Amalan Yang Boleh Menyebabkan Gangguan Jin.

Anggaran Masa Bacaan: 7 minit

Dikemaskini pada 04/10/2018 oleh Ustaz Abdullah

Amalan yang dapat mengundang berlakunya gangguan jin, yang mungkin masyarakat kita tak sedar ialah amalan-amalan kebatinan di dalam ilmu persilatan.

Saya tidak menafikan di sini bahawa ilmu persilatan adalah salah satu warisan bangsa Melayu yang sangat berharga di dalam bidang seni pertahanan diri.

Saya juga tidak menafikan, dari silatlah telah lahirnya pahlawan-pahlawan Melayu yang gagah berani ketika mempertahankan Tanah Melayu dari ancaman penjajah suatu ketika dulu.

Dan dengan seni silatlah juga berjaya melahirkan individu-individu yang sihat dan kuat dari segi fizikal dan mentalnya. Dan bukankah Islam sangat menyukai umatnya kuat?

Dari Abu Hurairah Radhiyallahu ‘anhu , beliau berkata, Rasulullah SAW telah bersabda:

“Mukmin yang kuat lebih baik dan lebih dicintai Allah Azza wa Jalla daripada Mukmin yang lemah; dan pada keduanya ada kebaikan” (Hadits ini shahih. Diriwayatkan oleh Muslim (no. 2664); Ahmad (II/366, 370); Ibnu Majah (no. 79, 4168); an-Nasa-i dalam Amalul Yaum wal Lailah (no. 626, 627); at-Thahawi dalam Syarh Musykilil Aatsar (no. 259, 260, 262); Ibnu Abi Ashim dalam Kitab as-Sunnah (no. 356).
Dishahihkan oleh Syaikh al-Bani rahimahullah dalam Hidayatur Ruwat ila Takhriji Ahaditsil Mashabih wal Misykat (no. 5228).

Kedudukan Ilmu Kebatinan Dalam Seni Silat

Pengertian dan pemahaman yang benar dan sangat jelas tentang tauhid sangatlah penting. Ini kerana tauhid adalah perkara pertama dan faktor terpenting yang menyebabkan seluruh amalan kita kepada Allah diterima atau tidak.

Tidak terlepas juga di dalam seni silat. Ini kerana di dalam ilmu persilatan, amalan-amalan kebatinan adalah faktor yang tidak dapat dipisahkan darinya.

Di dalam artikel ini, inshaaAllah saya akan menulis secara ringkas apakah amalan-amalan kebatinan yang bertentang dengan syariat Islam itu sendiri.

Bahkan, tidak keterlaluan saya katakan, ada amalan-amalan yang akan saya tuliskan nanti, sebenarnya juga bercanggah dengan tauhid yang dipegang oleh Rasulullah SAW dan para sahabat Baginda yang mulia.

Pertama: Bertapa

Salah satu amalan yang penting dalam ilmu persilatan ialah pertapaan. Yang agak menjadi masalahnya ialah mereka yang akan melakukan pertapaan ini perlulah mencari tempat yang sunyi seperti di gua-gua, di kubur-kubur yang dianggap keramat dan sebagainya.

Jika dilihat, amalan pertapaan di dalam ilmu persilatan ini seakan-akan seperti ilmu yoga yang diamalkan oleh penganut-penganut agama Hindu. Oleh kerana itulah, Jabatan Mufti Negeri Pahang telah mengeluarkan fatwa bahawa amalan yoga ini adalah bertentangan dengan ajaran Islam yang suci.

Dari Amr ibn Syu’aib dari bapaknya dari kakeknya bahawasanya Rasulullah SAW bersabda:

Bukan termasuk golongan kami siapa yang menyerupai kaum selain kami. Janganlah kalian menyerupai Yahudi, juga Nashrani, karena sungguh mereka kaum Yahudi memberi salam dengan isyarat jari jemari, dan kaum Nasrani memberi salam dengan isyarat telapak tangannya”(HR Tirmidzi, hasan)

Selain daripada itu, cuba fikirkan bagaimana mereka yang melakukan amalan pertapaan ini, akan menunaikan solat berjemaah, solat jumaat dan sebagainya.

Adakah boleh diamalkan sesuatu amalan yang bukan bersumber dari petunjuk Nabi, kemudian terpaksa pula meninggalkan amalan-amalan wajib yang lain.

Kedua: Ilmu Kebal

Ilmu kebal juga diantara amalan kebatinan yang sangat terkenal di dalam ilmu persilatan melayu. Yang dimaksudkan dengan ilmu kebal ini ialah, mereka yang mempunyai ilmu ini tidak akan lut apabila tubuh badan mereka ditikam dengan benda-benda yang tajam.

Bukankah perkara ini adalah sesuatu yang mencarik (bertentangan) adat. Tidak ada seorang pun manusia yang berakal waras dapat menerima perkara tersebut.

Jadi, apabila berlakunya sesuatu perkara yang mencarik adat (seperti ilmu kebal) tentu ada sesuatu amalan disebaliknya. Terkecualilah jika orang itu terdiri dari para Rasul dan Nabi.

Menurut Syeikh Abdul Wahid Salam Bali, di dalam kitabnya yang terkenal iaitu Ash Sharim Al Batthar telah menjelaskan bahawa mereka yang mempunyai ilmu kebal ini sebenarnya telah mendapatkan bantuan daripada jin.

Ini bertepatan dengan firman Allah di dalam Surah Jin ayat 6 yang bermaksud:

“Dan bahawasanya ada beberapa orang lelaki dikalangan manusia yang meminta pertolongan dari lelaki dari kalangan jin, maka jin-jin itu menambah bagi mereka dosa dan kesalahan”

Apakah alasan mereka yang mengamalkan ilmu kebal ini?

Diantara hujah mereka ialah dengan mengamalkan ilmu kebal ini dapat memelihara diri dari ancaman musuh dan dapat menunjukkan kehebatan umat Islam untuk berjihad di jalan Allah.

Jawapan kepada hujah mereka ini ialah ilmu kebal ini sebenarnya menjadikan pengamalnya bernasib malang. Kerana apabila mereka kebal, mereka tidak dapat mati shahid sedangkan mati shahid itu adalah sebaik-baik kematian disisi Allah.

Para sahabat Nabi yang ikhlas berjuang di jalan Allah (tanpa belajar ilmu kebal) sangat mengidamkan untuk mati shahid dan akan menangis apabila tidak dapat mati shahid selepas pulang dari peperangan. Lihat sahaja kata-kata Khalid al-Walid di bawah:

Suatu ketika,seorang sahabat datang kepadanya.Walaupun dalam keadaan yang tersangat uzur,dia bingkas bangun dan membuka bajunya, “Wahai Sahabat,perhatikan badanku,adakah ada tempat yang tiada parut?”

“Tiada Wahai Khalid,”jawab sahabat tersebut.

“Jadi, bagaimanakah aku tidak bersedih? Kenapa ALLAH tidak menerima ku sebagai salah seorg syuhada’nya? Adakah taubat ku dulu tidak diterima?”Soal Khalid.

Mendengar keluhan Khalid itu,sahabat itu terus menangis dan kemudian dia berkata, “kau tidak boleh syahid,Khalid. Kau telah dilantik sebagai pedang Allah oleh Rasulullah dan pedang Allah tidak boleh patah di medan perang.”

Kata-kata sahabat itu benar-benar menggembirakan hati Khalid,dia tidak menyesal lagi dan akhirnya dia menghembuskan nafas nya yang terakhir dengan perasaan gembira dan redha terhadap ketentuan Ilahi.

Lihatlah. Khalid Al-Walid menangis kerana beliau tidak dapat mati shahid. Jadi bagaimana kita ini yang belum tentu syurga nerakanya, tidak menginginkan mati shahid dengan sebab mengamalkan ilmu kebal?

Ketiga: Mentera Dan Jampi Serapah

Tidak dapat dinafikan bahawa amalan jampi serapah adalah amalan yang tidak dapat dipisahkan di dalam ilmu kebatinan. Tetapi masalahnya, ada sesetengah jampi serapah yang dibaca walaupun ianya di dalam bahasa Arab, tetapi ianya mngandungi ucapan yang berbentuk kekufuran.

Sebagai contoh, ada yang memulakan amalan jampi serapah ini dengan membaca bismillah, tetapi bismillah yang kufur, seperti “A’uzubillahiminasysyathaanirraheem bismillahirrahmanirrajeem.” Nauzubillahhi min zalik.

Selain itu, ada juga amalan-amalan ritual di dalam ilmu persilatan yang hakikatnya tidak pernah langsung ditunjukkan oleh Nabi saw dan juga para sahabat Baginda yang mulia. Antara contohnya menggunakan lafaz-lafaz seperti Assalamualaikum Allah taala, Assalamualaikum Malaikat Jibril, dan sebagainya.

Bagi mereka yang tidak faham dengan ucapan assalamualaikum, akan menganggap bahawa ucapan salam semuanya baik. Tahukah kita apakah maksud di dalam ucapan salam? Ucapan salam ialah suatu doa keselamatan yang kita ucapkan kepada seseorang.

Jadi, apabila kita mengucapkan Assalamualaikum Allah Taala, maksudnya jadi begini “Semoga keselamatan atas Engkau Ya Allah”. Betulkah ucapan begini?

Inilah perkara-perkara yang kita kena sampaikan kepada masyarakat. Biar mereka faham dengan sejelas-jelasnya. Kerana ia melibatkan isu akidah dan akidah merupakan perkara terpenting di dalam agama.

Lagi amalan yang tidak betul ialah bertawassul. Tawassul ialah menjadikan sesuatu sebagai perantara apabila kita berdoa kepada Allah. Yang menjadi masalahnya ialah ada dikalangan mereka yang bertwassul tidak tahu bahawa ada tawassul yang tidak dibenarkan.

Antaranya ialah apabila bertawassul dengan menyebut nama orang yang saleh yang telah mati, contohnya mengucapkan lafaz seperti berikut, “Aku memohon kepada Allah dengan keramatnya syeikh Subandari, Syeikh Abdul Kadir Jailani, dan sebagainya.

Ini semua adalah bentuk-bentuk tawassul yang diharamkan. Tidak pernah Nabi saw dan para sahabat melakukannya.

Seterusnya, diantara tarikan yang menjadikan ramai orang berminat sangat dengan ilmu kebatinan ini ialah kerana ianya dapat menjadikan seseorang itu melakukan perkara-perkara yang mencarik adat. Bagi manusia biasa ianya adalah sesuatu yang ajaib.

Contohnya seperti dapat membuat pukulan dengan jarak jauh.

Keempat: Campur Tangan Jin

Perkara-perkara seperti ini merupakan perkara yang mencarik adat, di mana sepatutnya secara saintifiknya begini tetapi yang berlaku adalah berlawanan dengan saintifik maka tidak lain tidak bukan ada di sana campurtangan daripada jin.

Hujah mereka adalah kekuatan ajaib ini datang dengan bantuan malaikat, jin muslim, ruh kaum muslimin yang soleh, mereka terdiri daripada roh para wali dan solihin. Ini adalah hujah mereka. Katakan kepada mereka, para malaikat adalah makhluk Allah yang taat perintah Allah. Setiap malaikat ada tugas masing-masing atas perintah Allah. Dan malaikat ini tidak akan sesekali memenuhi panggilan, kehendak dan tuntutan manusia, apatah lagi mereka yang terdiri daripada orang yang rosak akhlaknya.

Dan tanyakan kepada mereka, bahawa apa yang mereka tahu tentang jin yang datang itu, dari mana mereka mengetahui jin itu muslim ataupun tidak. Jin muslim yang taat kepada suruhan dan larangan Allah tidak akan sesekali mencampuri urusan manusia. Lihat sahajalah manusia yang ada di sekeliling kita yang suka berurusan dengan jin, adakah manusia yang baik ataupun manusia yang bagaimana?

Manusia di kalangan kita yang suka berurusan dengan alam lain ini tidak lain tidak bukan adalah ahli sihir, bomoh, dukun dan sebagainya. Begitu juga mereka daripada alam jin yang cuba berinteraksi dengan manusia adalah terdiri daripada jin-jin fasiq dan kafir yang bertujuan menyesatkan manusia.

Mereka mendakwa roh para auliya dan para solihin membantu mereka; roh wali songo, Syaikh Abdul Qadir Al Jailani, Nabi Khidir dan sebagainya. Katakan kepada mereka, roh di alam barzakh bukanlah pelancong yang boleh ke mana-mana mengikut citarasa mereka.

Disebut di dalam nas Al Quran dan hadis, roh orang soleh ditempatkan di taman-taman syurga Allah, manakala roh mereka yang kafir ditempatkan di neraka Allah. Bagaimana mereka boleh memenuhi keperluan manusia, meninggalkan nikmat syurga sekejap untuk mengajar silat? Atau meninggalkan azab sekejap untuk mengajar silat. Perkara ini mustahil.

Tinggalkan Syubhat dan Pelajari Akidah Yang Benar

Kesimpulannya, dalam kesempatan ini, saya ingin menasihati dan memperingatkan kepada anda bahawa yang datang berdamping dengan anda, yang menolong anda di dalam ilmu kebatinan, bukanlah roh para wali, bukanlah roh orang yang soleh, dan bukan juga para Malaikat.

Ianya tidak lain tidak bukan adalah semata-mata jin dan syaitan. Di mana tujuan mereka hanyalah untuk menyesatkan dan memesongkan manusia dari jalan yang benar.

Percayalah, seorang mukmin yang jelas tauhidnya akan mampu membezakan antara yang haq dan batil, antara ketulenan agama dan tokok tambah. Sekiranya ilmu-ilmu kebatinan yang sangat ajaib ini adalah ilmu yang diredhai oleh Allah, sudah tentu manusia pertama yang mendapat ilmu ini adalah Rasulullah SAW kerana Rasulullah adalah manusia yang paling Allah cinta.

Dan sekiranya ilmu ini ada pada Rasulullah, sudah tentu Rasulullah telah mengajarkannya kepada para sahabat RA. Rasulullah sayang kepada Hamzah, Ja’far, dan sahabat-sahabatnya yang lain, maka sudah tentu ilmu kebal ini diajar kepada mereka.

Tetapi sejarah membuktikan Rasulullah patah giginya. Rasulullah hidup seperti manusia biasa. Sahabatnya Hamzah mati syahid di dalam peperangan, khalifah Umar Al Khatthab dibunuh oleh majusi, khalifah Utsman dibunuh oleh Yahudi, Ali bin Abi Thalib dibunuh oleh khawarij, dan semua itu membuktikan mereka tidak ada ilmu kebal.

Di mana jurus jarak jauh, di mana kebalnya mereka sedangkan para sahabat Nabi RA itu lebih layak untuk semua itu. Mereka lebih mulia berbanding kita, bahkan debu-debu pada kaki mereka lebih mulia daripada kita.

Bertaqwalah kepada Allah dengan sebenar-benar takwa kerana inilah hakikat kebatinan yang sebenar. Para sahabat merupakan generasi yang lurus tauhidnya, indah akhlaknya, bulat tawakkal mereka kepada Allah.

Mereka berasal daripada kaum jahiliyah yang melalui madrasah tarbiyah Rasulullah SAW. Mereka menjadi generasi manusia yang hebat dan diiktiraf oleh langit dan bumi. Mereka menguasai satu pertiga dunia tanpa sebarang ilmu kebatinan.

Lihatlah sejarah, mereka seramai tiga ratus orang mampu mengalahkan musyrikin seramai seribu orang di Badar. Mereka turut mengalahkan pakatan musyrikin seramai tiga ribu orang sedangkan mereka hanya seramai seribu orang di Uhud, dan di Medan Mu’tah yang menjadi saksi keangkuhan tentera Rom dihancur dan diganyang oleh tentera muslimin. Mereka seramai dua ratus ribu orang tentera lengkap bersenjata dikalahkan oleh tentera muslimin seramai tiga ribu orang.

Tidak pernah tercatat mereka mempelajari ilmu batin, tetapi hanya dengan bekal takwa, tawakkal yang bulat kepada Allah, iman yang sempurna, tauhid yang bersih. Dan banyak lagi siri-siri peperangan di mana tentera muslim menghadapi musuh yang berlipat kali ganda kekuatan daripada mereka tetapi menjanjikan kemenangan dan kemuliaan kepada mereka tanpa menuntut sebarang ilmu kebal, kebatinan dan sebagainya.

Kepada mereka yang masih sayang untuk meninggalkan amalan-amalan kebatinan dengan alasan yang pelbagai, sayangilah tauhid anda. Islam mengajar ilmu kebal, tetapi kebal daripada godaan syaitan dan kebal daripada api neraka Allah SWT. Itulah kebal yang hakiki.

Anda Dapat Sesuatu?

Jika ya, jangan lupa untuk kongsikan artikel yang anda baca ini dengan rakan-rakan anda yang lain. Anda juga boleh melanggan artikel terbaru saya terus melalui emel. Klik di sini untuk melanggan.

Follow saya di sosial media:
Amalan Yang Boleh Menyebabkan Gangguan Jin.
Scroll to top
error: Maaf. Artikel ini tidak dibenarkan untuk copy!!