Apakah Sihir Hawatif?

tanda sihir
Anggaran Masa Bacaan: 4 minit

Dikemaskini pada 11/10/2017 oleh Ustaz Abdullah

Diantara jenis-jenis sihir yang diamalkan oleh tukang sihir dinamakan sebagai sihir hawatif. Apakah sihir hawatif ini?

Sihir hawatif, atau dikenali juga dengan sihir bisikan ialah sejenis sihir yang digunakan bertujuan untuk menjadikan mangsanya gila.

Ini kerana jin-jin yang dihantar oleh tukang sihir akan diarahkan untuk mengganggu pendengaran mangsa iaitu melalui bisikan dengan sesuatu yang menakutkan ataupun menjadikan mangsa mendengar suara-suara dari orang yang dikenalinya walaupun hakikatnya orang tersebut tidak ada.

Selain dari memperdengarkan suara-suara, jin-jin tadi juga akan disuruh oleh tukang sihir supaya muncul di dalam mimpi mangsa dan berubah rupa menjadi haiwan-haiwan buas ataupun rupa yang menakutkan.

Tetapi, apakah tujuannya tukang sihir menyihir mangsa dengan sihir tersebut?

Tujuannya adalah supaya mangsa menjadi stress dan akhirnya gila. Ini disebabkan perasaan takut dan curiga yang keterlaluan akibat dari gejala mimpi dan suara-suara aneh yang dialami oleh mangsa setiap hari.

Dalam kes begini, mungkin ada seseorang yang menaruh rasa dendam, dengki, iri hati dan sebagainya kepada mangsa. Kemudian, apabila termakan dengan hasutan dari nafsu dan syaitan, maka mereka yang menaruh perasaan dendam tadi mengupah tukang sihir supaya disihirkan mangsa sehingga mangsa menjadi gila.

Tetapi, apakah akibat dari perbuatan sihir ini benar-benar berlaku? Atau hanya sekadar khayalan?

Ada sesetengah dari kalangan masyarakat Islam sendiri yang masih tidak percaya, ataupun merasa ragu-ragu dengan kesan dari sihir ini. Untuk mnghilangkan keraguan ini, mari kita lihat maksud dari Surah Al-Baqarah ayat 102 di bawah:

“Mereka (membelakangkan Kitab Allah) dan mengikut ajaran-ajaran sihir yang dibacakan oleh puak-puak Syaitan dalam masa pemerintahan Nabi Sulaiman, padahal Nabi Sulaiman tidak mengamalkan sihir yang menyebabkan kekufuran itu, akan tetapi puak-puak Syaitan itulah yang kafir (dengan amalan sihirnya) kerana merekalah yang mengajarkan manusia ilmu sihir dan apa yang diturunkan kepada dua malaikat: Harut dan Marut, di negeri Babil (Babylon), sedang mereka berdua tidak mengajar seseorang pun melainkan setelah mereka menasihatinya dengan berkata: Sesungguhnya kami ini hanyalah cubaan (untuk menguji imanmu), oleh itu janganlah engkau menjadi kafir (dengan mempelajarinya). Dalam pada itu ada juga orang-orang yang mempelajari dari mereka berdua: Ilmu sihir yang boleh menceraikan antara seorang suami dengan isterinya, padahal mereka tidak akan dapat sama sekali memberi mudarat (atau membahayakan) dengan sihir itu seseorang pun melainkan dengan izin Allah dan sebenarnya mereka mempelajari perkara yang hanya membahayakan mereka dan tidak memberi manfaat kepada mereka dan demi sesungguhnya mereka (kaum Yahudi itu) telahpun mengetahui bahawa sesiapa yang memilih ilmu sihir itu tidaklah lagi mendapat bahagian yang baik di akhirat. Demi sesungguhnya amat buruknya apa yang mereka pilih untuk diri mereka, kalaulah mereka mengetahui”

Jelas, di dalam ayat di atas, Allah s.w.t telah menegaskan bahawa Bani Israel telah mempelajari ilmu sihir yang mana dengan ilmu tersebut menyebabkan seorang suami boleh berpisah dengan isterinya. Dengan dalil di atas, segala akibat yang berlaku berpunca dari sihir itu adalah benar dan bukan khayalan.

Gejala-Gejala Sihir Hawatif

Seterusnya, apakah gejala-gejala yang biasanya akan dialami oleh mangsa yang terkena sihir hawatif ini. Tujuan untuk mengetahui gejala-gejala sihir ini ialah supaya mudah untuk kita kesan samada diri kita terkena sihir ini ataupun tidak.

Diantara gejala-gejalanya ialah:

  1. Sering bermimpi sesuatu yang menakutkan.
  2. Sering bermimpi melihat seseorang yang menyeru namanya di dalam mimpi.
  3. Selalu terdengar seperti ada suara seseorang yang mengajaknya untuk bersembang dalam keadaan sedar. Tetapi apabila dicari suara tersebut, tidak ada sesiapapun yang bercakap dengannya.
  4. Banyak perasaan was-was, terutamanya ketika mengambil wuduk atau melakukan ibadah lain.
  5. Rasa curiga yang berlebihan terhadap kawan-kawan, saudara dan juga orang yang dicintainya.
  6. Sering bermimpi seolah-olah terjatuh dari tempat yang tinggi.
  7. Sering bermimpi binatang buas sehingga menimbulkan perasaan takut.

Bagaimana Sihir Ini Berlaku?

Biasanya tukang sihir akan mengarahkan jin suruhannya untuk masuk ke dalam mimpi mangsa. Kemudian berubah bentuk kepada binatang buas sehingga menakutkan mangsa.

Ataupun jin tersebut disuruh supaya memanggil-manggil nama mangsa dengan suara seseorang yang dikenali mangsa. Ataupun dengan suara-suara aneh yang menakutkan.

Cara ini akan dilakukan setiap masa oleh jin tukang sihir tersebut sehingga menjadikan mangsa berada dalam keadaan stress yang teramat sangat. Dan matlamat yang terakhir ialah supaya mangsa menjadi gila akibat stress yang tidak terkawal dan hilang ketenangan di dalam kehidupan seharian.

Kaedah Rawatan Sihir Hawatif

  1. Bacakan ayat-ayat ruqyah kepada mangsa sihir tadi.
  2. Sekiranya pesakit bereaksi ketika diruqyah, ancam jin tersebut dengan ayat-ayat pemusnah jin, dan suruhlah jin tersebut keluar ketika itu juga.
  3. Sekiranya pesakit tidak menunjukkan sebarang reaksi ketika diruqyah, suruh pesakit lakukan amalan-amalan di bawah secara istiqamah.
    a) Pastikan pesakit berada dalam keadaan berwuduk setiap masa.
    b) Selalu membaca Ayat Kursi, terutamanya ketika hendak tidur.
    c) Bacalah Al-Mu’awwizatain (Al-Falaq dan An-Nas), kemudian ditiupkan ke tapak tangan dan sapu ke seluruh tubuh badan setiap kali sebelum hendak tidur.
    d) Bacalah Surah As-Saffat pada setiap pagi dan surah Ad-Dukhan setiap kali hendak tidur. Atau anda juga boleh biasakan mendengar bacaan kedua-dua surah tersebut.
    e) Bacalah surah Al-Baqarah setiap selang 3 hari, ataupun sekurang-kurangnya dengar bacaan surah tersebut.
    f) Bacalah dua ayat terakhir dari Surah Al-Baqarah setiap kali sebelum hendak tidur.
    g) Sebelum tidur, bacalah doa di bawah:

    “Bismillahh wado’tu janbi, Allahummaghfirli zanbi wa akhsi syaithoni wa fukka rihaani waj’alni finnadiyyil a’la
    h) Biasakan diri membaca atau mendengar surah-surah berikut; Surah Fussilat, Surah Al-Fath, dan Al-Jin. Baca atau dengar surah-surah ini sebanyak 3 kali dalam sehari.

Dan akhir sekali, sebaiknya amalan-amalan yang saya kongsikan di atas hendaklah diamalkan secara istiqamah. Untuk kali pertama, amalkan selama sebulan penuh dan inshaaAllah anda akan merasa perubahan yang berlaku pada diri anda.

Anda Dapat Sesuatu?

Jika ya, jangan lupa untuk kongsikan artikel yang anda baca ini dengan rakan-rakan anda yang lain. Anda juga boleh melanggan artikel terbaru saya terus melalui emel. Klik di sini untuk melanggan.

 

Follow saya di sosial media:
Apakah Sihir Hawatif?
Scroll to top
error: Maaf. Artikel ini tidak dibenarkan untuk copy!!