Dikemaskini pada 01/06/2026 oleh Ustaz Abdullah
Bagi pasangan yang tengah diuji dengan sihir pemisah, saya tahu ada satu fasa yang paling memenatkan.
Bukan fasa mula-mula tahu diri kena sihir…
Tapi fasa “sihir berulang”.
Baru je rasa tenang seminggu dua lepas berubat, tiba-tiba emosi kembali panas. Rumah tangga kembali berantakan. Simptom lama datang balik.
Penat, kan?
Mesti tertanya-tanya, kenapa benda ni berlaku? Kenapa pihak di sana macam senang sangat nak hantar balik gangguan tu?
Sebab itu hari ini, saya nak sembang santai dengan anda semua.
Sebenarnya, tanpa kita sedar, ada beberapa ‘kelonggaran’ dari pihak kita sendiri yang bagi ruang untuk sihir tu masuk semula.
Jom kita tengok 5 kesilapan utama ini, dan macam mana nak atasi segera.
Kalau anda tidak mempunyai banyak masa untuk membaca keseluruhan artikel ini, anda boleh klik pada subtajuk yang berkaitan dengan anda.
Isi Kandungan Artikel
Menyangka Sihir Dah Selesai Selepas Satu Dua Sesi Rawatan
Ini kesilapan paling biasa orang kita buat.
Bila badan dah rasa ringan, atau dah muntah-muntah masa sesi rawatan pertama, kita terus rasa, “Alhamdulillah, dah setel.”
Lepas tu?
Kita pun berhenti jumpa perawat.
Sedangkan hakikatnya, jin yang ada dalam badan tu baru je lemah, belum betul-betul keluar habis.
Sihir pemisah yang dah lama ni, umpama kita nak cuci kesan karat yang tebal pada besi.
Tak boleh sental sekali terus kilat, betul tak?
Dia perlukan masa dan usaha yang berperingkat.
Bila kita berhenti awal, jin yang tengah lemah tadi akan ‘recharge’ semula tenaga dia.
Bila dia dah kuat balik, datanglah balik simptom lama tu.
Kita pula ingat orang sana hantar sihir baru, padahal baki yang lama pun tak habis buang lagi.
Macam mana nak atasi?
Ubah cara kita berfikir.
Anggap sesi rawatan yang pertama tu baru peringkat ‘runtuhkan kubu’ jin.
Teruskan konsisten datang sesi susulan selagi perawat yang jujur dan syar’ie belum sahkan badan anda betul-betul bersih.
Biar lambat, asalkan akar umbi sihir tu putus terus.
Terlalu Berharap Rawatan Selesai di Tangan Perawat
Kesilapan kedua ni pun ramai yang tersungkur.
Kita selalu fikir, bila dah jumpa perawat yang hebat, dah bawa balik air jampi, tugas kita dah habis. Kita serah 100% urusan ‘berperang’ tu dekat perawat.
Balik rumah, kita relaks.
Solat fardhu masih lewat. Zikir pagi petang kelaut. Al-Quran pun jarang sangat nak usik.
Tahu tak apa yang jadi?
Perawat tu cuma tolong bukakan jalan je. Dia tolong ‘halau’ sekejap penjenayah yang pecah masuk rumah kita.
Tapi lepas perawat balik, kalau kita sendiri biarkan pintu dan tingkap rumah terdedah luas tanpa kunci, rasa-rasa penjenayah tu masuk balik tak?
Mesti dia masuk balik. Silap-silap dia bawa geng lagi ramai.
Sihir ni akan senang sangat berulang kalau benteng rohani diri kita sendiri ‘bocor’ dan rapuh.
Air jampi yang kita bawa balik tu takkan bertahan lama kalau tuan badan tak nak bekerjasama kuatkan amalan.
Macam mana nak atasi?
Kita kena faham, benteng paling ampuh adalah amalan harian kita sendiri, bukannya bergantung pada orang lain.
Lepas ni, kena paksa diri dan pasangan untuk istiqamah.
Habis je solat Subuh dan solat Asar atau Maghrib, duduk kejap. Amalkan Zikir Al-Ma’thurat atau Ayat Manzil. Jangan tinggal.
Bila lidah dan hati kita sentiasa basah dengan zikir, badan kita automatik akan bina ‘dinding besi’.
Bila pihak sana hantar lagi sihir, sihir tu akan melantun balik sebab tak lut nak tembus benteng kita. Insya-Allah.
Pro Tip:
Tahukah anda? Dengan konsisten menyapu wangian kasturi terapi ruqyah di 32 rongga sebelum tidur malam, boleh bantu merawat sihir dalam badan? Rawat diri anda walaupun sedang tidur di sini!
Tangan ‘Gatal’ Nak Bercerita Dekat Media Sosial
Zaman sekarang, semua benda kita nak kongsi dekat Threads, Facebook, atau buat video TikTok, kan?
Termasuklah kisah kita berubat.
Bila lepas berubat seminggu dua, hubungan dengan pasangan rasa makin mesra, tangan mulalah gatal nak post gambar pegang tangan.
Siap letak kapsyen, “Alhamdulillah, selepas sebulan berhempas-pulas berubat, akhirnya kami menang. Hubungan makin bahagia.”
Niat kita mungkin baik, nak share rasa syukur.
Tapi tahu tak, tindakan ni sebenarnya bahaya sangat?
Pertama, ia boleh mengundang penyakit Al-A’in iaitu pandangan mata orang yang dengki atau tak suka tengok kita bahagia.
Pandangan mata ni pun satu cabang gangguan juga.
Kedua, kalau si penghantar sihir tu nampak post anda, dia akan tahu yang “serangan pertama” dia dah gagal.
Bila dia tahu anda dah sembuh, ego dia akan tercabar.
Apa dia buat?
Dia akan pergi balik dekat tukang sihir, bayar lebih, dan hantar serangan baru dengan dos yang jauh lebih kuat!
Kita sendiri yang bagi update percuma dekat musuh.
Macam mana nak atasi?
Sentiasa pegang prinsip rahsiakan proses rawatan dan pemulihan anda.
Sepanjang fasa berubat dan fasa baru nak sembuh ni, ‘puasa’ kejap daripada tayang kebahagiaan dekat media sosial.
Tak perlu bagi tahu satu dunia yang kita tengah berubat atau dah nak sembuh.
Simpan kemesraan dan berita gembira tu untuk diri sendiri, pasangan, dan keluarga terdekat sahaja.
Biar keadaan betul-betul stabil dan ‘bersih’ dulu.
Bila musuh tak tahu perkembangan kita, susah untuk mereka rancang serangan seterusnya.
Terperangkap Dengan Provokasi Emosi
Sihir pemisah ni, matlamat akhir dia cuma satu je: Bagi suami isteri bercerai-berai.
Jadi, macam mana jin sihir tu bekerja? Dia tak selalunya muncul depan mata menjelma jadi hantu. Cara dia sangat halus, iaitu dengan cara ‘mencucuk’ emosi kita.
Contohnya, tengah duduk relaks, tiba-tiba rasa menyampah sangat tengok muka pasangan. Rasa nak marah, rasa curiga, rasa semua benda yang pasangan buat tak kena di mata kita.
Bila emosi tu datang, kesilapan kita ialah kita layan!
Kita pun mula melenting, tinggikan suara, ungkit cerita lama, sampai bergaduh besar anak-beranak.
Tahu tak? Pergaduhan dan tenaga negatif yang penuh makian atau amarah dalam rumah tu sebenarnya adalah ‘makanan’ dan umpan untuk jin.
Bila kita melayan rasa marah tu, kita sebenarnya tengah buka pintu seluas-luasnya untuk sihir yang dihantar tu masuk semula dengan mudah. Kita bagi jin tu menang tanpa perlu bertarung pun.
Macam mana nak atasi?
Tukar mindset kita serta-merta. Kena pasang kesedaran yang tinggi.
Lepas ni, kalau tiba-tiba rasa nak marah atau benci sangat dekat pasangan tanpa sebab yang munasabah, terus ‘pujuk’ hati sendiri: “Eh, ini bukan salah pasangan aku ni. Ini provokasi jin sihir. Dia nak bagi kami gaduh.”
Bila dah sedar macam tu, buat tindakan drastik:
- Stop bercakap.
- Pergi ambil wuduk cepat-cepat untuk sejukkan darah.
- Baca Ta’awwudz (A’udzu billahi minash shaitanir rajim) banyak-banyak.
- Kalau boleh, pergi peluk pasangan atau salam minta maaf terus.
Bila kita buat macam ni, jin tu akan melopong sebab umpan dia tak mengena. Lama-lama dia sendiri yang penat sebab tak berjaya nak pecah-belahkan kita.
Rumah Kosong daripada Suasana Ibadah
Pernah tak anda terfikir, kenapa selepas balik dari berubat, badan rasa dah ringan, tapi pantang masuk je dalam rumah… emosi anda automatik bertukar jadi ‘panas’ balik?
Dada mula rasa sesak, dan rasa menyampah dekat suami datang balik macam ribut.
Sebagai perawat, ada satu soalan penting yang selalu saya tanya pada pesakit:
“Lepas kita berubat hari tu, apa pengisian yang kita buat dalam rumah?”
Bila ditanya begini, rata-rata pesakit saya akan tertunduk dan termenung panjang.
Rupa-rupanya, kita terlalu sibuk memagar diri sendiri, tapi kita terlupa nak bersihkan tempat kita tinggal.
Kita biarkan rumah kita kosong sepi tanpa sebarang pengisian ibadah.
Balik sahaja dari pejabat, rumah hanya dijadikan tempat untuk tidur, tonton televisyen, atau masing-masing melayan telefon pintar sehinggalah ke jauh malam.
Muzik yang melalaikan pula dipasang kuat, manakala solat berjemaah bersama suami langsung tidak pernah dibuat.
Nabi dah pesan, rumah yang sunyi daripada zikir dan suara Al-Quran adalah seumpama kubur dan ia merupakan ‘syurga’ serta kawasan kegemaran bagi jin, termasuk dari jin sihir pemisah.
Apabila suasana rumah dibiarkan begitu, ia ibarat kita sendiri yang membentangkan karpet merah untuk menjemput jin sihir masuk semula dengan selesa.
Sebab itu, bermula malam ini, kita kena gempur dan tukar vibe rumah kita:
- Laungkan Azan: Setiap kali masuk waktu solat, laungkan azan dengan jelas di tengah-tengah rumah. Gema azan ini bukan sahaja menghalau syaitan, malah akan merentap rasa rimas di dalam dada anda.
- Paksa Diri Berjemaah: Alang-alang emosi tengah rimas memandang muka suami, paksa diri untuk tetap solat berjemaah di belakangnya. Selesai solat, paksa diri untuk bersalam dan mencium tangannya. Terapi ini sangat digeruni oleh jin sihir pemisah.
- Bacakan Surah Al-Baqarah: Jangan sekadar pasang audio Al-Baqarah di telefon. Ambil wuduk, buka mushaf, dan bacalah sendiri bersama-sama dengan suami di dalam rumah.
Ingat pesan Nabi SAW, syaitan pasti akan lari lintang-pukang dari rumah yang dibacakan di dalamnya Surah Al-Baqarah (Hadis Riwayat Muslim).
Bila rumah kita mula dipenuhi dengan pancaran cahaya ibadah, automatik ‘suhu’ rumah tangga yang membara tadi akan mula bertukar sejuk, dan jin sihir yang dihantar semula pun akan kepanasan lalu lari dengan sendirinya.
Kesimpulan: Rawatan Memerlukan Kesabaran Yang Tinggi
Menghadapi ujian sihir pemisah yang asyik berulang-ulang ini memang sangat memenatkan emosi, mental, dan iman kita.
Saya faham, mungkin ada ketikanya anda akan rasa nak berputus asa.
Rasa macam penat sangat sebab baru sahaja nak merasa bahagia seminggu dua, tiba-tiba gangguan datang balik menyerang.
Tetapi saya nak anda ingat satu perkara penting ini.
Tukang sihir dan jin sebenarnya tidaklah sekuat mana. Bahkan dalam Al-Quran ada bagitau yang kuat macam mana pun sihir ini, akhirnya mereka akan gagal.
Nak tau ayatnya?
Boleh buka surah Taha ayat 69 di mana Allah swt telah berfirman yang bermaksud:
“…Sesungguhnya apa yang mereka lakukan itu hanyalah tipu daya ahli sihir, sedang ahli sihir itu tidak akan beroleh kejayaan, di mana sahaja ia berada”
Mereka nampak macam menang sebelum ini sebab kita sendiri yang terlepas pandang dan meninggalkan banyak ruang kosong dalam rumah tangga kita.
Sebab itu, jangan sesekali mengalah dan berputus asa daripada rahmat dan pertolongan Allah.
Setiap kali mereka hantar lagi gangguan, setiap kali itulah kita kuatkan lagi pergantungan kita dengan Allah, tingkatkan amalan zikir harian, dan penuhkan rumah kita dengan suara Al-Quran.
Insya-Allah, bila kita tutup rapat semua pintu kesilapan lalu dan terus konsisten berubat serta beramal, pihak yang membawa kejahatan ini pasti akan tewas dan hancur juga akhirnya.
Mari kita kuatkan semangat, teruskan bersabar, dan pertahankan rumah tangga kita demi keredaan Allah.
Soalan Lazim (FAQ)
S1: Kenapa sihir pemisah ini boleh dihantar berkali-kali kepada kami?
Jawab: Biasanya sebab orang yang dengki itu masih belum puas hati selagi mereka tak nampak rumah tangga anda hancur. Selain itu, jin sihir mudah masuk semula kalau kita sendiri ada tinggalkan ‘ruang kosong’ dalam amalan harian dan suasana rumah kita.
S2: Berapa lama masa yang diambil untuk betul-betul sembuh daripada sihir pemisah?
Jawab: Tempoh sembuh ini berbeza bagi setiap pasangan. Ada yang cepat, dan ada yang mengambil masa yang agak lama. Yang paling penting ialah anda dan pasangan kena konsisten berubat, jaga solat, dan amalkan zikir pendinding setiap hari tanpa culas.
S3: Boleh ke saya pagar rumah sendiri tanpa panggil perawat datang ke rumah?
Jawab: Boleh, sangat boleh. Perawat sebenarnya hanya membantu membukakan jalan sahaja. Benteng dan pagar yang paling kuat adalah amalan anda sendiri di rumah. Anda boleh mulakan dengan laungkan azan setiap kali masuk waktu solat dan bacakan Surah Al-Baqarah di dalam rumah.
S4: Suami saya jenis yang liat dan tak mahu diajak berubat sekali. Apa yang patut saya buat?
Jawab: Jangan paksa atau bergaduh dengan dia, sebab itu memang umpan yang jin sihir mahukan. Sebagai isteri, anda mulakan dahulu. Anda boleh amalkan zikir sendiri, buat solat hajat, dan gunakan minyak kasturi ruqyah pada pakaian atau tempat tidur. Bila diri anda kuat, cas negatif sihir pada suami pun akan mula lemah.
S5: Betul ke kalau kita kongsi gambar bahagia dengan suami di media sosial, sihir boleh datang balik?
Jawab: Ya, betul. Tindakan itu sangat bahaya untuk pasangan yang belum sembuh sepenuhnya. Ia bukan sahaja boleh mengundang penyakit Al-A’in (hasad dengki pandangan mata orang), malah memberi tahu si penghantar sihir bahawa serangan dia sebelum ini gagal. Jadi, simpan je kisah bahagia anda sebagai rahsia peribadi.

