Cara Mengelak Sihir Melalui Makanan dan Minuman: Amalan dan Doa Pendinding Diri

Close-up makanan yang kelihatan normal tetapi dikelilingi oleh aura samar-samar, simbolik sihir yang dihantar melalui makanan. Gambar ini menunjukkan kepentingan mengamalkan doa untuk mengelak sihir makanan.
Anggaran Masa Bacaan: 15 minit

Dikemaskini pada 25/11/2025 oleh Ustaz Abdullah

Beberapa minggu lepas, saya telah melihat satu keadaan menyedihkan ketika merawat seorang pesakit. Perutnya tiba-tiba menjadi buncit. Atau kita panggil busung. Sampai saya pun terkejut bila tengok keadaan tu.

Sakitnya? Saya tak dapat nak bayangkan. Sebab pesakit tu sampai menggeletar badan dia tahan sakit. Zalim sungguhlah siapa yang sanggup sihir sampai macam tu sekali.

Mesti anda nak tau kan kenapa boleh jadi busung? Biasanya ada 2 sebablah iaitu:

  • Penyakit fizikal
  • Sihir

Dalam artikel ini saya lebih nak fokuskan kepada busung yang disebabkan oleh sihir. Jadi, busung yang berpunca dari penyakit fizikal ini saya sentuh secara ringkas sahaja.

Dari istilah klinikal, busung adalah keadaan di mana perut seseorang menjadi bengkak yang luar biasa. Sebabnya? Bengkak ini berlaku disebabkan cecair berkumpul dirongga perut. Dan biasanya dikaitkan dengan masalah kesihatan serius seperti penyakit hati.

Ilustrasi klinikal perut membengkak atau busung (Ascites), salah satu gejala fizikal sihir makanan yang memerlukan rawatan rohani.
Ini adalah contoh visual busung (Ascites) dari sudut pandangan klinikal.
Kredit: Imej asal oleh Dr. James Hellman, MD di bawah lesen CC BY-SA 3.0 Unported.

Tapi dalam bidang perubatan Islam, busung ini berlaku disebabkan pesakit tersebut telah terkena sihir yang dihantar melalui makanan atau minuman.

Macam mana nak kenal busung sihir?

Salah satunya ialah, busung sihir ini, apabila dirawat dengan menggunakan kaedah perubatan konvensional, tidak ada sebarang kesan.

Ini kerana busung sihir berlaku disebabkan jin sihir yang dihantar oleh tukang sihir dan hanya boleh dirawat dengan kaedah ruqyah syar’iyyah.

Melalui kaedah ini sahaja jin di dalam badan anda dapat dikeluarkan dengan izin Allah.

Sebab itulah anda tidak boleh mengambil mudah.

Walaupun makanan dan minuman adalah keperluan asas, anda kena ingat bahawa ia juga adalah cara yang paling mudah untuk menghantar sihir.

Jadi lengkapkan diri dengan pembenteng diri dan juga ilmu pengetahuan.

Dalam artikel ini, saya akan kongsikan cara mengelak sihir melalui makanan dan minuman melalui amalan doa istiqamah dan langkah-langkah berjaga-jaga yang praktikal agar anda dan keluarga sentiasa berada di bawah lindungan Allah SWT.

Tajuk-tajuk yang anda akan belajar dalam artikel ini ialah:

Gejala dan Tanda-Tanda Sihir Melalui Makanan

Biasanya apabila sihir telah masuk ke dalam tubuh badan melalui makanan atau minuman, anda akan mula mengalami gejala-gejala gangguan jin.

Contoh gejala-gejala tersebut ialah:

  • Susah tidur malam.
  • Kerap jaga tengah malam.
  • Mimpi menakutkan.
  • Mimpi tempat kotor.
  • Mimpi jatuh dari tempat tinggi.

Dan satu lagi yang anda kena tahu ialah, makanan dan minuman yang bercampur dengan sihir juga akan menunjukkan perubahan.

Sebab itu, anda juga kena kenal tanda-tanda yang menunjukkan makanan dan minuman tersebut telahpun disihir. Ini merupakan langkah pertama dan terawal untuk melindungi diri anda.

Busung: Kesan Paling Menyakitkan

Macam pengalaman yang saya ceritakan tadi, salah satu kesan sihir makanan yang paling menyakitkan yang dialami oleh pesakit saya ialah busung.

Walaupun secara perubatan moden, busung (atau Ascites) merujuk kepada pengumpulan cecair akibat penyakit hati atau kegagalan organ, busung yang berpunca daripada sihir biasanya menunjukkan ciri-ciri yang berbeza.

Antaranya ialah:

  1. Pembengkakan Mendadak dan Kesakitan Melampau: Perut akan jadi buncit atau keras secara tiba-tiba tanpa sebab. Keadaan ini akan menyebabkan kesakitan yang melampau.
  2. Pembengkakan Pada Waktu-Waktu Tertentu: Berdasarkan pengalaman saya, satu lagi ciri busung sihir ialah perut akan bengkak pada waktu-waktu tertentu sahaja, terutamanya ketika proses ruqyah dijalankan. Keadaan ini akan menyebabkan proses rawatan tidak dapat diteruskan sebab pesakit tidak dapat menahan rasa sakit yang teramat.
  3. Menentang Rawatan: Oleh kerana ianya disebabkan sihir, busung jenis ini susah untuk dirawat dengan kaedah perubatan biasa dan perlu dirawat dengan kaedah ruqyah syar’iyyah. Melalui kaedah ini, jin sihir akan dikeluarkan terlebih dahulu dan tapak sihir di dalam badan akan dimusnahkan. Kemudian pesakit perlulah melakukan amalan-amalan rohani secara istiqamah. Setelah sihir itu pulih, inshaaAllah busung tadi akan hilang dengan sendirinya dengan izin Allah.

Bentuk Perubahan Pada Makanan Yang Anda Perlu Berhati-Hati

Macam yang saya jelaskan di atas, selain gejala fizikal, anda juga perlu berhati-hati terhadap makanan yang disajikan, terutamanya jika anda makan di tempat yang diragui atau dihidangkan oleh individu yang disyaki mempunyai niat jahat.

Apa bentuk perubahan yang perlu diperhatikan?

Antara perubahan tersebut ialah:

  • Rupa & Tekstur: Anda kena perhatikan adakah makanan yang dihidangkan itu nampak macam kotor, atau ada benda-benda asing yang tak sepatutnya (contohnya macam rambut halus atau serpihan kecil), atau anda nampak makanan itu macam telah disentuh.
  • Rasa & Bau: Anda boleh rasa sikit adakah rasa dia berubah secara mendadak menjadi tawar atau pahit? Atau anda boleh cuba hidu kalau ada bau yang pelik, contohnya makanan tu bau macam basi sedangkan baru sahaja dimasak.
  • Tindakbalas tubuh: Kalau tengok pada sesetengah kes, kadang-kadang badan anda pun boleh tunjuk reaksi kalau makanan tu ada sihir. Contohnya anda tiba-tiba hilang selera makan walaupun itu adalah makanan kegemaran anda, atau anda tiba-tiba rasa nak muntah, rasa pening, ataupun anda terus muntah lepas makan makanan tu.

Anda pernah kena tak?

Haaa…kalau pernah, tu maksudnya makanan tu mungkin dah disihir.

Dan mungkin juga sihir dalam makanan atau minuman tu dah masuk ke dalam badan anda.

Jadi, apa yang patut anda buat sekarang?

Amalan & Doa Elak Sihir Makanan

Sebelum saya kongsikan zikir dan doa yang boleh diamalkan, ada satu benda penting yang saya nak anda jelas dan faham: sihir adalah satu bentuk kejahatan yang dilakukan dengan menggunakan perantaraan jin-jin yang jahat.

Tahap kejahatan jin sihir pula bergantung kepada sebesar mana dosa dan maksiat yang sanggup dilakukan oleh tukang sihir.

Jika tukang sihir sanggup melakukan dosa-dosa besar seperti mensyirikkan Allah, maka jin yang datang membantu pun terdiri dari kalangan jin yang paling jahat.

Kezaliman Tanpa Batasan:

Kalau dah jin yang paling jahat, anda boleh fahamlah sebesar mana kezaliman yang sanggup mereka lakukan. Mereka sanggup melaksanakan tugasan sehingga ke tahap mematikan mangsa.

Jadi, untuk berhadapan dengan kejahatan sebegini, tiada pilihan lain. Satu-satunya perlindungan dan pertolongan yang anda perlukan, adalah dari Allah SWT.

Fokus Utama: Kekuatan Hubungan

Sebab itu, amalan dan doa yang saya kongsikan ini, perlu dilakukan dengan istiqamah dan penuh keyakinan kepada Allah.

Walaupun amalan-amalan ini ada fadhilat-fadhilat khusus yang dinyatakan oleh Nabi Muhammad SAW, ianya adalah pemberian dari Allah juga.

Tujuan paling utama sekali ialah fokus untuk mendekatkan diri kepada Allah.

Apabila hubungan anda dengan Allah semakin dekat, maka secara tidak langsung, fadhilat-fadhilat amalan yang anda buat itu akan diberikan oleh Allah.

Sebagai contoh, katalah fadhilat amalan tersebut ialah anda akan dilindungi dari segala kejahatan, maka insya-Allah apabila anda terdedah kepada makanan yang telah disihir, Allah akan lindung anda dari kejahatan tersebut.

Jadi ingat, pastikan fokus utama anda ialah menguatkan hubungan dengan Allah SWT.

Amalan Asas Sebelum Menjamah Makanan

Jom kita mulakan dengan amalan pertama yang paling mudah dan paling asas.

Amalan tersebut ialah sentiasa mulakan makan dan minum anda dengan menyebut nama Allah kerana inilah satu bentuk perlindungan yang paling asas sekali.

Sentiasa mulakan makan dan minum anda dengan ucapan:

“Bismillahi ar-Rahmani ar-Rahim”

Mungkin anda tertanya-tanya:

“Betul ke baca Bismillah je boleh elak dari terkena sihir?”

Yelah kan, mungkin ramai dikalangan kita yang anggap amalan membaca Bismillah terlalu mudah sangat, tapi sebenarnya ianya mempunyai asas perlindungan yang kuat.

Jom saya terangkan kenapa.

Anda sedar tak bahawa membaca Bismillah sebelum makan bukanlah sekadar anda menyebut di mulut, tapi sebenarnya bila anda sebut Bismillah, itu adalah satu pengisytiharan tauhid dan penyerahan diri.

Macam mana pula membaca Bismillah tu dikatakan satu bentuk pengisytiharan tauhid dan penyerahan diri?

Macam ni…

Bila anda mulakan makan dengan membaca Bismillah, bacaan tersebut sebenarnya telah memenuhi dua rukun asas keimanan iaitu:

1. Aspek Tauhid (Mengakui Keesaan Allah)

Tauhid bermaksud mengesakan Allah SWT (hanya Dia yang berhak disembah dan yang mempunyai kuasa mutlak).

Apabila anda mengucapkan “Bismillah” (Dengan Nama Allah), secara tidak langsung anda telah:

  • Menafikan Kuasa Lain: Secara automatik, anda menafikan sebarang kuasa lain yang boleh menggerakkan atau memberikan keberkatan, selain daripada Allah. Kalau dalam konteks sihir makanan pula, ucapan Bismillah merupakan penafian terhadap kuasa jin atau tukang sihir.
  • Menyeru Nama Yang Paling Agung: Lafaz “Allah” dalam Bismillah adalah Nama Yang Paling Agung. Dengan menyebut nama ini, anda mengesahkan bahawa segala tindakan (seperti makan) hanya boleh terlaksana dengan izin dan pertolongan daripada Pencipta Yang Esa.
  • Kesempurnaan Sifat: Biasanya kita tak sebut Bismillah je, betul tak? Biasanya akan disambung dengan “Bismillahi Ar-Rahmani Ar-Rahim” (Dengan Nama Allah, Yang Maha Pemurah, Maha Penyayang). Ini adalah satu pengakuan kepada sifat-sifat kesempurnaan-Nya. Anda memohon perlindungan dan keberkatan dari sumber kasih sayang dan kekuasaan yang mutlak.

2. Aspek Penyerahan Diri (Tawakal dan Kebergantungan)

Penyerahan diri (Tawakal) bermaksud anda meletakkan kebergantungan sepenuhnya kepada Allah SWT dalam setiap urusan.

Apabila anda mengucapkan “Bismillah”, ia bermaksud:

  • Meminta Izin dan Pertolongan: Lafaz ini bermaksud: Saya memulakan tindakan ini (makan) berbekalkan nama Allah. Anda memohon keizinan dan pertolongan daripada Allah untuk memastikan tindakan itu yakni makan membawa kebaikan dan keberkatan. Ia adalah pengakuan bahawa tanpa kekuatan-Nya, anda tidak mampu berbuat apa-apa.
  • Tujuan yang Benar: Ia meletakkan tindakan yang anda lakukan adalah dibenarkan oleh syarak. Takde orang yang mencuri membaca Bismillah, betul tak? Apabila anda makan dengan membaca Bismillah, anda tidak makan untuk nafsu semata-mata, tetapi untuk mendapatkan tenaga bagi beribadah dan mentaati perintah Allah.
  • Jaminan Perlindungan: Dalam konteks sihir, penyerahan diri melalui bacaan Bismillah adalah tindakan yang paling berkesan. Anda seolah-olah berkata: “Aku menyerahkan makanan ini di bawah jagaan-Mu, ya Allah. Hanya Engkaulah yang boleh memberi manfaat atau mudarat.” Ini adalah perisai paling kuat yang menangkis kejahatan jin sihir yang hanya bergerak dengan izin syaitan.
  • Secara ringkasnya, ucapan Bismillah ni bolehlah kalau anda nak anggap macam perjanjian ringkas yang anda buat dengan Allah sebelum memulakan setiap tindakan, mengikrarkan kebergantungan anda dan menolak segala bentuk syirik.

Maksudnya bila anda makan, amalan mudah ini adalah satu pengisytiharan kepada syaitan bahawa hidangan tersebut adalah milik Allah dan berada di bawah penjagaan-Nya.

Bagaimana Bacaan Bismillah Dapat Melindungi Anda Dari Sihir Makanan

Inilah bagaimana amalan ringkas ini dapat membenteng diri daripada sihir makanan:

1. Menutup Pintu Masuk Syaitan dan Jin

Ini bersandarkan kepada sebuah hadis sahih yang telah diriwayatkan oleh Imam Muslim.

Daripada Jabir bin Abdullah ra, Rasulullah saw telah bersabda: “Apabila seseorang lelaki masuk ke rumahnya lalu dia berzikir kepada Allah (membaca Bismillah) ketika masuk dan ketika makan, Syaitan berkata (kepada kumpulannya), ‘Tiada tempat tinggal bagi kamu dan tiada hidangan malam bagi kamu.” (Sahih Muslim, no hadis 2018a)

  • Penjelasan Hadis: Dari hadis di atas, anda dapat faham apabila anda makan dengan membaca Bismillah terlebih dahulu, maka syaitan tidak dapat makan bersama anda. Begitu jugalah kalau sebaliknya. Rasulullah SAW bersabda, syaitan akan turut serta makan bersama seseorang jika dia tidak menyebut nama Allah sebelum makan.
  • Mekanisma Perlindungan: Apabila anda menyebut “Bismillah” bila nak mula makan, anda secara tidak langsung telah menutup ruang kepada syaitan dan jin (termasuk jin sihir) daripada menyertai hidangan tersebut. Jin sihir, selain daripada masuk ke dalam badan anda, mereka juga ditugaskan untuk menjaga atau menguatkan elemen sihir di dalam makanan. Ini bermaksud sihir yang ditujukan kepada anda melalui makanan tadi tidak akan berfungsi disebabkan anda membaca Bismillah ketika makan tadi.

2. Menyucikan dan Memberkati Makanan

Apa maksud berkat? Secara ringkasnya berkat ni bermaksud kebaikan yang dikurniakan oleh Allah yang akan bertambah dan berkekalan.

Berkat ni dia bukan tentang kuantiti, tetapi ianya adalah tentang kualiti dan juga manfaat yang akan diperolehi dari sesuatu perkara walaupun kuantitinya sikit.

  • Keberkatan dalam masa: Masa yang berkat (walaupun pendek) membolehkan anda menyelesaikan banyak tugas.
  • Keberkatan dalam makanan: Makanan yang berkat (walaupun sedikit) akan mengenyangkan dan memberikan tenaga yang cukup untuk beribadah.
  • Keberkatakan dalam harta: Harta yang berkat (walaupun sederhana) membawa ketenangan dan kegembiraan, dan ia kekal bermanfaat.

Jadi apabila anda membaca Bismillah , ia adalah tindakan memohon keberkatan kepada Allah SWT.

Keberkatan tersebut inshaaAllah dengan izin Allah akan mampu melemahkan unsur-unsur negatif yang mungkin ada pada makanan yang anda nak makan, termasuklah kalau ada sihir-sihir yang nak dihantar kepada anda melalui makanan tersebut.

3. Mengakui Bahawa Anda Milik Allah

Bila anda membaca Bismillah, anda mengaku bahawa segala sesuatu yang wujud ini bermula dan berakhir dengan Allah.

Anda juga mengaku bahawa hanya Allah yang mempunyai kuasa yang mutlak.

Jadi, dengan menyebut nama Allah sebelum makan, anda telah menyerahkan diri, dan makanan yang anda makan, di bawah perlindungan dan penjagaan Allah yang Maha Kuasa.

Ini juga secara langsung anda telah menafikan kuasa mana-mana makhluk atau sihir dapat memudaratkan anda melainkan dengan izin-Nya.

Amalan Menolak Kemudaratan

Bila sebut tentang amalan pendinding diri dari sihir, ianya mestilah melibatkan amalan zikir dan doa yang diajarkan oleh Rasulullah SAW. Kenapa? Sebab apa yang Nabi ajar tu sebenarnya adalah wahyu dari Allah.

Ini berdasarkan kepada ayat 3-4 Surah An-Najm:

Terjemahan: “Dan ia (Muhammad) tidak memperkatakan (sesuatu yang berhubung dengan ugama Islam) menurut kemahuan dan pendapatnya sendiri. Segala yang diperkatakannya itu tidak lain hanyalah wahyu yang diwahyukan kepadanya.”

Jadi di bawah ni saya kongsikan amalan yang sangat saya galakkan untuk anda amalkan secara istiqamah. InshaaAllah amalan ini mampu menjadi pembenteng diri anda dari sihir.

Tambah-tambah pula sihir yang dihantar melalui makanan.

1. Doa Perlindungan Umum Harian (Benteng Asas Tiga Kali)

Doa ini adalah amalan pendinding diri yang sangat kuat.

Kenapa saya kata sangat kuat?

Sebabnya ialah:

  • Hadis yang menerangkan tentang fadhilat doa ini telah diriwayatkan oleh seorang sahabat Nabi yang hebat, iaitu Uthman bin ‘Affan RA.
  • Hadis ni telah direkodkan oleh ulama hadis yang terkemuka iaitu Imam Abu Dawud dan Imam al-Tirmizi.
  • Di dalam kitab Sunan at-Tirmizi pula, Imam al-Tirmizi telah meletakkan status hadis ini sebagai Hasan Sahih., yang menambahkan lagi kekuatan hadis ini.
  • Doa ini bukan sahaja disahihkan oleh Imam at-Tirmizi, malah telah dimasukkan oleh ulama besar seperti Imam an-Nawawi dalam kompilasi zikirnya yang terkenal (Al-Adhkar), dan turut disarankan oleh ulama kontemporari seperti Syaikh Muhammad bin Shalih al-Utsaimin kerana fadhilatnya yang besar dalam memberikan perlindungan daripada sebarang keburukan.

Jom kita sama-sama baca hadisnya:

Daripada Uthman bin Affan ra, Rasulullah saw telah bersabda:

{مَا مِنْ عَبْدٍ يَقُولُ فِي صَبَاحِ كُلِّ يَوْمٍ وَمَسَاءِ كُلِّ لَيْلَةٍ: بِسْمِ اللَّهِ الَّذِي لاَ يَضُرُّ مَعَ اسْمِهِ شَيْءٌ فِي الأَرْضِ وَلاَ فِي السَّمَاءِ وَهُوَ السَّمِيعُ العَلِيمُ ثَلاَثَ مَرَّاتٍ، إِلاَّ لَمْ يَضُرَّهُ شَيْءٌ}

“Tiada seorang hamba pun yang berkata pada waktu pagi setiap hari dan pada waktu petang setiap malam: ‘Dengan nama Allah yang bersama nama-Nya, tiada sesuatu pun yang dapat memudaratkan di bumi dan di langit, dan Dialah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui,’ sebanyak tiga kali, melainkan tiada satu pun yang akan memudaratkannya.”

Macam mana nak amalkan doa ni?

Daripada hadis di atas, secara jelas menyebutkan bahawa cara mengamalkan doa ini ialah pada waktu pagi setiap hari, dan pada waktu petang setiap malam.

1. Waktu Pagi

  • Definisi: Bermula dari terbit fajar (waktu Subuh) sehingga terbit matahari.
  • Waktu Paling Afdal: Selepas solat Subuh sehingga waktu Syuruk (terbit matahari).
  • Fadhilat: Untuk memulakan hari dengan perlindungan penuh daripada Allah SWT dari sebarang musibah, bahaya, atau sihir yang mungkin berlaku sepanjang hari.

2. Waktu Petang

  • Definisi: Bermula dari waktu Asar sehingga terbenam matahari (waktu Maghrib), atau boleh dilanjutkan sehingga masuk waktu Isyak.
  • Waktu Paling Afdal: Selepas solat Asar sehingga waktu Maghrib.
  • Fadhilat: Untuk menutup hari dengan perlindungan penuh daripada Allah SWT dari sebarang bahaya, gangguan jin, atau keburukan yang mungkin berlaku sepanjang malam.

Selain dari waktu yang disebutkan di atas, boleh tak baca doa ni pada waktu lain?

Ya boleh. Dalam kes untuk melindungi diri dari sihir yang dihantar melalui makanan atau minuman ni, anda boleh baca doa ni sebelum makan, kemudian tiupkan pada makanan tersebut sebagai langkah ihtiyat (berjaga-jaga).

Kenapa kena tiup?

Sebab bila anda membaca doa perlindungan dan meniup ke arah makanan, ia bertujuan untuk memindahkan keberkatan dan perlindungan bacaan itu secara fizikal kepada makanan tersebut, seolah-olah mewujudkan lapisan perlindungan pada makanan tersebut sebelum ia memasuki tubuh.

2. Ayat Kursi dan Tiga Qul (Perisai Tambahan)

Selain doa perlindungan harian yang saya kongsikan di atas, ramai ulama dan pengamal ruqyah yang menggalakkan anda untuk mengamalkan ayat-ayat yang dikenali sebagai ayat penjagaan (Ayat al-Hifz).

Ini adalah amalan tambahan yang sangat berkesan, khususnya kalau anda makan di tempat-tempat yang diragui ataupun makanan tu dihidangkan oleh seseorang yang anda syaki mungkin ada niat tak elok pada anda.

1. Ayat Kursi

Kalau sebut ayat kursi, saya yakin yang anda dah tahu sangat dah tentang ayat ni. Dan mungkin anda pun memang ada amalkan ayat tersebut.

Apa kelebihan ayat kursi ni?

Berdasarkan sebuah hadis sahih, kelebihan apabila anda mengamalkan ayat kursi, Allah akan melindungi anda dari gangguan syaitan.

Jom kita sama-sama baca hadisnya.

Hadis ini diriwayatkan oleh sahabat Nabi ﷺ, Abu Hurairah RA:

Abu Hurairah RA telah ditugaskan untuk menjaga harta zakat Ramadan. Suatu malam, datang seorang pencuri. Abu Hurairah menangkapnya, tetapi pencuri itu merayu dilepaskan. Abu Hurairah melepaskannya. Pencuri itu datang lagi pada dua malam berikutnya dan setiap kali merayu untuk dilepaskan. Pada kali ketiga, Abu Hurairah berkata, “Aku mesti membawa engkau mengadap Rasulullah ﷺ.” Pencuri itu berkata, “Lepaskan aku, aku akan ajarkan engkau beberapa kalimah yang akan memberikan manfaat kepada engkau.”Pencuri itu berkata: “Apabila engkau hendak tidur, bacalah Ayat Kursi (Allahulā ilāha illā huwal hayyul qayyūm…) hingga akhir ayat. Sesungguhnya engkau akan sentiasa di dalam pemeliharaan (penjagaan) dari Allah, dan Syaitan tidak akan dapat menghampirimu sehingga pagi.”Setelah Abu Hurairah menceritakan perkara ini kepada Nabi ﷺ, Baginda bersabda: “Dia (Syaitan itu) berkata benar kepadamu, walaupun dia itu seorang pendusta.”

Hadis ini ada direkodkan di dalam kitab Sahih Bukhari, nombor hadis 2311.

Bagaimana amalan ayat kursi dapat melindungi diri dari sihir makanan?

Yang pertama anda kena faham bahawa ayat kursi merupakan ayat yang paling agung di dalam Al-Quran. Dan ia mampu menjadi benteng pertahanan diri kerana kandungan ayatnya yang memuji keesaan, kekuasaan dan penjagaan Allah yang mana tidak ada kuasa yang mampu menandingi kuasa-Nya.

Keagungan ayat kursi ini telah sabit dari sebuah hadis Nabi saw.

Diriwayatkan daripada Ubai bin Ka’ab RA, beliau berkata:

“Rasulullah ﷺ bertanya kepadaku: ‘Wahai Abu al-Munzir (gelaran Ubai bin Ka’ab), adakah engkau mengetahui ayat manakah dari Kitabullah yang paling agung?’

Ubai menjawab: ‘Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui.’

Nabi ﷺ mengulang soalan tersebut. Ubai menjawab: ‘Allahulā ilāha illā huwal hayyul qayyūm (Ayat Kursi).’

Lalu Baginda menepuk dadanya seraya bersabda: ‘Demi Allah, semoga engkau bergembira dengan ilmu pengetahuan yang engkau perolehi itu wahai Abu al-Munzir.'” (Hadis sahih driwiyatkan di dalam Sahih Bukhari (no. 810) dan Sunan Abu Dawud (no. 1460)

Ayat kursi bertindak sebagai pendinding diri melalui 3 cara iaitu:

1. Perlindungan Langsung dari Syaitan

  • Dalil: Di dalam hadis sahih tentang penjaga zakat di atas, telah menyebut secara jelas bahawa syaitan tidak akan dapat menghampiri orang yang membaca Ayat Kursi sehingga pagi.
  • Kaitan dengan Sihir Makanan: Kita semua tahu bahawa jin sihir adalah perantara utama yang menjadi pembantu kepada tukang sihir. Tugas mereka ialah untuk memasukkan sihir di dalam makanan. Jadi bila anda bacakan Ayat Kursi pada makanan:
    • Ia menghalau jin sihir yang bertugas di sekeliling makanan atau yang cuba masuk bersama makanan.
    • Ia mewujudkan ‘zon larangan’ spiritual di mana jin sihir tidak dapat beroperasi, seterusnya akan melemahkan atau membatalkan elemen sihir itu.

2. Penjagaan Mutlak (Hifzhun minallah)

  • Kandungan Ayat: Kalau perhatikan makna Ayat Kursi, terdapat ayat yang mengagungkan kekuasaan Allah seperti “…Walaa ya’uuduhu hifzhuhumaa…” (Tidaklah Dia merasa berat memelihara kedua-duanya (langit dan bumi)…).
  • Mekanisma: Dengan membaca Ayat Kursi, anda telah menyebut tentang keagungan, keesaan dan kekuasaan Allah. Dan anda juga telah meletakkan diri dan segala yang anda masukkan ke dalam tubuh (makanan) di bawah Penjagaan Mutlak (Al-Hifzh) Allah SWT. Ini bermaksud, apabila sesuatu telah berada di bawah penjagaan Allah, tiada makhluk di bumi mahupun di langit, termasuk sihir yang paling kuat, yang boleh menembusinya tanpa izin Allah.

3. Menguatkan Tauhid

Ayat Kursi juga sebenarnya adalah pernyataan Tauhid yang paling hebat, yang secara tidak langsung menentang segala bentuk syirik termasuk sihir.

  • Sihir vs. Tauhid: Sihir wujud kerana tukang sihir telah melakukan perbuatan syirik demi untuk mendapatkan pertolongan jin. Apabila anda membaca Ayat Kursi, anda mengisytiharkan keesaan dan kekuasaan Allah yang melampaui segala kuasa lain, tauhid yang kuat ini secara automatik menolak dan membatalkan asas sihir.

2. Al-Mu’awwizatain (Surah Al-Falaq dan An-Nas)

Selepas Ayat Kursi, ada satu lagi amalan yang ringkas, tapi sangat berkesan sebagai pendinding diri dari sihir jika dilakukan secara istiqamah.

Iaitu Surah Al-Falaq dan Surah An-Nas. Anda tahu tak kedua surah ini digelar dengan Al-Mu’awwizatain? Apa maksud Al-Mu’awwizatain?

Maksud Al-Mu’awwizatain ialah “Dua Surah Perlindungan”.

Sebabnya, kalau anda baca balik, kedua-dua surah ni dimulakan dengan ayat yang berbentuk arahan untuk memohon perlindungan kepada Allah.

Surah Al-Falaq bermula dengan ayat “Katakanlah (wahai Muhammad): “Aku berlindung kepada Tuhan yang menguasai waktu Subuh”.

Manakala surah An-Nas pula dimulakan dengan ayat “Katakanlah (wahai Muhammad); “Aku berlindung kepada Tuhan seluruh manusia”.

Itu dari segi makna ayat. Jom kita tengok dari sudut sebab diturunkan surah ni pula.

Kedua-dua surah ini diturunkan disebabkan oleh kejadian yang sangat spesifik. Iaitu dalam peristiwa di mana Rasulullah saw disihir oleh seorang lelaki Yahudi bernama Labid al-Asam.

Jadi tak hairanlah di dalam sebuah hadis ada menyebut bahawa Rasulullah saw memerintahkan sahabat Baginda untuk mengamalkannya.

Hadisnya seperti berikut:

Diriwayatkan daripada Uqbah bin ‘Amir RA, beliau berkata:

“Rasulullah ﷺ memerintahkan aku untuk membaca Al-Mu’awwizat (Surah Al-Ikhlas, Al-Falaq, dan An-Nas) pada setiap akhir solat.”

Hadis ini boleh dijumpai di dalam Sunan Abi Dawud (No. 1523) dan juga Sunan An-Nasai (No. 1336).

Cara Amalan Untuk Lindungi Diri Dari Sihir Makanan

Sekarang saya nak kongsikan pula dengan anda cara-cara untuk mengamalkan doa dan zikir di atas dalam konteks untuk lindug diri dan terkena sihir makanan.

Sebelum anda menyentuh atau suap makanan, lakukan langkah-langkah di bawah:

  1. Pembersihan Awal: Mulakan dengan membaca Basmalah, iaitu Bismillahi ar-Rahmani ar-Rahim. Atau boleh juga anda baca doa Bismillahillazi la yadurru ma’asmihi syai’un fil ardi wala fis sama’i wahuwas Sami’ul ‘Alim. Fokuskan niat ketika membaca iaitu anda makan untuk memberikan tenaga bagi membolehkan menunaikan ibadah kepada Allah.
  2. Ayat Benteng: Kemudian anda bacakan Ayat Kursi sehingga habis. Ketika membaca, fokuskan niat anda untuk memohon penjagaan dan perlindungan Allah swt jika ada mudharat (sihir) dalam makanan yang dihidang.
  3. Doa Perlindungan: Dan yang terakhir anda bacalah 3 Qul dengan niat yang lebih spesifik iaitu mohon Allah lindung dari kejahatan makhluk, hasad dan juga sihir.
  4. Tawakal: Selepas dah baca semua di atas, teruskan makan dan bertawakal kepada Allah dan yakin bahawa Dia akan melindungi anda dari sebarang mudharat.

Langkah Berjaga-Jaga dan Kewaspadaan Harian

Wanita Muslim sedang memerhatikan atau memeriksa makanan di restoran dengan berhati-hati, menunjukkan kewaspadaan (ihtiyat) dari sihir makanan.

Walaupun amalan doa adalah perisai spiritual yang paling utama, Islam juga mengajar untuk sentiasa berhati-hati dan mengambil langkah usaha (asbab) dalam kehidupan. Kewaspadaan harian dan kebijaksanaan dalam memilih sumber makanan melengkapi perlindungan rohani anda.

1. Pilih Sumber Makanan Yang Diyakini

Pencegahan yang paling mudah adalah mengawal apa yang masuk ke dalam tubuh anda.

  • Berhati-hati dengan Pihak yang Mencurigakan: Sentiasa berhati-hati apabila anda terima hidangan dari orang tak dikenali atau dari pihak yang anda syak mungkin menyimpan dendam atau niat jahat (walaupun kita tidak boleh menuduh tanpa bukti).
  • Kepercayaan di Kedai Makan: Jika makan di luar, pilih kedai makan atau restoran yang dikenali dengan kebersihan, ketelusan, dan diyakini tidak menggunakan bahan yang meragukan.

2. Berhati-hati dan Perhatikan Keadaan Makanan

Sebelum menjamah hidangan, luangkan sedikit masa untuk memerhati keadaan makanan dan minuman.

  • Perubahan Fizikal: Perhatikan tekstur, bau, atau rupa makanan dan minuman. Makanan yang disihir mungkin menunjukkan sedikit perbezaan yang aneh, seperti kehadiran bendasing yang tidak sepatutnya ada, atau bau yang tidak sedap yang tidak selari dengan hidangan tersebut. Atau cuba perhatikan perubahan pada makanan lepas anda bacakan doa-doa yang saya ajar di aats tadi.
  • Elak Sentuhan Asing: Elakkan menerima makanan atau minuman yang kelihatan seperti telah dibuka, disentuh, atau dikendalikan dengan cara yang pelik oleh orang lain sebelum diserahkan kepada anda.

3. Jangan Berlebihan Takut (Keseimbangan Tawakal)

Walaupun perlu berhati-hati, adalah penting untuk tidak membiarkan rasa takut mengganggu kehidupan harian. Kehidupan anda tidak sepatutnya dibelenggu oleh was-was terhadap setiap suapan makanan.

Apa yang patut anda lakukan ialah:

  • Lakukan Usaha, Serahkan Hasil: Lakukan usaha yang diperlukan (iaitu, berhati-hati, berdoa, dan berzikir), kemudian letakkan keyakinan dalam hati bahawa tiada satu pun kuasa di alam ini yang dapat memudaratkan anda melainkan dengan izin Allah SWT.
  • Yakin kepada Penjagaan Allah: Tawakal adalah kunci. Setelah anda memenuhi amalan-amalan perlindungan, yakini bahawa anda berada di bawah lindungan Allah.

Menghilangkan Sihir Makanan: Apa Tindakan Seterusnya?

Selepas membaca gejala dan amalan di atas, dan terdapat syak wasangka yang kuat bahawa sihir telah dihantar melalui makanan atau minuman, anda perlu mengambil tindakan pantas dan rawatan yang betul kerana ianya amat penting.

1. Tindakan Segera Apabila Curiga

  • Hentikan Makan Serta-Merta: Jika anda sedang menjamu hidangan dan tiba-tiba rasa sangat mual, sakit, atau timbul rasa curiga yang kuat, jangan teruskan makan.
  • Muntahkan dan Bersihkan: Usahakan untuk membuang atau memuntahkan sisa makanan tersebut jika anda baru sahaja menjamahnya. Minum air yang banyak untuk membantu membersihkan perut.

2. Rawatan Ruqyah Syar’iyyah

Rawatan yang paling berkesan untuk sihir yang telah masuk ke dalam tubuh adalah melalui Ruqyah Syar’iyyah (Ruqyah yang berpandukan Al-Quran dan Sunnah). Tujuannya adalah untuk keluarkan jin sihir yang berada dalam badan anda.

  • Mencari Perawat: Segera cari perawat syar’i yang diyakini dan beretika. Tujuan utama ruqyah adalah untuk mengeluarkan atau memusnahkan elemen sihir (jin) yang bertapak di dalam badan, yang menyebabkan penyakit fizikal seperti busung.
  • Peranan Air Ruqyah: Biasanya perawat akan suruh anda minum air ruqyah. Tujuan air ini adalah untuk membersihkan dalaman dan melemahkan sihir yang telah dimakan dengan izin Allah.

3. Amalan Susulan dan Pemulihan

Setelah rawatan awal, pemulihan memerlukan komitmen yang berterusan.

  • Penggunaan Minyak Zaitun: Minyak zaitun yang telah dibacakan ayat Ruqyah boleh disapu pada bahagian perut atau diminum sedikit untuk membantu membersihkan sisa-sisa sihir.
  • Istiqamah Amalan Doa: Anda perlu terus memperkukuh diri dengan mengamalkan semua doa pendinding diri (seperti Bismillahillazi La Yadurru dan Tiga Qul) secara istiqamah untuk mengelakkan serangan baharu.

Kesimpulan

Perlindungan diri daripada sihir melalui makanan dan minuman adalah tanggungjawab yang menuntut gabungan usaha fizikal dan spiritual yang berterusan.

Anda telah faham bahawa pencegahan yang paling berkesan bukanlah dengan hidup dalam ketakutan, tetapi dengan menguatkan benteng rohani melalui Basmalah, doa perlindungan Bismillahillazi La Yadurru, dan Ayat Kursi secara istiqamah.

Ingatlah prinsip tawakal: lakukan usaha dengan sebaiknya, dan serahkan sepenuhnya kepada Allah SWT.

Dengan penjagaan yang teliti dan keyakinan yang teguh, insya-Allah, kita akan sentiasa berada di bawah lindungan-Nya.

Jangan Tunggu Bila Terkena Baru Bertindak!

Jika anda mendapati tanda-tanda sihir pada diri atau keluarga, atau jika anda ingin membina perlindungan diri yang lebih kukuh, penting untuk memiliki panduan amalan yang lengkap dan tersusun.

Saya telah menyediakan Ruqyah Healing Tools Kit yang mengandungi panduan lengkap amalan, doa, dan langkah-langkah yang perlu diambil untuk mendinding diri dan memulakan rawatan syar’i. Dapatkan kit panduan ini hari ini untuk melengkapkan pembenteng diri anda.

➡️ [KLIK DI SINI UNTUK DAPATKAN RUQYAH HEALING TOOLS KIT ANDA]

Saya berharap artikel yang saya tulis ini bermanfaat. Jika anda rasa ia penting, mohon jasa baik anda kongsikan artikel ini dengan ahli keluarga dan rakan-rakan yang anda sayangi. Moga perkongsian anda menjadi asbab perlindungan buat ramai orang!

Follow saya di sosial media:
Cara Mengelak Sihir Melalui Makanan dan Minuman: Amalan dan Doa Pendinding Diri

Ada pandangan tentang artikel di atas? Kongsikan pandangan anda dengan pembaca lain.

Scroll to top
error: Maaf. Artikel ini tidak dibenarkan untuk copy!!