Dikemaskini pada 17/08/2015 oleh Ustaz Abdullah
Antara pertanyaan yang kerap kali diajukan kepada saya ialah: “Ustaz nampak apa-apa tak kat saya?”. Sebenarnya tiada seorang pun manusia normal yang boleh nampak atau melihat makhluk halus. Persoalannya di sini ialah apakah hikmah Allah menciptakan makhluk halus yang boleh melihat kita sedangkan kita tak boleh melihat mereka?
Secara logiknya bukankah lebih baik kalau Allah jadikan kita dapat melihat makhluk halus supaya dapat mengelakkan mereka dari menyakiti kita. Sebenarnya bukan semua makhluk halus sentiasa menyakit manusia. Ini kerana, makhluk halus juga seperti kita di mana mereka adalah makhluk yang dibebankan dengan tanggungjawab, sama seperti kita.
Dikalangan mereka ada juga yang beriman dan kafir, yang bertaqwa dan fasik, yang beramal soleh dan melakukan maksiat. Golongan yang beriman, bertaqwa dan beramal soleh dikalangan mereka tidak akan mengganggu dan menyakiti kita.
Diriwayatkan oleh ‘Abdullah bin ‘Amr, Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
“Seorang muslim yang sebenar adalah seorang muslim yang akan memberi keselamatan dan kesejahteraan kepada muslim yang lain samada melalui lidahnya mahupun perbuatannya dan orang yang berhijrah itu ialah orang yang meninggalkan sesuatu yang dilarang oleh Allah”.
Berdasarkan hadis di atas, dapatlah kita fahami bahawa manusia dan makhluk halus yang muslim adalah bersaudara. Ini dikuatkan lagi dengan firman Allah di dalam surah al-Hujurat, ayat 10, yang bermaksud:
“Sesungguhnya semua orang yang beriman itu adalah bersaudara”
Hikmah Makhluk Halus Tidak Dapat Dilihat
Sebenarnya Allah s.w.t telah memberikan satu rahmat-Nya yang besar apabila Dia menjadikan kita tidak dapat melihat makhluk halus. Cuba anda bayangkan. Kalaulah kita dapat melihat makhluk halus, sudah tentulah hidup kita tidak akan tenteram kerana kita akan sentiasa rasa terancam.
Kita tidak akan dapat berehat dan susah untuk tidur dengan nyenyak kerana sering melihat rupa-rupa mereka yang menakutkan. Disebabkan kita tidak dapat melihat merekalah kita dapat duduk bersenang lenang, berehat dan tidur tanpa sebarang gangguan walaupun makhluk halus sebenarnya berada disekeliling kita.
Kita harus faham bahawa dengan sebab Allah menjadikan kita tidak dapat melihat makhluk halus merupakan satu nikmat yang cukup besar kepada kita. Mungkin benar mereka boleh menyakiti kita. Namun kita juga dapat menyakiti mereka. Bukan itu sahaja. Makhluk halus juga takutkan kita sebenarnya terutamanya jika seorang manusia itu merupakan orang yang tinggi darjat ketaqwaannya.
Disebut di dalam suatu hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Abi Syaibah daripada Muhammad Ibnu Sa’ad daripada ayahnya, Nabi s.a.w telah bersabda yang bermaksud:
“Demi Allah yang diriku berada di tangan-Nya. Tidaklah kamu (‘Umar r.a) mengikuti suatu jalan ke suatu arah, melainkan syaitan akan mengikuti jalan yang lain”. Nabi s.a.w berkata demikian kepada ‘Umar al-Khattab r.a.
Kita boleh mempertahankan diri kita dari gangguan makhluk halus dengan cara mendekatkan diri kita kepada Allah s.w.t. Hanya itu sahaja cara yang anda. Dan cara inilah yang diarahkan oleh Allah melalui firman-Nya:
“Dan jika kamu ditimpa suatu gangguan atau godaan dari syaitan, maka pohonlah perlindungan kepada Allah s.w.t. Sesungguhnya Dia Maha Mendengar Lagi Maha Mengetahui”. (Surah al-A’raf ayat 200)
Ayat ini menekankan kepada kita bahawa sesungguhnya haya kepada Allah sahajalah tempat kita bergantung dan memohon perlindungan dari segala jenis godaan syaitan.
Sebagai seorang yang beriman kepada Allah, sepatutnya hanya kepada Allah sahajalah yang perlu kita kita takut, dan bukan kepada yang selain dari-Nya. Jika berlakunya yang demikian, ini membuktikan bahawa sebenarnya tahap keimanan kita masih lagi rapuh.
Kita mesti tanamkan dalam diri kita bahawa sesungguhnya Allah menjadikan kita dan telah menentukan kita sebagai khalifah di muka bumi ini untuk memerintah dan mentadbir alam. Dan semua makhluk di muka bumi ini sepatutnya patuh dan taat kepada perintah kita, termasuklah makhluk halus.
Atas sebab inilah Iblis merasa dengki dan iri hati kepada Nabi Adam. Dia tidak dapat menerima arahan dari Allah untuk sujud hormat kepada Nabi Adam walaupun arahan itu datangnya dari Allah. Iblis merasakan dia adalah makhluk terbaik yang diciptakan oleh Allah s.w.t.
Oleh kerana itu, tidaklah patut kita perlu takut kepada makhluk halus, bahkan sebaliknya mereka yang perlu takut kepada kita. Kita perlu sedar bahawa Allah telah memberikan kepada manusia kelebihan yang tidak diberikan kepada makhluk ciptaan Allah yang lain.
Ini berdasarkan firman Allah yang bermaksud:
” Sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam dan Kami telah mengangkat mereka dengan pelbagai kenderaan di daratan dan di lautan. Kami juga telah memberikan rezeki kepada mereka daripada benda yang baik-baik, serta Kami telah memberikan kelebihan kepada mereka dengan sempurna mengatasi makhluk-makhluk yang Kami ciptakan”. (Surah al-Isra’, ayat 70)
Dan salah satu kelebihan yang dikurniakan oleh Allah kepada manusia ialah kemampuannya untuk mempertahankan diri dari gangguan dan serangan makhluk halus dengan cara berpegang dan bergantung sepenuhnya kepada Allah s.w.t.
Follow saya di sosial media: