8 Jenis Perkara Mencarik Adat (Bahagian 2)

istidraj
Anggaran Masa Bacaan: 3 minit

Dikemaskini pada 26/11/2017 oleh Ustaz Abdullah

Sebelum ini saya sudahpun kongsikan dengan anda 4 jenis perkara mencarik adat iaitu mukjizat, irhas, karamah, dan juga maunah. Keempat-empat perkara ini berlaku adalah atas anugerah dari Allah dan ianya berlaku secara tiba-tiba. Bagi anda yang baru pertama kali membaca di blog ini, saya menggalakkan supaya anda membaca dulu artikel bahagian pertama di sini.

Dalam artikel kali ini, saya akan sambung perkongsian tentang 4 perkara lagi yang mana ianya juga termasuk dalam perkara-perkara yang mencarik adat. Tetapi berbeza dengan 4 perkara yang saya kongsikan sebelum ini, perkara mencarik adat yang empat ini adalah berlaku kerana ianya ada yang berkaitan dengan bantuan dari jin, ataupun ianya juga suatu pemberian dari Allah, tetapi bukan anugerah, bahkan ianya adalah suatu tanda kemurkaan dari Allah.

Perkara Mencarik Adat Kelima: Sihir

Sihir dari segi istilah bermaksud suatu perbuatan untuk menyakiti atau mempengaruhi badan, hati atau akal orang yang hendak disihir secara tersembunyi (ghaib). Ianya dikatakan dilakukan secara tersembunyi kerana sihir berlaku disebabkan tukang-tukang menggunakan bantuan dari jin di mana mereka termasuk dalam golongan makhluk ghaib.

Sihir juga dilakukan di luar hukum alam bagi mencapai tujuan tertentu seperti untuk menyakit seseorang, mengubati penyakit dan juga meramal masa hadapan. Jadi, apakah perkara mencarik adat yang boleh dilakukan dengan sihir?

Ini kerana dengan sihir, tukang sihir dapat menyembuhkan penyakit, atau dapat menjadikan seseorang itu sakit hanya dari jauh, tanpa perlu menyentuhnya. Tambahan diakhir zaman ini, terlalu banyak amalan sihir yang digunakan demi untuk mencapai sesuatu tujuan.

Perkara Mencarik Adat Keenam: Istidraj

Apakah pula yang dikatakan dengan istidraj? Yang dimaksudkan dengan istidraj ialah kesenangan atau nikmat yang Allah s.w.t kurniakan kepada orang-orang kafir atau pun orang-orang Islam yang fasiq dan jauh dari Allah. Istidraj ialah suatu azab kerana sekiranya orang tersebut tidak menyedarinya, ia kan menjadikan orang itu semakin jauh dari Allah.

Allah s.w.t telah berfirman di dalam Surah Ali-Imran ayat 178 yang bermaksud:

“Dan janganlah sekali-kali orang kafir itu menyangka bahawa pemberian tangguh Kami kepada mereka adalah lebih baik bagi mereka. Sesungguhnya Kami memberikan tangguh kepada mereka hanyalah supaya bertambah dosa-dosa mereka, dan bagi mereka azab yang menghinakan”

Orang Islam pun boleh kena ke istidraj ni?

Sesiapa sahaja berisiko untuk kena istidraj sekiranya tidak ada ilmu. Ini kerana hanya dengan ilmu sahajalah seseorang itu dapat membezakan diantara baik dan buruk.

Perkara Mencarik Adat Ketujuh: Sya’wadzah

Apakah sya’wadzah?

Sebenarnya sya’wadzah ini adalah termasuk dalam amalan sihir, tetapi ianya dizahirkan dalam bentuk permainan silap mata.

Zaman sekarang ini kita dapat melihat lahirnya begitu ramai ahli silap mata di mana kemahiran mereka bermain silap mata sampai ke tahap yang sangat mengkagumkan.

Jadi dikhuatiri permainan silap mata yang kita lihat itu sebenarnya adalah pertunjukan sihir. Bahayanya ialah apabila kita merasa kagum dengan kehebatan mereka sehingga kita meyakini 100% bahawa itu adalah kemahiran silap mata yang boleh dipelajari.

Dalam keadaan tidak sedar sebenarnya kita telah mengkagumi suatu amalan syirik dan lebih parah lagi kita ingin mempelajarinya memandangkan dengan kemahiran begitu kita dapat meraih populariti dan kekayaan dengan jalan mudah.

Perkara Mencarik Adat Kelapan: Ihanah

Ihanah ini adalah suatu perkara mencarik adat yang berlaku kepada mereka yang mengaku Nabi atau wali, tetapi apa yang berlaku adalah bertentangan dengan apa yang dikehendaki oleh mereka yang mengaku sebagai Nabi atau wali itu.

Sebagai contoh ialah kisah yang berlaku kepada Musailamah al-Kazzab. Musailamah al-Kazzab adalah seorang yang mengaku Nabi palsu. Nama asalnya ialah Musailamah ibnu Habib. Beliau dari suku kaum Bani Hanifah yang terletak di daerah Yamamah.

Dia diberi gelaran al-Kazzab yang bermaksud pendusta, kerana apa sahaja yang dikatakan dan dilakukan olehnya adalah dusta belaka.

Itulah azab yang dikenakan oleh Allah kepadanya di dunia. Bahkan dia mati dalam keadaan dikenali sebagai seorang pembohong.

Nauzubillah min zalik.

Kisahnya ialah di mana Musailamah al-Kazzab telah meludah ke dalam sebuah perigi di mana airnya adalah air masin. Tujuan dia meludahnya ialah untuk menjadikan air perigi tersebut tawar bagi membuktikan bahawa dia adalah seorang Nabi.

Tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya di mana air perigi tersebut bukannya bertukar menjadi tawar, bahkan ianya menjadi bertambah masin dari yang sebelumnya.

Inilah yang dikatakan ihanah. Datang dari mulut seorang pendusta, maka kehinaan bagi dirinya.

Anda Dapat Sesuatu?

Jika ya, jangan lupa untuk kongsikan artikel yang anda baca ini dengan rakan-rakan anda yang lain. Anda juga boleh melanggan artikel terbaru saya terus melalui emel. Klik di sini untuk melanggan.

 

 

Follow saya di sosial media:
8 Jenis Perkara Mencarik Adat (Bahagian 2)
Scroll to top
error: Maaf. Artikel ini tidak dibenarkan untuk copy!!