Mengapa Perempuan Mudah Dirasuk Jin?

Anggaran Masa Bacaan: 7 minit

Dikemaskini pada 11/04/2022 oleh Ustaz Abdullah

Ada orang bertanya kepada saya mengapa golongan perempuan mudah dirasuk jin?

Saya tidak rasa pelik apabila ditanya dengan soalan begitu.

Kerana realitinya soalan tersebut ada kebenarannya. Saya sendiri sebagai seorang perawat, memang mengakui banyak merawat kes-kes kerasukan yang melibatkan golongan perempuan.

Tapi apa sebabnya berlaku keadaan begitu?

InshaaAllah dalam artikel kali ini saya akan kongsikan punca-puncanya dengan anda.

Isi kandungan artikel:

Apakah Yang Dikatakan Kerasukan?

Menurut penjelasan dari Ibnu Qayyim, sakit seperti kerasukan atau dipanggil juga sebagai histeria ini berlaku adalah kerana disebabkan oleh rasukan dari roh-roh jahat yang menyerang roh manusia.

Akibatnya keadaan itu boleh memberikan kesan buruk kepada fizikal mereka yang menjadi mangsa.

Gejala kemasukan jin ke dalam tubuh badan manusia ini juga telah dihuraikan oleh Syeikh Wahid Abdussalam Bali yang menyebut al-sar’ (الصرع), suatu gejala kekurangan fungsi yang menimpa akal manusia sehingga tidak dapat menyedari apa yang diucapkannya dan tidak dapat menghubungkan antara apa yang sudah diucapkan dengan apa yang akan diucapkannya.

Orang yang terkena penyakit ini mengalami kehilangan ingatan akibat dari kecelaruan yang berlaku pada saraf otak. (Lihat ‘Alam al-Jin fi Dhaw’ al-Kitab wa al-Sunnah, hlm. 252)

Pandangan Islam Tentang Kerasukan

Adakah Islam memperakui kewujudan gangguan berupa kemasukan jin ke dalam tubuh manusia ini?

Ya, Islam memperakui akan kewujudan gejala tersebut.

Bahkan Islam juga memperakui bahawa dengan sebab kerasukan jin itu boleh mengakibatkan kewarasan akal dan jiwa terganggu.

Ini bertepatan dengan sabda Rasulullah s.a.w yang menjelaskan perihal jin yang berupaya memasuki tubuh badan manusia lalu merosakkan hati insan.

Maksudnya: “Sesungguhnya syaitan berjalan pada anak manusia itu seperti berjalannya darah pada peredarannya” (Riwayat Bukhari: 2038)

Perempuan Kerasukan Bukan Perkara Baru

Jika anda merasakan zaman sekarang sahaja berlaku kerasukan dikalangan perempuan, anda tersilap.

Ini kerana, menurut pandangan ulama, gangguan spiritual kepada golongan perempuan bukanlah suatu perkara baru.

Ianya sudah berlaku sejak zaman Rasulullah s.a.w lagi.

Antaranya seperti yang diceritakan di bawah:

Atha’ bin Abi Rabah berkata: Ibn Abbas r.a. telah berkata kepadaku: “Adakah kamu mahu sekiranya aku tunjukkan kepadamu seorang wanita yang menjadi penghuni syurga?” Atha’ menjawab: “Sudah tentu aku ingin”. Ibn Abbas lalu berkata: “Wanita kulit hitam itu telah datang kepada Nabi SAW dan berkata: “Sesungguhnya aku sering kerasukan dan (ketika aku dirasuk), auratku sering terdedah. Doakanlah kepada Allah agar aku sembuh. Nabi SAW bersabda: Sekiranya kamu mahu, kamu bersabarlah dan kamu akan mendapat syurga. Dan jika kamu mahu, aku akan berdoa kepada Allah agar Dia menyembuhkanmu. Lalu wanita itu berkata: Aku (pilih untuk) bersabar. Wanita itu berkata lagi: Sesungguhnya auratku sering terbuka (ketika aku dirasuk), maka berdoalah kepada Allah agar auratku tidak terdedah. Maka Nabi berdoa untuknya”.

Riwayat al-Bukhari (5652)

Faktor-Faktor Gangguan Spiritual Kepada Perempuan

Berdasarkan kepada pemerhatian dan pengalaman saya, dan disokong pula dengan melalui pembacaan yang saya lakukan, antara faktor orang perempuan ini mudah terkena gangguan jin ialah:

  1. Lemah semangat. Dalam menghadapi gangguan spiritual yang disebabkan oleh jin dan syaitan, kaum wanita didapati lebih mudah menjadi lemah semangat.

    Ini disebabkan jiwa mereka yang halus dan lembut berbanding kaum lelaki yang diciptakan dengan jiwa yang lebih kasar dan keras.

    Apa lagi jika seseorang wanita itu sememangnya sedang dilanda dengan masalah tekanan perasaan yang membawa kepada depresi emosi dan mental.

    Ini sudah tentu memudahkan lagi kemungkinan untuk mereka mengalami gangguan spiritual.
  2. Keuzuran syar’ie. Dalam keadaan uzur syar’ie seperti didatangi haid dan nifas, kaum wanita dilarang untuk mendirikan solat, berpuasa, membaca al-Quran dan pelbagai lagi ibadah khusus yang lain.

    Hal ini sudah tentu akan menyebabkan mereka sentiasa terdedah kepada unsur-unsur gangguan spiritual akibat daripada jin dan syaitan kerana keadaan rohani yang lemah.
  3. Jin jatuh cinta kepada wanita tersebut. Dalam sesetengah keadaan, berlaku kes jin mencintai seseorang wanita.

    Walaupun gangguan sebegini boleh berlaku kepada orang lelaki, tetapi dari pengalaman saya, kes begini banyak berlaku kepada orang perempuan.

    Apabila jin mencintai wanita tersebut, maka ia akan berusaha untuk menguasai diri wanita tersebut agar sentiasa mendampinginya.
  4. Penyakit ‘ain. Penyakit ‘ain boleh berlaku kepada sesiapa jua terutama kepada wanita cantik yang gemar mempamerkan kecantikan dirinya kepada orang lain.

    Asalkan seseorang itu memiliki sesuatu yang menyebabkan orang lain merasa dengki, maka penyakit ‘ain boleh berlaku.
  5. Mengamalkan perkara-perkara syirik, khurafat dan tahyul. Perkara-perkara syirik, khurafat dan tahyul itu mungkin berlaku menerusi tangkal dan azimat yang dibekalkan bomoh, jampi serapah yang diamalkan atau ritual tertentu yang diajarkan.

    Hal ini menjadikan mangsa semakin jauh kebergantungannya dengan Allah SWT.

    Malah dalam sesetengah kes, bomoh itu sendiri yang menjadi penyebab kepada musibah yang menimpa mangsa seperti histeria, kerasukan dan lain-lain.

    Ia bagi memastikan mangsa sentiasa terikat untuk mendapatkan rawatan daripadanya.

Cara Mengelakkan Gangguan Spiritual

Oleh kerana itu, antara ikhtiar yang sepatutnya diamalkan untuk membentengi diri dari gangguan jin ialah:

  1. Ikhlas dalam beragama. Apabila iblis berjanji kepada Allah untuk menyesat, mengkafir, memusyrik dan menjadikan umat Islam ahli neraka, iblis dengan sendirinya mengakui bahawa ia tidak dapat melaksanakan janji tersebut kepada satu golongan orang, iaitu mereka yang ikhlas sebagaimana dinyatakan Allah SWT dalam surah al-Hijr ayat 36-40:

    Maksudnya: “(Berkata iblis: Ya Rabbku! Kalau begitu maka beri tangguhlah kepadaku sampai hari dibangkitkannya manusia. (Allah berfirman, “Kalau begitu, maka sesungguhnya kamu termasuk orang-orang yang diberi tangguh). (sampai hari suatu waktu yang telah ditentukan.”) yaitu sampai tiupan sangkakala yang pertama. (Iblis berkata, “Ya Rabbku! Oleh sebab Engkau telah memutuskan bahwa aku sesat) artinya disebabkan Engkau telah menetapkan aku sesat; huruf ba pada lafal bimaa adalah bermakna qasam, sedangkan jawabnya ialah (pasti aku akan menjadikan mereka memandang baik di muka bumi ini) terhadap perbuatan-perbuatan maksiat (dan pasti aku akan menyesatkan mereka semuanya). (Kecuali hamba-hamba Engkau yang mukhlis di antara mereka”) yakni orang-orang yang beriman.”
  2. Takut kepada Allah. Jika kita takut kepada Allah SWT, maka syaitan akan takut daripada mengganggu kita. Sebaliknya jika kita tidak takut kepada Allah, maka syaitan juga tidak akan takut daripada mengganggu kita.

    Sebagai contoh, cara sebenar untuk memagar rumah ialah membaca Basmalah setiap kali memasuki rumah dan ketika hendak menutup pintu.

    Kemudian hendaklah para penghuni rumah beristiqamah dengan amalan-amalan yang menepati al-Qur’an dan al-Sunnah seperti menunaikan solat berjamaah, membaca al-Qur’an khasnya surah al Baqarah dan melayani ahli keluarga dengan baik.

    Pada waktu yang sama jangan dilakukan perkara-perkara mungkar di dalam rumah. Cara ini akan menakutkan syaitan dari memasuki rumah dan mengganggu para penghuninya.
  3. Jangan mengikuti jejak-jejak syaitan. Antaranya seperti berakhlak buruk, bertemu bomoh bagi meminta ramalan, mencari barang hilang, meminta jampi-jampian dan menjatuhkan sihir kepada orang lain serta gemar membazirkan masa di pasar, pusat membeli belah dan seumpamanya tanpa tujuan.
  4. Sentiasa berjemaah. Jamaah yang saya maksudkan di sini bukanlah sesuatu parti, persatuan, pertubuhan atau organisasi, tetapi sentiasa melakukan sesuatu dengan ditemani ahli keluarga atau rakan taulan.

    Termasuk juga dalam pengertian jemaah di sini ialah sentiasa solat berjemaah dan juga menghadiri majlis-majlis ilmu.
  5. Sentiasa berzikir. Sekurang-kurangnya terdapat tiga jenis zikir untuk kita melawan gangguan syaitan, iaitu:

Pertama: Basmalah (بسملة)

Apabila kita hendak memulakan apa jua urusan, mulailah dengan menyebut “بِسْمِ اللَّـهِ الرَّحْمَـٰنِ الرَّحِيمِ”.

Sebelum ini telah dikemukakan banyak hadis-hadis yang mengajar kita membaca Basmalah (بسملة) apabila mula melakukan sesuatu perkara.

Walaubagaimana pun membaca Basmalah (بسملة) tidak terhad kepada urusan-urusan memasuki rumah dan mengunci pintu sahaja.

Oleh kerana syaitan turut serta dalam apa jua urusan yang kita buat, maka dengan itu kita mendahului semuanya dengan Basmalah (بسملة).

Rasulullah SAW bersabda:

Maksudnya: “Sesungguhnya syaitan hadir di sisi seseorang kalian pada setiap sesuatu yang kalian lakukan…”.

KeduaIsti‘azah.

Isti‘azah ialah menyebut “أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ”yang bermaksud “Aku berlindung kepada Allah dari syaitan yang direjam”. 

Apabila saja kita merasai dihasut, dibisik atau diganggu oleh syaitan, maka sebutlah Isti‘azah. Allah SWT berfirman dalam surah al-A’raf ayat 200-201:

Maksudnya: “Dan jika engkau dihasut oleh sesuatu hasutan dari syaitan, maka mintalah perlindungan kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa, apabila mereka disentuh oleh sesuatu imbasan hasutan dari syaitan, mereka ingat (kepada Allah) maka dengan itu mereka nampak (jalan yang benar)”.

Ketiga: Membaca ayat dan surah-surah tertentu.

Basmalah dibaca sebelum sesuatu urusan, manakala Isti‘azah pula dibaca apabila merasai gangguan syaitan ketika melakukan sesuatu urusan, maka zikir yang ketiga ialah melazimkan diri membaca beberapa ayat dan surah yang tertentu.

Ayat dan surah yang dimaksudkan ialah ayat al-Kursi, surah al-Baqarah dan surah al-Mu‘awwizatain (surah al-Falaq dan surah al-Nas).

Demikian tiga jenis zikir untuk melawan syaitan.

Sebutlah ia, bacalah ia dengan penuh keyakinan dan penghayatan. Jangan dengan keraguan dan kelalaian. Ingin ditambah bahawa tiga jenis zikir di atas adalah umum untuk semua jenis gangguan syaitan dalam semua suasana.

Sebagai tambahan terdapat beberapa zikir yang khusus diajar oleh Rasulullah SAW untuk kes-kes tertentu seperti memasuki tandas, keluar rumah untuk sesuatu perjalanan, apabila memasuki rumah yang kosong dan sebagainya.

Ketahuilah semua ini adalah termasuk dalam kategori ujian bagi orang yang beriman.

Sebagaimana kata Abu al-Barra’ al-Ma’ani, “Bahawa rasukan jin terhadap manusia adalah termasuk dalam jenis ujian daripada Allah SWT, Allah SWT dengan kebijaksanaan-Nya menguji hamba-hamba-Nya dengan pelbagai jenis ujian dan rasukan adalah antaranya.

Firman Allah: Dan kami menguji kamu dengan kejahatan dan kebaikan sebagai satu ujian, dan kepada kami kamu akan kembali. (Surah al-Anbiya’ ayat 35), maka kepada sesiapa yang diuji dengan demikian itu hendaklah ia bersabar dan mengharapkan ganjaran serta habuan daripada Allah di samping berusaha untuk mengubatinya dengan sebab-sebab yang disyariatkan…”. (Lihat Fath al-Haqq al-Mubin: 79)

Kesimpulan

Justeru, dalam mengharungi segala ujian yang diciptakan oleh Allah SWT ini, tiada jalan lain bagi seseorang wanita itu kecuali kembali mengikuti manhaj yang telah digariskan oleh Allah SWT dan Rasul-Nya SAW.

Melakukan segala yang diperintah oleh-Nya dan meninggalkan segala yang dilarang sehingga mencapai tahap kategori yang disebutkan oleh Nabi SAW sebagai wanita yang solehah.

Sabda Rasulullah SAW:

Maksudnya: “Sesungguhnya dunia ini nikmat, sebaik-baik nikmat dunia adalah wanita yang solehah”.

Riwayat Muslim (64)

Saya berdoa kepada Allah, semoga Allah selamatkan kita dari sebarang gangguan jin serta makhluk-Nya. Saya tutupi dengan doa yang ma’thur:

MaksudnyaDan katakanlah: “Wahai Tuhanku, aku berlindung kepadaMu dari hasutan Syaitan-syaitan, “Dan aku berlindung kepadaMu, wahai Tuhanku, supaya Syaitan-syaitan itu tidak menghampiriku”.

(Surah al-Mukminun: 97-98)

Anda Dapat Sesuatu?

Jika anda rasa artikel ini bermanfaat, sila kongsikan dengan rakan-rakan dan juga orang yang anda sayangi. Anda juga boleh melanggan artikel terbaru saya terus melalui emel. Klik di sini untuk melanggan.

Anda aktif menggunakan aplikasi telegram? Saya juga ada kongsikan ilmu-ilmu mahal tentang perubatan Islam melalui telegram. Berminat? Join channel telegram saya di sini.

Kecewa dengan masalah gangguan jin dan sihir yang belum sembuh? Walaupun anda dah habis beribu ringgit?

Mahukah saya tunjukkan kepada anda RAHSIA bagaimana untuk sembuh dengan cara yang mudah, praktikal & menjimatkan? Walaupun ketika anda sedang tidur. Klik di sini untuk mengetahui caranya!

Follow saya di sosial media:
Mengapa Perempuan Mudah Dirasuk Jin?
Scroll to top
error: Maaf. Artikel ini tidak dibenarkan untuk copy!!