Dikemaskini pada 25/04/2022 oleh Ustaz Abdullah
Sihir adalah satu amalan kejahatan yang telah wujud sejak dari zaman dahulu lagi. Sehingga di dalam Al-Quran pun ada ayat-ayat yang menyentuh tentang perkara sihir ini.
Dari pengalaman saya sendiri, boleh dikatakan sihir ini dilakukan atas pelbagai tujuan. Ada sihir yang digunakan untuk membalas dendam kerana cinta tidak terbalas. Ada sihir yang digunakan oleh isteri untuk menundukkan suami. Ada sihir yang digunakan untuk melariskan jualan dalam perniagaan.
Pendek kata, amalan sihir dilakukan dengan pelbagai tujuan. Tambahan pula, diakhir zaman ini di mana kemuliaan seseorang itu dinilai dari sudut material, maka dengan sihir, manusia yang lemah imannya akan tertipu dengan janji manis jin dan syaitan yang kononnya mampu menjadikan seseorang itu kaya raya hanya dengan mengamalkan sihir.
Memandangkan saya yang boleh dikatakan telah lama menceburkan diri di dalam bidang perubatan Islam ini, kes-kes yang melibatkan sihir banyak yang datang berjumpa saya.
Diantara persoalan yang paling kerap diajukan kepada saya oleh ramai pesakit ialah, “Siapakah manusia yang menyihir mereka?”
Jadi, yang sebenarnya bolehkah kita mengetahui siapa yang menyihir kita?
InshaaAllah dalam artikel kali ini saya akan cuba untuk membahaskan persoalan ini berdasarkan nas-nas samada dari Al-Quran dan juga hadis Nabi s.a.w.
Isi Kandungan Artikel
- Apakah Manfaatnya?
- Adakah Nabi Tahu Diri Baginda Disihir?
- Perawat Ruqyah Tidak Tahu Siapa Penghantar Sihir
- Cara Nak Tahu Diri Disihir
- Ciri-Ciri Tukang Sihir
Apakah Manfaatnya
Sebelum saya jelaskan dengan lebih mendalam tentang bagaimana untuk mengetahui orang yang menyihir anda, saya ada soalan yang ingin diajukan kepada anda.
Saya nak tanya anda,
“Apa kebaikan kalau anda tahu orang yang sihir anda?”
“Adakah anda nak sihir dia balik?”
“Anda nak pergi pukul dia?”
Soalan saya ini adalah berdasarkan realiti sekarang. Realiti yang bagaimana?
Realiti di mana negara kita tidak ada undang-undang yang boleh menghukum tukang sihir dan juga pengupah sihir. Kalau ada pun, tidak dikuatkuasakan.
Maksudnya kalau anda ada bukti sekalipun, sia-sia sahaja. Anda tidak boleh buat apa pun dengan bukti itu.
Sebab bukti perlu dibawa ke mahkamah untuk disabitkan dengan tukang sihir atau pengupah sihir. Sebelum dibawa ke mahkamah, kena disiasat dulu.
Siapa yang nak siasat?
Saya bagi perbandingan mudah.
Kita ambil contoh jenayah membunuh.
Orang yang melakukan pembunuhan, sekiranya ada bukti yang boleh disabitkan dengan sipembunuh dan jika terbukti bersalah, maka ada hukuman yang telah dikuatkuasakan ke atasnya, iaitu hukuman gantung sampai mati.
Sihir juga adalah satu jenayah.
Jika ada hukuman yang dikuatkuasakan kepada pelaku sihir, maka ketika itu adalah sangat wajar anda cari bukti untuk dikaitkan dengan tukang sihir dan juga pengupahnya.
Kalau sebaliknya, tidak ada sebarang manfaat untuk anda tahu siapa yang menyihir anda.
Lebih baiklah sekadar anda tahu samada diri anda disihir atau tidak dan anda usahakan supaya sihir tersebut dapat dikeluarkan.
Kemudian anda berusaha pula supaya sihir tersebut tidak dihantar kepada anda berulang-ulang kali.
Adakah Nabi Tahu Diri Baginda Disihir
Saya tak pasti bagaimana caranya, tetapi ramai yang mengaku kononnya mereka boleh tahu siapa yang menghantar sihir.
Cerita ini saya dapat dari pesakit sihir yang mengadukan masalah mereka kepada saya.
Ada yang kata kononnya mereka disihir oleh isteri nombor dua, ada yang kata disihir oleh keluarga mertua, bekas kekasih dan macam-macam nama lagi yang naik.
Persoalannya, betulkah apa yang diperkatakan itu?
Untuk menjawab persoalan ini, cara terbaik ialah kita kena kembali kepada petunjuk Rasul.
Sebab apa sahaja yang berlaku ke atas diri Nabi adalah merupakan panduan kepada kita sebagai umat.
Kita semua tahu bahawa di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Siti Aishah r.anha telah menceritakan bahawa Rasulullah s.a.w pernah disihir.
Adakah Rasulullah tahu bahawa Baginda telah disihir?
Diawalnya Baginda tidak tahu.
Sehinggalah selepas beberapa hari Rasulullah bermunajat dan berdoa kepada Allah, barulah Allah mengutuskan dua Malaikat untuk memberitahu perkara sebenar.
Malaikat tersebut telah menceritakan dengan terperinci iaitu siapa yang menyihir Nabi, dengan cara apa disihir Baginda dan di mana disembunyikan barang sihir tersebut.
Cuba anda fikir sejenak, walaupun Rasulullah itu adalah penghulu segala Rasul, makhluk paling baik, sempurna dan paling mulia yang pernah diciptakan Allah, tetapi sebagai manusia biasa, Baginda tetap tidak mengetahui persoalan ghaib.
Dalam kes ini, Baginda tetap tidak mengetahui telah disihir. Kerana sihir ini dilakukan secara tersembunyi dengan menggunakan bantuan jin. Hanya selepas diceritakan oleh Malaikat, barulah Baginda tahu.
Dan melalui peristiwa inilah, menjadi sebab (asbabun nuzul) Allah turunkan dua Surah iaitu Surah Al-Falaq dan Surah An-Nas.
Jadi, kalau Rasulullah sendiri pun tidak mengetahui dirinya disihir, bagaimana ada sesetengah orang boleh pulak dengan mudahnya menuduh seseorang telah melakukan sihir.
Ada sesetengah tu yang boleh mengetahui hanya melalui perantaraan gambar atau nama pesakit sahaja.
Bagi saya ini adalah sesuatu yang mengarut. Seolah-olah orang tersebut lebih hebat dari Rasulullah sendiri.
Perawat Ruqyah Tidak Tahu Siapa Penghantar Sihir
Adakah perawat ruqyah tahu siapa penghantar sihir?
Jawapan saya tetap seperti di atas. Jika Rasulullah sendiri tidak tahu, apatahlagi perawat ruqyah lebih-lebih lagi tak tahu siapa penghantar sihir.
Tetapi, adakah mustahil untuk kita tahu siapa penghantar sihir?
Perkara ini tidak mustahil, tetapi dengan syarat ianya mestilah melalui siasatan yang terperinci.
Bagaimana?
Dari pengalaman saya, pernah beberapa kali dalam sesi rawatan, jin sihir yang berada di dalam badan pesakit, mengaku kepada saya, siapa yang menghantarnya untuk melakukan sihir.
Jadi, dari maklumat yang diperolehi inilah, siasatan boleh dilakukan. Tetapi di sini ada beberapa masalah.
Untuk melakukan siasatan terhadap penjenayah sihir, ia memerlukan penglibatan pihak berkuasa.
Bukan itu sahaja, perlu juga ada satu bentuk hukuman yang dikuatkuasakan yang boleh dikenakan ke atas pelaku sihir.
Jika tidak ada dua perkara yang saya sebutkan di atas, sia-sia sahaja kalau anda tahu siapa pelaku sihir. Tidak ada sebarang tindakan atau hukuman yang boleh diambil kerana tidak ada bukti.
Oleh itu, apa yang boleh anda lakukan sekarang ialah dalami ilmu perubatan ruqyah syar’iyyah, terutamanya cara melakukan ruqyah mandiri.
Yang asas pun takpe.
Dan sentiasa lakukan amalan-amalan pendinding diri yang diajarkan oleh Nabi s.a.w. supaya diri kita sentiasa di dalam perlindungan Allah.
Cara Nak Tahu Diri Disihir
Bolehkah kita tahu samada diri kita disihir?
Jawapannya boleh. Ada 2 langkah yang boleh anda lakukan untuk tahu samada diri anda disihir atau tidak. 2 langkah tersebut ialah:
Langkah 1: Cuba anda semak pada diri anda, ada atau tidak gejala-gejala di bawah. Sebab berdasarkan pengalaman saya, seseorang yang mengalami gangguan jin atau sihir, akan mempunyai gejala-gejala di bawah:
- Susah tidur malam tanpa sebab.
- Sering terjaga ditengah malam tanpa sebab.
- Selalu mimpi menakutkan.
- Selalu mimpi melihat makhluk halus.
- Selalu mimpi binatang.
- Selalu mimpi terjatuh dari tempat tinggi.
- Selalu mimpi mendukung atau menyusukan bayi.
- Selalu mimpi kawasan kubur.
- Selalu mimpi benda-benda kotor.
- Selalu mimpi diancam oleh seseorang dengan benda tajam.
- Selalu sakit kepala tanpa sebab.
- Selalu rasa berdebar-debar tanpa sebab.
- Selalu rasa gelisah dan takut tanpa sebab.
- Selalu sakit dibahagian belakang terutamanya disepanjang tulang belakang.
- Rasa malas untuk mengerjakan ibadah terutamanya solat.
- Rasa malas untuk berzikir dan membaca Al-Quran.
Jika anda tidak mengalami gejala-gejala di atas, inshaaAllah tiada apa yang perlu dirisaukan. Tetapi jika ada, anda teruskan dengan langkah yang kedua.
Langkah kedua ialah cuba pasang bacaan ruqyah dan dengar. Saya sarankan juga untuk sediakan segelas air ketika mendengar bacaan ruqyah supaya air tersebut juga terus diruqyah.
Ketika mendengar bacaan ruqyah, sekiranya anda mengalami sebarang tindakbalas, itu menandakan yang anda mengalami gangguan jin.
Kemudian anda minum pula segelas air yang telah disediakan ketika anda mendengar bacaan ruqyah tadi. InshaaAllah, jika benar anda terkena sihir, anda akan muntah selepas minum air yang telah diruqyah tersebut.
Cubalah amalkan dan lihatlah kesannya.
Ciri-Ciri Tukang Sihir
Kadang-kadang, berlakunya sihir ke atas diri anda bukan disebabkan ada orang yang hantar.
Tapi disebabkan anda sendiri yang pergi berjumpa dengan tukang sihir untuk dapatkan rawatan. Jadi nasihat saya, zaman sekarang ini, nak dapatkan rawatan, kena pilih perawat yang betul.
Di sini saya kongsikan dengan anda ciri-ciri rawatan yang sebaiknya anda elakkan supaya anda tidak tersilap langkah.
Saya tidaklah mengatakan bahawa semua ciri-ciri di bawah ini pasti dilakukan oleh tukang sihir, tetapi sebaiknya anda elakkan untuk lebih selamat.
1) Bertanya kepada pesakit namanya dan juga nama ibunya.
2) Meminta kepada pesakit supaya disediakan haiwan untuk tujuan disembelih. Ini agak meragukan kerana di dalam amalan perubatan Islam tidak perlu pun pesakit menyediakan haiwan untuk disembelih. Alasannya ialah untuk tujuan disembelih dan disedekahkan. Tetapi sebenarnya jika hendak digunakan untuk bersedekah tidak semestinya haiwan. Benda lain pun boleh. Jadi nasihat saya jangan berubat dengan perawat yang menggunakan kaedah begini. Dikhuatiri haiwan itu sebenarnya hendak dipersembahkan sebagai korban kepada jin belaan mereka.
3) Membaca jampi serapah, kadang-kadang dalam bahasa yang tidak dapat difahami, dan kadang-kadang bacaan tersebut dibaca dengan perlahan. Tidak ada sebarang suara yang dapat didengari, hanya mulut yang terkumat-kamit. Jika apa yang dibaca itu ialah Al-Quran, bacaannya mestilah dibaca dengan kuat supaya didengari oleh jin yang berada di dalam badan pesakit.
4) Kadang-kadang perawat dapat meneka dengan tepat apa masalah atau penyakit yang dihadapi oleh anda
. Perawat yang begini juga anda perlu berhati-hati kerana kemungkinan dia menggunakan jin untuk membantunya dalam sesi rawatan.
5) Meminta kepada pesakit supaya diberikan sesuatu yang merupakan milik pesakit kononnya untuk tujuan perubatan. Contohnya perawat meminta anda menyediakan baju, atau pakaian dalam, atau sikat, atau kuku dan sebagainya. Pastikan anda tidak mengikuti apa yang disuruh oleh perawat tersebut.
6) Perawat memberikan sesuatu kepada pesakit dan meminta supaya anda menanam barang tersebut dikawasan rumah. Alasannya ialah untuk dijadikan pendinding dari jin. Hakikatnya adalah tidak benar sama-sekali.
7) Memberikan sesuatu yang dibungkus dengan kain kepada anda. Dan perawat meminta anda menyimpan dan membawanya ke mana sahaja. Ada sesetengah perawat juga akan menyuruh supaya anda berikir sambil memegang bungkusan tersebut. Ini juga perlulah anda berhati-hati.
Inilah tujuh ciri-ciri yang biasanya terdapat pada diri seorang tukang sihir dan juga bomoh.
Apa yang perlu anda faham di sini ialah kaedah perubatan Islam hanyalah menggunakan bacaan Al-Quran dan juga zikir-zikir yang diajarkan Nabi s.a.w.
Di dalam perubatan Islam juga sepatutnya tidak dilakukan perbuatan-perbuatan yang boleh menimbulkan keraguan di dalam kaedah rawatannya. Jika ada, nasihat saya tinggalkanlah.
Baiklah, semoga dengan perkongsian artikel ini, dapat membantu dan memberikan manfaat kepada anda keseluruhannya.
Anda Dapat Sesuatu?
Jika anda rasa artikel ini bermanfaat, sila kongsikan dengan rakan-rakan dan juga orang yang anda sayangi. Anda juga boleh melanggan artikel terbaru saya terus melalui emel. Klik di sini untuk melanggan.
Nak Kesan Sihir Kena Jumpa Perawat?
Siapa cakap? Anda boleh lakukan sendiri. Nak belajar caranya? Dapatkan video percuma di bawah di mana saya ajar teknik-teknik untuk mengesan sihir di dalam badan anda.
Hanya isikan nama & emel anda dalam borang di bawah.
Follow saya di sosial media: