yang sedang sengaja membakar keharmonian rumahtangga anda.
Wajah Suami Kelihatan Buruk atau Menakutkan
Poin yang terakhir yang akan saya kongsikan ini adalah antara tanda yang paling ketara dan paling menyedihkan sepanjang saya mengendalikan kes sihir pemisah.
Iaitu, pandangan mata isteri terhadap fizikal suami mula berubah.
Kalau kita stres bekerja biasa, penat macam mana pun, paling kuat kita cuma rasa malas nak layan atau nak pandang muka suami sebab mengantuk. Tapi rupa suami tetap sama. Kita masih kenal itu suami yang kita sayang.
Tetapi, berbeza betul kalau mata anda dah mula dipengaruhi oleh sihir pemisah.
Pandangan mata anda akan dimanipulasi oleh jin yang dihantar sehinggakan:
- Muka suami nampak gelap: Walaupun lampu rumah terang-benderang, anda nampak wajah suami kelam, hitam, atau penuh dengan aura yang sangat negatif.
- Rupa fizikal jadi bengis: Setiap kali suami pandang atau bercakap, mimik muka dia nampak macam tengah marah, mengejek, atau menakutkan, padahal suami tengah tersenyum manis.
- Tiba-tiba rasa mual dan jijik: Ada satu keadaan di mana tengok muka suami je, perut terus rasa memulas, rasa nak muntah, dan tak tahan nak duduk dalam satu ruang yang sama.
Nampak tak betapa zalimnya permainan sihir ini?
Kasihan si isteri. Dalam hati, jauh di sudut sudut lubuk jiwa, dia tahu dia sayangkan suaminya. Tapi bila matanya memandang, yang nampak hanyalah sesuatu yang menakutkan dan membina rasa benci.
Suami pula jadi bingung dan berkecil hati sebab rasa diri mereka seperti “pembawa penyakit” dalam rumah sendiri.
Kalau anda atau ada kenalan yang mula nampak perubahan visual yang pelik begini pada pasangan masing-masing, tolong… tolong jangan tunggu lagi. Ini bukan lagi fasa “stres kerja” atau “bosan dengan pasangan”.
Ini isyarat jelas yang benteng pertahanan rumah tangga anda sedang diserang hebat dari luar iaitu sihir pemisah.
Ikhtiar Solusi: Apa Yang Anda Perlu Buat Sekarang?
Bila anda dah nampak tanda-tanda yang saya sebutkan kat atas tadi ada pada diri anda, satu benda yang saya nak pesan ialah, jangan panik. Bertenang.
Sihir ini memang kuat, tapi ingat janji Allah itu jauh lebih pasti.
Ingat setiap penyakit ada penawarnya, dan tipu daya syaitan itu sebenarnya sangat lemah.
Sebagai langkah awal untuk anda “memagar” diri dan menyejukkan kembali rumah tangga, ini beberapa ikhtiar praktikal yang anda boleh amalkan terus bermula hari ini:
- Amalan Pagar Diri Ayatul Kursi: Amalkan membaca Ayatul Kursi dengan khusyuk sebanyak 3 kali setiap kali selesai solat fardhu, dan juga sebelum melangkah keluar rumah untuk pergi bekerja.
- Pasang Alunan Al-Baqarah di Rumah: Sebaik sahaja sampai rumah selepas waktu Asar, buka dan alunkan bacaan Surah Al-Baqarah. Anda boleh pasang melalui telefon atau pembesar suara (speaker). Nabi S.A.W pernah sebut, syaitan akan lari dari rumah yang dibacakan Surah Al-Baqarah.
- Ikhtiar Sapuan Minyak Kasturi: Berdasarkan pengalaman saya sendiri, penggunaan wangian kasturi sebagai salah satu kaedah rawatan sihir memang sangat membantu. Malah, bagi saya ini kaedah yang paling mudah dan praktikal untuk anda cuba.
Pernah berlaku ketika saya merawat pesakit sihir, bila saya sapukan minyak kasturi ruqyah pada bahagian hidung dan sekitar muka atau sendi mereka, tahu apa yang berlaku?
Pesakit tiba-tiba menjerit!
Katanya bau kasturi tu tersangatlah busuk dan rasa panas membakar. Tak lama selepas itu, mereka terus muntah dengan banyak.
Nampak tak?
Ini bukti jelas yang jin sihir memang sangat terkesan dan ‘kepanasan’ dengan minyak wangian kasturi ruqyah.
Jadi untuk ikhtiar sendiri di rumah, kaedahnya sangat mudah. Sebelum anda tidur malam, anda hanya perlu sapukan minyak kasturi ini dirongga-rongga tertentu contohnya di celah jari, pergelangan tangan, leher, belakang telinga, dan bahagian dada yang sesak tadi.
Kesimpulan: Jangan Biar Kerjaya Mantap, Tapi Rumahtangga Runtuh
Pesan saya yang ikhlas untuk semua wanita berkerjaya di luar sana, penat bekerja itu perkara biasa. Lumrah kita manusia, fizikal kita ada hadnya.
Tetapi, jika anda mula perasan emosi anda berubah menjadi benci dan rimas yang melampau terhadap suami tanpa ada punca yang jelas, tolonglah peka. Jangan biarkan ego atau rasa malu menghalang anda daripada mencari bantuan.
Dunia dah moden, tapi hakikatnya gangguan mistik seperti sihir pemisah ini masih wujud dan realiti ini sedang merobek banyak institusi kekeluargaan secara diam-diam.
Bantu Saya Untuk Bantu Orang Yang Lain
Adakah anda atau ada kenalan rapat yang sedang mengalami situasi seakan-akan sama seperti yang saya kongsikan ini?
- Kongsi pengalaman anda: Cuba komen di bawah atau kongsikan artikel ini. Mungkin satu perkongsian daripada anda boleh menyelamatkan satu lagi rumahtangga daripada runtuh.
- Dapatkan panduan lanjut: Kalau anda rasa perlukan bimbingan lanjut tentang cara rawatan rohani atau pengurusan emosi berasaskan Ruqyah, jangan segan-segan untuk hubungi saya atau tinggalkan pesanan di ruangan contact.
Kita ikhtiar sama-sama, insya-Allah Allah bantu.
Soalan Lazim (FAQ)
Q1: Macam mana nak tahu 100% yang saya kena sihir pemisah, bukan sebab depression atau stres kerja?
Jawapan saya: Cara paling tepat adalah melalui proses diagnosis (ruqyah syar’iyyah) oleh perawat yang bertauliah. Namun, tanda paling mudah untuk anda kesan sendiri ialah perubahan emosi yang drastik mengikut lokasi. Kalau di tempat kerja atau luar rumah anda boleh ketawa dan berfikir logik, tetapi emosi anda bertukar menjadi sangat benci, rimas, dan sesak dada hanya apabila bertentangan mata dengan suami di rumah, besar kemungkinan itu adalah gangguan sihir.
Q2: Kalau saya amalkan sapuan minyak kasturi, adakah sihir pemisah ini boleh sembuh sepenuhnya?
Jawapan saya: Minyak kasturi adalah salah satu bentuk ikhtiar dan “senjata” fizikal yang sangat dibenci oleh jin kerana baunya yang wangi. Ia sangat membantu untuk mengurangkan simptom seperti sesak dada, sakit badan, dan gangguan tidur malam. Bagaimanapun, untuk kesembuhan total, ia perlulah digabungkan dengan amalan rohani yang konsisten seperti menjaga solat fardhu, membaca Al-Quran (khususnya al-Baqarah), dan mendapatkan rawatan ruqyah secara bersemuka jika gangguan terlalu kronik.
Q3: Suami saya pun nampak macam terkena tempias, adakah sihir pemisah ini menyerang isteri sahaja?
Jawapan saya: Tidak. Sihir pemisah ini dinamakan “pemisah” kerana matlamat akhirnya adalah meruntuhkan hubungan dua hala. Walaupun sihir dihantar melalui salah seorang (contohnya isteri), kesan “panas” dan baran itu akan turut dirasai oleh suami. Suami akan jadi mudah hilang sabar, nampak isteri seperti sentiasa mencari salah, dan mula menjauhkan diri. Sebab itu, proses pemulihan sebaik-baiknya dilakukan bersama-sama oleh suami dan isteri.
Q4: Berapa lama masa yang diambil untuk pulih daripada gangguan sihir sebegini?
Jawapan saya: Tempoh kesembuhan adalah berbeza bagi setiap individu. Ia bergantung pada kekuatan sihir yang dihantar, sedalam mana cengkaman jin dalam tubuh, dan paling utama—kecekalan mangsa dalam menjaga amalan pendinding diri harian. Ada yang nampak perubahan positif dalam masa beberapa hari selepas konsisten berubat dan mengamalkan “pagar diri”, dan ada yang memakan masa. Apa yang penting, jangan putus asa dengan rahmat Allah.

