Kenali Gangguan Jin Berbentuk Bisikan & Jenis-Jenisnya

gangguan jin
Anggaran Masa Bacaan: 6 minit

Dikemaskini pada 14/04/2019 oleh Ustaz Abdullah

Saya yakin kita semua dah biasa sangat mendengar tentang sihir dan saka. Dan banyak kes-kes pesakit yang datang berjumpa saya, kebanyakkannya melibatkan gangguan sihir atau saka.

Tetapi tahukah anda bahawa ada sejenis lagi gangguan jin iaitu gangguan berbentuk bisikan. Ramai yang memandang remeh tentang gangguan berbentuk bisikan ini.

Bagi mereka ianya bukan gangguan yang berat seperti sihir atau saka. Hakikatnya, gangguan jin berbentuk bisikan ini jika tidak dirawat diperingkat awal, ianya juga boleh memberikan ksan buruk kepada pengidapnya.

Dalam artikel kali ini, saya akan kongsikan dengan anda tentang gangguan jin berbentuk bisikan dan bagaimana langkah-langkah pencegahannya.

Perbezaan Gangguan Jin Bisikan Dengan Gangguan Jin Yang Lain

Sihir, saka, jin asyiq dan sebagainya, semuanya termasuk dalam jenis-jenis gangguan jin. Tetapi apa perbezaan dengan gangguan jin berbentuk bisikan ini?

Hasil dari pemerhatian saya melalui rawatan-rawatan yang saya lakukan dan pembacaan, ada beberapa perbezaan diantara sihir, saka dengan gangguan jin berbentuk bisikan ini.

Antara perbezaannya ialah:

  1. Sihir dan saka adalah gangguan jin yang berlaku disebabkan jin telah masuk ke dalam tubuh badan manusia sedangkan gangguan jin berbentuk bisikan ini jin tidak masuk ke dalam badan.
  2. Apabila dirawat, pesakit yang disihir ataupun diganggu jin saka akan menunjukkan tindakbalas sedangkan pesakit yang mengalami gangguan berbentuk bisikan tidak akan menunjukkan sebarang tindakbalas.
  3. Rawatan untuk sihir dan saka perlulah dikeluarkan jin di dalam badan, tetapi tidak kepada gangguan jin berbentuk bisikan.

Dalil Gangguan Berbentuk Bisikan

Di dalam Al-Quran dan hadis ada menceritakan tentang gangguan-gangguan jin yang berbentuk bisikan ini. Antaranya ialah:

Surah An-Nas ayat 4 hingga6 yang bermaksud:

“Daripada kejahatan pembisik (penghasut) yang timbul tenggelam. Yang melemparkan bisikan dan hasutannya ke dalam hati manusia. (Iaitu pembisik dan penghasut) daripada kalangan jin dan manusia”

Lihatlah dalam ayat di atas. Allah s.w.t dengan begitu jelas menceritakan tentang adanya gangguan berbentuk bisikan dan hasutan yang datang dari golongan jin dan manusia.

Bisikan dan hasutan yang datang dari golongan manusia tidaklah menjadi masalah sangat kepada kita kerana manusia dapat kita lihat. Tetapi bisikan yang datang dari golongan jin, agak sukar untuk kita nak elakkan kerana jin tidak dapat dilihat.

Sekarang mari pula kita lihat hadis Rasulullah s.a.w yang membenarkan adanya gangguan jin berbentuk bisikan ini.

“Sesungguhnya syaitan bergerak dalam badan manusia seperti aliran darah. Sesungguhnya aku bimbang ia melemparkan keburukan atau sesuatu sangkaan di dalam hati kamu berdua” (Dikeluarkan oleh Muslim di dalam Sahihnya. Hadis nombor 2175 (Kitab Al-Salam: Bab apabila dilihat mengiringi seorang wanita disukai menjelaskan bahawa…)

Nabi s.a.w mengeluarkan hadis di atas berikutan suatu peristiwa di mana Rasulullah s.a.w beriktikaf di dalam masjiddan isteri Baginda iaitu Safiyyah datang menziarahi Baginda.

Kemudian apabila Safiyyah ingin pulang, Rasulullah s.a.w telah mengiringinya sehingga ke pintu masjid.

Pada saat itu ada 2 orang sahabat dari kalangan Ansar lalu di situ dan ternampak Rasulullah s.a.w bersama dengan seorang wanita. Mereka berdua tidak mengetahui siapakah wanita itu kerana para isteri Rasulullah memakai tudung yang juga menutupi muka.

Jadi untuk mengelakkan salah faham Rasulullah s.a.w memanggil kedua lelaki tersebut dan menerangkan bahawa wanita itu adalah Safiyyah, isteri Baginda.

Kedua-dua lelaki tersebut menjawab, “Subhanallah!, seolah-olah bermaksud, “Maha Suci Allah, tidaklah sekali-kali kami akan berburuk sangka kepadamu wahai Rasulullah!”.

Kemudian itu Rasulullah s.a.w mengeluarkan hadis seperti yang saya sebutkan di atas.

Jadi berdasarkan kepada 2 dalil di atas, nyatalah bahawa gangguan jin berbentuk bisikan ini memang ada.

Jenis-Jenis Gangguan Jin Berbentuk Bisikan

Apabila saya menjelaskan tentang gejala-gejala yang akan dialami oleh mereka yang mengalami gangguan jin berbentuk bisikan ini, ianya saya dapat hasil dari pengalaman saya merawat pesakit-pesakit tersebut.

Ini satu lagi perbezaan diantara mereka yang mengalami gangguan sihir atau saka, dengan mereka yang mengalami gangguan jin berbentuk bisikan.

Perbezaannya ialah mereka yang mengalami gangguan sihir atau saka, biasanya akan mengalami gejala-gejala umum gangguan jin, contohnya seperti:

  • Susah tidur malam tanpa sebab.
  • Sering terjaga tengah malam tanpa sebab.
  • Sering bermimpi terjatuh dari tempat tinggi.
  • Sering bermimpi menakutkan dan sebagainya.

Untuk lebih memahami tentang gejala-gejala umum gangguan jin ini, anda boleh baca artikel saya yang bertajuk Bagaimana Cara Nak Tahu Sihir Telah Tiada.

Tetapi bagi mereka yang mengalami gangguan jin berbentuk bisikan ini, biasanya langsung tidak mengalami gejala-gejala yang saya sebutkan di atas. Mengapa?

Ini kerana gangguan jin berbentuk bisikan ini hanyalah gangguan jin dari luaran sahaja. Dan atas alasan ini jugalah apabila pesakit diruqyah, biasanya mereka tidak akan mengalami tindakbalas.

Jadi bagaimana hendak mengenali mereka yang terkena gangguan jin berbentuk bisikan ini?

Sebenarnya gangguan berbentuk bisikan ini akan dialami oleh setiap manusia. Cuma yang membezakannya ialah sejauh mana seseorang itu dapat melawan gangguan bisikan tersebut.

Di sini saya kongsikan dengan anda jenis-jenis gangguan jin berbentuk bisikan yang akan dialami oleh setiap manusia. Dan seperti yang saya katakan, yang membezakan tahap gangguan diantara kita semua ialah sekuat mana kita mampu menghadapi dan melawan gangguan bisikan tersebut.

Bisikan Yang Mempengaruhi Fikiran Manusia

Rasulullah s.a.w telah bersabda:

“Syaitan akan mendatangi seseorang daripada kalian dan bertanya, “Siapakah yang menciptakan itu? Siapakah yang menciptakan ini?”. Sehinggalah ia bertanya, “Siapakah yang menciptakan Tuhan kamu?” Maka jika ia bertanya soalan itu, mintalah perlindungan dari Allah dan sudahilah (dari melayani fikiran atau pertanyaan sedemikian). (Hadis sahih. Dikeluarkan oleh Bukhari di dalam Sahihnya, hadis no. 3276 (Kitab Bad’i Al-Khalq, bab sifat iblis dan tenteranya)

Gangguan Berbentuk Bisikan Kepada Manusia

Syaitan mampu berbisik kepada manusia sebagaimana ia mampu berbisik kepada Nabi Adam a.s.

“Setelah itu maka syaitan membisikkan kepadanya dengan berkata: “Wahai Adam, mahukah aku tunjukkan kepada kamu pohon yang akan menyebabkan kamu hidup selama-lamanya dan kekuasaan yang tidak akan hilang lenyap?” (Surah Taha ayat 120)

Biasanya bisikan syaitan ini lebih terarah kepada perkara-perkara yang bertentangan dengan kehendak Islam. Ataupun paling tidak perkara-perkara yang nampak seperti selari dengan Islam, tetapi hakikatnya tidak.

Bisikan Yang Mempengaruhi Imaginasi Manusia

Rasulullah s.a.w telah bersabda:

“Sesungguhnya seorang wanita tampil dalam gambaran syaitan dan membelakangi dalam gambaran syaitan. Maka jika seseorang kalian melihat wanita (yang dia tertarik dengannya), maka kembalilah kepada isterinya kerana itu akan menolak (lintasan jahat) dalam dirinya”. (Hadis sahih dikeluarkan oleh Muslim dalam sahihnya. No hadis: 1403. Kitab Al-Nikah bab orang yang melihat wanita…)

Dalam hadis di atas, Rasulullah s.a.w menerangkan kemampuan syaitan untuk membentuk gambaran atau imaginasi pada pemikiran seorang lelaki yang melihat wanita.

Semua ini akan menyebabkan lelaki itu mula berkhayal secara seksual akan wanita tersebut. Tidak sekadar itu, syaitan juga akan membisikkan kepada lelaki tersebut untuk melakukan maksiat kepada Allah.

Bagi yang tak kuat iman dan sifat takwanya, berkemungkinan besar akan terpengaruh dengan bisikan syaitan tersebut.

Dan cara untuk menolak gambaran atau imaginasi yang dilakukan oleh syaitan ialah kembalilah kepada pasangan kita yang telah dihalalkan oleh Allah.

Bisikan Yang Mempengaruhi Tumpuan/Fokus Manusia

Antara situasi yang paling digemari oleh syaitan untuk mengganggu tumpuan manusia ialah ketika sedang mendirikan solat dan juga ketika membaca Al-Quran.

Anda selalu solat tak khusyuk? Maksudnya jin sedang mengganggu tumpuan anda ketika solat.

Seorang sahabat bernama ‘Utsman bin Abi Al-‘Ash r.a mengadu kepada Rasulullah s.a.w , “Wahai Rasulullah sesunggunya syaitan menghalang antaraku dan solat serta bacaan Al-Quranku, dan ia selalu mengelirukanku. “Maka Rasulullah s.a.w menjawab, “Itulah syaitan yang disebut sebagai Khanzab. Maka apabila merasai gangguannya, mohonlah perlindungan Allah darinya dan ludahlah ke kiri sebanyak tiga kali. ‘Utsman bin Abi Al-‘Ash kemudian berkata, “Aku melakukan itu dan Allah menjauhkan gangguan syaitan itu dariku”. (Hadis sahih. Dikeluarkan oleh Muslim di dalam Sahihnya, hadis no: 2203. Kitab Al-Salam Bab meminta perlindungan dari syaitan…)

Bisikan Yang Mempengaruhi Motivasi Untuk Melakukan Kebaikan

Syaitan juga akan sentiasa membisikkan kepada kita apabila kita mahu melakukan kebaikan seperti hendak membaca dan mengkaji Al-Quran, bersedekah, melaksanakan amar ma’ruf dan nahi mungkar dan sebagainya.

Dia akan mempengaruhi kita dengan tujuan supaya kebaikan yang hendak kita laksanakan tidak tercapai. Ini sepertimana di dalam firman Allah:

“Dan tidaklah Kami mengutuskan sebelummu seorang Rasul atau seorang Nabi melainkan apabila dia bercita-cita (untuk kebaikan agama yang dibawanya), maka syaitan pun akan melemparkan hasutannya mengenai usaha Rasul atau Nabi itu (dari) mencapai cita-citanya”. (Surah Al-Hajj ayat 52)

Kesimpulan

Seperti yang telah saya katakan bahawa gangguan jin berbentuk bisikan ini adalah suatu bentuk gangguan yang pasti akan dialami oleh kita semua. Tidak ada yang terkecuali.

Mungkin anda tidak pernah terkena sihir, atau gangguan jin saka, tetapi gangguan jin bisikan ini pasti anda tidak dapat elak dari gangguan mereka. Cuma tahap gangguannya berbeza ke atas diri seseorang bergantung kepada sekuat mana anda mampu melawan semula gangguan bisikan tersebut.

InshaaAllah artikel ini masih ada sambungannya. Saya akan kongsikan nanti bagaimana pula cara untuk lemahkan gangguan jin berbentuk bisikan ini. Ingat ye, gangguan ini anda tidak dapat elakkan melainkan anda cuma boleh melemahkannya sahaja.

Berdoalan semoga Allah selamatkan kita semua dari jin-jin yang membisikkan kejahatan ke dalam hati kita. Dan memberikan kita kekuatan agar tidak terpengaruh dengan bisikan kejahatan tersebut.

Anda Dapat Sesuatu?

Jika anda rasa artikel ini bermanfaat, sila kongsikan dengan rakan-rakan dan juga orang yang anda sayangi. Anda juga boleh melanggan artikel terbaru saya terus melalui emel. Klik di sini untuk melanggan.

Anda aktif menggunakan aplikasi telegram? Saya juga ada kongsikan ilmu-ilmu mahal tentang perubatan Islam melalui telegram. Berminat? Join channel telegram saya di sini.

Sumber rujukan:

Follow saya di sosial media:
Kenali Gangguan Jin Berbentuk Bisikan & Jenis-Jenisnya
Scroll to top
error: Maaf. Artikel ini tidak dibenarkan untuk copy!!