Adakah Melilit Benang Hitam Pada Kanak-Kanak Amalan Syirik?

Anggaran Masa Bacaan: 6 minit

Dikemaskini pada 17/08/2021 oleh Ustaz Abdullah

Antara amalan yang telah menjadi kebiasaan dalam masyarakat Islam kita, ialah suka melilit benang, atau tangkal, biasanya berwarna hitam pada bayi.

Ada yang ikat benang hitam dijari.

Ada yang dipinggang.

Dan ada yang buat seperti gelang kaki.

Kaedah ini biasanya diamalkan oleh bomoh dan dilakukan jika bayi tersebut menangis tak henti-henti. 

Kononnya kaedah ini berkesan untuk hentikan bayi tersebut dari terus menangis.

Tapi dizaman sekarang, apa yang lebih malang ialah amalan pemakaian benang hitam pada bayi ini disarankan oleh golongan agama.

Perkara ini dimaklumkan oleh pesakit saya sendiri.

Mereka mengatakan seorang imam yang pakaikan.

Ada juga yang beritahu ustaz yang pakaikan. Saya tidak pasti kebenarannya.

Tetapi jika benar, bagi saya sangat malanglah.

Persoalannya, adakah amalan seperti ini diharuskan atau dibolehkan oleh syarak?

Artikel ini akan membicarakan tentang persoalan di atas.

Isi Kandungan Artikel Ini:

Pengenalan Kepada Amalan Melilit Benang

Apakah sebenarnya amalan melilit benang hitam ini?

Amalan ini biasanya dilakukan apabila ada bayi ataupun anak kecil yang mengalami masalah menangis malam.

Tetapi ada juga keadaan di mana, apabila bayi telah selesai dimandikan, maka terus akan dipakaikan dengan benang hitam.

Walaupun bayi tersebut tidak mengalami masalah menangis malam.

Anggapan mereka, dengan pemakaian benang tersebut, ia dapat membantu melindungi bayi tersebut dari diganggu oleh makhkluk halus ataupun jin.

Bagaimana Amalan Ini Berlaku?

Pemakaian benang hitam kepada bayi yang menangis malam ini, bukanlah hanya berlaku dalam kalangan masyarakat Melayu sahaja.

Bahkan orang Arab di zaman Nabi dulu pun telah mengamalkannya.

Kepercayaan ini dinamakan sebagai tamimah.

Apakah tamimah?

Di dalam laman web Mufti Wilayah Persekutuan ada menjelaskan tentang tamimah ini.

Di dalam Mukhtar Al-Sihah, penulisnya telah mendefinisikan tamimah sebagai:

Pelindung yang digantungkan kepada seorang manusia. Lihat Mukhtar Al-Sihah, Al-Razi (Halaman 33).

Manakala al-Imam al-Khattabi pula mentakrifkan tamimah dengan katanya:

Benang-benang yang golongan Arab terdahulu menggantungkannya kepada anak-anak mereka.

Tujuannya untuk mengelakkan penyakit ‘ain menurut sangkaan mereka. Lihat Ma’alim a-Sunan, Al-Khattabi (4/204).

Manakala di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada ‘Isa bin Abdul Rahman bin Abi Laila beliau berkata:

Aku pergi menziarahi Abu Ma’bad Al-Juhani dan aku mendapati badannya kemerah-merahan.

Lalu aku berkata kepadanya:

Tidakkah kamu menggantungkan sesuatu?

Maka beliau menjawab:

“Mati itu jauh lebih baik dari perbuatan tersebut. Nabi SAW telah bersabda: Sesiapa yang menggantung sesuatu nescaya dia akan diserahkan kepadanya (benda yang digantung)”

(Riwayat Al-Tirmizi 2072)

Jadi bagaimana kepercayaan kepada pemakaian ini boleh sampai dalam masyarakat kita?

Berdasarkan sejarah, sebelum kedatangan Islam ke Tanah Melayu, masyarakat Melayu zaman dahulu berpegang pada kepercayaan animesme, dinamisne Hindu, Buddha dan sebagainya.

Jadi, amalan memakaikan benang hitam kepada bayi yang menangis malam ini sebenarnya adalah satu amalan yang diambil dari kepercayaan dalam agama Hindu dan juga Buddha.

Sebab itu, anda boleh tengok lagi di zaman sekarang, di mana bayi dan juga kanak-kanak dalam masyarakat India yang diikatkan dengan benang berwarna hitam atau merah di pergelangan tangan mereka.

Cuma dalam masyarakat Melayu zaman sekarang, pemakaian benang hitam ditangan ini diadun dengan acuan Islam.

Sebab yang mengamalkan kaedah ini, ada yang terdiri dikalangan para ustaz dan juga imam.

Sebagai contoh.

Ustaz dan imam ini mengatakan kononnya benang hitam itu telah dibacakan dengan ayat-ayat Al-Quran dan juga selawat ke atas Nabi.

Dan hujah paling banyak digunakan ialah dibolehkan pemakaian benang hitam tersebut dengan syarat tidak mempercayai bahawa benang itu yang menyembuhkan.

Jadi ramailah ibubapa yang percaya dan terpengaruh.

Sebab mereka beranggapan bahawa takkanlah ustaz dan imam nak gunakan kaedah tak betul dan bercanggah dengan agama.

Lagipun mereka memang tidak meyakini kepada benang itu. 

Mereka tetap meyakini bahawa yang menyembuhkan adalah Allah semata-mata.

Mereka menyamakan perbuatan tersebut seperti memakan panadol apabila demam.

Persoalannya, adakah betul apabila menyamakan perbuatan memakaikan benang hitam itu dengan perbuatan memakan panadol apabila demam.

Ianya adalah tidak betul sama sekali.

Dan saya akan jelaskan lebih lanjut dalam subtopik yang seterusnya.

Termasuk Dalam Tipu Daya Syaitan

Bagaimana yang dikatakan pemakaian benang hitam kepada bayi ini termasuk dalam tipu daya syaitan?

Saya berikan contoh.

Dari pengalaman saya merawat bayi yang menangis, memang tidak dinafikan bahawa ada sesetengahnya berlaku disebabkan oleh gangguan jin.

Kemudian bila bayi tersebut dibawa untuk berubat, dan perawat memakaikan benang hitam, bayi itupun berhenti menangis.

Jadi, ibubapa kepada bayi ini beranggapan bahawa kaedah tersebut memang berkesan. 

Yang sebenarnya mereka tidak menyedari bahawa syaitan (jin yang mengganggu) sedang memperdayakan mereka.

Ini kerana apabila mereka memakaikan benang hitam pada bayi tersebut, jin yang mengganggu itu, tidak lagi mengganggu.

Bila dah tak mengganggu, bayi itupun tidaklah menangis lagi.

Akhirnya apa yang terjadi?

Bayi tersebut akan berterusanlah dipakaikan dengan benang hitam.

Sedangkan Nabi sebut dalam hadis, perbuatan tersebut hanyalah menambahkan kelemahan sahaja.

Daripada ‘Imran bin Husain RA, bahawa Nabi SAW pada suatu hari melihat seorang lelaki yang memakai gelang ditangannya.

Lalu Nabi SAW bersabda:

“Gelang apakah ini? Maka lelaki itupun menjawa: Ini disebabkan penyakit. Lalu Baginda bersabda: Tanggalkanlah ia kerana sesungguhnya ia tidak menambahkan kepadamu melainkan kelemahan”

Jadi bila bayi dipakaikan dengan benang hitam ini, mereka lebih mudah diganggu sebenarnya.

Sebab Nabi dah kata bila pakai gelang, bukan semakin kuat, tapi semakin lemah.

Contoh yang saya berikan ini memang adalah kes sebenar ibubapa yang membawa bayi mereka berjumpa dengan saya.

Memang ditangan bayi mereka ada dipakaikan dengan benang berwarna hitam.

Termasuk Dalam Perbuatan Syirik

Mengapa memakaikan benang hitam ini termasuk dalam perbuatan syirik?

Sebelum saya menerangkan dengan lebih lanjut, anda perlu tahu dulu jenis-jenis dan bahagian syirik.

Imam al-Sanusi dalam al-Muqaddimat membahagikan syirik kepada enam jenis:

  1. Syirik istiqlal : Menetapkan adanya dua tuhan atau lebih yang berlainan seperti akidah Majusi yang mempercayai adanya Ahura Mazda dan Angra Mainyu.
  2. Syirik tab’id : Menyatukan tuhan daripada beberapa oknum seperti akidah Triniti agama Kristian.
  3. Syirik taqrib : Beribadah kepada sesuatu selain daripada Allah SWT dengan tujuan untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT.
  4. Syirik taqlid : Beribadah kepada Allah kerana mengikut orang lain.
  5. Syirik asbab : Menyandarkan satu kesan terhadap sebab tertentu yang bersifat adat seperti berpegang bahawa manusia kenyang kerana makan, dan bukan Allah SWT yang mengenyangkannya.
  6. Syirik aghrad : Beramal kerana selain daripada Allah SWT.

Bagi no. 1 – 4, seseorang itu dikira kufur secara ijmak.

Bagi no. 6, ianya dikira maksiat dan tidak kufur secara ijmak. 

Adapun bagi no. 5, ia memerlukan perincian. 

Jika ianya disandarkan kepada sebab tertentu semata-mata, maka dia dikira kufur secara ijmak. 

Jika dia meyakini bahawa ianya memberi kesan melalui daya yang dijadikan oleh Allah kepada makhluk, dia dikira fasik dan ahli bid’ah.

Manakala syirik pula terbahagi kepada dua bahagian iaitu:

  1. Syirik Jali (terang dan nyata)
  2. Syirik khafi (tersembunyi)

Syirik jali ialah syirik yang terang, nyata dan besar yang boleh menyebabkan seseorang itu dianggap jatuh ke tahap kufur. 

Syirik ini boleh berlaku melalui salah satu daripada tiga keadaan iaitu:

  1. Menerusi i’tiqad seperti meragui atau menafikan kewujudan Allah. Justeru, mana-mana fahaman yang meragui dan menafikan kewujudan Allah seperti fahaman komunis dan ateis adalah jelas syirik.
  2. Menerusi perbuatan atau amalan tertentu seperti menyembah patung, berhala, batu, pokok, matahari, bulan bintang atau objek tertentu. Perbuatan memuja nasib dan meminta nombor ekor di kubur tertentu atas dakwaan kubur itu keramat juga adalah unsur syirik. Bahkan ulama menjelaskan perbuatan terlalu memuja dan mendewakan orang atau pemimpin tertentu juga adalah perbuatan syirik.
  3. Menerusi lidah atau perkataan seperti menghalalkan perkara haram dan mengaku keluar daripada agama Islam. Termasuk dalam kategori ini ialah perkataan yang boleh menyebabkan terbatal syahadah seseorang Muslim.

Syirik khafi ialah syirik yang kecil dan tersembunyi yang menyebabkan hilang atau luputnya pahala seseorang. 

Syirik itu banyak berkaitan dengan perbuatan riak di dalam beramal atau melakukan sesuatu perkara.

Perkara itu jelas disebut dalam al-Quran melalui firman Allah yang bermaksud: 

“Barang siapa yang berharap untuk bertemu dengan Allah (di hari akhirat kelak), maka hendaklah dia melakukan amal salih dan janganlah dia mempersekutukan Allah dengan sesuatu di dalam ibadatnya.” – (Surah al-Kahfi, ayat 110)

Maksud syirik di dalam beramal seperti dalam ayat itu ialah menunjuk-nunjuk ketika beramal atau riak di dalam beramal.

Rasulullah SAW dalam sabdanya pernah menasihatkan sahabat supaya berhati-hati dan menjauhi syirik kecil, lantas ditanya oleh sahabat apakah yang dimaksudkan dengan syirik kecil itu. 

Maka Rasulullah menjawab, syirik kecil yang dimaksudkan ialah riak dalam beramal.

Allah menjelaskan bahaya syirik khafi dalam firman-Nya yang bermaksud:

“Dan sesungguhnya telah diwahyukan kepadamu dan kepada nabi-nabi terdahulu sebelummu, jika kamu mempersekutukan Tuhan, nescaya akan terhapuslah segala amalanmu dan tentulah kamu termasuk di kalangan orang yang rugi.” – (Surah az-Zumar, ayat 65)

Firman Allah lagi yang bermaksud:

“Barang siapa yang mempersekutukan sesuatu dengan Allah (tidak ikhlas kepada-Nya dalam beramal), maka adalah dia seolah-olah telah jatuh dari langit lalu disambar oleh burung atau diterbangkan angin ke tempat yang jauh.” – (Surah al-Hajj, ayat 31)

Melihat kepada situasi hari ini, ternyata amalan mensyirikkan Allah sama ada syirik jali atau khafi berlaku secara sedar atau tidak.

Walaupun daripada kalangan orang Islam tidak menyembah berhala, tetapi mereka terdedah kepada perbuatan syirik.

Kepercayaan kepada tempat keramat, keyakinan secara membuta tuli terhadap bomoh atau dukun, penggunaan tangkal dan azimat, menyembah kemewahan dunia dan material, keyakinan rezeki seperti gaji dan upah datang daripada manusia dan bermacam lagi adalah antara amalan yang menjurus kepada syirik.

Gejala syirik khafi tidak kurang hebatnya dengan berleluasanya gejala riak, beramal untuk manusia, perasaan dengki, mengharap reda manusia, bermuka-muka, tidak ikhlas, menandakan amalan syirik memang menguasai hidup umat Islam kini.

Langkah mesti dilakukan bagi mengelakkan ia daripada terus membarah di dalam hidup manusia.

Langkah seperti penerangan mengenai bahaya syirik menerusi seminar, ceramah, bengkel dan seumpamanya.

Anggota masyarakat mesti didedahkan dengan bahaya syirik supaya mereka dapat membezakan apakah pekerjaan dan perkataan mereka selama ini mengandungi unsur syirik atau sebaliknya.

Kaedah Ruqyah Untuk Bayi Menangis Malam (Video)

Dari pengalaman saya, masalah bayi menangis malam adalah mudah untuk dirawat.

Di sini saya akan kongsikan dengan anda 2 langkah mudah untuk meruqyah, sekiranya bayi ataupun anak anda anda yang masih kecil menangis di waktu malam.

2 langkah tersebut ialah:

  • Rawat bayi anda dengan kaedah meruqyah.
  • Mandikan bayi anda dengan air ruqyah.

Untuk memudahkan kefahaman anda, saya telah sediakan video untuk anda tonton.

Sekiranya anda tidak tahu ayat-ayat ruqyah, anda boleh mendownloadnya melalui pautan di bawah.

Download senarai ayat ruqyah di sini.

Kesimpulan

Jadi, adakah anda pernah memakaikan anak anda dengan benang hitam?

Atau mungkin perawat pernah memakaikannya kepada anak anda.

Saya harap dengan perkongsian artikel ini, anda akan lebih jelas dan faham.

Sebenarnya amalan pemakaian benang hitam ini bukanlah menyelesaikan masalah.

Bahkan perbuatan tersebut lebih mendedahkan anak anda kepada gangguan jin.

Anda ada pendapat atau pandangan yang ingin dikongsikan?

Ataupun mungkin anda ada persoalan yang nak tanya.

Jika ada, sila tuliskan pandangan, pendapat atau soalan anda diruangan komen yang disediakan.

Follow saya di sosial media:
Adakah Melilit Benang Hitam Pada Kanak-Kanak Amalan Syirik?
Scroll to top
error: Maaf. Artikel ini tidak dibenarkan untuk copy!!