Tawasul Yang Tidak Menyebabkan Syirik?

tawasul
Anggaran Masa Bacaan: 4 minit

Dikemaskini pada 25/07/2017 oleh Ustaz Abdullah

Betulkah bertawassul itu boleh menyebabkan seseorang terjatuh dalam kesyirikan? Ya betul, jika tidak difahami betul-betul apakah itu tawassul dan bagaimana cara melakukannya berdasarkan petunjuk Nabi SAW. Ini kerana tawassul terbahagi kepada dua, iaitu tawasul yang masyru’ (syar’i) dan juga yang mamnu’ (dilarang).

Jadi dalam artikel kali ini, saya nak kongsikan dengan anda apakah tawasul? Dan dalam keadaan bagaimana ianya boleh menjadi tawasul yang mengikut syarak, dan dalam keadaan bagaimana ianya dilarang.

Apakah Tawasul?

Sebelum saya menulis lebih jauh tentang tawasul, kita perlu tahu apakah yang dimaksudkan dengan tawasul? Tawasul berasal dari perkataan Arab, iaitu wasiilah (perantara). Dalam erti kata lain, tawasul ini ialah kita menjadikan sesuatu sebagai perantara apabila kita berdoa. Kita tetap meminta kepada Allah, tetapi diantara kita dengan Allah, kita meletakkan perantara ditengah-tengahnya.

Eh, bolehke macam tu ustaz? Ye boleh. Sebab itu saya kata, kena faham betul-betul dengan tawasul ini. Kalau tersilap bertawasul, dikhuatiri kita terjatuh dalam perbuatan yang mensyirikkan Allah.

Tawasul Yang Disyariatkan

Tawasul yang disyariatkan (dibenarkan) oleh Allah dan Rasul adalah tawasul yang dilakukan berdasarkan dalil-dalil dan juga sepertimana yang telah diajarkan oleh Baginda Rasul SAW kepada kita.

Pertama, ialah kita bertawasul dengan menggunakan nama-nama Allah Yang Mulia. Ini bertepatan dengan apa yang difirmankan oleh Allah SWT di dalam Al-Quran iaitu di dalam Surah Al-A’raf ayat 180:

“Dan Allah mempunyai nama-nama yang baik (yang mulia), maka serulah (dan berdoalah) kepadaNya dengan menyebut nama-nama itu dan pulaukanlah orang-orang yang berpaling dari kebenaran dalam masa menggunakan nama-namaNya. Mereka akan mendapat balasan mengenai apa yang mereka telah kerjakan”

Maksudnya di sini kita menggunakan nama-nama Allah sebagai perantara untuk kita berdoa kepada Allah. Sebagai contoh, kita berdoa dengan memulakan menyebut nama-Nya, “Ya Ghaffar, ighfirli”. Maksudnya wahai Yang Maha Pengampun, ampunkanlah dosaku. Ataupun “Ya Razzaq (Maha Memberikan Rezeki), kurniakanlah rezeki kepadaku, “Ya Rahim, kasihanilah aku”, dan sebagainya.

Sebut nama-nama Allah yang agung dahulu, kemudian baru kita sebutkan doa. Kita jadikannya nama-Nya sebagai tawasul (perantara) untuk kita meminta sesuatu kepada-Nya. Ini kaedah tawasul yang dibenarkan oleh syarak.

Kedua, bertawasul dengan doa orang yang beramal saleh yang masih hidup dikalangan kita. Ini juga adalah satu kaedah yang dibenarkan untuk kita bertawasul dengannya berdasarkan kepada petunjuk Nabi SAW.

Sepertimana para sahabat yang meminta kepada Nabi untuk mendoakan mereka ketika Baginda masih hidup. Apabila Baginda telah wafat, para sahabat berjumpa pula dengan orang saleh yang lain dan meminta mereka untuk berdoa.

Contohnya Umar Al-Khattab, di mana beliau pergi berjumpa dengan bapa saudara Nabi iaitu Abbas bin Abdul Mutalib. Apabila berjumpa, Umar berkata demikian, “Dulu ketika Nabi masih hidup, kami selalu meminta Nabi untuk mendoakan kami. Sekarang, setelah Nabi wafat, orang yang paling mulia dikalangan kami ialah kamu wahai Abbas. Maka berdoalah kamu untuk kami wahai Abbas”. (lihat di dalam Sahih Bukhari)

Peristiwa ini berlaku ketika Madinah dilanda kemarau yang panjang. Maka Umar Al-Khattab pergi berjumpa dengan Abbas dan meminta Abbas untuk berdoa, dan kemudian Abbas pun berdoa. Setelah itu, dengan izin Allah hujan pun turun.

Lagi contoh bertawasul dengan cara meminta doa dari orang yang saleh ialah dalam peristiwa Uwais Al-Qarni. Uwais Al-Qarni hidup sezaman dengan Rasulullah. Tetapi beliau tidak pernah bertemu dengan Baginda dan Rasulullah sendiri tidak pernah bertemu dengan beliau.

Kehebatan dan kelebihan Uwais Al-Qarni terbukti sehingga Rasulullah sendiri menyuruh Saidina Umar dan Saidina Ali meminta kepada Uwais agar mendoakan keampunan untuk mereka sekiranya berjumpa dengan Uwais Al-Qarni.

Walaupun Uwais Al-Qarni tidak terkenal di bumi, kerana beliau adalah seorang yatim yang miskin, tetapi beliau adalah wali Allah yang sangat terkenal dikalangan penduduk langit. Saya tidak bercadang untuk menulis lebih panjang tentang kisah Uwais Al-Qarni ini kerana tidak mahu lari dari tajuk asal.

Anda boleh buat kajian sendiri samada melalui internet ataupun membeli bahan bacaan untuk mengetahui lebih lanjut kisah Uwais Al-Qarni.

Tetapi, perkara utamanya di sini ialah, bertawasul dengan cara meminta orang-orang saleh untuk mendoakan kebaikan kepada kita adalah termasuk dalam tawasul yang dibenarkan.

Ketiga, bertawasul dengan amalan saleh yang pernah dilakukan. Dalil yang membenarkan perbuatan ini ialah dari Surah Al-Baqarah ayat 127 yang bermaksud:

“Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim bersama-sama Nabi Ismail meninggikan binaan asas-asas (tapak) Baitullah (Kaabah) itu, sambil keduanya berdoa dengan berkata: Wahai Tuhan kami! Terimalah daripada kami (amal kami), sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui”

Adapun dalil dari hadis pula ialah tentang kisah yang selalu kita dengar iaitu kisah tiga orang pemuda yang terperangkap di dalam gua kerana batu besar telah menutupi gua tersebut. Untuk membuka batu yang menutupi gua tersebut, mereka berdoa kepada Allah dengan cara bertawasul dengan amalan saleh yang mereka lakukan.

Seorang berdoa kepada Allah dengan mengatakan bahawa dia telah taat kepada ibu bapanya, seorang lagi mengatakan dia hampir berzina tetapi dia tinggalkan zina kerana takutkan azab Allah, orang yang ketiga pula berdoa dengan menyebut bahawa dia orang yang amanah, memegang amanah yang diberikan kepadanya dan mengembalikan kepada pemiliknya. Maka dengan amalan saleh itu mereka berdoa kepada Allah agar dibukakan pintu gua yang tertutup sehingga memerangkap mereka di dalamnya.

Ketika orang pertama berdoa, batu yang menutupi gua itu terbuka sedikit, sehinggalah cukup doa ketiga-tiga mereka, barulah batu itu berbuka sehingga mereka dapat keluar daripadanya. (lihat Sahih Bukhari)

Ini menunjukkan keberkesanan bertawassul dengan amalan saleh, yakni menjadikan amalan saleh sebagai perantara di dalam doa kita, kesannya itu cepat. Mudah-mudahan, insyaAllah.

Jadi, ketiga-tiga cara di atas, adalah termasuk dalam perbuatan bertawasul yang dibolehkan kerana ianya telah berdasarkan kepada Al-Quran dan Hadis Nabi SAW. Bagi anda yang mengalami sihir ataupun gangguan jin yang lain, berdoalah kepada Allah dengan menggunakan kaedah tawasul di atas.

Mudah-mudahan Allah memberikan kesembuhan kepada anda, inshaaAllah.

Anda Dapat Sesuatu?

Jika ya, jangan lupa untuk kongsikan artikel yang anda baca ini dengan rakan-rakan anda yang lain. Anda juga boleh melanggan artikel terbaru saya terus melalui emel. Klik di sini untuk melanggan.

Follow saya di sosial media:
Tawasul Yang Tidak Menyebabkan Syirik?
Scroll to top
error: Maaf. Artikel ini tidak dibenarkan untuk copy!!