Dikemaskini pada 03/11/2021 oleh Ustaz Abdullah
Dalam artikel saya yang lalu, saya telah kongsikan dengan anda apakah hikmahnya Allah s.w.t menjadikan kita tidak dapat melihat makhluk halus yang diciptakan oleh Allah.
Maka dalam artikel kali ini, saya nak kongsikan pula satu isu yang bagi saya agak kritikal.
Mengapa saya katakan kritikal?
Ini kerana perkara ini berkaitan dengan isu akidah kita.
Isu tentang bolehkah manusia melihat makhluk halus?
Bila saya berhadapan dengan pesakit, sering mereka katakan pada saya bahawa mereka pernah berubat di tempat sekian sekian, dan perawat di sana mengatakan mereka dapat melihat makhluk halus yang ada dalam badan pesakit.
Ada sesetengah perawat itu siap boleh beritahu sekali jumlah bilangan makhluk halus tersebut.
Betulkah begitu?
InshaaAllah, di dalam artikel ini saya akan kongsikan dengan anda berdasarkan kepada dalil-dalil yang ada.
Isi Kandungan Artikel:
- Apakah yang dimaksudkan dengan makhluk halus?
- Benarkah Manusia Boleh Melihat Makhluk Halus?
- Bagaimanakah Pengakuan Mereka Yang Melihat Makhluk Halus?
- Mereka Yang Diberikan Karamah
- Mereka Yang Berdamping Dengan Makhluk Halus
- Mereka Yang Diganggu Makhluk Halus
- Bentuk-Bentuk Penyamaran Makhluk Halus
- Kesimpulan
Apakah Yang Dimaksudkan Dengan Makhluk Halus?
Tidak dinafikan, boleh dikatakan hampir semua manusia di dunia mempercayai kewujudan makhluk halus.
Dan apa yang lebih melucukan ialah, ada sesetengah golongan yang tidak mempercayai kewujudan Tuhan, tetapi mempercayai kewujudan makhluk halus.
Tetapi apakah yang dikatakan makhluk halus?
Dalam maksud yang mudah faham, istilah yang selalu digunakan untuk makhluk halus ini ialah hantu.
Boleh dikatakan semua orang, tak kiralah agama apapun, bahkan orang-orang Islam mempercayai kewujudan hantu.
Macam-macam nama diberikan kepada hantu.
Contoh yang paling popular ialah:
- Polong.
- Pucung.
- Puntianak.
- Toyol.
Tetapi, yang sebenarnya di dalam Islam, hantu itu sebenarnya adalah makhluk jin.
Ini kerana di dalam Al-Quran dan juga Hadis, makhluk yang mempunyai kemampuan untuk mengubah rupa bentuk mereka adalah Malaikat dan Jin sahaja.
Dan di dalam Islam, kita meyakini bahawa Malaikat itu adalah makhluk suci yang diciptakan oleh Allah dari cahaya.
Mereka ini terpelihara dari melakukan dosa dan sentiasa taat serta patuh kepada perintah Allah SWT.
Oleh kerana itu, Malaikat tidak sewenang-wenangnya akan mengubah rupa bentuknya kepada rupa yang hodoh semata-mata untuk menakutkan manusia.
Jadi satu-satunya makhluk yang boleh mengubah rupa mereka kepada apa sahaja, ialah jin.
Maka, hantu yang kita takut sangat itu sebenarnya adalah jin yang telah mengubah rupa bentuknya bertujuan untuk menakutkan manusia.
Benarkah Manusia Boleh Melihat Makhluk Halus?
Tentu anda pernah mendengar ada sesetengah individu yang mengaku mereka ini dapat melihat makhluk halus.
Persoalannya, betulkah kenyataan tersebut?
Disebabkan makhluk halus ini adalah perkara yang berkaitan dengan akidah kita, maka untuk menjawabnya perlulah berpandukan kepada dalil Al-Quran ataupun Hadis Nabi SAW.
Jika melihat kepada satu ayat di dalam Al-Quran, iaitu ayat 27 Surah Al-A’raf, jelas menyebut bahawa manusia tidak dapat melihat makhluk halus (jin dan syaitan).
Maksud ayat tersebut ialah:
“Wahai anak-anak Adam! Janganlah kamu diperdayakan oleh syaitan sebagaimana ia telah mengeluarkan kedua ibu bapa kamu dari Syurga, sambil dia menyebabkan terlucutnya pakaian mereka berdua untuk memperlihatkan kepada mereka: Aurat mereka (yang sebelum itu tertutup). Sesungguhnya Syaitan dan kaumnya melihat kamu dengan keadaan yang kamu tidak dapat melihat mereka. Sesungguhnya Kami telah menjadikan Syaitan-syaitan itu teman rapat bagi orang-orang yang tidak beriman”
Jelas dalam ayat di atas, kita dengan mudahnya dapat memahami bahawa secara adatnya manusia memang tidak dapat melihat makhluk halus.
Dan yang dimaksudkan ‘tidak dapat melihat mereka‘ dalam ayat di atas ialah tidak dapat melihat mereka dalam rupa bentuk mereka yang asal.
Bagaimanakah Pengakuan Mereka Yang Boleh Melihat Makhluk Halus?
Memang tidak dapat dinafikan bahawa ada sesetengah orang suka mengaku yang mereka ini dapat melihat makhluk halus.
Bahkan ada yang lebih hebat lagi, ada yang boleh memberitahu berapa jumlah jin dalam badan.
Dan ada juga yang mengaku mereka boleh menangkap jin dan memasukkannya ke dalam botol.
Mengapa ada orang yang mengaku begini?
Kerana mereka tahu, ada dikalangan masyarakat yang tetap akan mempercayai mereka.
Walaupun pada asalnya yang mempercayai ini tidak ramai, tetapi mereka yang tidak ramai inilah yang secara tidak langsung akan mempromosikan tentang kelebihan orang yang dapat melihat ataupun menangkap jin tersebut.
Kembali pada persoalan, bolehkah dipercayai mereka yang mengaku melihat makhluk halus ini?
Pada pandangan saya, mereka yang boleh melihat makhluk halus ini terbahagi kepada tiga golongan sahaja.
Iaitu:
- Mereka yang diberikan karamah.
- Mereka yang berdamping dengan makhluk halus.
- Mereka yang diganggu makhluk halus.
Saya jelaskan dengan lebih lanjut dalam tulisan di bawah.
Mereka Yang Diberikan Karamah
Apakah maksud karamah?
Karamah bermaksud kemampuan luar biasa yang dianugerahkan Allah kepada para wali-Nya sebagai tanda kemuliaan mereka beribadat kepada-Nya.
Tetapi apa yang perlu difahami ialah, para wali bukanlah seperti golongan Nabi dan Rasul yang mana terpelihara dari dosa.
Oleh kerana mereka (para wali) menyedari hakikat ini, mereka sangat menjaga perbuatan mereka agar tidak melakukan perkara yang boleh mendatangkan dosa.
Dengan sebab itu, mereka tidak sewenang-wenangnya nak menunjuk kepada manusia lain tentang karamah yang ada pada diri mereka.
Kerana mereka takut dengan sebab itu ada sesetengah manusia yang akan memuja mereka secara berlebihan dan menyebabkan timbul dalam hati mereka rasa bongkak dan takbur.
Selain itu, karamah ini pula berlaku dengan izin Allah semata-mata, bukan dengan kehendak manusia.
Jadi, segala karamah yang berlaku ke atas diri para wali adalah diluar pengetahuan mereka dan mereka tidak boleh melakukannya sesuka hati.
Dan apa yang lebih penting untuk difahami, karamah itu berlaku dengan izin dan kehendak Allah.
Jadi, mustahillah karamah yang berlaku ke atas wali bertentang pula dengan apa yang telah diwahyukan oleh Allah di dalam Al-Quran.
Di dalam Surah Al-A’raf tadi dengan jelas menyebut bahawa manusia tidak dapat melihat syaitan, takkanlah Allah nak berikan karamah kepada walinya yang manusia biasa, bukan Rasul, kebolehan untuk melihat syaitan dalam rupanya yang asal.
Mereka Yang Berdamping Dengan Makhluk Halus
Golongan yang kedua pula yang boleh melihat makhluk halus adalah mereka yang berdamping dengan makhluk halus itu sendiri.
Contohnya tukang sihir dan juga mereka yang membuat perjanjian dengan sebab untuk mendapatkan pertolongan dari makhluk halus.
Sebenarnya perbuatan ini pun dah bertentang dengan Al-Quran.
Sihir dah tentulah merupakan salah satu daripada dosa-dosa besar bersandarkan kepada hadis Nabi SAW yang bermaksud:
“Jauhilah tujuh jenis dosa besar yang membinasakan. Sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah, apakah dosa-dosa itu? Sabda Baginda: Menyekutukan Allah, sihir, membunuh jiwa yang diharamkan melainkan dengan alasan yang benar, makan riba, makan harta anak yatim, lari daripada perang dan menuduh wanita muhsan beriman yang tidak bersalah dengan tuduhan zina.” Riwayat al-Bukhari (2766)
Manakala perbuatan meminta pertolongan dari makhluk halus itu juga dilarang dalam agama.
Ini berdasarkan kepada ayat 6 di dalam Surah Jin:
“Dan bahawa sesungguhnya adalah (amat salah perbuatan) beberapa orang dari manusia, menjaga dan melindungi dirinya dengan meminta pertolongan kepada ketua-ketua golongan jin, kerana dengan permintaan itu mereka menjadikan golongan jin bertambah sombong dan jahat”
Mereka Yang Diganggu Makhluk Halus
Dan golongan yang ketiga yang boleh melihat makhluk halus ialah mereka yang mengalami gangguan.
Mengapa mereka dapat melihat makhluk halus?
Kalau dari pengalaman saya, memang mereka yang ada gangguan makhluk halus, kadang-kadang dapat melihat lembaga-lembaga yang manusia lain tak nampak.
Ada yang kata kononnya mereka ini telah dibuka hijab. Jadi, jalan penyelesainnya ialah kena ditutup hijab.
Sebenarnya bukan begitu.
Yang sebenarnya jin yang berada di dalam badan mereka yang telah memanipulasi pandangan sehingga mereka nampak lembaga yang mana orang lain tak nampak.
Jadi, kaedah rawatannya ialah dengan diruqyah mereka yang diganggu oleh makhluk halus ini.
Bentuk-Bentuk Penyamaran Makhluk Halus
Sekuruh umat Islam di dunia bersetuju dan meyakini bahawa makhluk halus diberikan kemampuan oleh Allah SWT untuk menyamar dalam pelbagai bentuk.
Antara bentuk penyamaran yang diizinkan oleh Allah ialah manusia sendiri.
Ini diceritakan sendiri oleh al-Quran iaitu di dalam surah al-Anfal ayat 48:
Maksudnya: “Dan ingatlah ketikan syaitan memperhiaskan kepada mereka perbuatan mereka (yang salah itu dipandang elok dan diteruskan), serta menghasut mereka dengan berkata: “Pada hari ini tidak ada sesiapa pun dari umat manusia yang dapat mengalahkan kamu dan sesungguhnya aku adalah pelindung dan penolong kamu”. Maka apabila kedua-dua puak (angkatan tentera Islam dan kafir musyrik ) masing-masing kelihatan (berhadap-hadapan), syaitan itu berundur ke belakang sambil berkata: “Aku berlepas diri daripada kamu kerana aku dapat melihat apa yang kamu tidak dapat melihatnya, sesungguhnya aku takut kepada Allah dan Allah sangat berat azab seksanya”
Di dalam Tafsir al-Qurtubi menceritakan tentang ayat di atas bahawa tentera musyrikin merasa takut untuk memerangi tentara Muslimin di dalam perang Badar. Kemudian tiba-tiba datanglah satu pasukan perang yang diketuai oleh Suraqah bin Malik bin Ju’asham dari suku Bani Bakr.
Quraisy sangat takut kepada Suraqah ini kerana permusuhan mereka dengan Bani Bakr.
Jadi, apabila Suraqah telah memberikan jaminan untuk membantu tentera Musyrikin mengalahkan tentera Islam, barulah mereka merasa berani untuk berperang.
Tetapi, apabila bermulanya peperangan, berlaku sesuatu yang tak diduga. Suraqah dan tenteranya lari meninggalkan medan peperangan yang akhirnya menyebabkan kekalahan tentera musyrikin.
Ayat ini telah ditafsirkan secara muktabar bahawa orang yang berkata-berkata dengan tentera Musyrikin itu adalah syaitan yang menyamar sebagai Suraqah bin Malik.
Satu lagi dalil dari al-Quran tentang penyamaran yang dilakukan oleh iblis laknatullah ialah seperti yang dirakamkan Allah di dalam al-Quran, surah al-Anfal, ayat 30:
Maksudnya: “Dan ingatlah (wahai Muhammad), ketika orang kafir Musyrik (Makkah) menjalankan perancangan jahat terhadapmu untuk memenjarakanmu, atau membunuhmu, atau mengusirmu. Mereka menjalankan perancangan jahat dan Allah menggagalkan perancangan jahat (mereka), kerana Allah sebaik-baik yang menggagalkan perancangan jahat”
Di dalam Tafsir al-Nasafi telah memberikan huraian tentang ayat di atas.
Ia menceritakan tentang peristiwa orang kafir telah mengadakan satu pertemuan di Dar al-Nadwah.
Tujuan pertemuan itu adalah untuk membuat keputusan tentang apakah tindakan yang akan diambil ke atas nabi Muhammad untuk menghentikan tugas dakwah Baginda.
Ketika mesyuarat berlangsung, tiba-tiba mereka didatangi oleh seorang pemimpin dari puak Najdi. Beliau datang secara khusus untuk memberikan pandangan di dalam mesyuarat tersebut.
Akhirnya keputusan yang diambil dalam mesyuarat tersebut ialah untuk membunuh Nabi Muhammad s.a.w.
Sebenarnya pemimpin dari puak Najdi itu ialah Iblis laknatullah yang telah menyamar sebagai manusia.
Dari dua dalil yang saya kongsikan dalam artikel ini, jelas bahawa makhluk halus mampu untuk berubah bentuk kepada apa sahaja yang diingini oleh mereka.
Kesimpulan
Daripada perkongsian dan penjelasan saya dalam artikel di atas, secara adatnya manusia itu memang tak dapat melihat makhluk halus dalam rupa bentuknya yang asal yang telah diciptakan Allah.
Berdasarkan kepada dalil-dalil yang telah saya sertaka.
Saya juga telah jelaskan bahawa ada juga golongan-golongan manusia yang dapat melihat makhluk halus ini.
Tetapi, apa yang perlu difahami di sini ialah, apa yang mereka lihat itupun sebenarnya adalah suatu bentuk penyamaran juga, bukanlah rupanya yang asal.
Saya berharap selepas anda membaca artikel ini, anda akan mendapat sedikit percambahan ilmu yang bermanfaat.
Sekiranya anda ada persoalan yang ingin diajukan, atau ada penambahan, atau ada teguran membina, sila tuliskan diruangan komen yang disediakan.
Dan terakhir sekali, saya harap anda sudi untuk kongsikan artikel ini supaya sedikit ilmu yang ada di dalamnya dapat dimanfaatkan oleh lebih ramai orang lagi.
Follow saya di sosial media: