Dikemaskini pada 20/03/2022 oleh Ustaz Abdullah
Susuk adalah satu amalan yang sudah terkenal sejak turun temurun lagi. Bahkan, amalan ini telah pun dipraktikkan sejak dari zaman Nabi Muhammad SAW lagi.
Cuma di zaman Nabi tak dipanggil susuk, tetapi dipanggil ‘tiwalah‘.
Sepertimana di dalam sebuah hadis Nabi SAW:
“Sesungguhnya jampi, jimat dan ‘tiwalah’ adalah kesyirikan”. (Hadis riwayat Ibnu Majah & Ahmad)
Apakah susuk?
Sepertimana yang semua sudah sedia maklum, susuk adalah suatu barang yang ditanam di dalam bahagian tertentu ditubuh badan manusia.
Biasanya barang-barang logam seperti jarum emas dan perak dan sebagainya.
Dan biasanya pemakaian susuk ini adalah disebabkan oleh tujuan-tujuan tertentu seperti nak nampak cantik, nak jadi kebal, nak jadi kuat, nak nampak muda dan sebagainya.
Dalam artikel kali ini, saya nak kongsikan dengan anda apakah cara yang boleh dilakukan untuk mengeluarkan kembali susuk yang ditanam itu.
Isi kandungan artikel:
Hukum Memakai Susuk
Susuk juga bukan boleh dipakai sesuka hati. Kerana ianya tertakluk kepada hukum-hukum fiqh. Jadi bagaimana hukum pemakaian susuk sebenarnya?
Boleh atau tidak?
Lepas tu kalau lelaki pakai susuk dari emas, boleh atau tidak?
Secara asasnya, diantara kaedah yang diletakkan oleh para fuqaha’ ialah kaedah “Asal sesuatu perkara adalah harus”.
Ini disebutkan oleh beberapa ulama di dalam kitab-kitab mereka seperti Imam Suyuthi yang berkata:
“Asal bagi sesuatu perkara adalah harus”. (Rujuk Al-Asybaah wal-Nazhair, Al-Suyuthi (1/133)
Jadi berdasarkan kepada kaedah di atas, ia menunjukkan bahawa hukum asal bagi sesuatu perkara adalah harus. Termasuklah juga dalam soal pemakaian susuk.
Tetapi, kaedah yang disebutkan oleh Imam Suyuthi itu tidaklah terhenti setakat itu. Kerana kaedah yang sepenuhnya ialah:
“Asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut)“
Jika kaedah ini digunakan dalam kes pemakaian susuk, maka kita dapat faham bahawa hukum asal pemakaian susuk adalah harus. Tetapi hukumnya boleh bertukar menjadi haram, wajib dan sebagainya, bergantung pada niat dan keadaan sipemakai.
Pemakaian susuk boleh menjadi haram bahkan boleh membawa kepada syirik apabila pemakainya meyakini bahawa susuk itu boleh memberikan manfaat kepada dirinya.
Kemudian pemakaiannya pula dilakukan dengan menggunakan kaedah sihir dan juga perantaraan jin.
Pemakaian susuk boleh menjadi wajib sekiranya hanya rawatan dengan menggunakan susuk sahaja satu-satunya cara yang ada untuk merawat satu-satu penyakit, maka ketika itu wajiblah menggunakan susuk kerana nak menjaga nyawa.
Tapi setakat yang saya tahu, pemakaian susuk ini kebanyakkannya adalah dengan menggunakan kaedah sihir dengan tujuan untuk menaikkan seri wajah, kebal dan sebagainya.
Cara Mengeluarkan Susuk
Cara mengeluarkan susuk yang hendak saya kongsikan dengan anda ini adalah susuk yang dipakai dengan menggunakan kaedah sihir. Maksudnya ada perantaraan makhluk jin.
Tapi jika anda pernah mengamalkan pemakaian susuk dengan menggunakan kaedah sihir, pertama sekali yang perlu anda lakukan ialah bertaubat kepada Allah dari perbuatan tersebut.
Menurut Imam Nawawi Rahimahullah di dalam kitabnya Riyadhus Salihin, apabila maksiat yang dilakukan oleh seseorang itu tidak berkait dengan hak orang lain, maka ada tiga syarat yang perlu dipenuhi. Jika tidak taubat yang dilakukan tidak sah.
Tiga syarat tersebut ialah:
- Menghentikan perbuatan maksiat tersebut.
- Menyesali perbuatan maksiat yang dilakukan.
- Bertekad untuk tidak mengulangi perbuatan maksiat tersebut selama-lamanya.
Jika perbuatan maksiat yang dilakukan itu ada kaitan dengan seseorang, taubatnya mestilah memenuhi empat syarat, iaitu tiga syarat yang saya sebutkan di atas, ditambah dengan satu lagi syarat iaitu:
- Mestilah meminta maaf dari pihak orang yang terlibat.
Contohnya katakanlah maksiat yang dilakukan ada kaitan dengan harta orang tersebut, maka hartanya hendaklah dikembalikan.
Faham ye.
Selepas anda telah bertaubat kepada Allah dari perbuatan memakai susuk tadi, anda bolehlah cuba kaedah di bawah iaitu untuk mengeluarkan susuk yang anda pakai.
Cara-caranya ialah:
1) Sediakan sebotol air mineral (kuantiti air bergantung pada keperluan anda) dan kemudian anda jampikan air tersebut dengan Surah al-Kahfi. Anda sangat digalakkan untuk menjampi air tersebut selepas solat, yakni dalam keadaan suci dan tenang.
2) Niatkan di dalam hati bahawa setiap ayat al-Quran yang anda bacakan sebentar lagi ialah untuk meruqyah air. Kuatkan keyakinan di dalam hati anda bahawa dengan izin Allah, air tersebut boleh menjadi sebab agar penyakit anda sembuh.
3) Kemudian tuangkan air yang telah dijampi tadi ke dalam gelas untuk diminum.
4) Dekatkan gelas yang berisi air tadi ke mulut anda. Kemudian anda berdoalah dengan doa berikut:
“Ya Allah ya Tuhanku, sesungguhnya air ini adalah makhluk-Mu. Maka Engkau perkuatkanlah manfaat yang terdapat di dalamnya dengan bacaan Al-Quran yang akan aku bacakan padanya. Sehingga dengan izin Engkau ya Allah, air ini mampu menjadi sebab untuk mengeluarkan segala-susuk yang ada ditubuhku. Dan dengan manfaatnya dapat mengeluarkan semua jin-jin yang berada di dalam tubuhku.”
5) Selesai anda berdoa, anda tiupkan pada air di dalam gelas tadi. Kemudian bacalah bismillah dan minum air tersebut dengan segera.
Tanda Susuk Dah Keluar
Selepas anda amalkan cara di atas selama beberapa hari, apa tandanya susuk tersebut dah keluar? Mesti anda tahukan. Cara untuk mengetahuinya adalah mudah sahaja.
Lihatlah balik pada tujuan anda memakai susuk tersebut.
Sekiranya anda memakai susuk dengan tujuan untuk nak bagi orang nampak anda cantik, selalu puji anda, maka selepas susuk dikeluarkan, maka akan hilanglah kecantikan anda. Anda akan hilang segala pujian dari orang yang tertarik dengan kecantikan anda.
Dan begitulah juga yang akan berlaku sekiranya anda memakai susuk dengan tujuan-tujuan yang lain.
Sebab itulah, biasanya apabila seseorang itu memakai susuk dengan kaedah sihir, bukan mudah untuk dia tinggalkan amalan memakai susuk itu.
Pertamanya sebab dia tahu apabila dia mengeluarkan susuk itu, maka manfaat yang dia dapat hasil dari pemakaian susuk itu akan hilang.
Yang kedua, biasanya orang yang memakai susuk akan ada perjanjian dengan tukang sihir.
Contohnya, jika susuk ini dibuang, ada perkara buruk yang akan berlaku. Ini adalah satu tipudaya yang dilakukan oleh tukang sihir supaya mereka yang memakai susuk ini untuk terus hidup dalam keadaan melakukan syirik kepada Allah dengan sebab pemakaian susuk tadi.
Anda Dapat Sesuatu?
Jika ya, jangan lupa untuk kongsikan artikel yang anda baca ini dengan rakan-rakan anda yang lain. Anda juga boleh melanggan artikel terbaru saya terus melalui emel. Klik di sini untuk melanggan.
Follow saya di sosial media: