Bolehkah Amalkan Zikir Yang Dapat Melalui Mimpi?

Anggaran Masa Bacaan: 5 minit

Dikemaskini pada 30/05/2022 oleh Ustaz Abdullah

Pernahkah anda bermimpi ada seseorang yang nampak seperti orang-orang soleh datang dalam mimpi dan mengajarkan anda beberapa zikir ataupun doa?

Saya pernah ada beberapa orang pesakit pernah alami keadaan tersebut dan mereka bertanyakan kepada saya tentang perkara ini.

Jadi di sini ada dua soalan yang harus dijawab.

Pertama, apakah boleh mengamalkan zikir-zikir yang diajarkan oleh orang yang datang dalam mimpi itu?

Dan soalan kedua, apakah orang yang mengalami mimpi ini menandakan adanya gangguan jin dalam diri mereka?

InshaaAllah di dalam artikel ini, saya akan cuba menjawab persoalan-persoalan di atas.

Isi Kandungan Artikel:

Syaitan Mengajar Sahabat Kelebihan Ayat Kursi

Pernahkah anda membaca kisah bagaimana syaitan mengajarkan seorang sahabat kelebihan mengamalkan ayat kursi?

Sahabat tersebut ialah Abu Hurairah R.A. Hadisnya seperti di bawah:

Dari Abu Hurairah R.A, dia berkata bahawa Rasulullah S.A.W pernah mewakilkan kepadaku untuk menjaga zakat Ramadhan (zakat fitrah). Lalu ada seseorang yang datang dan menumpahkan makanan dan mengambilnya. Aku pun mengatakan, “Demi Allah, aku benar-benar akan mengadukanmu pada Rasulullah S.A.W.” Lalu ia berkata, “Aku ini benar-benar dalam keadaan memerlukan. Aku memiliki keluarga dan aku pun sangat memerlukan ini.” Abu Hurairah berkata, “Aku membiarkannya. Lantas di pagi hari, Nabi S.A.W berkata padaku: “Wahai Abu Hurairah, apa yang dilakukan oleh tawananmu semalam?” Aku pun menjawab, “Wahai Rasulullah, dia mengadukan bahawa dia dalam keadaan memerlukan dan juga punya keluarga. Oleh karena itu, aku begitu kasihan padanya sehingga aku melepaskannya.” Nabi S.A.W bersabda, “Dia telah berdusta padamu dan dia akan kembali lagi.

Aku pun tahu bahwasanya ia akan kembali sebagaimana yang Rasulullah S.A.W katakan. Aku pun mengawasinya, ternyata ia pun datang dan menumpahkan makanan, lalu ia mengambilnya. Aku pun mengatakan, “Aku benar-benar akan mengadukanmu pada Rasulullah S.A.W” Lalu ia berkata, “Biarkanlah aku, aku ini benar-benar dalam keadaan memerlukan. Aku memiliki keluarga dan aku tidak akan kembali setelah itu.” Abu Hurairah berkata, “Aku pun menaruh kasihan padanya, aku membiarkannya. Lantas di pagi hari, Nabi S.A.W berkata padaku: “Wahai Abu Hurairah, apa yang dilakukan oleh tawananmu?” Aku pun menjawab, “Wahai Rasulullah, dia mengadukan bahawa dia dalam keadaan memerlukan dan juga punya keluarga. Oleh kerana itu, aku begitu kasihan padanya sehingga aku melepaskannya pergi.” Nabi S.A.W bersabda, “Dia telah berdusta padamu dan dia akan kembali lagi.

Pada hari ketiga, aku terus mengawasinya, ia pun datang dan menumpahkan makanan lalu mengambilnya. Aku pun mengatakan, “Aku benar-benar akan mengadukanmu pada Rasulullah S.A.W. Ini sudah kali ketiga, engkau katakan tidak akan kembali namun ternyata masih kembali. Ia pun berkata, “Biarkan aku. Aku akan mengajari suatu kalimat yang akan bermanfaat untukmu.” Abu Hurairah bertanya, “Apa itu?” Ia pun menjawab, “Jika engkau hendak tidur di ranjangmu, bacalah ayat kursi ‘Allahu laa ilaha illa huwal hayyul qoyyum …‘ hingga engkau menyelesaikan ayat tersebut. Faedahnya, Allah akan sentiasa menjagamu dan syaitan tidak akan mendekatimu hingga pagi hari.” Abu Hurairah berkata, “Aku pun melepaskan dirinya dan ketika pagi hari Rasulullah S.A.W bertanya padaku, “Apa yang dilakukan oleh tawananmu semalam?” Abu Hurairah menjawab, “Wahai Rasulullah, ia mengaku bahwa ia mengajarkan suatu kalimat yang Allah beri manfaat padaku jika membacanya. Sehingga aku pun melepaskan dirinya.” Nabi S.A.W bertanya, “Apa kalimat tersebut?” Abu Hurairah menjawab, “Ia mengatakan padaku, jika aku hendak pergi tidur di ranjang, hendaklah membaca ayat kursi hingga selesai iaitu bacaan ‘Allahu laa ilaha illa huwal hayyul qoyyum’. Lalu ia mengatakan padaku bahwa Allah akan sentiasa menjagaku dan syaitan pun tidak akan mendekatiku hingga pagi hari. Dan para sahabat lebih semangat dalam melakukan kebaikan.” Nabi S.A.W pun bersabda, “Adapun dia kala itu berkata benar, namun asalnya dia pendusta. Engkau tahu siapa yang bercakap denganmu sampai tiga malam itu, wahai Abu Hurairah?” “Tidak”, jawab Abu Hurairah. Nabi S.A.W berkata, “Dia adalah syaitan.” (HR. Bukhari no. 2311).

Diantara pengajaran yang boleh diambil dari hadis di atas ialah, sesiapa sahaja yang mengajarkan ilmu yang ternyata benar, maka ianya boleh untuk diamalkan sekalipun ianya dari syaitan.

Penjelasan lebih lanjut tentang pengajaran hadis di atas anda boleh baca di dalam kitab Fathul Bari, 6: 487-490 sepertimana yang dihuraikan oleh Ibnu Hajar al-Asqolani.

Jadi berdasarkan hadis di atas dan juga pengajaran hadis, ianya telah menjawab soalan yang pertama di atas.

Iaitu bolehkah mengamalkan zikir yang diterima dari seseorang yang datang dalam mimpi.

Jawapannya boleh jika zikir yang diajarkan itu memang ada sandarannya dari hadis Nabi S.A.W.

Sebagai contoh, anda mimpi didatangi seorang lelaki berjubah dan berserban.

Dalam mimpi tersebut dia mengajarkan anda supaya mengamalkan Surah Al-Kahfi supaya dapat selamat dari fitnah dajjal, maka bolehlah dilakukan amalan tersebut.

Kerana memang ada hadis Nabi S.A.W yang memberitahu tentang kelebihan tersebut.

Adakah Itu Tanda Gangguan Jin?

Ini persoalan yang kedua.

Apakah mimpi didatangi seseorang dan mengajar sesuatu kepada anda adalah satu bentuk gangguan jin?

Pernahkah anda mendengar tentang qarin? Apakah yang dimaksudkan dengan qarin?

Allah S.W.T telah berfirman di dalam Surah Qaf ayat ke 23 yang bermaksud:

Dan berkatalah qarinnya yang sentiasa ada bersama-samanya: Inilah (Kitab catatan amal manusia) yang terletak di dalam jagaanku serta yang siap sedia (untuk dibicarakan).”

Imam al-Qurthubi (671 H) ketika menafsirkan ayat ini menyatakan bahawa yang dimaksudkan dengan qarin di dalam ayat di atas adalah malaikat yang diutuskan untuk manusia menurut pendapat al-Hasan, Qatadah dan Dhahhak.

Kemudian Allah S.W.T juga telah berfirman di dalam Surah Qaf ayat 27 yang bermaksud:

Telah berkata qarinnya: Wahai Tuhan kami, aku tidak menyesatkannya tetapi sememangnya dia sendiri berada di dalam kesesatan yang jauh terpesong.”

Manakala, qarin di dalam ayat di atas pula adalah jin yang didatangkan oleh Allah SWT kepada hamba yang berdosa ini, di mana jin ini berlepas diri daripada perbuatannya (iaitu menyesatkan hamba ini) serta mendustakannya. [Lihat: Tafsir al-Qurthubi, 16-17/17]

Jadi berdasarkan kepada kedua-dua ayat di atas, dapatlah kita fahami bahawa qarin itu adalah pendamping manusia dari kalangan malaikat dan juga dari kalangan jin.

Jadi pada pandangan saya, apabila anda bermimpi seseorang datang dalam mimpi dan mengajarkan sesuatu, ianya bukanlah mesti gangguan jin.

Boleh jadi ianya adalah satu bentuk peringatan ataupun nasihat yang disampaikan oleh qarin dari kalangan Malaikat.

Dan boleh jadi juga ianya merupakan satu bentuk tipudaya yang sangat halus yang cuba dilakukan oleh qarin dari kalangan jin.

Cara Mengenal Mimpi Yang Baik Dan Juga Yang Menipu Daya

Nak mengenal mimpi yang baik sebenarnya mudah sahaja.

Sekiranya anda bermimpi diajarkan sesuatu samada zikir ataupun doa, cek balik apakah zikir dan doa yang diajarkan itu ada sandarannya atau tidak.

Seperti yang saya jelaskan sebelum ini. Jika ada sandarannya, maka inshaaAllah ianya suatu bentuk peringatan ataupun nasihat kebaikan untuk anda.

Tak salah untuk anda amalkannya.

Macam mana pula mimpi yang mempunyai tipu daya?

Ini yang anda kena berhati-hati. Jangan lupa bahawa tipu daya syaitan itu sangat halus.

Pernah tak anda mimpikan seseorang yang datang mengajarkan anda sesuatu amalan yang baik, contohnya ayat kursi dan sebagainya.

Tetapi orang tersebut akan menakutkan anda dengan mengatakan bahawa sekiranya anda tidak mengamalkan apa yang diajarkannya, maka dalam tempoh-tempoh tertentu anda akan mengalami musibah.

Jadi disebabkan anda takut dengan musibah yang bakal berlaku kepada anda, maka anda pun amalkan apa yang diajarkan orang yang datang dalam mimpi anda itu.

Walaupun apa yang anda amalkan itu tidak salah, tetapi niat anda mengamalkan itu yang telah terpesong.

Anda bukan lagi beramal kerana Allah, tetapi kerana anda takut dengan musibah yang dikatakan oleh orang dalam mimpi tersebut.

Yang keduanya anda telah mempercayai bahawa ada orang lain selain Allah yang tahu apa musibah yang akan berlaku kepada anda dan bila musibah tersebut akan berlaku.

Bukankah ini satu kepercayaan yang boleh menjatuhkan diri anda kepada syirik. Nampak tak tipu daya syaitan sangat halus?

Dalam dia ajar anda sesuatu yang bermanfaat seperti zikir, doa dan sebagainya, dalam masa yang sama juga dia cuba merosakkan akidah anda.

Kesimpulan

Untuk amalkan zikir-zikir yang anda terima melalui mimpi tidaklah salah, asalkan anda yakin bahawa ianya terbukti benar seperti yang telah diajarkan oleh Nabi S.A.W.

Dan dalam masa yang sama, anda juga perlu berhati-hati kerana anda tidak pasti siapakah sebenarnya orang yang datang dalam mimpi anda itu.

Mungkin ketika dia datang pada kali pertama dalam mimpi anda, dia tidak melakukan tipu daya kepada anda.

Mungkin juga dia sedang menunggu masa yang sesuai untuk memesongkan anda dari jalan yang benar.

Ingatlah bahawa tipu daya syaitan itu sangat halus.

Follow saya di sosial media:
Bolehkah Amalkan Zikir Yang Dapat Melalui Mimpi?
Scroll to top
error: Maaf. Artikel ini tidak dibenarkan untuk copy!!