Anda tengah was-was ke samada dalam badan ada sihir atau tak? Tidak lagi bila anda dapatkan 2 video percuma ni. Klik di sini.

Nak Sembuh? Buat 3 Perkara Ini

Dikemaskini pada 09/03/2021 oleh Ustaz Abdullah

Di dalam Islam sememangnya kita dituntut untuk berikhtiar mencari penawar untuk sesuatu penyakit. Keharusan berikhtiar ini dapat dilihat kepada hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah, bahawa Rasulullah s.a.w telah bersabda yang bermaksud:

“Allah tidak akan menurunkan sesuatu penyakit melainkan Dia akan menurunkan ubatnya”. Hadis riwayat Al-Bukhari, no 5678.

Imam al-Khattabi ketika mensyarahkan hadis ini menyatakan ia menunjukkan sabitnya ilmu perubatan dan keharusan mendapatkan rawatan bagi mengubati penyakit serta sebagai isyarat kesakitan dan kesembuhan itu semuanya daripada Allah SWT.

Shaikh Musa Shaheen pula memberi pandangan dengan menyatakan yang dimaksudkan dengan ‘Allah akan menurunkan ubat di bumi’ ialah Allah menurunkan ilmu berkaitan perubatan dan rawatan kepada manusia di muka bumi ini.

Dan termasuk juga dalam ikhtiar berubat ini ialah usaha mendapatkan rawatan untuk menyembuhkan penyakit yang diakibatkan oleh gangguan jin ataupun sihir.

Tetapi dari pengalaman saya, ada beberapa perkara yang penting di mana pesakit terlepas pandang apabila sedang mendapatkan rawatan. Apakah perkara yang pesakit terlepas pandang itu?

Niat

Niat sangat penting tetapi ramai pesakit yang mengabaikan perkara tersebut. Ini kerana dengan niat akan menentukan ikhtiar rawatan yang anda lakukan mendapat pahala atau tidak.

Kita semua sangat beruntung menjadi orang Islam kerana apa sahaja perkara yang kita lakukan, jika diniatkan dengan betul maka ianya dikira ibadah dan mendapat pahala.

Sebagai contoh, hukum asal makan adalah harus. Maksud harus ialah anda lakukan atau tidak, anda tidak mendapat pahala ataupun dosa.

Tetapi, sekiranya anda meniatkan makan untuk memberikan tenaga agar dapat beribadah kepada Allah, maka ketika itu makan anda mendapat pahala daripada Allah inshaaAllah.

Nampak tak kelebihan apabila anda membetulkan niat anda. Perkara yang kecil tetapi kesannya sangat besar. Jadi selepas ini, apabila anda berusaha untuk menghilangkan sihir di dalam tubuh dengan ikhtiar rawatan, perbetulkan niat anda iaitu anda ikhtiar berubat kerana hendak sihat agar dapat menunaikan ibadah kepada Allah.

Kesabaran Yang Tinggi

Kesabaran memainkan peranan yang penting terutamanya untuk mengubati penyakit akibat gangguan jin dan sihir. Tambahan pula kalau gangguan yang dialami tersebut telah lama dihadapi.

Ini kerana, seseorang yang mengalami gangguan jin atau sihir, mereka ini akan mengalami tindakbalas apabila mendapatkan rawatan. Dan tindakbalas yang berlaku ini kadang-kadang akan menyakitkan. Jadi bukan setakat kesabaran tinggi yang diperlukan, bahkan kekuatan dari segi fizikal dan mental.

Tetapi untuk mendapatkan kesabaran dalam diri, ianya bukanlah proses yang boleh dibuat dalam sehari. Mendidik kesabaran dalam diri adalah suatu proses yang mengambil masa. Di sini saya kongsikan 3 tip untuk anda mendidik kesabaran di dalam diri, sekaligus dapat memberikan kekuatan untuk menghadapi gangguan jin dalam diri anda.

  1. Ingat tujuan anda diciptakan Allah. Ingatlah bahawa kita hanyalah hidup sementara sahaja di dunia ini, dan kehidupan kita yang hakiki adalah akhirat. Apabila anda sentiasa melatih minda anda untuk ingat tentang hakikat kehidupan ini, inshaaAllah anda akan dapat bersabar kerana betapa besarnya ujian yang anda sedang hadapi, ianya akan berakhir juga apabila berakhirnya kehidupan anda di dunia.
  2. Menyedari banyaknya dosa. Kehidupan kita tidak pernah sunyi daripada melakukan dosa. Betulkan? Jadi sedarlah dan ingatlah bahawa setiap ujian yang Allah timpakan kepada anda adalah sebagai penebus dosa yang telah anda lakukan. Renungkan hadis ini. Daripada Abu Hurairah RA, dari Nabi SAW, Baginda telah bersabda, “Tidaklah seorang muslim yang ditimpa suatu penyakit dan keletihan, kegusaran dan kesedihan, gangguan dan kesusahan, bahkan duri yang melukainya melainkan Allah akan menghapuskan kesalahan-kesalahannya.” (Sahih Bukhari: No 5641). Jadi apabila Allah timpakan ujian berupa gangguan jin atau sihir, dekatkan diri kepada Allah dan bersyukurlah kerana Dia masih menyayangi anda.
  3. Banyakkan membaca Al-Quran. Ini kerana dengan membaca Al-Quran, hati anda akan menjadi tenang dan apabila hati telah tenang inshaaAllah ketika itulah sabar akan hadir dalam menghadapi masalah.

Istiqamah

Apakah istiqamah? Apakah yang anda faham dengan istiqamah? Istiqamah berasal daripada perkataan Arab iaitu “istaqama” yang bermaksud tetap teguh mengikuti satu jalan atau dengan kata lain konsisten dalam tindakan berdasarkan satu panduan.

Manakala maksud istiqamah secara khusus menurut Islam pula ialah sepertimana yang telah dijelaskan oleh Imam Al-Nawawi di dalam kitabnya iaitu Riyadhus Solihin dengan katanya: “Berkata para ulama bahawa makna istiqamah adalah sentiasa mengikut ketaatan kepada Allah SWT. Inilah makna istiqamah yang diberikan penekanan oleh Al-Quran dan Hadis.

Jadi, apabila dikaitkan dengan situasi anda yang sedang mendapatkan rawatan gangguan jin dan sihir, apakah yang dikatakan istiqamah?

Istiqamah ialah anda tetap teguh melakukan rawatan dengan perawat dan mempraktikkan amalan ruqyah mandiri yang berpandukan kepada Al-Quran dan Hadis.

Adakah bertukar-tukar perawat tidak dikatakan istiqamah?

Pada pandangan saya apabila anda bertukar-tukar perawat itu tidaklah dikatakan tidak istiqamah. Ini kerana tidak dinafikan kita tidak mengetahui melalui perawat yang mana Allah akan jadikan sebab untuk Dia berikan kesembuhan.

Cuma nasihat saya, paling minimum anda mendapatkan rawatan dengan seorang-seorang perawat ialah tiga kali rawatan. Selepas itu jika anda tidak merasakan sebarang perubahan, bolehlah anda mencuba dengan perawat yang lain pula.

Kesimpulan

Kalau anda lihat kepada 3 faktor di atas, apakah kesimpulan yang anda boleh buat?

Ya, ketiga-tiga faktor di atas bukanlah melibatkan kaedah rawatan. Ianya melibatkan sikap dan pemikiran anda.

Dan apabila melibatkan sikap dan pemikiran, ianya tidak boleh dilakukan oleh orang lain. Anda sendiri yang perlu melakukannya.

Saya harap anda dapat mendidik sifat sabar dan istiqamah dalam diri anda. Ianya tidak mudah, tetapi bukan mustahil untuk anda lakukan.

Mudah-mudahan dengan melakukan tiga faktor di atas, Allah akan menyembuhkan gangguan jin dan sihir yang ada di dalam tubuh badan anda, inshaaAllah.

Ketahui teknik RAHSIA bagaimana merawat gangguan jin dan sihir tanpa perlu berjumpa perawat. Klik di sini sekarang untuk mengetahui rahsianya.

Follow saya di sosial media:
Nak Sembuh? Buat 3 Perkara Ini
Scroll to top
error: Maaf. Artikel ini tidak dibenarkan untuk copy!!