Anda tengah was-was ke samada dalam badan ada sihir atau tak? Tidak lagi bila anda dapatkan 2 video percuma ni. Klik di sini.

Rumah Anda Diganggu Jin? Amalkan 3 Langkah Ini Sekarang

Dikemaskini pada 21/07/2023 oleh Ustaz Abdullah

Sepanjang hampir 10 tahun penglibatan saya di dalam bidang perubatan Islam, selain merawat pesakit-pesakit yang diganggu makhluk halus, saya juga kerapkali diminta untuk pagar rumah.

Kebiasaannya, mereka meminta saya untuk pagar rumah disebabkan mereka mengatakan yang rumah mereka mengalami gangguan makhluk halus.

Jadi, di dalam artikel kali ini, saya akan kongsikan dengan anda tentang bagaimana caranya untuk memagar rumah.

Dan apa yang lebih penting ialah, saya akan kongsikan dengan anda cara pagar rumah menurut islam.

Isi Kandungan Artikel:

Kenali Tanda Gangguan Di Rumah

Sebelum anda nak mula pagar rumah, terlebih dahulu anda mestilah kena tahu apa tanda-tanda sekiranya rumah anda mengalami gangguan jin.

Betul tak?

Ok, dari pengalaman saya, berikut adalah tanda-tanda rumah yang mengalami gangguan jin.

  1. Makanan cepat basi.
  2. Selalu dengar bunyi guli.
  3. Selalu dengar bunyi perabot bergerak sendiri.
  4. Selalu perasan seperti ada kelibat seseorang dalam rumah.
  5. Rasa meremang bulu roma apabila berada ditempat tertentu di dalam rumah.

Ada sesetengah orang tak percaya dengan gejala-gejala di atas. Mereka memberikan pelbagai alasan.

Bagi saya secara peribadi, saya tak kisah pun samada orang itu nak percaya atau tidak. Sebabnya kalau betullah rumah mereka mengalami gangguan jin, mereka percaya atau tidak, mereka yang akan menghadapinya.

Tapi, apa yang paling ketara dengan gejala-gejala di atas ialah, sebelum ini rumah anda langsung tidak pernah ada gejala-gejala yang saya tuliskan di atas.

Ianya baru berlaku sejak kebelakangan ini sahaja.

Untuk gejala nombor empat dan lima pula, kebiasaannya bukan anda seorang sahaja yang akan mengalaminya, bahkan orang lain juga akan perasan keadaan tersebut.

Sebagai cotnoh, katakanlah anak anda atau saudara-mara anda yang tinggal di tempat lain, apabila mereka bermalam di rumah anda untuk sehari dua, mereka juga akan mengalami keadaan tersebut.

Iaitu mereka juga akan perasan akan kelibat seseorang dan juga akan rasa meremang bulu roma apabila berada di tempat tertentu di dalam rumah anda.

Kesilapan Dalam Memagar Rumah

Dari apa yang saya perhatikan, ada dua kesilapan yang dilakukan oleh kebanyakan daripada masyarakat kita.

Dua kesilapan tersebut ialah:

  1. Apabila rumah dah ada gangguan jin, baru nak cari cara pagar rumah.
  2. Hanya mengharapkan bantuan perawat semata-mata.

Untuk kesilapan yang pertama, kebanyakan dari kita mengabaikan apa yang disarankan oleh Nabi SAW.

Apa yang Nabi sarankan? Baca hadis di bawah:

Nabi SAW telah bersabda yang bermaksud: “Janganlah kamu menjadikan rumah kamu sebagai kubur, sesungguhnya rumah yang dibacakan Surah Al-Baqarah tidak akan dimasuki oleh syaitan”. (Hadis riwayat At-Tirmidzi)

Apa yang dimaksudkan rumah sebagai kubur dalam hadis di atas?

Menurut Syeikh al-Mubarakfuri, yang dimaksudkan dengan menjadikan rumah seperti perkuburan adalah rumah yang kosong daripada zikir (mengingati Allah) dan ketaatan.

Apabila ahli rumah tidak meng’imarahkan rumahnya dengan amalan-amalan zikir dan ketaatan kepada Allah, maka dia telah menjadikan rumahnya seperti tempat perkuburan atau seperti orang yang mati.

Apabila saya membaca dan meneliti hadis di atas, saya mendapati ada dua perkara yang Nabi nak bagitahu dalam hadis di atas.

  1. Yang pertama adalah tegahan atau larangan.
  2. Yang kedua adalah penegasan.

Yang pertama, Nabi melarang kita daripada membiarkan rumah kita kosong tanpa di’imarahkan dengan amalan seperti zikir, membaca Al-Quran, mengadakan majlis ilmu, memperbanyakkan solat sunat dan sebagainya.

Tapi kebanyakan daripada masyarakat kita mengabaikan perkara ini.

Apa yang diisi di dalam rumah adalah tayangan-tayangan yang melalaikan, alunan muzik, bahkan ada yang menampal gambar artis-artis pujaan seperti k-pop dan sebagainya.

Apabila rumah mengalami gangguan jin, masa itu barulah kelam-kabut cari perawat minta pagar rumah.

Ini kesilapan yang pertama.

Yang kedua, dalam hadis di atas Nabi telah membuat penegasan bahawa sekiranya rumah yang ada gangguan jin, hendaklah dibacakan dengan Surah Al-Baqarah. Penegasan ini dikuatkan dengan perkataan sesungguhnya atau dalam Bahasa Arab perkataannya adalah Inna.

Sepatutnya bacaan Surah Al-Baqarah ini dilakukan oleh ahli rumah. Inilah yang paling afdhal (utama). Sebab bacaan surah ini hendaklah diamalkan secara istiqamah, bukan hanya sekali bacaan sahaja.

Tapi kebanyakan dari kita lebih suka panggil perawat untuk membacanya ataupun meminta perawat untuk meruqyah rumah. Adakah perbuatan ini salah?

Tidaklah salah.

Yang menjadi salahnya ialah selepas perawat membacakan Surah Al-Baqarah atau meruqyah rumah, ahli rumah masih lagi dalam keadaan yang sama.

Rumah masih lagi tidak di’imarahkan dengan amalan-amalan zikir dan sebagainya.

Inilah kesilapan yang kedua.

Jadi saya berharap anda tidak melakukan kesilapan ini.

Dalam subtajuk yang seterusnya, saya akan kongsikan dengan anda tiga langkah yang sepatutnya anda lakukan untuk memagar rumah. Mudah-mudahan rumah anda dilindungi Allah dari gangguan jin inshaaAllah.

Pertama: Membaca surah al-Baqarah

Tidak diragukan lagi, terlalu banyak dalil-dalil yang menceritakan tentang kelebihan mengamalkan membaca surah al-Baqarah. Apatahlagi kalau selalu di baca di dalam rumah.

  • Rumah tidak dimasuki syaitan: Imam Ahmad, at-Tirmidzi, Muslim dan An-Nasa-I meriwayatkan dari Suhail bin shalih, dari ayahnya, dari abu hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda :“ Janganlah kamu menjadikan rumah kamu sebagai kuburan,sesungguhnya rumah yang di bacakan Surah Al Baqarah tidak akan dimasuki syaitan“.

At tirmidzi mengatakan : hadis ini hasan sahih.

Kedua: Banyakkan solat sunat 

Apakah tujuan solat sunat? Amalan-amalan sunat, khususnya solat, dilakukan bertujuan untuk menampung (melengkapi) sebarang kekurangan dan ketidaksempurnaan di dalam amalan-amalan fardhu.

Solat pula adalah amalan yang paling utama sekali. Oleh kerana itu, sangatlah penting untuk memastikan agar solat kita menjadi amalan yang paling baik sekali di sisi Allah s.w.t. Tetapi, sebagai manusia yang lemah, anda yakin yang solat anda sudah sempurna?

Sempurna dari segi perkara-perkara rukunnya, khusyuknya dan juga sunat-sunatnya. Di sinilah peranan solat sunat. Daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah s.a.w telah bersabda:

“Sesungguhnya amal seseorang yang mula-mula sekali dihisab pada hari kiamat adalah solatnya, jika solatnya baik(diterima), maka beruntung dan berbahagialah ia. Dan jika solatnya rosak (tidak diterima), maka kecewa dan rugilah dia. Kiranya terkurang sesuatu daripada solat fardunya, Allah berfirman: “Periksalah, adakah hamba-Ku itu mempunyai solat sunat yang dapat menampung solat fardunya?”Demikianlah keadaan semua amalnya yang lain dihisab.”   (HR At-Tirmizi r.a.)

Solat Sunat Afdal Di Rumah

Sabda Rasulullah SAW: “Sebaik-baik solat ialah solat seorang lelaki di rumahnya kecuali yang fardu.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Rasulullah SAW bersabda lagi: “Solat yang dikerjakan oleh seorang lelaki di rumahnya merupakan cahaya. Maka sesiapa yang mengkehendakinya, ia dapat menyinari rumahnya sehingga bercahaya.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Oleh itu, marilah kita menerangi cahaya ke dalam rumah kita dengan memperbanyakkan solat-solat sunat. InshaaAllah, rumah kita juga akan dipelihara dari gangguan makhluk halus.

Ketiga: Perbanyakkan membaca al-Quran

Al-Quran adalah kitab terakhir yang diturunkan oleh Allah kepada Nabi yang terakhir pula iaitulah Nabi Muhammad s.a.w. Ianya bertujuan untuk menjadi petunjuk kepada manusia untuk mendapatkan keredhaan Allah, di dunia dan di akhirat.

Terlalu banyak kelebihan-kelebihan yang akan diperolehi apabila kita mengamalkan membacanya, apatahlagi jika mengamalkannya.

Termasuk juga, apabila kita selalu membaca al-Quran di dalam rumah, ianya bukan sahaja memberikan kelebihan kepada kita yang membacanya, lebih dari itu jin dan syaitan juga akan menjauhkan diri dari rumah yang selalu dibacakan al-Quran di dalamnya.

Itulah tiga tip yang dapat saya kongsikan dalam artikel kali ini. Jika memang benar rumah anda mengalami gangguan makhluk halus, tidak salah jika anda meminta bantuan mana-mana perawat untuk pagar rumah anda, tetapi lebih utama anda sendiri perlu menghidupkan rumah anda dengan amalan-amalan di atas.

Kesimpulan

Sebenarnya proses untuk memagar rumah bukanlah proses yang berlaku hanya dalam tempoh atau waktu tertentu.

Untuk memastikan rumah sentiasa terlindung dari gangguan makhluk halus, anda perlulah meng’imarahkan yakni menghidupkan rumah anda dengan aktiviti-aktiviti keagamaan.

Mungkin ada yang akan berkata, “Kalau begini, tak perlulah saya panggil perawat untuk datang pagar rumah”.

Bukanlah tak perlu. Meminta bantuan perawat untuk pagar rumah masih boleh dilakukan sebagai ikhtiar.

Apa yang saya nak maksudkan ialah, janganlah proses memagar rumah terhenti selepas perawat memagar rumah anda.

Sebaliknya anda teruskan proses memagar itu dengan istiqamah menghidupkan aktiviti keagamaan dan majlis ilmu di rumah.

InshaaAllah dengan ini rumah anda akan sentiasa berada di dalam rahmat dan perlindungan Allah SWT.

Jika anda mempunyai sebarang persoalan, sila tuliskan soalan anda diruangan komen yang disediakan.

Follow saya di sosial media:
Rumah Anda Diganggu Jin? Amalkan 3 Langkah Ini Sekarang
Scroll to top
error: Maaf. Artikel ini tidak dibenarkan untuk copy!!