Anda tengah was-was ke samada dalam badan ada sihir atau tak? Tidak lagi bila anda dapatkan 2 video percuma ni. Klik di sini.

Apakah Enam Kelemahan Jin?

Dikemaskini pada 13/04/2015 oleh Ustaz Abdullah

kelemahan jinWalaupun kita tahu bahawa jin dan syaitan mempunyai kemampuan-kemampuan yang tidak dimiliki oleh kita manusia, tetapi al-Quran dengan begitu tegas dan jelas mengatakan yang hakikatnya tipu daya jin dan syaitan itu adalah lemah.

Dalam artikel kali ini, saya akan kongsikan dengan anda enam kelemahan yang ada pada jin dan syaitan:

1. Tidak mampu untuk mengalahkan golongan orang-orang yang soleh.

Kebenaran bahawa jin dan syaitan tidak mampu untuk mengalahkan golongan hamba-hamba Allah yang soleh ialah dari perkataan syaitan itu sendiri sepertimana yang dirakamkan oleh Allah di dalam al-Quran, yang bermaksud:

“Iblis berkata: “Ya Tuhanku, oleh kerana Engkau telah memutuskan bahawa aku sesat, pasti aku akan menjadikan mereka memandang baik (perbuatan maksiat) di muka bumi, dan pasti aku akan menyesatkan mereka semuanya, kecuali hamba-hamba Engkau yang mukhlis diantara mereka” . (Surah al-Hijr 15: 39-40)

Dari ayat di atas, dapatlah kita fahami bahawa hakikatnya jin dan syaitan hanya dapat menguasai manusia adalah disebabkan dosa yang mereka telah lakukan. Seandainya manusia itu dekat dengan Allah, maka syaitan akan melarikan diri dari mendekatinya apatahlagi menguasainya.

2. Syaitan takut dan lari oleh sebahagian hamba Allah.

Apabila seseorang itu benar-benar berpegang teguh dan mengamalkan ajaran Islam yang sebenarnya, maka syaitan akan takut untuk mendekatinya. Hal ini terdapat pada diri Saidina Umar al-Khattab.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Tirmizi, Rasulullah s.a.w telah bersabda kepada Umar al-Khattab:

“Sesungguhnya syaitan sangat takut akan dirimu wahai Umar”. (HR. Turmudzi)

Bukan hanya kepada Umar, akan tetapi syaitan (jin kafir) juga akan takut  oleh orang-orang beriman yang betul-betul dengan keimanannya. Dalam al-Bidayah wan Nihayah, Ibnu Kathir pernah mengutip hadis berikut ini:

“Sesungguhnya orang mukmin akan dapat mengawal (mengalahkan) syaitannya sebagaimana salah seorang dari kalian yang dapat mengawal untanya ketika perjalanan”. (HR. Ahmad)

Bahkan, apabila seseorang betul-betul beriman, dan soleh, dia boleh membawa qarinnya (penyertanya, kerana setiap manusia itu pasti disertai oleh syaitan (jin kafir) disebelah kirinya dan malaikat disebelah kanan atau sering disebut qarin) masuk Islam.

Hal ini sebagaimana disebutkan dalam sebuah hadis riwayat Iman Muslim:

“Rasulullah s.a.w telah bersabda: Tidak ada seorang pun kecuali ia disertai oleh seorang qarin (penyerta) dari jin dan seorang penyerta (qarin) dari malaikat”. Para sahabat bertanya: “Apakah termasuk anda juga wahai Rasulullah?” Rasulullah menjawab: “Ya, termasuk saya, hanya saja Allah menolong saya sehingga jin itu masuk Islam. Ia (jin tadi) tidak pernah menyuruh saya kecuali untuk kebaikan”. (HR. Muslim)

3. Jin takut dan taat pada Nabi Sulaiman 

Diantara mukjizat Nabi Sulaiman adalah dapat menakluk jin dan syaitan sehingga semuanya bekerja atas perintahnya. Hal ini sebagaimana ditegaskan dalam ayat al-Quran di bawah ini:

“Kemudian Kami tundukkan kepadanya angin yang berhembus dengan baik menurut ke mana sahaja yang dikehendakinya, dan (Kami tundukkan pula kepadanya) syaitan-syaitan semuanya ahli bangunan dan penyelam, dan syaitan yang lain yang terikat dalam belenggu” (QS Shad ayat 36-38)

Mukjizat ini diberikan kepada Nabi Sulaiman sebagai pengabulan atas doanya yang mengatakan:

“Dan berikanlah kepadaku kerajaan yang tidak diberikan kepada orang setelahku” (QS Shad 38:35)

Doa Nabi Sulaiman inilah yang menyebabkan Rasulullah tidak jadi untuk mengikat jin yang datang dengan melemparkan anak panah ke muka baginda. Dalam sebuah hadis Muslim dikatakan:

“Dari Abu Darda berkata: “Suatu hari Rasulullah s.a.w bangun, tiba-tiba kami mendengar Rasulullah mengatakan: “Aku berlindung dengan Allah darimu”, kemudian Rasulullah s.a.w juga berkata: “Allah telah melaknatmu” sebanyak tiga kali. Rasulullah lalu menghamparkan tangannya seolah-olah beliau sedang menerima sesuatu. Ketika Rasulullah s.a.w selesai solat, kami bertanya: “Wahai rasulullah, kami mendengar anda mengatakan sesuatu yang belum pernah kami dengar sebelum ini. Kami juga melihat anda membukakan kedua tapak tangan anda”. Rasulullah s.a.w menjawab: “Baru Iblis musuh Allah datang membawa anak panah api untuk dipasang di muka saya, lalu aku berkata: “Aku berlindung dengan Allah darimu” sebanyak tiga kali, kemudian saya juga berkata: “Allah telah melaknatmu dengan laknat yang sempurna”, sebanyak tiga kali. Kemudian saya bermaksud untuk mengambilnya. Seandainya saya tidak ingat doa Sulaiman, tentu saya akan mengikatnya sehingga menjadi mainan anak-anak penduduk Madinah”. (HR Muslim)

4. Jin dan syaitan tidak dapat menyerupai Rasulullah.

Syaitan dan jin tidak dapat menyerupai bentuk dan wajah Rasulullah s.a.w. Oleh kerana itu, apabila seseorang bermimpi melihat Rasulullah maka ia sungguh telah melihat baginda.

Dalam hadis sahih dikatakan:

“Rasulullah s.a.w telah bersabda: “Sesiapa yang bermimpi melihatku, maka dia sungguh telah melihatku, kerana syaitan tidak dapat melihatku”. (HR Muslim)

5. Jin dan syaitan tidak boleh melewati batas-batas tertentu di langit

Sekalipun jin dan syaitan mempunyai kelebihan dapat bergerak dengan cepat, akan tetapi mereka tidak akan dapat melepasi batas-batas yang telah ditetapkan yang tidak dapat dilalui oleh selain dari para malaikat.

Kerana apabila mereka berani melaluinya, maka mereka akan binasa dan hancur. Kerana itu pula, jin tidak dapat mengetahui dan mencuri maklumat dari langit sehingga apa yang dibisikkannya kepada tukang-tukang ramal dan dukun adalah pembohongan semata-mata.

Untuk lebih jelasnya hal ini, anda dapat melihat kepada surah ar-Rahman ayat 33-35.

6. Jin tidak dapat membuka pintu yang sudah ditutup dengan menyebut nama Allah.

Dalam sebuah hadis, Rasulullah s.a.w telah bersabda:

“Tutuplah pintu-pintu, dan sebutlah nama Allah (ketika menutupnya), kerana syaitan tidak akan dapat membuka pintu yang sudah dikunci dengan menyebut nama Allah. Tutup jugalah tempat air minum (qirab dalam bahasa Arab adalah tempat menyimpan air yang diperbuat dari kulit binatang) dan bekas-bekas kamu sambil kamu menyebut nama Allah, meskipun kamu hanya menyimpan sesuatu di dalamnya dan ketika hendak tidur, matikanlah lampu-lampu kalian”. (HR Muslim)

Kredit info: Detik Islam

Follow saya di sosial media:
Apakah Enam Kelemahan Jin?
Scroll to top
error: Maaf. Artikel ini tidak dibenarkan untuk copy!!