Dikemaskini pada 29/12/2020 oleh Ustaz Abdullah
Di dalam Al-Quran, secara jelas Allah s.w.t ada menerangkan tentang satu sihir di mana ia dapat memisahkan, atau mencerai-beraikan hubungan antara suami dan juga isterinya. Allah berfirman di dalam Surah Al-Baqarah, ayat 102 yang bermaksud:
“……Dalam pada itu ada juga orang-orang yang mempelajari dari mereka berdua: Ilmu sihir yang boleh menceraikan antara seorang suami dengan isterinya, padahal mereka tidak akan dapat sama sekali memberi mudarat (atau membahayakan) dengan sihir itu seseorang pun melainkan dengan izin Allah……” (Al-Baqarah: 102)
Selain sihir pemisah yang bertujuan supaya hubungan suami isteri menjadi keruh lalu bercerai, terdapat beberapa jenis sihir lain yang dihantar kepada suami sahaja ataupun isteri sahaja ataupun kedua-duanya atas tujuan tertentu. Hubungan suami isteri yang dimaksudkan di sini adalah hubungan kelamin antara kedua-duanya. Sihir jenis ini dinamakan sihir jerutan/sihir pengikat oleh Syeikh Abdul Wahid Salam Bali.
Dalam artikel kali ini, saya akan kongsikan dengan anda 7 jenis sihir yang dimaksudkan untuk menghalang hubungan kelamin diantara suami dan isteri.
1) Mati Pucuk
Mati pucuk adalah sihir yang dihantar menyebabkan secara fizikalnya suami gagal menunaikan nafkah batin kepada isteri. Ini berlaku disebabkan zakar suami tidak mampu menegang yang secukupnya ataupun tidak mampu menegang langsung sehingga menyebabkan persetubuhan tidak dapat dilakukan.
Tanda untuk anda mengenali sihir ini boleh dilihat pada beberapa ciri antaranya:
- Keadaan mati pucuk tersebut berlaku secara tiba-tiba tanpa sebarang sebab.
- Ianya hanya berlaku ketika suami isteri hendak melakukan persetubuhan sahaja. Waktu lain, zakar suami dapat menegang dengan normal.
- Sihir ini juga akan menyebabkan suami yang menjadi mangsa sihir tadi akan mengalami mimpi-mimpi yang menunjukkan tanda-tanda sihir.
2) Ejakulasi Pramatang
Ejakulasi Pramatang adalah satu keadaan di mana suami yang mampu mencapai ereksi yang sempurna tetapi apabila persetubuhan mahu dilakukan, suami dengan secara tidak sengaja mengalami ejakulasi sebelum persetubuhan seterusnya menggagalkan hubungan seks mereka.
3) Nafsu Terkunci
Suami Atau Isteri Terkunci Nafsu. Dalam keadaan ini, suami berasa seolah-olah tidak ada nafsu ghairah kepada isteri-isterinya yang sah. keadaan ini biasanya berlaku dalam perkahwinan poligami, apabila salah seoarang isteri menyihir suaminya supaya hanya bernafsu kepadanya. Perkara sama boleh berlaku kepada isteri.
4) Sihir Pandangan
Sihir ini akan menyebabkan pasangan kelihatan buruk ataupun berwajah hodoh ketika nak melakukan hubungan kelamin. Perkara ini juga biasa berlaku kepada pasangan yang disihir. Perhubungan komunikasi berlaku seperti biasa tetapi pada ketika perhubungan kelamin mahu dilakukan, suami melihat isteri dengan berwajah hantu, hodoh dan menakutkan sehingga suami berasa takut ataupun tidak lagi berselera meneruskan hubungan intim mereka. Perkara yang sama juga berlaku kepada isteri apabila beliau melihat suaminya dengan wajah yang menakutkan ataupun hodoh.
5) Diganggu Makhluk Seperti Pasangan
Sihir begini disebabkan oleh suami ataupun isteri diganggu oleh makhluk yang menyerupai suami ataupun isteri. Keadaan ini kerap berlaku apabila suami ataupun isteri diganggu makhluk yang menyerupai pasangannya ketika berada di rumah, walaupun pasangannya berada di luar rumah pada masa itu. Terdapat kes jin-jin yang mengganggu dengan menyerupai pasangan itu ia mengadakan hubungan kelamin dengan pasangan yang disihir.
6) Kemampuan Terhalang
Sihir jenis ini berupaya menyebabkan paha isteri terkepit tanpa dapat dikawal sehingga menghalang persetubuhan berlaku secara normal. Contoh yang lain pula adalah suami berasa sukar menembusi alat kelamin isterinya ataupun terasa ada ketulan daging di dalam alat kelamin isterinya.
7) Jin Merosakkan Benih
Jin jahat yang dihantar melalui sihir juga berupaya merosakkan sperma lelaki ataupun ovum perempuan. Pasangan suami isteri yang mengalami masalah ini biasanya sukar mencapai peringkat kehamilan.
Selain itu, ada juga kes di mana jin jahat tersebut telah merosakkan rahim isteri yang telah disihir. Keadaan ini akan mengakibatkan isteri tadi mengalami keguguran secara tiba-tiba ataupun berlakunya pendarahan yang tidak berhenti.
Sihir-sihir seperti yang dinyatakan sebelum ini dihantar atas alasan mahu membalas dendam ataupun bertujuan memisahkan pasangan suami isteri yang menjadi mangsa. Sihir-sihir ini adalah perbuatan yang kejam kerana merosakkan institusi rumahtangga yang menjadi asas kepada pembentukan keluarga muslim yang bahagia.
Daripada sudut perubatan moden, terdapat penyakit mati pucuk yang disebabkan oleh penyakit fizikal seperti kencing manis ataupun kesan sampingan daripada ubat-ubatan moden seperti Beta Blocker. Penyakit seperti ini mudah dikesan kerana biasanya dapat dibuktikan melalui kajian makmal klinikal. Sekiranya pesakit atau mangsa sihir mengalami tanda-tanda fizikal disertai pula oleh tanda-tanda gangguan sihir, maka itu bukannya penyakit fizikal yang dapat dirawat atau diubati melalui kaedah perubatan moden.
Jika anda ada mengalami keadaan yang saya sebutkan di atas, segeralah berjumpa dengan mana-mana perawat Islam untuk diruqyah. Ini kerana jika anda tidak diruqyah agak sukar untuk membezakan apakah anda disihir atau tidak kerana pengalaman saya menunjukkan ada juga tanda-tanda sihir ini yang sama dengan tanda-tanda penyakit fizikal.
Kesimpulan
Saya telah kongsikan dengan anda 7 jenis sihir di mana kesemuanya adalah termasuk dalam sihir pemisah. Saya yakin anda sudah sedia maklum bahawa sihir pemisah dihantar bertujuan untuk menghilangkan jodoh diantara suami dan isterinya sehingga berlakunya perceraian.
Adakah anda menghadapi salah satu daripada 7 keadaan yang saya kongsikan di atas?
Boleh tuliskan pengalaman anda berhadapan dengan 7 jenis sihir ini dan apakah rawatan yang anda sedang lakukan. Tuliskan pengalaman anda tersebut melalui ruangan komen di bawah.
Follow saya di sosial media: