8 Jenis Perkara Mencarik Adat (Bahagian 1)

perkara mencarik adat

Apakah yang dimaksudkan dengan perkara yang mencarik adat? Untuk mudah faham, maksud perkara yang mencarik adat ini ialah perkara-perkara yang berlaku di luar jangkaan akal manusia. Maksudnya akal tidak dapat menerima berlakunya sesuatu perkara yang mencarik adat tersebut.

Mengenai perkara ini, ianya ada dijelaskan di dalam kitab “Aqidatun Najin fi ‘Ilmu Usulluddin”(I`itiqad Segala Orang Yang Kelepasan Daripada Sesat Dan Bid`ah Pada Menyatakan `Ilm Usuluddin), iaitu sebuah karya yang dikarang oleh Syeikh Zainal Abidin al-Fatani. Di dalam tulisan ini, saya tidak bercadang untuk menulis dengan panjang lebar berkenaan dengan pengarang kitab tersebut, dan juga kitab yang saya sebutkan di atas. Anda boleh membuat kajian sendiri samada melalui pembacaan di internet, membeli buku dan sebagainya.

Dari pengalaman saya di dalam bidang perubatan Islam, saya dapati ramai pesakit tertipu apabila ada perawat yang menunjukkan kejadian-kejadian yang mencarik adat. Mereka sangat mudah percaya kononnya itu adalah kelebihan yang diberikan oleh Allah kepada mereka.

Hakikatnya apa yang mereka katakan itu adalah tidak benar sama sekali. InshaaAllah dengan membaca artikel ini, saya berharap anda akan lebih memahami perkara-perkara mencarik adat. Ini kerana perkara mencarik adat ini ada yang datangnya dari Allah, dan ada yang berlakunya perkara tersebut disebabkan bantuan jin sebagai balasan kepada manusia yang sanggup menuruti permintaan jin tersebut.

Seperti yang anda baca pada bahagian tajuk artikel ini, ada 8 jenis perkara-perkara mencarik adat. Dalam artikel kali ini, saya akan kongsikan dengan anda 4 perkara mencarik anda yang mana keempat-empat ini berlaku adalah disebabkan anugerah dan pemberian Allah kepada hamba-hamba-Nya yang terpilih disebabkan keimanan dan ketaatan mereka kepada Allah.

Pekara Mencari Adat Pertama: Mukjizat

Apakah yang dimaksudkan dengan mukjizat? Mukjizat ialah perkara luar biasa yang mencarik adat, yang berlaku kepada Nabi dan Rasul, di mana ianya berlaku di luar jangkauan akal pemikiran manusia biasa. Mukjizat berlaku secara spontan, tanpa dirancang, bahkan Nabi dan Rasul juga tidak dapat melakukannya.

Ia berlaku semata-mata dengan kehendak Allah s.w.t sahaja. Oleh kerana mukjizat hanyalah dianugerahkan kepada para Nabi dan Rasul, maka ianya tidak boleh dipelajari oleh sesiapa pun. Allah mengurniakan mukjizat kepada para Nabi dan Rasul adalah untuk menjadi bukti terhadap dua perkara:

  1. Membuktikan kebenaran bahawa mereka adalah utusan Allah yang diutuskan kepada kaum masing-masing.
  2. membuktikan kebenaran ajaran dan dakwah yang dibawa oleh para Rasul tersebut.

Antara ciri terpenting sesuatu mukjizat yang dikurniakan kepada para rasul ialah mukjizat tersebut bersesuaian dengan keadaan umat pada zaman tersebut. Sebagai contoh, mukjizat yang dikurniakan kepada Nabi Musa adalah berbentuk seakan-akan sihir, tetapi ianya bukan sihir. Allah mengurniakan mukjizat ini kepada Nabi Musa kerana Nabi Musa diperintahkan oleh Allah untuk berhadapan dengan Firaun di mana pembesar-pembesar Firaun terdiri dari kalangan ahli sihir yang handal.

Antara ayat-ayat Al-Quran yang menceritakan tentang mukjizat Nabi Musa ialah:

Surah Taha ayat 22: “Dan kepitlah tanganmu di celah lambungmu; nescaya keluarlah ia putih bersinar-sinar dengan tidak ada cacat; sebagai satu mukjizat yang lain”

Surah Al-A’raf ayat 107: “Nabi Musa pun mencampakkan tongkatnya, maka tiba-tiba tongkatnya itu menjadi seekor ular yang jelas nyata”

Jadi, jika ada di zaman sekarang yang mengaku mendapat mukjizat dari Allah s.w.t, tahulah kita bahawa mereka yang mengaku begitu adalah pendusta.

Perkara Mencarik Adat Kedua: Irhas

Apa pula yang dimaksudkan dengan irhas? Irhas ialah peristiwa ataupun kejadian luar biasa yang berlaku kepada calon Nabi dan Rasul. Ianya berlaku samada ketika masih kecil ataupun sebelum diangkat menjadi Rasul.

Contoh-contoh irhas ialah:

  1. Sebelum Rasulullah s.a.w diangkat menjadi Rasul, ke mana sahaja Baginda pergi, akan ada gumpalan awan yang sentiasa mengikuti baginda dan memayungi Baginda dari panas terik matahari.
  2. Ketika Nabi Isa alaihi salam masih lagi bayi, Baginda sudah dapat berbicara untuk menjelaskan apa yang sebenarnya telah berlaku kepada ibunya iaitu Siti Maryam.
  3. Irhas kepada Nabi Musa pula ialah ketika Allah s.w.t menyelamatkan Baginda dari kejahatan Firaun. Di mana Allah telah mengilhamkan kepada ibunya supaya menghanyutkan Baginda ke sungai Nil.

Perkara Mencarik Adat Ketiga: Karamah

Dari segi bahasa, karamah bermaksud kemuliaan, penghormatan atau anugerah. Dari segi istilahnya pula, karamah bermaksud perkara-perkara luar biasa yang berlaku ke atas golongan manusia yang diangkat menjadi wali Allah disebabkan keimanan, ketakwaan dan juga ketaatan mereka kepada Allah.

Seperti juga mukjizat dan irhas, karamah ini adalah anugerah dari Allah, berlakunya dengan izin Allah semata-mata dan ianya tidak boleh diprogramkan mengikut kehendak manusia, apatahlagi dilakukan demo untuk ditayangkan dihadapan manusia.

Diantara contoh-contoh karamah yang dianugerahkan oleh Allah kepada hamba-Nya yang benar-benar ikhlas ialah:

  1. Kejadian luar biasa yang dialami oleh ibu Nabi Isa iaitu Maryam binti Imran, di mana beliau selalu memperolehi makanan ketika berada di mihrab, sedangkan beliau tidak pernah keluar dari mihrabnya. Kejadian luar biasa ini dirakamkan oleh Allah di dalam Al-Quran iaitu pada Surah Ali Imran ayat 37 yang bermaksud, “Tiap-tiap kali Nabi Zakaria masuk untuk menemui Mariam di Mihrab, dia dapati rezeki (buah-buahan yang luar biasa) di sisinya. Nabi Zakaria bertanya: Wahai Mariam dari mana engkau dapati (buah-buahan) ini? Mariam menjawab; Ia adalah dari Allah, sesungguhnya Allah memberikan rezeki kepada sesiapa yang dikehendakiNya dengan tidak dikira”
  2. Peristiwa luar biasa lain yang menunjukkan kemuliaan yang diberikan oleh Allah ialah seperti yang berlaku kepada Amir bin Fuhairah. Siapakah beliau? Beliau ialah bekas hamba sahaya yang telah dibebaskan oleh Abu Bakar As-Siddiq. Beliau merupakan antara orang awal memeluk Islam, terlibat di dalam perang Badar al-Kubra dan juga Uhud. Beliau telah diberikan amanah oleh Rasulullah di dalam peristiwa hijrah. Tugasnya ialah membawa kambing-kambingnya ke gua thur untuk diminum susunya oleh Baginda Rasul s.a.w dan juga Abu Bakar tanpa dicurigai oleh kaum kafir Quraisy. Peristiwa ajaib yang berlaku kepada Amir bin Fuhairah ini ialah ketika tubuhnya ditusuk dengan tombak oleh Jabbar bin Salma, dalam keadaan menahan sakit itu Amir bin Fuhairah menjerit, “Demi Allah, sesungguhnya aku telah menang wahai Jabbar”. Tubuh Amir bin Fuhairah tergeletak di atas tanah dan kemudian tubuhnya terangkat ke atas langit, peristiwa ini pun disaksikan oleh orang-orang kafir yakni Jabbar bin Salma dan Amir bin Thufail. Peristiwa tersebut menjadi pertanda karomah yang Allah Subhanahu Wa Ta’ala berikan kepada Amir bin Fuhairah. Setelah peristiwa itu, Jabbar bin Salma selalu terngiang-ngiang ucapan Amir bin Fuhairah yang mengataka bahwa dirinya menang, dan beberapa waktu kemudian, ia mendapatkan penjelasan bahwa yang dimaksud dengan menang adalah surga.

Perkara Mencarik Adat Keempat: Maunah

Apa pula maunah ini? Dari segi bahasa maunah bermaksud pertolongan. Manakala secara istilah pula, maunah ini bermaksud kemampuan yang diberikan oleh Allah kepada seorang mukmin untuk menghadapi kesulitan hidup yang sedang dihadapinya. Maunah ini diberikan oleh Allah kepada sesiapa sahaja yang dikehendakinya, samaada kepada Nabi, para wali-Nya ataupun manusia biasa.

Kesimpulannya maunah itu ialah apabila berlakunya kejadian kepada seorang mukmin di mana dari segi akal yang waras mustahil dia boleh selamat dari kejadian tersebut. Tetapi dengan izin Allah dia selamat. Inilah yang dikatakan maunah.

Contohnya seseorang yang mengalami kemalangan ngeri yang mana dari segi hukum akalnya mereka yang terlibat pasti akan mati ataupun setidak-tidaknya pasti akan luka parah. Tetapi dengan izin Allah, mereka yang terlibat dalam kemalangan ngeri tersebut bukan sahaja tidak mati, bahkan tidak luka sedikitpun.

Persamaan Mukjizat, Irhas, Karamah dan Maunah

Setelah anda tahu apakah yang dikatakan dengan mukjizat, irhas, karamah dan maunah serta contoh-contohnya, mari kita lihat pula ciri-ciri persamaannya. Persamaan diantara mukjizat, irhas, karamah dan maunah ialah:

  1. Semuanya adalah perkara luar biasa yang berlaku di luar penerimaan akal yang sihat.
  2. Ianya terjadi atas kehendak Allah semata-mata.
  3. Ianya diberikan oleh Allah untuk mengatasi kesulitan serta untuk menolong hamba-Nya yang taat.
  4. Kejadian-kejadian luar biasa itu pula terjadi secara tiba-tiba tanpa adanya perencanaan, ianya tidak dapat dipelajari dan tidak dapat dikalahkan oleh sesiapa pun.
  5. Mereka yang mengalaminya pula tidak tahu bila perkara tersebut akan berlaku. Oleh kerana itu, perkara-perkara mencarik adat tidak dapat diprogramkan dengan tujuan untuk menunjuk kepada orang ramai kerana ianya hanya berlaku dengan kehendak Allah semata-mata.

Semoga perkongsian artikel ini dapat memberikan manfaat dan menambahkan ilmu pengetahuan buat diri kita semua. Di dalam bahagian kedua nanti, saya akan menulis pula tentang perkara-perkara mencarik adat di mana ianya berlaku atas kehendak Allah tetapi bukanlah sebagai suatu kebaikan kepada mereka yang mengalaminya, bahkan ianya adalah sebagai suatu musibah dan bala kepada mereka.

Anda Dapat Sesuatu?

Jika ya, jangan lupa untuk kongsikan artikel yang anda baca ini dengan rakan-rakan anda yang lain. Anda juga boleh melanggan artikel terbaru saya terus melalui emel. Klik di sini untuk melanggan.

 

 

2 Comments on "8 Jenis Perkara Mencarik Adat (Bahagian 1)"

Ada pertanyaan?