Anda tengah was-was ke samada dalam badan ada sihir atau tak? Tidak lagi bila anda dapatkan 2 video percuma ni. Klik di sini.

Jangan Tinggalkan 8 Amalan Ini Ketika Anda Sedang Haid.

8 amalan ketika wanita datang haid

Dikemaskini pada 21/11/2020 oleh Ustaz Abdullah

Haid atau datang bulan, adalah satu istilah yang merujuk kepada satu fisiologi tetap dan teratur yang akan dialami oleh golongan wanita yang berada dalam lingkungan umur yang berupaya untuk mengandung.

Semasa dalam tempoh kedatangan haid ini, wanita akan mengalami kehilangan darah. Keadaan ini disebabkan oleh proses haid yang akan mengeluarkan darah, mukus dan juga sel-sel yang sudah mati.

Dari sudut agama pula, apabila wanita berada dalam tempoh haid, ada ibadah-ibadah tertentu yang dilarang untuk mereka melakukannya. Contohnya seperti solat, berpuasa, membaca Al-Quran dan juga lain-lain.

Tetapi, agak malang apabila ada sesetengah wanita yang menganggap bahawa di dalam tempoh haid ini mereka dilarang sama sekali untuk melakukan apa sahaja ibadah, sehingga menjadikan mereka lalai.

Dan keadaan begini akan memungkinkan mereka untuk diganggu oleh jin. Malah, dalam keadaan beginilah sihir akan lebih mudah dilakukan ke atas mereka. Jadi tak hairanlah mengapa dari pengalaman saya, wanita adalah golongan yang lebih ramai mengalami gangguan jin berbanding golongan lelaki.

Di dalam artikel ini, saya akan kongsikan dengan anda 8 amalan yang sepatutnya anda lakukan ketika anda berada dalam tempoh kedatangan haid.

Hikmah Haid

Sebelum saya nak berkongsi dengan anda apakah 8 amalan yang perlu anda amalkan ketika dalam tempoh haid, saya rasa elok kalau anda juga tahu apakah hikmah Allah menjadikan proses tersebut kepada anda.

Sebenarnya ada empat hikmah disebalik berlakunya proses kedatangan haid tersebut, iaitu:

Pertama: Sebagai latihan kepada wanita sebelum mereka menjadi isteri. Apabila seorang wanita menjadi isteri, dia akan melakukan persetubuhan bersama suaminya. Dan ada ketikanya apabila berhubungan, wanita terpaksa menghadapi cairan sperma yang keluar dari kemaluan suami.

Jadi disebabkan sudah terbiasa dengan darah haid yang datang setiap bulan, wanita tidak akan merasa geli sekiranya terpaksa berhadapan dengan air mani suami yang lebih menjijikkan.

Kedua: Dapat melatih seorang wanita untuk lebih rajin, tidak berasa jijik dan cepat melakukan kerja. Apabila seorang wanita apabila bergelar isteri, dia bukan saja akan menguruskan suaminya, bahkan menguruskan anak-anaknya seperti membersihkan kotoran dan najis-najisnya.

Oleh kerana wanita telah dilatih untuk menguruskan sendiri darah haidnya, maka apabila membersihkan kotoran dan najis anak-anaknya, mereka tidak mudah merasa jijik dan dapat menyelesaikan kerja tersebut dengan cepat.

Ketiga: Menjadi makanan kepada janin apabila berada di dalam rahim. Ini kerana janin di dalam rahim tidak dapat makan seperti bayi yang sudah dilahirkan. Dan siibu pula tak dapat nak memberikan makanan.

Oleh kerana itu, Allah s.w.t yang Maha Bijaksana telah menjadikan daripada kaum wanita proses pengeluaran darah yang berguna sebagai zat makanan kepada janin ketika berada di dalam rahim ibu. Subhanallah.

8 Amalan Ketika Sedang Haid

Berdasarkan pengalaman saya, kebanyakan pesakit perempuan yang datang berubat akan mengadu bahawa gangguan jin atau sihir yang mereka akan alami akan lebih terasa kesannya ketika mereka di dalam tempoh haid.

Kenapa?

Sebabnya mereka mengakui ketika dalam tempoh tersebut, mereka agak kurang menekankan soal-soal ibadah. Saya faham. Mungkin mereka menyangka ketika dalam haid, nak buat amal ibadah ini agak terhad.

Tetapi betulkah begitu?

Jadi, di sini saya akan kongsikan dengan anda sepuluh amalan yang boleh anda lakukan ketika dalam tempoh haid.

Mendengar Bacaan Al-Quran

Yang pertama yang boleh anda lakukan ialah dengan mendengar bacaan ayat-ayat Al-Quran. Anda boleh mendengarnya samada dengan memasang CD, radio, ataupun boleh mendengar melalui youtube.

Kelebihan apabila anda mendengar bacaan Al-Quran ialah ianya tidak akan mengganggu rutin harian anda. Tambahan pula, dengan kecanggihan telefon sekarang, anda boleh mendengar bacaan Al-Quran hanya melalui aplikasi percuma. Hanya perlu install dan dengar.

Membaca Tafsir Al-Quran

Amalan kedua yang boleh anda lakukan walaupun ketika sedang haid ialah dengan membaca tafsir Al-Quran dan mentadabburnya. Dengan cara ini, tempoh haid anda tidak terbuang begitu sahaja dan akan menjadi waktu yang bermanfaat.

Kebiasaannya kita hanya membaca Al-Quran dan jarang sangat untuk melihat terjemahannya, apatahlagi untuk memahami apa kehendak di dalam ayat yang sedang kita baca. Jadi, gunakanlah tempoh haid ini dengan sebaik-baiknya.

Perbanyakkan Zikir

Zikir bermaksud ingat. Zikrullah bermaksud mengingati Allah. Jadi, apabila anda sedang berada dalam tempoh haid, inilah peluang yang sepatutnya anda gunakan untuk memperbanyakkan zikir.

Ada banyak zikir yang boleh anda amalkan, contohnya seperti:

  • Istighfar (Astaghfirullah)
  • Tasbih (subhanallah)
  • Tahmid (Alhamdulillah)
  • Takbir (Allahu Akbar)
  • Laa Ilaaha Illallaahu Wahdahuu Laa Syariika Lah, Lahul Mulku Wa Lahul Hamdu Wa Huwa’Alaa Kulli Syai’in Qadhr.

Membaca Al-Ma’thurat

Apakah Al-Ma’thurat?

Al-Ma’thurat ialah himpunan wirid dan juga doa harian yang merupakan amalan Rasulullah s.a.w. Amalan membaca Al-Ma’thurat ini juga dikenali sebagai zikir pagi dan petang.

Ini kerana Al-Ma’thurat mempunyai zikir dan doa yang khusus ketika di waktu pagi dan petang.

Walaupun di dalam Al-Ma’thurat terdapat bacaan daripada ayat-ayat Al-Quran, tetapi anda masih boleh membacanya dengan meniatkannya sebagai membaca zikir.

Sebagai contoh, katakanlah anda selalu mengamalkan membaca ayat kuris dan juga tiga Qul sebelum tidur, ketika itu anda bukan niat membaca Al-Quran. Ketika itu anda niat membacanya sebagai zikir sebelum tidur. Ataupun mungkin anda niatkan membacanya sebagai doa pendinding diri.

Jadi, apabila anda niatkan sebagai membaca zikir, maka ketika itu dibolehkan membacanya walaupun ianya sebahagian dari Al-Quran.

Berselawat Ke Atas Nabi

Berselawat ke atas Nabi s.a.w juga sepatutnya menjadi amalan yang mesti anda lakukan ketika sedang di dalam tempoh haid. Berselawat ke atas Baginda merupakan suruhan dari Allah dan juga mempunyai fadhilat yang besar.

Allah s.w.t telah berfirman di dalam Surah Al-Ahzab ayat 56 yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah dan para Malaikat-Nya berselawat ke atas Nabi. Wahai orang-orang yang beriman, berselawatlah kamu ke atas Nabi dan ucapkanlah salam ke atasnya” (Al-Ahzab ayat 56)

Manakala hadis yang menceritakan kelebihan berselawat pula ialah:

Dari Anas bin Malik r.a. berkata Rasulullah s.a.w. telah bersabda : “ Barangsiapa yang berselawat kepadaku satu kali, maka Allah berselawat kepadanya sepuluh kali dan akan dihapuskan daripadanya dosa dan diangkat baginya sepuluh darjat.” [Sila rujuk HR An-Nasaie-1271 ]

Abdullah ibnu Masud r.a. berkata, Rasulullah s.a.w. telah bersabda : “Seutama-utama manusia dengan aku di hari kiamat ialah orang yang paling banyak berselawat kepadaku.” [Sila rujuk HR At-Tirmizi-0483 dan beliau berkata hadith ini adalah hasan Gharib. Riyadus Salihin -1395 ]

Dan masih banyak lagi hadis yang menceritakan kelebihan berselawat ini.

Ketika anda sedang haid inilah peluang keemasan anda untuk berselawat ke atas Nabi dengan sebanyak-banyaknya.

Berdoa

Doa adalah amalan yang paling mudah sekali untuk anda lakukan ketika anda sedang haid. Ini kerana doa boleh dilakukan pada bila-bila masa dan dalam bahasa apa pun.

Bahkan berdoa adalah suatu amalan yang disuruh di dalam agama. Allah s.w.t telah berfirman di dalam Surah Ghafir ayat 60 yang bermaksud:

“Berdoalah kamu kepada-Ku, nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu”. (Surah Ghafir ayat 60)

Di sini saya nak kongsikan juga dengan anda 5 waktu di mana doa mustajab.

5 Waktu Doa Mustajab

1) Waktu Diantara Azan dan Iqamah

Biasanya kalau waktu bila di masjid sedang melaungkan azan, apa yang sedang anda buat masa itu? Tambahan pula kalau masa itu anda sedang datang haid.

Mungkin masa itu anda sedang masak, atau basuh baju, atau mengemas rumah dan sebagainya.

Apakata lepas ini anda ubah. Walaupun anda sedang dalam tempoh haid, gunakan waktu diantara azan dan iqamah ini untuk berdoa kepada Allah.

Kerana Rasulullah s.a.w telah bersabda yang bermaksud:

“Doa diantara azan dan iqamah tidak tertolak” (Hadis riwayat at-Tirmidzi dan Abu Daud)

2) Semasa Hujan Turun

Kerja rumah dah siap, diluar pula sedang hujan. Sejuk. Aktiviti paling best waktu hujan ini ialah tidur 🙂

Betul tak?

Sebenarnya ketika hujan sedang turun juga adalah waktu di mana doa sangat mustajab. Dan ketika inilah waktu yang anda tak boleh sia-siakan dengan hanya tidur.

Tapi, bagaimana pula cara untuk berdoa ketika sedang haid?

Secara umumnya, cara untuk berdoa ketika anda sedang haid sama sahaja seperti ketika anda bukan dalam haid. Pastikan anda melakukan adab-adab ketika berdoa seperti yang diajar oleh Nabi s.a.w.

Dengan menjaga adab-adab berdoa, inshaaAllah doa anda akan menjadi lebih mustajab.

3) 2 Waktu Pada Hari Jumaat

Dalam Islam, kita tahu bahawa hari Jumaat adalah penghulu segala hari. Maka di dalamnya mempunyai pelbagai kelebihan yang dikurniakan Allah.

Salah satunya adanya waktu yang doa mustajab.

Rasulullah s.a.w telah bersabda yang bermaksud:

“Hari Jumaat ada 12 jam yang mana tiada seorang hamba Muslim berdoa padanya kecuali akan diberikan (dimakbulkan), maka carilah ia dihujung waktu selepas Asar”. (Hadis Riwayat Abu Daud)

Selain itu, satu lagi waktu yang dianggap mustajab oleh para ulama adalah ketika waktu imam duduk di mimbar sehingga selesai solat Jumaat.

Daripada Abu Burdah bin Abu Musa al-Asy ‘ari RA katanya bahawa Abdullah bin Umar RA berkata : Adakah engkau pernah mendengar ayahmu menceritakan tentang Rasulullah SAW melakukan solat Jumaat? Lalu Abu Burdah menjawab, “Ya” aku pernah mendengar ia berkata, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Masa yang paling mustajab itu ialah ketika bermulanya duduk imam di atas mimbar sehinggalah selesai solat Jumaat”.(Hadis Riwayat Muslim)

4) Sepertiga Malam Terakhir

Inipun satu waktu yang ternyata ramai yang tahu di mana waktu makbulnya doa. Sekiranya anda memang bangun untuk melakukan solat tahajjud, tidak sepatutnya adna tinggalkan waktu tersebut apabila anda datang haid.

Ini kerana anda boleh bangun pada waktu tersebut untuk berdoa kepada Allah.

Dari Jabir bin ‘Abdillah, Rasulullah SAW bersabda,

Di malam hari terdapat suatu waktu yang tidaklah seorang muslim memanjatkan doa pada Allah berkaitan dengan dunia dan akhiratnya bertepatan dengan waktu tersebut melainkan Allah akan memberikan apa yang ia minta. Hal ini berlaku setiap malamnya.” (Hadis Riwayat Muslim)

5) Ketika Waktu Sahur Dan Berbuka Puasa

Ini pun waktu di mana kebayakan wanita akan abaikan kerana mereka sedang haid dan tidak dapat menunaikan ibadah puasa.

Ingat, walaupun anda tidak dibenarkan untuk berpuasa, tetapi anda masih dibolehkan untuk berdoa kepada Allah. Dan kedua waktu ini adalah waktu di mana doa akan dimakbulkan.

Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud : “Ada tiga doa yang tidak tertolak. Doanya orang yang berpuasa ketika berbuka, doanya pemimpin yang adil dan doanya orang yang dizalimi.” (Hadis Riwayat At Tirmidzi)

Membaca Bahan Bacaan Agama

Adakah anda seorang yang suka membaca? Apakah bahan bacaan yang paling anda gemari?

Tidak kira apa buku yang anda minati, minat membaca juga boleh dipraktikkan ketika anda sedang dalam tempoh haid. Tetapi apakata ketika ini anda lebihkan membaca buku-buku agama. Tidak kiralah apa sahaja topik, tetapi biarlah ianya dalam ruang lingkup agama.

Anda boleh membaca buku dari topik sirah, ibadah, akidah dan sebagainya. Dengan membaca buku-buku agama, pengetahuan agama anda akan bertambah.

InshaaAllah dengan ilmu agama tersebut, hati anda tidak akan lalai kerana apabila hati lalai, ketika itulah jin dan syaitan akan mempunyai peluang untuk mengganggu anda.

Mendengar Kuliah Agama

Dengan kecanggihan teknologi, segalanya anda boleh dapat hanya melalui hujung jari.

Kenapa tidak menggunakan kelebihan tersebut untuk memanfaatkan waktu haid anda dengan mendengar kuliah-kuliah agama yang boleh didapati dengan banyaknya diinternet.

Tambahan ketika banyak tempat telah dikuatkuasakan PKPB, kuliah-kuliah agama yang banyak diinternet dapat membantu menambah pengetahuan ilmu, mendidik hati, tanpa perlu anda keluar dari rumah.

Siapa Kata Waktu Haid Tak Dapat Nak Buat Ibadah?

Dengan apa yang telah saya kongsikan dengan anda di atas, sebenarnya masih banyak lagi amal ibadah yang boleh anda lakukan walaupun ketika anda sedang haid.

Apa yang saya kongsikan di atas juga adalah bukti bahawa sebenarnya gangguan jin banyak berlaku ketika seorang wanita itu sedang haid, bukanlah disebabkan mereka sukar untuk beribadah, tetapi adalah disebabkan mereka sendiri yang mengambil peluang untuk menjauhkan diri dari ibadah atas alasan sedang haid.

Mungkin sebelum ini anda tidak tahu, saya harap selepas anda baca artikel ini, waktu haid anda akan menjadi lebih bermanfaat apabila diisi dengan aktiviti ibadah, inshaaAllah.

Anda Ada Yang Ingin Dikongsikan?

Setelah anda selesai membaca artikel ini, apakah amalan-amalan di atas yang memang anda telah praktikkan ketika anda dalam tempoh haid?

Atau adakah anda mempunyai amalan-amalan lain yang mungkin saya tidak kongsikan dalam artikel ini?

Jika ada, boleh anda tuliskan diruangan komen? Mudah-mudahan dapat menambahkan lagi manfaat kepada pembaca blog ini.

Follow saya di sosial media:
Jangan Tinggalkan 8 Amalan Ini Ketika Anda Sedang Haid.
Scroll to top
error: Maaf. Artikel ini tidak dibenarkan untuk copy!!